Pages

Wednesday, October 26, 2011

Prihal Ah Seng tukang jahit wanita

JIKA seorang tokoh berucap menggunakan bahasa Inggeris pada  majlis rasmi, siapakah yang berhak  menegurnya? Apakah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau pengerusi majlis?

Jika pengacara radio menggunakan bahasa rojak dan disambut pendengar dengan bahasa yang bercampur aduk, apakah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM)  berkuasa untuk melarang dan mengambil tindakan tegas terhadap stesen penyiaran? Apakah peranan badan penyiaran dan masyarakat terhadap kedaulatan bahasa Melayu yang kononnya Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi di Malaysia?

Persoalan demi persoalan mengenai isu bahasa Melayu tidak pernah reda. Kecelaruan dan sikap rendah diri di kalangan segelintir bangsa Melayu sendiri menyebabkan Bahasa Kebangsaan sering tercabar.

Jangan terperanjat jika petugas kaunter makanan segera bertanya menggunakan bahasa Inggeris semata-mata untuk mengambil pesanan sekadar paha ayam goreng, kentang putar dan air bergas.

Di dalam pesawat nasional pula, pramugari yang seksi menggunakan bahasa Inggeris sebagai ucapan pendahuluan kepada penumpang, disusuli bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.

Syarikat pengeluar kereta nasional menggunakan ejaan  salah untuk ‘automobil’  lalu lahir syarikat  Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd. Tiada siapa yang berani menegur sebuah syarikat berkaitan kerajaan menggunakan ejaan salah sejak hampir 30 tahun lalu.

Hari ini isu bahasa Melayu longlai di negaranya sendiri bukan sesuatu yang asing dan aneh. Nilai ekonomi makin merudum kerana sistem pasaran terbuka menginginkan urus niaga pantas dan cepat. Bahasa Inggeris dianggap  bahasa global, tanpa disedari bahasa Melayu sekadar  rintihan segelintir sasterawan dan pencinta bahasa yang tidak mempunyai apa-apa kuasa selain suara dan pena saja!

Pada  13 Oktober lalu,  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin   merasmikan  Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Melaka. Kita tidak tahu sejauh mana kesannya terhadap kedaulatan bahasa Melayu sendiri. Jika ikut kepada tradisi, majlis tak lebih daripada baca sajak, bersyair, berpantun, pidato, peraduan menulis khat dan kemudian bahasa Melayu kurang mendapat tempat.

  Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP Abdul Ghapar Abdullah, berkata sikap tidak bangga, tiada kesedaran dan kurang jati diri bangsa menyebabkan usaha   memartabatkan Bahasa Melayu  sebagai Bahasa Kebangsaan terjejas.
Beliau mengakui DBP tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak terhadap golongan yang mengabaikan bahasa Melayu.

 Beliau berkata, DBP memang bertanggungjawab memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dengan betul tetapi   tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai daripada tidak menggunakan Bahasa Melayu.
"Contohnya seperti  kempen Ops Sikap yang dilaksanakan polis.  Walaupun pelbagai usaha dan kempen yang dilakukan, kemalangan tetap berlaku dan ia berpunca daripada  sikap pengguna jalan raya.

"Begitu juga dengan DBP yang melaksanakan pelbagai program untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan tetapi orang ramai masih juga menggunakan bahasa rojak," katanya.

 Beliau berkata DBP tidak boleh menghalang dan menguatkuasakan atau mendenda orang yang tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan, tetapi apa yang boleh dibuat ialah membantu sekiranya mereka tidak begitu arif  penggunaannya.

Mengambil contoh penggunaan bahasa Kebangsaan yang betul di  papan iklan pula, beliau berkata DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan kerana yang ada kuasa ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).  Jika PBT sendiri tidak arif, lalu wujudlah papan tanda ‘Ah Seng jahit wanita’ seperti yang ada sekarang.

Bagi pejuang dan pakar Bahasa Kebangsaan, Dr Awang Sariyan, sikap dan penerimaan masyarakat terhadap Bahasa Kebangsaan adalah  topik penting yang kerap dibincangkan setiap kali memperkatakan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.

