Pages

Tuesday, September 27, 2011

Facebook kuasa baru dunia

Pemimpin terpaksa dekati generasi X, Y, Z
 
DUNIA hampir pasti berterima kasih kepada  pengasas Facebook,  Mark Zuckerberg  kerana membuka dimensi  baru  proses komunikasi sejagat.

Jika sebelumnya media cetak, elektronik, laman web, blog dan portal berita lebih terarah kepada komunikasi sehala,  Facebook membenarkan hubungan banyak hala pada tempoh cepat tanpa sekatan.
Sesiapa saja boleh berhubung dan menyuarakan pendapat tanpa batasan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan ‘rakan maya’ secara santai. Ahli sukan, artis, sasterawan dan sesiapa saja bebas bersuara.


 Ketika membangunkan   Facebook, Zuckerberg yang dilahirkan  pada 1984 di New York sekadar mengharapkan jaringan itu untuk rakan siswa di Universiti  Harvard bagi berinteraksi di samping mengatur temu janji minum petang di kios ayam goreng  tidak jauh dari kampusnya. Hubungan maya sesama rakan akhirnya merebak  ke pusat pengajian lain -- Stanford, Dartmouth, Columbia, Cornell dan Yale. Akhirnya budaya Facebook  merebak ke seluruh dunia dan meruntuhkan kekebalan  ideologi di sebalik Tembok Besar China. Keadaan ini juga melonjakkan Beijing sebagai ekonomi kedua terbesar dunia selepas  Amerika Syarikat dan mengatasi pesaing Asia Timur --  Jepun yang menghadapi kemelut ekonomi, politik, krisis budaya dan bencana alam.

 Hari ini istilah dunia tanpa sempadan menjadi klise yang menakjubkan. Sesiapa saja boleh bercakap soal bola sepak, cuaca, temu janji, ideologi atau pergeseran politik. Belum pun rejim diktator tumbang di Tunisia, Mesir dan kini Libya, media baru sudah meledak di hati rakyat dengan pelbagai maklumat yang menakjubkan. Sebelum  Disember lalu, Mohamed Bouazizi hanya anak  jalanan yang tidak dipedulikan.  Dia hanya  mempunyai kenalan Facebook, bukan penguasa di istana  agam.

Bagaimanapun, aksi bunuh diri  bagai halilintar menyambar bangsa Arab yang kaya dengan  krisis  keamanan, kemanusiaan dan hak asasi. Sekali gus meletakkan nama anak  muda yang tidak dipedulikan sebelumnya sebagai ikon demokrasi. Rakyat yang selama ini terperangkap antara sistem  monarki pro-Barat dan diktator sosialis tentera, bangkit  memberontak. Mereka bukan saja memaksa Zine al-Abidine  Ben Ali meninggalkan Tunisia, juga meresahkan pemimpin  lain di Asia Barat dan Utara Afrika.

Pengguna Facebook dikaitkan dengan  generasi X, Y dan Z.   Don Tapscott dalam bukunya 'Grown Up Digital' meneliti  latar belakang generasi X,Y, Z yang mempunyai  latar  tersendiri. Generasi X lahir antara 1965 hingga 1976,  Generasi Y lahir antara 1977 hingga 1997, manakala Generasi  Z lahir selepas 1998. Mereka mempunyai citra tersendiri dan  berbeza antara satu sama lain.

Bagaimanapun, mereka disatukan dengan suatu ledakan  iaitu teknologi maklumat. Merekalah yang banyak mem punyai jaringan internet, kenalan Facebook dan twitter. Me reka jugalah yang kerap membawa laptop, ipad dan netbook serta  bertukar  pandangan dengan pelbagai pihak tanpa batasan. Mereka  menguasai maya dan merayakan kebebasan media baru.

Mereka juga terdedah dengan pelbagai ideologi, tayangan  filem, khidmat pesanan ringkas dan menghabiskan masa di  kafe siber, kopitiam, berani menyanggah pandangan yang  dianggap tidak sesuai. Mereka dianggap generasi internet,  manakala generasi sebelumnya iaitu Generasi Baby-Boomer  dan Pre Baby-Boomer   dikaitkan  media lama  seperti percetakan dan penyiaran.

