Pages

Tuesday, May 31, 2011

OKU masih di lorong yang sama

 KETIKA Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan Tahun Antarabangsa Orang Cacat (TAOC) pada 1981, Malaysia juga tidak terkecuali merayakannya selaras gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelaras dan menghargai sumbangan golongan kelainan upaya (OKU) di sesebuah negara.

Banyak majlis sudah diadakan sejak 30 tahun lampau. Banyak juga istilah yang diguna pakai – orang cacat, golongan istimewa, orang kurang upaya dan kini orang kelainan upaya. Namun sehingga kini, nasib OKU tidak banyak berubah. Kira-kira 90 peratus daripada OKU mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan. Angka ini mengesahkan mereka di antara golongan berpendapatan rendah, walaupun kononnya pelbagai projek perihatin sudah dilakukan oleh kerajaan.

WHO mengandaikan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia mempunyai pelbagai kecacatan, walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peranan kementerian dan jabatan yang diharapkan membantu golongan malang tidak banyak berubah sejak 30 tahun lalu. Seorang OKU mengadu pelbagai kerenah birokrasi apabila bertemu pegawai JKM di Lembah Klang. Dia bukan saja sukar memperbarui kad OKU yang sudah lusuh, bahkan berdepan pelbagai pegawai yang sentiasa sibuk dan tidak sempat melayani, apatah lagi menyelesaikan masalah OKU.

Banyak juga OKU yang mengadu pegawai JKM ‘tiada di pejabat’ walaupun pada tarikh temu janji ditetapkan. Sikap segelintir pegawai JKM boleh menjejaskan usaha kerajaan yang berjanji mempertingkatkan semua prasarana bagi keperluan OKU selaras usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Bagi kebanyakan OKU, memadai kerajaan dan korporat memberi peluang untuk mereka berjaya dalam kehidupan, bukannya sekadar simpati dan wang ihsan. Ramai OKU yang berkelayakan wajar diberi peluang untuk berkhidmat di sektor awam dan swasta. Mereka juga mengharapkan peluang pendidikan dan latihan supaya dapat berperanan memajukan sektor ekonomi dan sosial.

Malangnya minda dunia ketiga yang masih tersisa, menyebabkan ramai OKU yang kurang pendedahan akhirnya mereka kekal dengan status tradisional yang sentiasa memerlukan pembelaan dan sumbangan pelbagai pihak.

Ramai juga OKU yang mengeluh mengenai kualiti pengangkutan awam yang kurang mesra kepada pengguna cacat. Mereka berharap kerajaan bertindak tegas, selaras janji dilafazkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang memberi jaminan kerajaan akan menaik taraf kemudahan pengangkutan awam seperti stesen transit aliran ringan (LRT), stesen bas dan komuter agar lebih mesra OKU.

“Kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mempastikan perancangan tersebut berjalan lancar. Kementerian Pengangkutan akan menyediakan prasarana terutama pengangkutan awam untuk OKU bagi memastikan keselesaan mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya (OKU), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis yang ditubuhkan di bawah Akta OKU itu dianggotai beberapa kementerian bertujuan menentukan dasar untuk membantu golongan berkenaan. Sehingga kini, bilangan OKU yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah 325,189 orang berbanding 283,512 tahun lalu.

Shahrizat berkata, dalam memastikan masa depan golongan tersebut terjamin, pihaknya akan mewujudkan pasukan khas bagi meneliti secara terperinci isu yang menjadi halangan kepada kemajuan pendidikan khas dan intervensi awal yang akan diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Beliau akan mengesyorkan kepada Kementerian Pelajaran langkah positif yang boleh diambil untuk membantu meningkatkan keupayaan golongan OKU bermula di bangku sekolah. Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan lebih ramai OKU diserapkan dalam alam pekerjaan memandangkan ada dalam kalangan mereka yang mempunyai potensi dan kelayakan akademik.

"Bagaimanapun cabaran paling getir adalah untuk mengubah pemikiran majikan, keluarga dan OKU itu sendiri supaya lebih positif terhadap potensi mereka," katanya.

Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Pengangkutan, Mustapha Zainuddin, berkata pihaknya akan mengeluarkan pelekat yang mempunyai nombor siri sebagai pengenalan kepada kenderaan OKU bermula pertengahan Jun selain garis panduan reka bentuk bas yang lebih mesra OKU. Kini 100 bas dinaik taraf, selain 12 stesen komuter dan lima stesen LRT di sekitar Lembah Klang.

Jika perancangan kerajaan terlaksana, kualiti kehidupan OKU dijangka berubah selaras era tranformasi ekonomi dan pentadbiran yang sentiasa mendahulukan rakyat. Soalnya, sejauh mana pelaksana dasar kerajaan mampu melaksanakannya? Selama 30 tahun, nasib OKU tidak banyak berubah kecuali sedikit pesta setiap kali menyambut slogan propaganda masyarakat penyayang. Apakah OKU memerlukan 30 tahun lagi untuk keluar daripada kepompong kedaifan? Persoalan yang perlu direnungkan bersama! - Berita Harian, 31 Mei 2011

Wednesday, May 25, 2011

Seniman jalanan terpinggir dalam kemodenan

JALAN Braga di pusat kota Bandung, Indonesia dihubungkan dengan Jalan Asia Afrika, yang menjadi lokasi Persidangan Negara Berkecuali pada 1955. Kawasan ini dipenuhi bangunan lama kesan penjajahan Belanda. Ada pusat beli-belah ternama, namun yang menarik adalah karya lukisan di kaki lima bangunan. Sepanjang 250 meter, lukisan disandarkan pada bangunan tinggalan kolonial untuk tatapan pelancong. Pelukis bebas menjaja hasil karya dan pelancong bebas menawarkan harga yang sepatutnya. Ada juga seniman jalanan menyelinap antara lampu isyarat dan simpang siur kehidupan. Nyanyian, petikan gitar dan tiupan harmonika menggambarkan suara dalaman insan seni yang bebas berinteraksi dengan alam dan pengunjung.

Di Bali pula, alunan seruling dan gendang purba menghiasi sepanjang perjalanan ke Ubud dan Kitamani. Rentak Barong dan Kecak di Tanah Lot sering menggugah jiwa pengunjung. Gemersik biola di Pantai Kuta dan gemalai tarian Bali mengingatkan kita betapa mereka menghargai seniman tempatan.

Di Thailand pula, seniman jalanan bukan sekadar pemuzik dan pelukis, juga pertunjukan gajah dan sihir di pinggir kota Phuket dan Yala. Alunan gemalai Rambong sering mengingatkan kita kepada tradisi Negara Gajah Putih yang masih setia dengan karya rakyat.

Berbeza Malaysia, negara lain amat menghargai karya seni dan seniman jalanan mempunyai ruang untuk menyerlahkan bakat mereka. Malaysia mungkin mencapai taraf negara maju pada 2020, tetapi belum tentu kita mencapai kemajuan dari segi mengiktiraf hasil seni ke tahap global. Kita terlalu banyak bercakap soal transformasi ekonomi dan kemelut siasah. Tapi kita sering lupa untuk menyediakan ruang untuk seniman berkarya, berinteraksi dengan penikmat dan menjadikan hasil seni dan budaya sebagai khazanah negara.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak mencatat nama Malaysia dalam senarai negara yang menghargai karya seni. Berbanding jiran terdekat seperti Indonesia dan Thailand, kita terlalu mundur untuk menghargai seniman sebagai harta negara. Kita jangan bandingkan dengan Boston di Amerika Syarikat dan Copenghagen, Denmark yang membiarkan seniman bebas berkarya 24 jam di jalan utama. Kita masih kalah dengan apa yang ada di Filipina dan Vietnam yang membenarkan seniman jalanan berkarya secara santai. Kita mungkin berbangga dengan beberapa pelakon dan penyanyi yang bukan pun bertaraf Asia, tetapi kita sering meminggirkan pelukis, pemuzik tradisional, penggiat teater dan penyair jalanan.