Katanya, proses globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa Inggeris, menimbulkan keghairahan yang kadangkala berlebihan di kalangan masyarakat untuk mengutamakan penguasaan Bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan Bahasa Melayu.

"Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berhubung kait dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi," katanya.

Beliau kesal kerana untuk sekian lamanya  bahasa Melayu masih sekadar ada tanpa usaha mendaulatkannya.
Jika Melayu sendiri longlai dan layu jiwa pada bahasanya, siapa lagi yang mahu diharapkan? -  Berita Harian, 25 Oktober 2011

Wednesday, October 19, 2011

Bahasa Melayu masih tanpa jiwa


BAGI pencinta bahasa, perjuangan menegakkan jati diri bangsa  tidak tercapai tanpa mendaulatkan bahasa Melayu. Apa pun halangan pembangunan atau rasionalisasi sektor swasta, bahasa Melayu tetap tonggak yang perlu dipertahan.

Perjuangan bahasa pernah melalui pelbagai lapisan dugaan yang amat perit. Pada era penjajah, pemerintah British meminggirkan bahasa Melayu ke tahap terendah hingga menyebabkan warga tempatan berasa terhina jika berucap di majlis  awam menggunakan bahasa Melayu.
Era selepas merdeka juga tidak jauh berubah apabila segelintir elitis Melayu yang mendapat didikan di London mengetuai pelbagai agensi, sekali gus meminggirkan kedaulatan bahasa kebangsaan,
Bagaimanapun keadaan mula berubah pada dekad 60-an apabila pejuang bahasa  termasuk Tan Sri  Syed Nasir Ismail, Tan Sri Asri Muda  dan Datuk Hassan Ahmad lantang memperjuangkan isu bahasa.
Bermula dengan  Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an,  kempen ini  melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Akhirnya pada  1999, gerakan ini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN)    dilancarkan  oleh Tun  Abdullah  Ahmad Badawi yang menjawat  Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Pada  2009, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN   dikenali dengan nama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang bertujuan  memantap, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
    BBK juga bertujuan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan, mengerat dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
Ia juga bertujuan     menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.
Pada  13 Oktober lalu,  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin   merasmikan  Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Melaka.

Sehingga kini pelbagai acara diadakan untuk memartabatkan BBK di seluruh negara.   
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Seni Khat Kebangsaan 2011.
Pertandingan bertemakan ‘Rukun Negara’ ini  bertujuan meningkatkan rasa kecintaan terhadap tulisan jawi menerusi keindahan seni khat dan membangkitkan semangat patriotik rakyat melalui penghayatan  prinsip  Rukun Negara.

    Sementara itu kerajaan Perak pula mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan  menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan serta majlis rasmi.

 Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata selain pertuturan, beliau juga meminta pihak berwajib memastikan semua syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans turut menggunakan bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris dalam dokumen rasmi, papan tanda serta borang demi kepentingan pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

 "Pendekatan ini sebagai tanda dan bukti sokongan kita terhadap kempen menggunakan bahasa kebangsaan. Sewajarnya, sebagai bangsa Malaysia, kita perlu mempertahan dan menghormati bahasa kebangsaan kita sebagai lambang jati diri serta bahasa perpaduan kita," katanya.

 Pelbagai kegiatan wajar disusuri tindakan tegas untuk meletakkan bahasa Melayu ditahap tinggi. Sebelum ini beberapa dasar pendidikan termasuk isu pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris mencabar kedaulatan bahasa Melayu sendiri. Walaupun isu itu hampir berakhir,  timbul pula desas-desus untuk mengembalikan bahasa penjajah dalam sistem pendidikan kita.

Kita harap perkhabaran ini tidak berlaku kerana boleh  menjejaskan  nilai ekonomi bahasa Melayu.