 Bagi mana-mana ahli politik, menyelami hasrat dan keinginan generasi muda bakal melonjakkan saham siasah mereka. Najib menyedari hal ini dengan mendekati generasi muda ketika menghadiri konsert Suara Kami  anjuran sebuah syarikat penyiaran. Berkemeja T, santai dan spontan, Perdana Menteri tekun mengikuti persembahan yang tentunya bukan lagu ala retro  sesuai dengan zamannya.

Najib juga ketika hadir konti radio bercerita mengenai dirinya yang  dikejutkan dari tidur pada setiap  subuh oleh penggera iPhone  yang dikunci dengan lagu Karma  Chameleon nyanyian kumpulan  Culture Club yang   popular  pada 1980-an.

Beliau  yang baru mengenali perkataan ‘sempoi’ mengakui masa depan generasi muda terletak kepada kekuatan minda.  Kesungguhan mendekati generasi X, Y,  Z dan pengikut Facebook tentunya mempunyai tafsiran berbeza mengenai ideologi, tamadun dan  hak asasi. Dunia tentunya sunyi jika Zuckerberg tidak mencipta sesuatu yang amat diperlukan ketika manusia semakin menjarakkan perhubungan dan ahli politik semakin bersemangat untuk bersengketa! - Berita Harian, 27 September 2011

Wednesday, September 21, 2011

UMNO kena faham politik rakyat Kelantan

PENGERUSI  Badan Perhubungan UMNO Kelantan,  Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin Barisan Nasional (BN)   menguasai semula negeri itu selepas 21 tahun ditadbir oleh PAS.

Beliau melaungkan keyakinan berdasarkan sokongan semasa. Beberapa kawasan yang dianggap ‘hitam’ sebelum ini sudah dipulihkan.  Pasir Mas, Kok Lanas dan Bachok yang sebelum ini dianggap ‘sukar’ kini menjadi harapan baru BN.

Hanya  Pengkalan Chepa yang sukar  ditembusi BN kerana faktor Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dianggap kebal.

 Mustapa  yakin sasaran   memenangi 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang mampu dicapai.

“Saya sudah mengadakan mesyuarat peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri dan mengulangi keyakinan sasaran untuk kita memenangi sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN Kelantan nanti.

“Walaupun sebelum ini dikatakan berlaku pergolakan di beberapa bahagian, namun ia tidak betul dan saya sudah mengadakan pertemuan di bahagian berkenaan, sebenarnya tidak ada, malah pelantikan pemimpin tertentu, semuanya diterima ramai,” katanya selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya  di Pejabat UMNO Pasir Mas, baru-baru ini.

Isu tempatan seperti pembalakan haram dan tanah untuk perladangan menjadi modal  UMNO yang kini giat berkempen di seluruh negeri.
     Dari segi sejarah, rakyat Kelantan  pernah berada di bawah pimpinan  UMNO dan Perikatan untuk beberapa ketika sebelum diambil alih oleh PAS selama 18 tahun.  PAS  menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973 ketika   era  pemerintahan Tun Abdul Razak Hussein. Bagaimanapun  beberapa isu dalaman antara UMNO    Kelantan pimpinan  Tengku Razaleigh Hamzah dan PAS  pusat pimpinan Tan Sri  Asri Muda menyebabkan berlaku keributan  pada 1977. Rusuhan berlaku dan MAGERAN    (Majlis Gerakan Negara) terpaksa diisytiharkan apabila segelintir rakyat mengadakan rusuhan di Kota Bharu. PAS  bertindak meninggalkan BN.  MAGERAN  menyebabkan urusan pentadbiran negeri digan tung.   Apabila pilihan raya khas pada 1978,  BN menang 34 kerusi (22 UMNO, 11 BERJASA  dan 1 MCA). PAS  hanya menang dua kerusi di  DUN  Sering (Nik Abdullah Arshad) dan Manik Urai.
Kemerosotan mendadak Pas pada 1978 bukan kerana parti  itu lemah, tetapi MAGERAN  menyebabkan PAS  tidak dapat  bergerak aktif.
Keadaan berubah apabila pengaruh PAS  kembali menapak  pada Pilihan Raya Umum 1982 dan 1986, serta menguasai  semula Kelantan pada 1990 menerusi Angkatan Perpaduan  Ummah hasil kerjasama PAS  dan Semangat 46 pimpinan  Tengku Razaleigh.