Lebih malang, banyak seniman kita terpinggir daripada perangkaan proses pembangunan ekonomi kerana Malaysia lebih melihat kepada percaturan di bursa saham, projek pembangunan dan pelan transformasi yang tidak berkesudahan. Kita banyak bangunan pencakar langit tapi kita tidak mempunyai ruang untuk seniman kecil berkarya dan mempamer bakat mereka.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar pernah menjanjikan Dataran Merdeka sebagai ruang untuk seniman jalanan mempamerkan bakat. Namun selepas 25 tahun berlalu, Dataran Merdeka dan Kuala Lumpur kekal sebagai kota batu yang longlai jiwa penghuninya.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pernah menegur birokrat yang ‘kurang visi, kurang rasa dan kurang reti’ namun siapakah yang bakal mendengar keluhan seniman kerana pembangunan negara banyak dikaitkan dengan tokoh korporat dan pelaksana siasah yang tentunya mempunyai pengaruh meluas dalam kalangan masyarakat.

Pada dekad 60-an dan 70-an, seniman mempunyai Rumah Anak Alam yang menjadi medan untuk melahirkan karya dan berinteraksi. Rumah Anak Alam juga membentuk kesepakatan jiwa dalam kalangan seniman. Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Dr Siti Zainon Ismail, A Ghafar Ibrahim, Dr Ibrahim Ghafar, Khalid Salleh, Pyanhabib, Abdul Aziz HM dan Ladin Nuawi menempuh pengalaman kreatif di Rumah Anak Alam. Mior Hashim Manap dan Grup Teater Kreatif juga menjadikan bangunan lama di Jalan Merbok berhampiran Jalan Parlimen untuk latihan teater. Semuanya menjadi sejarah kerana Padang Merbok sudah terlalu sesak dengan pembangunan.

Sekumpulan seniman jalanan termasuk Imuda, Pyanhabib, Ruslan Mamat, Kamarul Yusuf, Sani Sudin, Usop dan Siso mengadakan acara baca puisi di sisi tiang lampu di Pasar Budaya pada awal dekad 80-an. Mereka bergabung tenaga membaca puisi pada hujung minggu. Namun apalah upaya seniman apabila mereka diusir dan disergah oleh penguat kuasa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur kerana ‘menjejaskan kawasan tumpuan ramai’. Seniman terlalu kecil dan terpinggir di negara ini. Mereka tidak mempunyai upaya untuk melawan kerenah pentadbir yang menganggap kegiatan seni sebagai tidak bermanfaat.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika beroperasi di bangunan lama menyediakan Sudut Penulis untuk seniman berbincang, baca puisi, bersantai dan membedah karya. Namun zaman berubah. Pembinaan bangunan baru turut menyediakan jiwa baru dalam kalangan pentadbirnya. Sudut Penulis tidak wujud lagi. Sasterawan seperti Usman Awang, Datuk Johan Jaaffar, Datuk Baha Zain, A Rahim Abdullah, Sutung Umar RS, Dr Ahmad Razali, Sasterawan Negara Datuk Kemala, Suhaimi Haji Muhammad, Maarof Saad, Jaafar HS, Shamsudin Jaafar dan Zakaria Ariffin sudah lama meninggalkan DBP. Yang ada kini hanyalah pegawai dan pentadbir baru yang tidak mempunyai latar belakang seni. Justeru, DBP semakin formal dan birokratis. Seniman kecil dan terpinggir semakin tidak selesa ke Menara DBP kerana suasananya sudah berbeza. Udaranya tidak seni lagi. Sasteranya sudah milik segelintir golongan. Dan seperti laporan UNESCO, Malaysia semakin kekal sebagai negara yang segan mendekati seniman sendiri! - Berita Harian, 25 Mei 2011

Wednesday, May 11, 2011

Kemala dan maruah sasterawan

“SAYA tidak duga terpilih Sasterawan Negara ke-11,” tuturnya lembut. “Saya jangka  penulis wanita terpilih kerana media terutama Berita Harian agak kerap menonjolkan  penulis wanita yang dikatakan layak menerima anugerah itu.” Dia tergelak seketika dan menyambung: “Syukur!”