Kita juga merasakan kempen penggunaan bahasa Melayu di papan iklan masih belum berjaya sepenuhnya. Jika ada pun bahasa Melayu diguna pun, ada kesalahan ejaan dan tata bahasa.    Tiada tindakan tegas terhadap pesalah bahasa dan kerajaan perlu memikirkan hal ini.

Pengiklan  pula  masih meyakini  bahasa asing mempunyai nilai ekonomi.
Keadaan ini berbeza dengan apa yang berlaku di Jakarta dan Bangkok  yang mendaulatkan bahasa ibunda mereka.

Dalam hal ini, pelbagai pihak perlu tegas mendaulatkan bahasa Melayu  dan jangan  sekadar ungkapan kosong; ‘Bahasa Jiwa Bangsa!’ -  Berita Harian, 19 Oktober 2011

Sunday, October 16, 2011

Hampir 200 Yahudi menang Hadiah Nobel


BANYAK   yang menimbulkan isu Yahudi tanpa memahami keadaan sebenar. Lebih malang, apabila dipolitikkan kononnya sesuatu pihak dianggap ‘sahabat’ Yahudi dan pihak lain pula  pejuang Islam.

Ada pihak yang kononnya menentang kezaliman Yahudi, tetapi mempunyai kenalan akrab sebagai penasihat ekonomi dan siasah mereka. Mereka menggunakan wang dari sumber misteri untuk kegiatan  hak asasi.

Sama ada ahli politik,  persatuan sosial, mahupun pemimpin pelajar, isu Yahudi pernah menghangatkan suasana. Gerakan pelajar pada 1974 dikaitkan perjuangan menentang   kapitalis pro-Yahudi yang didakwa  melemahkan pemikiran generasi muda.

Keadaan  memuncak apabila Ayatollah Khomeini berjaya menjatuhkan  Shah Iran  pada 1979.   Ada dalam kalangan kita yang mendewakan rejim Syiah  pejuang sejati kerana menghalang kebangkitan kuasa tunggal Amerika Syarikat pasca Perang Dingin.

\Ketika itu ada ahli  politik  sanggup menuduh pihak lain sebagai ejen  ’asing’ tanpa membezakan makna sebenar Yahudi dan Zionis.  Isu kafir mengkafir dan ‘amanat’ seorang ulama yang menuduh pihak lain tidak Islamik kedengaran.

Yahudi berasal  perkataan ‘ibri’, ‘abra’, ‘ibrani’ yang bermaksud potong jalan/berpindah. Mereka  keturunan Sam (semitik) bin Nuh.      Bermula dengan Nabi Ibrahim yang dianggap  bapa kepada  nabi lain termasuk  Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Isa dan Nabi Yaakub.  Bukan semua  Bani Israel berfahaman Yahudi  kerana  ada  yang  beragama Islam dan Kristian. Munculnya  warga Hungary berbangsa Yahudi,   Theoder Herzl’s  menimbulkan kemelut sehingga kini. Dia menyarankan bangsa  Israel  berkumpul dan membentuk  Israel raya.
Dari sini lahirnya gerakan  Zionis  yang dipelopori Moses Hess  untuk mengukuhkan negara Israel di Asia Barat.

Hari ini polemik Yahudi dan helah mereka mencatur dunia begitu banyak diperkatakan. Di sebalik sikap jelek yang merobekkan sejarah bangsa Arab dan Islam, Yahudi mempunyai kualiti sebagai kaum yang tekun, pintar dan kreatif.  Kerajinan dan kepintaran mereka perlu dikaji, sementara kejahatan dan kerakusan  dihindari.

Tiga  saintis Zionis baru diumumkan menerima  Hadiah Nobel Perubatan 2011 iaitu  Bruce Beutler, Jules Hoffmann dan Ralph Steinman  kerana kepakaran  bidang saraf dan organ. Kehadiran mereka tentunya melengkap senarai Yahudi yang menjadi pencetus dunia baru.