Ketika pengaruh PAS sedang menapak  pada dekad 80-an, ada segelintir ahli UMNO sendiri yang mencipta masalah dan mewujudkan krisis dalaman  menyebabkan BN lemah. Pimpinan UMNO negeri bukan saja berdepan serangan daripada PAS, juga di kalangan ahli UMNO sendiri  hingga menyebabkan BN kalah teruk pada 1990.

Bagi kebanyakan pemerhati  politik, pemimpin siasah perlu mempelajari pola berfikir penduduk tempatan untuk menangani suasana yang ada. Kelantan yang dianggap  Serambi Makkah mempunyai  tradisi sistem pendidikan pondok tertua di Asia Tenggara.  Tradisi ini membentuk naungan politik yang akhirnya dikenali politik Islam. Bentuk siasah ini menjadi imej sebahagian penduduk Kelantan yang perlu difahami oleh mana-mana parti politik.

Sebarang bentuk  perjuangan dan idealisme yang tidak mendapat dokongan  institusi keagamaan bakal menerima padahnya.

Bagi sebahagian penduduk Kelantan, semangat kekitaan dan jati diri berjaya mengikat kesepakatan walaupun berada di luar Negeri Cik Siti Wan Kembang. Loghat Kelantan dipertahankan walaupun mereka   berada di tempat lain, hatta di Makkah dan Eropah.

Dalam hal ini UMNO dan BN  Pusat perlu menyelami pola berfikir  penduduk Kelantan jika berhajat menumbangkan PAS. Laungan dan keyakinan tidak bermakna kerana keputusan di peti undi bakal menentukan nasib penduduk yang lebih  95 peratus beragama Islam dan bangsa Melayu.  - Berita Harian, 21 September 2011

Tuesday, September 20, 2011

UMNO Kelantan masih bermimpi?

MUNGKINKAH Barisan Nasional (BN) berkuasa semula di Kelantan?

Selepas 21 tahun PAS di bawah pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat menerajui kerajaan negeri,  UMNO yang dipimpin Datuk Seri Mustapa Mohamed melaungkan keyakinan berdasarkan sokongan semasa.

Mustapa  yakin sasaran   memenangi 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang mampu dicapai berdasarkan sokongan rakyat kepada  BN.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu memberi alasan  maklum balas ‘daripada semua pihak’  begitu memberangsangkan.

“Saya sudah mengadakan mesyuarat peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri dan mengulangi keyakinan sasaran untuk kita memenangi sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN Kelantan nanti.
“Semua pihak tanpa mengira kedudukan dalam parti harus bekerja keras  memandangkan ia dijangka lebih mencabar berbanding sebelum ini.

“Walaupun sebelum ini dikatakan berlaku pergolakan di beberapa bahagian, namun ia tidak betul dan saya sudah mengadakan pertemuan di bahagian berkenaan, sebenarnya tidak ada, malah pelantikan pemimpin tertentu, semuanya diterima ramai,” katanya selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya  di Pejabat UMNO Pasir Mas, baru-baru ini.

Bagi kebanyakan pemerhati politik Kelantan, kenyataan Mustapa tidak lebih daripada harapan orang politik yang kehilangan kuasa di Kelantan sejak 1990. Tidak jelas sumber mana yang diguna pakai oleh Mustapa kerana keadaan semasa menunjukkan PAS masih utuh di Negeri Serambi Makkah itu. Malahan ketika kunjungan beberapa pemimpin Pusat di Kelantan, bilangan hadirin sekitar 2,000 orang saja, termasuk kanak-kanak sekolah dan kakitangan awam yang dikerah ke lokasi majlis.