Panel memilih   Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang dikenali dengan nama penanya, Kemala sebagai Sasterawan Negara kerana  sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi. Beliau  akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan meluas ke  sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

 Ketika ditanya perasaannya, Kemala sekadar tergelak: “Perasaan orang lama. Orang   yang sudah lama menyepi diri dan saya tidak duga kalangan penyair masih mendapat perhatian panel. Sebelum ini hanya Datuk Usman Awang dan Prof Dr Muhammad Haji Salleh yang terpilih. Lazimnya panel lebih melihat kepada novelis sebagai pemenang!”

Kemala mengharapkan karya tempatan dimartabatkan sebagai khazanah negara. Hari  ini banyak  hasil sasterawan terabai dan jika dibincang pun, sekadar pada majlis tertentu yang kesannya tidak seberapa. Mengenai wang yang bakal diterimanya, Kemala spontan menjawab: “Saya akan beramal,   menyimpan untuk bekalan masa depan, bersedekah dan belanja anda makan!”

Kemala yang kita kenali tidak banyak bezanya sejak dahulu. Mempunyai  perawakan serius, tegas pendirian dan ada masanya sinis serta boleh bergurau secara spontan. Puisinya  dikaitkan dengan unsur Islam  dan kemanusiaan sejak dekad 60-an. Banyak diterjemahkan ke bahasa asing seperti  Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.

   Judul puisi perseorangan Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktuskaktus (1976), A’yn (1983), Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), MIM (1999), Ziarah Tanah Kudup (2006), Syurga ke Sembilan (2009) dan Sumsum Bulan Rawan yang akan segera terbit. Puisinya juga termuat sekurang-kurangnya dalam 25 antologi. Kumpulan cerpen perseorangan ialah Anasir (1983), Firuzia, Firuzia (1990) dan Laut Takjub 25 Cerpen Pilihan (2010). Dramanya sebanyak empat  buah iaitu Di Bumi Lain (1976), Malam Perhitongan (1966), Anna (1972) dan Kelonsong (1985). Buku kanak-kanak dua buah iaitu Melor, Melur Si Bunga Melur (1974) dan Lani Anak Tani (1977). Jumlah kajian ilmiah dan esei yang dihasilkannya banyak sekali.

Beliau juga  mendapat  anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah SEA Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Kemala adalah  pengasas  Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986).

 Dalam  kalangan penulis muda, Kemala dianggap sebagai mentor yang tidak jemu mengasuh bakat baru. Beliau  sering memberi bimbingan yang baik. Kami mulai akrab pada Jun 1986 apabila dua sajak saya disiarkan dalam Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat. Kemala pernah bertanya kepada penyair keturunan Siam, Swanlerd Propoul mengenai saya yang ketika itu mula mendapat perhatian media. Sebagai pegawai kanan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kemala memegang amanah untuk menilai karya penulis muda dan menyiarkan di majalah terbitan DBP. Bagi kebanyakan penulis muda, majalah terbitan DBP dianggap lambang pengiktirafan sebagai sasterawan generasi baru.

Hubungan akrab kami mendorong DBP memilih saya sebagai  salah seorang pewawancara untuk buku  Jambak: Proses Kreatif Pengarang Melayu. Kemala banyak membantu dan memberi garis panduan untuk saya menulis dan mewawancara novelis  wartawan Malungun (Amir Hamzah Shamsuddin) dan Yahaya Samah. Kedua-duanya nama yang cukup hebat pada dekad 1960 kerana karya mereka sering menjadi tumpuan sarjana ketika itu.