Majalah Time menyenaraikan  Albert Einstein sebagai  saintis   ‘Manusia Abad ini'.  Sigmund Freud  yang memperkenalkan  teori id, ego dan super-ego juga Yahudi. Begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Sejarah perubatan  membariskan jasa mereka.  Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian, Johas Salk   (vaksin polio),  Gertrude Elion  (ubat  leukemia) dan   Baruch Blumberg  (vaksin Hepatitis B)

 Dalam tempoh 106 tahun, hampir 200 Yahudi menang Hadiah Nobel berbanding tiga dimenangi umat Islam. Bangsa Yahudi berjumlah 14 juta, sedangkan umat Islam 1.4 bilion. Bayangkan  jurang pemikiran mereka dengan kita!  

Amerika Syarikat sebagai kuasa utama dunia kerap  dinaungi ahli siasah Yahudi. Henry Kissinger,  Harold Brown,  Robert Rubin, Madeleine Albright     dan penasihat Bekas Naib  Presiden Al Gore (1993-2001),  Michael Chertoff juga Yahudi. 

Bekas Presiden  George W Bush  juga dikaitkan keturunan Yahudi. Tidak hairanlah dia melancarkan kempen memerangi  keganasan di Iraq dan Afghanistan semata-mata untuk menjaga kepentingan Zionis di seluruh dunia.

 Ketika kita bercakap isu hak asasi dan makna kebebasan, jangan terperangkap   helah untuk menghalalkan cara! - Berita Harian, 14 Oktober 2011

Wednesday, October 12, 2011

Bajet 2012: Pilih isteri kakitangan awam


SEORANG pegawai awam yang sepatutnya bersara pilihan pada 31 Disember ini menerima panggilan telefon Ogos lalu supaya ‘menangguhkan’  persaraan   ke pertengahan 2012.

Pada awalnya dia tergamam kerana pemanggil tidak menjelaskan punca penangguhan persaraan, apatah lagi ketika kesihatannya  tidak mengizinkan;  dia menderita sakit buah pinggang, lelah dan darah tinggi.

Ketika memohon persaraan pilihan, pegawai   itu menyertakan laporan perubatan yang disahkan pakar buah pinggang. Dia terpaksa menjalani rawatan dialisis CAPD (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis) sebanyak empat kali sehari dengan kos rawatan RM4,000 sebulan.  Dia juga kerap masuk hospital.
Sepanjang 2010, sebanyak tujuh kali dia berada di dalam wad. Bayangkan betapa banyaknya bil dan kos rawatan yang ditanggung kerajaan dalam tempoh setahun.

Dengan penangguhan tarikh persaraan, dia bakal menikmati gaji baru tahun depan sebelum bersara. Bayaran pencen juga  meningkat berdasarkan struktur gaji terbaru.

 Mengikut Bajet 2012 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kakitangan awam bakal menikmati struktur gaji lebih baik dengan kenaikan tujuh hingga 13 peratus, kenaikan gaji ikut gred antara RM80 hingga RM320, umur persaraan dinaikkan 60 tahun dan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500. Menjelang Aidilfitri lalu, kakitangan awam juga  menerima bonus kadar yang sama.

Tentunya kakitangan awam menyambut baik pengumuman yang dianggap ‘bajet rakyat’. Pelbagai reaksi positif disiarkan di media massa.

Bagaimanapun  bagi kakitangan swasta, limpahan kemudahan yang dimiliki kakitangan awam tidak diperoleh mereka  kecuali  kenaikan satu peratus caruman  majikan dalam Kumpulan Wang  Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam reaksi segera,   Kongres  Kesatuan Sekerja Malaysia  (MTUC) hampa  pembentangan Bajet 2012  yang dikatakan tidak banyak   memberi keistimewaan kepada pekerja  swasta.

  Presidennya, Mohd Khalid Atan,  berkata  pihaknya  akan mengadakan perbincangan di  kalangan ahli kesatuan sebelum berunding dengan kerajaan bagi mencari jalan terbaik menyeimbangkan  kebajikan pekerja swasta dengan  apa   dinikmati penjawat awam.

  “Saya kecewa  kerana pembentangan Bajet  2012 tidak banyak menyentuh aspek kebajikan pekerja swasta,” katanya kepada Berita Harian.