Pemerhati politik  tidak nampak bagaimana BN boleh mengatasi momentum yang dibawa oleh PAS yang kini berakar umbi di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Bagi rakyat Kelantan, UMNO atau PAS bukan pemisah paling utama kerana mereka lebih memerlukan tokoh yang sentiasa kekal di hati rakyat.

Dalam hal ini, ahli UMNO mesti berusaha  mencuri hati rakyat dan elakkan  penghadang yang memisahkan. Cara hidup yang amat berbeza dengan kebanyakan pengundi  terutama kalangan petani, nelayan dan penoreh getah boleh memberi masalah kepada BN sendiri.

Berbeza dengan pembangkang yang dilihat membawa imej agama walaupun diakui ada di kalangan mereka yang terbabit dalam isu penebangan balak dan penerokaan tanah,  beberapa tokoh UMNO mesti berusaha memberi imej  positif  jika berusaha menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

  Politik Kelantan tentunya lebih meriah jika UMNO dan BN mampu memberi citra baru berdasarkan sumber yang asas, bukan andaian memenangi 23 kerusi tanpa berusaha mempertingkatkan imej di kalangan rakyat!

Tuesday, September 13, 2011

9/11 tidak seteruk derita warga Palestin

BANYAK  yang  masih berdebat  soal  kemerdekaan dan penjajahan. Ada yang  mempertahankan hujah isu  kedaulatan dan pejuang kemerdekaan. Tapi kita lupa apakah minda kita sudah merdeka sepenuhnya?
Ketepikan isu pengganas komunis yang bukan lagi menjadi idea pokok masa kini. Perang  Dingin sudah lama berlalu dan komunisme hanya tinggalan zaman lampau kerana  Soviet Union sudah lama hancur dan Tembok Berlin sudah lebur.

Yang berlaku kini adalah tinggalan penjajah Barat yang masih kekal di kalangan kita. Pemikiran kita masih dijajah walaupun  ada profesor  yang mendakwa kita tidak pernah dijajah.

Ketika dunia  bagai merayakan 10 tahun kejadian 11 September 2001, minda penjajah masih menghantui kita untuk bersimpati kepada mangsa serangan di World Trade Centre (WTC) di New York. Kita bagai spontan mengenang nasib keluarga mereka, sedangkan pada masa sama kita bagai melupakan apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan dan Palestin. Media Barat berjaya menguasai minda kita untuk mengenang nasib mangsa serangan  WTC, sedangkan setiap detik umat Islam diancam dengan pelbagai ugutan dan imej buruk.

Kini bukan saja  Iraq, Palestin dan Afghanistan yang menjadi mangsa, Libya,  Mesir, Tunisia,  Syria, Jordan dan banyak lagi negara Arab yang bakal terus menderita dengan ledakan bom dan tembakan. Imej  sebagai pengganas sudah cukup untuk membawa ketakutan sejagat terhadap umat Islam.

Media Barat berjaya menguasai pemikiran global. Kita di Malaysia pun tidak terkecuali menjadi mangsa penjajahan minda untuk lebih bercakap soal keganasan pejuang Islam, di samping melupakan  helah  dan tipu daya Amerika Syarikat (AS)  dan Pakatan Atlantik Utara (NATO)  memanjangkan penjajahan bentuk   baru.
Memang diakui 3,000 nyawa terkorban ketika kejadian 11 September 2001, tetapi kematian umat Islam di merata tempat tidak dihebohkan.

Bekas Presiden AS, George W Bush yang mengisytiharkan jihad terhadap ‘pengganas’  sengaja melupakan fakta     kematian  1.03 juta  rakyat Iraq  antara Mac 2003 hingga  Ogos 2009.  Operasi AS dan sekutu di  Afghanistan berjaya membunuh hampir 20,000 orang awam  antara 2001 dan 2009. Kita tidak didedahkan dengan kekejaman Barat di negara Islam kerana lebih terpengaruh dengan lakonan watak utama di Rumah Putih.