Bagaimanapun saya agak ralat untuk proses kreatif Sasterawan Negara Datuk Usman Awang kerana projek ini gagal disiapkan membabitkan  hubungan tegang antara Usman dan DBP. Ketika peringkat awal, Usman bersetuju untuk menjayakan projek ini dan saya memberitahu Kemala mengenai  peruntukan kewangan dan jangka masa menyiapkan projek penulisan. Bagaimanapun media mula menyiarkan kritikan Usman  terhadap DBP yang dianggap mengabaikan karya  Sasterawan Negara. Usman juga secara sinis membuat kenyataan antara Sasterawan Negara dan sasterawan biasa tiada nilainya di mata ‘tuan besar’ yang menerajui DBP. Keadaan lebih parah apabila DBP pula mengeluarkan statistik perbelanjaan  membabitkan Sasterawan Negara ketika itu. Beberapa angka tuntutan perjalanan dan royalti penjualan karya Sasterawan Negara tidak lagi menjadi rahsia umum   menyebabkan Usman akhirnya semakin menjauh daripada DBP. Ketika penulis ke rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Usman sekadar melepaskan keluhan kecil kerana tidak mampu meneruskan wawancara proses kreatif  untuk dimuatkan dalam buku Jambak. Dia memberi alasan masalah kesihatan tapi pada wajahnya terserlah perasaan tersinggung yang luar biasa. Saya menghubungi Kemala memberitahu   perasaan Usman dan kengganan Sasterawan Negara meneruskan proses kreatif yang dipersetujui sebelum ini. Saya agak resah kerana sudah mengambil sedikit wang DBP sebagai pendahuluan untuk projek yang akhirnya gagal disiapkan!

Kemala pernah ke rumah saya sebaik mengetahui penulis kemalangan jalan raya pada 29 Februari 2004 dan memberi harapan setiap bencana ada rahmatnya. Sebagai seniman besar yang mempunyai persepsi kemanusiaan dan Islamik, Kemala berbisik: “Anda perlu ingat setiap yang berlaku ada hikmahnya. Anda sakit, tapi jangan lupa untuk terus menulis!”

Kami bergabung tenaga untuk menjayakan majlis baca puisi bagi mengisi tabung kemanusiaan mangsa Tsunami Aceh yang dilanda bencana pada 24 Disember 2004. Kami menggerakkan massa dan bersiaran dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1.  

  Sebagai sasterawan besar yang karyanya dihargai, pemilihan  Kemala dalam senarai Sasterawan Negara tidak akan bernilai seandainya kerajaan tidak menyediakan peruntukan khas untuk mendaulatkan karya sastera sebagai khazanah nasional. Karya yang baik perlu didedahkan menerusi dunia penyiaran terutama di kaca TV  agar masyarakat tidak terus terjerumus    pada hasil seni pinggiran. Kemala, seperti juga Datuk A Samad Said, Datuk Shahnon Ahmad dan sasterawan lain, adalah antara segelintir insan  seni yang terus berjuang menulis walaupun suara penulis kian terasing oleh ledakan politik dan kemelut siasah yang tidak berkesudahan sekarang.

“Saya akan terus menulis,” tutur Kemala mengakhiri perbualan. Dia kini sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia. Dia tentunya mengharapkan karya yang baik menjadi santapan zaman selamanya! - Berita Harian, 11 Mei 2011

Monday, May 02, 2011

Buku apa yang rakyat Malaysia baca?

Penerbit   utamakan karya picisan ketika kerajaan komited galak rakyat terus membaca

MINAT membaca  rakyat Malaysia meningkat sedikit berbanding beberapa tahun sebelumnya. Jika dulu  mereka membaca beberapa helai muka surat setahun, kajian terbaru menunjukkan mereka membaca  dua buku setahun.

Bagaimanapun data yang dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) amat mengejutkan. Statistik penerbitan menunjukkan penurunan yang mendadak. Pada  2008, sebanyak 16,044 naskhah direkodkan, manakala pada  2009 jumlah penerbitan agak menurun   kepada 15,767 naskhah dan 15,756  pada 2010.

Jika minat membaca semakin meningkat dan bahan bacaan yang diterbitkan semakin menurun, apakah mungkin disebabkan pendedahan kepada media baru atau rakyat Malaysia semakin terdedah kepada bahan bacaan dari luar negara?

Persoalan lain yang timbul, apakah bahan bacaan yang paling diminati oleh rakyat Malaysia? Karya serius atau popular? Bacaan ilmiah dan bermutu atau sekadar karya ringan yang tidak banyak membantu pembentukan akhlak generasi Malaysia?

Seperti lazimnya, setiap April dan Mei, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menampilkan ribuan judul untuk pengunjung. Bagaimanapun bahan bacaan yang bagaimana banyak dipamerkan? Bacaan yang bagaimana pula paling menarik minat rakyat Malaysia?