Kita banyak terpedaya dengan helah media dunia yang menyelewengkan fakta. Ketika  penyembelihan di Sabra dan Shatila (Chatila) di Beirut, Lubnan  pada September 1982, media melaporkan kewajaran tindakan itu  kerana ancaman berterusan samseng dan belia Palestin di penempatan Yahudi. Kematian 2,750 umat Islam dinafikan dengan laporan kejayaan  rejim Zionis mempertahankan kedaulatan wilayah mereka.
Kini setiap kali kita bercakap isu kemerdekaan, wajar juga kita merenung makna kebebasan minda kerana  ancaman Barat terhadap dunia ketiga masih berterusan.

Era selepas Perang Dingin bukan lagi memerlukan serangan bom atom dan pencerobohan sempadan. Peperangan memadai di hujung jari apabila media baru berjaya membentuk pemikiran umum. Sebelum rusuhan jalanan menjatuhkan Hosni Mubarak di Kaherah, rakyat Mesir sudah lama menduga kejatuhan diktator Arab itu menerusi portal berita dan laman sembang sosial.

     Jika tidak waspada, kita juga bakal menjadi mangsa kerana  gejala penjajahan bentuk baru semakin menular di dunia ketiga. Selepas 10 tahun kejadian di WTC, dasar langit terbuka sudah cukup memberikan imej salah di ruang tamu rumah kita. Media baru, televisyen satelit dan bahan penerbitan  mempunyai nawaitu tersendiri sebagai ejen gerak saraf yang amat menakutkan;  bersediakah kita menangkisnya? - Berita Harian, 13 September 2011

Sunday, September 11, 2011

Noramfaizul, kematianmu terlalu murah!

TIDAK ramai yang mengenal Noramfaizul Mohd Nor sebelum ini. Dia hanya  petugas Bernama TV yang rutin  hariannya mencari sudut terbaik untuk lensa kameranya. Namanya tidak disebut ketika  mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI ke Somalia yang berlepas pada 28 Ogos lalu.

 Hanya apabila  terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial di Mogadishu, Somalia,  Noramfaizul  menjadi sebutan rakyat Malaysia, malah ada yang menganggap dia mati syahid dan wira negara.

Noramfaizul seperti juga petugas media yang lain sentiasa akur dengan arahan tugas. Dia adalah antara  petugas media yang maut di kawasan bergolak. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menamakan 13 negara yang dianggap ‘bahaya’ untuk wartawan bertugas. Tapi hairannya, ada dalam kalangan kita yang perlukan wartawan ke kawasan berisiko semata-mata alasan tersendiri. Laporan Lembaga Perlindungan Wartawan Internasional  (Committee to Protect Journalists, CPJ)  menyebutkan lebih  252 wartawan  dibunuh di 13 negara dan kebanyakan  pembunuh bebas daripada  hukuman.

Pergolakan politik, perang saudara, pertelingkahan merebut kawasan, berebut bantuan makanan dan minuman dikaitkan sebagai punca petugas media ditembak ketika membuat laporan di kawasan bergolak.

Dalam kebanyakan kes, wartawan yang dibunuh tanpa memakai jaket keselamatan di kawasan bergolak. Ada juga kes, mereka tidak didedahkan dengan keadaan sebenar di suatu kawasan sehingga akhirnya maut ketika menjalankan tugas.

Laporan ini menyebut kebanyakan kes  tembakan  dilakukan oleh pihak yang  rasa terancam di wilayah bergolak.

“Motif  pembunuhan wartawan  sebagai amaran  bagi wartawan lainnya untuk diam, menjamin kalau isu yang sensitif tidak didedahkan,”  tegas  Pengarah Eksekutif   CPJ,  Joel Simon.

Badan yang diasaskan di New York ini menegaskan banyak  wartawan yang mendapat ancaman terlebih dulu sebelum akhirnya dibunuh dan tidak mendapat perlindungan. Ketika keluarga mangsa menderita kehilangan insan tersayang, pembunuh bebas ke mana saja kerana pergolakan politik menghalang  sebarang tindakan undang-undang.

Simon memberi contoh penemuan mayat wartawan  Pakistan, Saleem Shahzad selepas beberapa hari dia menulis mengenai keganasan di Asia  Selatan. Shahzad   juga pernah mendedah  penyusupan  pengganas  al-Qaeda dalam pasukan  angkatan laut Pakistan yang akhirnya dinafikan oleh kerajaannya sendiri.

CPJ mendedahkan  Iraq, Filipina dan Sri Lanka sebagai negara yang paling tidak ‘bersahabat’ dengan  wartawan. Sementara   Mexico  dianggap terus memburuk tetapi  Russia semakin baik kerana tiada wartawan dibunuh pada 2010.

Mexico  dianggap terburuk kerana seorang jurugambar,  Luis Carlos Santiago ditembak mati di sebuah pusat beli-belah.

Sebelum Noramfaizul ditembak di Somalia, seramai 18 wartawan terbunuh di seluruh dunia sejak awal  2011.  Sejak 1992 ada 863 wartawan yang terbunuh dan 145 wartawan lainnya dipenjara akibat pemberitaan  mereka.

CPJ menggariskan  13 negara yang masuk dalam kategori tidak mesra  wartawan  iaitu  Iraq (92  kes), Somalia (11 kes termasuk Noramfaizul), Filipina  (56 kes termasuk 32 wartawan dan pekerja media yang dibunuh dalam peristiwa keganasan  2009),  Sri Lanka (9),  Colombia (11),  Afghanistan (7),  Nepal (6),  Mexico  (13),  Russia (16).  Pakistan (14),  Bangladesh (5),  Brazil (5) dan  India (7).

CPJ juga mendedahkan masalah penerbitan di negara membangun yang dikawal ketat oleh pemerintah. Pelbagai akta dan peraturan dikenakan sehingga pengamal media sukar ‘bernafas’ ketika mendedahkan sesuatu isu.

Kepincangan laporan di negara membangun menyebabkan media baru mula mengambil alih peranan media arus perdana yang kian susut.

Kehadiran laman web, blog, portal berita  atau laman sosial seperti Facebook dan Twitter  menjadikan bidang penerbitan semakin tercabar. Lebih malang lagi apabila wartawan dicabar dengan bom dan mortal ketika niat mereka suci untuk melaporkan kegiatan di daerah bergolak seperti di Somalia.

Noramfaizul tentunya sebuah nama yang bakal disebut dalam sejarah kewartawanan negara. Sumbangan dan hasil kreatifnya akan lebih besar dikenang apabila kita mengingatkan cara kematiannya yang   tragis. Perang dan pergolakan sentiasa mesra pada lensa jurugambar!- - Berita Harian, 10 September 2011

Tuesday, September 06, 2011

Beraya tanpa jiwa di Kuala Lumpur

SEORANG kenalan yang sudah 10 tahun tidak sambut Aidilfitri di kampungnya bercerita: “Tiada apa hendak dirayakan di Kedah, emak sudah lama tiada, rumah tempat membesarkan kami kini dihuni oleh ibu tiri. Jika pulang pun, terasa seperti bertandang ke rumah orang lain!”

Dia yang pernah bertugas di sebuah pejabat akhbar di Lembah Klang lebih selesa berhari raya di Kuala Lumpur saja.

“Saya sudah 25 tahun tinggal di Cheras. Dulu di Kampung Baru. Anak membesar dengan persekitaran kota. Bagi mereka Kuala Lumpur adalah kampung mereka. Mereka sudah biasa dengan kesibukan dan keriuhan kota. Mereka tidak tahu bagaimana kehidupan di desa. Tidak pernah masuk sawah, malah bertempik jika ada pacat dan lintah menyelinap ke betis.”

Ke mana anda pada pagi lebaran?

Matanya berkelip beberapa kali dan seolah-olah berfikir mencari jawapan terbaik. “Saya akan jenguk ke rumah kawan yang tidak balik kampung. Malam raya kami berzikir dan bertakbir di masjid, kemudian membantu isteri memasak dan pada pagi raya membawa keluarga solat sunat Aidilfitri.

Petangnya, bergantung pada keadaan. Ziarah kenalan atau tengok wayang, lepak dan makan di pusat beli-belah. Malamnya tengok TV atau membaca buku!”