Persoalan karya serius dan karya remeh sering menimbulkan polemik dalam kalangan ahli kaji sosial. Membangunkan sesebuah bangsa dunia ketiga memerlukan karya yang baik kerana tidak mungkin ilmu dan proses pencelikan akal datangnya daripada karya pinggiran. Bagaimanapun ini yang banyak terjadi sekarang. Karya popular -- novel   yang   ringan isinya serta   buku agama yang tidak berlandaskan kepada sandaran akademik menjadi tumpuan ramai.

Kita terlalu mewah dengan novel cinta dan pergolakan remaja berbanding karya besar seperti Hujan Pagi, Salina, Ranjau Sepanjang Jalan dan Interlok. Kita terlalu banyak buku bercerita masalah jin, jimak dan isu Imam Mahadi  berbanding karya yang memaparkan asas pemikiran Islam pada era globalisasi. Lebih malang juga kita terlalu ke depan dari segi penerbitan buku politik yang sekadar tohmahan  siasah sedangkan  masyarakat sepatutnya didedahkan dengan bacaan bermutu yang bakal mengisi minda mereka sepanjang hayat.
Ketika kerajaan sedang komited untuk menggerakkan penerbitan dan menggalakkan rakyat terus membaca, pihak penerbit pula perlu memberi  perhatian kepada karya yang lebih berakal.  Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan bekerjasama dengan semua pemain industri buku untuk mencapai sasaran penerbitan sekurang-kurangnya 26,000 judul buku setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hasil pengeluaran penulisan perlu digembleng kerana  kini hanya  16,000 judul buku diterbitkan  setahun.
"Yang penting adalah untuk mendapatkan seberapa ramai  penulis dan sudah tentu penerbit juga kerana dengan cara itu hasil karya yang dikeluarkan mendapat sokongan dan bermutu," katanya  selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 ke-30. 

Beliau memberi  jaminan agensi kerajaan yang terbabit  akan terus mengeratkan lagi kerjasama dengan sektor swasta di bawah industri buku untuk  membuat 'pemetaan' penerbitan  bagi mencapai sasaran tersebut.

  Penulis buku tempatan kini boleh memohon modal untuk memulakan penerbitan daripada Dana Penulis yang disediakan  PNM berjumlah RM2 juta. Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar, berkata dana itu diberikan kepada penulis yang menghasilkan karya seratus peratus.

"Penulis boleh menghantar terbitan mereka kepada PNM, jawatankuasa yang  diwujudkan akan menilai buku  berpandukan syarat yang  ditetapkan," katanya.

Beliau berkata penulis yang layak bakal menerima RM25,000 dan PNM akan membeli serta mengedarkan buku tersebut kepada perpustakaan desa di seluruh negara.
   
Mengenai Kempen Membaca, beliau berkata sebanyak 8,000 aktiviti membaca setahun diadakan di seluruh negara bagi meningkatkan minat membaca dalam  kalangan masyarakat Malaysia. Bagaimanapun bahan bacaan yang dipilih masih menjadi rahsia umum. Membaca tidak semestinya karya yang baik. Justeru, PNM   sewajarnya memantau  bahan terpilih untuk dibaca pada majlis anjurannya pada masa depan agar semua pihak mendapat manfaat.

Ketika negara  kita ghairah berpesta mengenai jualan buku, wajar juga dikaji bahan bacaan yang dicetak rompak daripada luar negara. Banyak buku Hamka terutama Lembaga Budi, Tasauf Moden, Tafsir Azhar, Peribadi dan Kenang-Kenangan Hidup yang diterbit secara meluas dan meragukan.

Ada penulis dari Indonesia yang pernah mempersoalkan isu hak cipta membabitkan karya mereka di Malaysia.  Ada yang mendakwa penerbit Malaysia amat mudah ‘mencetak’ wang hasil karya agama dari negara jiran. Isu ini wajar dipantau bagi mempastikan isu hak cipta tidak sampai meledak ketegangan dua negara  serumpun. - Berita Harian, 2 Mei 2011