Pengalaman kenalan yang pernah menjadi wartawan dan pegawai media ini adalah secoret kehidupan segelintir warga kota yang menyesuaikan diri dengan kehidupan baru dan menanggapi sentimen tradisi kemelayuan. Dia yakin tradisi balik kampung akan kendur 10 tahun akan datang apabila kebanyakan perantau tidak lagi mempunyai orang tua di desa.

Anak mereka yang sudah sebati dengan kehidupan di kota besar akan rasa kekok di kampung kerana persekitaran berbeza. “Ketika itu mereka juga seperti aku yang terpaksa menyerahkan diri kepada suasana kehidupan di perantauan,” tuturnya.

Seorang bekas dekan yang tinggal bersendirian di Kuala Lumpur sekadar menyambut perayaan di masjid dan bilik bacaan di rumahnya. Isterinya sudah lama kembali ke Amerika Syarikat dengan membawa anak tunggal mereka.

“Saya mengkaji al-Quran sekarang kerana sudah lama meninggalkannya,” akuinya yang merasakan dirinya pernah terpesong daripada akar budaya Melayu. “Hanya hari raya ketiga pulang ke kampung seketika kerana majlis kenduri kesyukuran, kemudian kembali ke Lembah Pantai,” tegasnya yang tinggal di sebuah apartmen yang menghala kawasan bukit.

Dia tidak tahu sampai bila harus bersendirian dan menjalani kehidupan bersama buku dan ilmu. Ada masanya dia terfikir bahawa dirinya semakin jauh daripada masyarakat. Pada usia lebih 60 tahun, dia semakin yakin buku dan ilmu ada masanya menjadikan seseorang itu sebagai antisosial!

Bagi kebanyakan Melayu yang dianggap perantau di Kuala Lumpur, balik kampung adalah istilah popular setiap kali menjelang lebaran. Seolah-olah anak bulan Syawal tidak kelihatan di kota besar kerana wajah desa kembali subur setiap kali takbir Aidilfitri.

Mereka terbayangkan suasana desa, wajah ayah ibu dan kampung halaman. Mereka bernostalgia kehidupan masa lalu walaupun sudah mencapai kejayaan dan membina kehidupan selesa di perantauan.

Suasana desa tetap akrab setiap kali lebaran menjelang. Tradisi balik kampung juga menyebabkan jalan raya sesak dan kemalangan maut meningkat setiap kali musim perayaan. Tahun ini dianggarkan 11 juta kenderaan bergerak ke pelbagai arah dari Kuala Lumpur sepanjang seminggu menjelang fajar Syawal dan angka korban kemalangan meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Ketika jalan utama di luar Lembah Klang semakin sesak, suasana di Kuala Lumpur kekal lengang. Memandu kenderaan ke Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tunku Abdul Rahman terasa tenang. Tiada kesesakan dan hiruk pikuk warganya. Yang ada wajah asing.

Kuala Lumpur seolah-olah menjadi Jakarta Mini atau sebuah daerah di Bangladesh, Burma dan Vietnam. Wajah asing menjadi golongan majoriti di pusat bandar raya. Di pusat beli-belah di Cheras pula, wajah Afrika mendominasi suasana dengan gelagat yang melucukan; fesyen rambut Drogba menjadi pilihan pada petang Syawal pertama! - Berita Harian, 6 September 2011

Sunday, September 04, 2011

Libya belum tentu aman

KETIKA krisis tebusan Bangunan  American International Assurance (AIA) di Jalan Raja Chulan - Jalan Ampang, Kuala Lumpur  pada  Isnin, 4 Ogos 1975, nama Muammar Gaddafi begitu lunak disebut.

 Pengganas Tentera Merah Jepun (JRA) yang juga  serpihan  Liga Tentera Merah Komunis Jepun  hanya menyebut nama Libya dan Gaddafi. Mereka hanya mahu berunding melepaskan tebusan dengan syarat  rakan  yang ditahan di Tokyo dibebas dan dibenarkan ke Libya.

 Tiga tahun sebelumnya, peristiwa Black September  pada 5 September 1972  yang membunuh 11 atlit Israel di perkampungan Sukan Olimpik Munich, Jerman, juga mengaitkan Libya sebagai destinasi pengganas.

 Sejak itu nama Libya dan Gaddafi semakin lunak disebut. Reputasi umum ketika itu,  Gaddafi menyokong perjuangan kemerdekaan termasuk  Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), gerakan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF)  di Mindanao, Filipina dan Tentera Merah Ireland (IRA) di Ireland.

Malah timbul dakwaan Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) yang menuntut kerajaan sendiri di Thailand mendapat sokongan Gaddafi. Dia  dikatakan membekal senjata, ubat dan latihan ketenteraan.
 Kini apa pun  nasib   Gaddafi  tidak penting lagi kerana sejarah lebih melihat kepada wataknya selama  empat dekad dalam kancah politik dunia.

 Ketika era Perang Dingin, dia penyokong sosialis  Blok Warsaw pimpinan Soviet Union.  Malah Gaddafi, di samping Saddam Hussein (Iraq) dan Hafiz al-Assad (Syria)  dianggap penyokong tegar  Blok Timur yang ketika itu berdepan  kuasa Barat yang menyokong negara beraja di Asia Barat bagi menguasai kepentingan minyak dunia.

 Gaddafi berjaya membuktikan jati dirinya ketika membantah penaklukan Soviet Union di Afghanistan pada 1980 yang dianggap  mencabul hak asasi umat Islam.  Tindakannya mengejutkan negara komunis sendiri kerana tidak menduga Gaddafi yang anti-Amerika Syarikat, juga sanggup menentang Moscow yang menceroboh Afghanistan dan menaja pentadbiran komunis Babrak Karmal.

 Suara lantang selama empat dekad membentuk imej Gaddafi  sebagai tokoh digeruni. Dia memboikot sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  yang dianggap sebagai ejen syaitan Amerika  Syarikat. Hanya pada September 2009  Gaddafi ke PBB  yang akhirnya mengecohkan suasana,  menyelar PBB sebagai alat  kuasa besar dan menindas negara kecil termasuk umat Islam di Palestin.

 Lebih mengejutkan  apabila Gaddafi  mengoyak buku piagam PBB dan  melemparkan  ke podium sebagai tanda protes terhadap kelemahan PBB.  Dia  berjaya menelanjang piagam PBB yang selama ini didominasi  negara yang mempunyai kuasa veto.

  Mengoyak piagam PBB pada majlis rasmi  memberikan signifikan keruntuhan badan dunia itu dan maruahnya dipijak oleh pemimpin Arab yang terkenal  radikal. Belum pernah dalam sejarah PBB pemimpin sebuah negara mengoyak piagam dan mencampakkan kepada pemimpin dunia di belakangnya. Sejarah hina PBB akhirnya tercipta biarpun kebanyakan agensi berita Barat melaporkan tindakan itu kurang ajar.

 Hari ini  dunia mungkin kehilangan tokoh segarang Gaddafi. Namun yang lebih penting ketika rakyat Libya merayakan peralihan kuasa, mereka wajar juga merenung betapa Tripoli kini hampir menjadi Baghdad dan Kaherah yang  dikuasai tentera Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) naungan  Amerika Syarikat.
 Bagi jangka pendek, rakyat boleh menghukum apa saja kepada Gaddafi  -- pembunuh, pembolot harta negara dan diktator  militer -- namun sejarah juga bakal menentukan di manakah Libya pada masa akan datang.
 Apakah Libya seperti  negara jiran yang turut berada di bawah telunjuk Barat bagi menyelamatkan penguasaan rejim Zionis di bumi Palestin? Apakah Libya bakal aman tanpa Gaddafi  atau bakal berterusan letupan bom dan tembakan?
 Apa pun yang berlaku, dunia mungkin merindui   telatah Gaddafi  yang diiring  40 pengawal seksi pada majlis rasmi di samping mempunyai ratusan khemah persembunyian dan pengikut setia yang disebut pejuang revolusi di seluruh dunia! - Berita Harian, 31 Ogos 2011