   Sempena Hari Pekerja pada 1 Mei  lalu, MTUC mengemukakan enam  tuntutan kepada Kementerian Sumber Manusia iaitu penetapan gaji  minimum RM900 sebulan, mengu rangkan waktu bekerja daripada 48  jam kepada 40 jam seminggu serta  peningkatan usia persaraan dari pada 55 kepada 60 tahun.

  MTUC juga merayu  kerajaan memberikan faedah persaraan yang dikira berdasarkan sebulan gaji bagi  setiap tahun perkhidmatan pekerja,  menghapuskan sistem kerja kontrak dan mewujudkan persekitaran  kerja yang selamat termasuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

  Berdasarkan statistik kerajaan,  masih ada 34 peratus  pekerja menerima gaji rendah iaitu di  bawah garis kemiskinan. Setakat  ini jumlah ahli MTUC     620,000 orang  yang diwakili 272 kesatuan, namun  yang aktif hanya 530,000 orang.

Kebajikan majoriti pekerja swasta masih terabai. Banyak majikan yang tidak  mengambil insurans pekerja dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Bayangkan jika pekerja swasta menghadapi masalah kesihatan kronik yang memerlukan kos rawatan RM4,000 sebulan, sanggupkah majikan membantu?

  Bagaimanapun harapan MTUC tidak seiring kegembiraan  dialami ahli CUEPACS yang diterajui Datuk Omar Osman.

Omar dengan wajah ceria memberi reaksi positif di kaca TV: “Saya rayu kakitangan awam meningkatkan produktiviti seiring pelbagai kemudahan yang dimiliki sekarang!”

Tentunya jurang gaji antara dua sektor bakal memberi kesan sosial. Kenaikan gaji kakitangan awam memberi peluang kepada peniaga yang tamak untuk rasionalisasi harga jualan.

Seorang teman pula berjenaka; “Jika mahu kahwin atau tambah isteri, pilih saja kakitangan awam kerana pelbagai  kemudahan yang dinikmati mereka termasuk pinjaman perumahan, kemudahan perubatan dan skim pencen.  Kita bakal dapat pakej yang lebih baik  dan menarik!”

Thursday, October 06, 2011

PAS, padi, pondok dan kuasa

 SEHINGGA akhir  dekad 1950-an,   Parti Islam Semalaysia (PAS) dianggap  pertubuhan 3P, iaitu PAS, pondok dan padi.  PAS  hidup dan berkembang kerana tradisi pondok yang meluas di Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu, di samping Kedah. Institusi pendidikan agama  berjaya membentuk PAS sebagai pertubuhan siasah Melayu menjadi alternatif kepada UMNO di kawasan luar bandar, terutama di kawasan penanaman padi.

Ketika kerajaan rancak memperkenalkan projek pembangunan lima tahun selepas krisis 13 Mei 1969,  Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ditubuh di  Kedah  bertujuan mempertingkatkan sistem pengairan di kawasan penanaman padi. Kemajuan pesat projek ini merancakkan proses penghijrahan pekerja sawah dari Kelantan ke Kedah, sekali gus merangsangkan aliran pemikiran PAS di Utara Semenanjung.
Ketika PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973, Presidennya, Tan Sri Asri Muda dilantik sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah.  Ketika itu banyak pembukaan kawasan tanah rancangan bagi memberi peluang Melayu menjadi peneroka FELDA dan FELCRA di bawah seliaan kerajaan Pusat. Asri menggunakan kesempatan  ini untuk memilih ahli PAS di Kelantan menjadi peneroka menyebabkan pengaruh parti itu berkembang di tanah rancangan di seluruh negara sehingga kini.

Hari  ini PAS bukan lagi sinonim dengan pondok dan padi kerana kepesatan ekonomi dan pola berfikir mengubah citra siasah tempatan. PAS bukan lagi seperti 60 tahun lalu kerana ia terpaksa bergerak sesuai perkembangan siasah semasa.  Ramai ahli PAS bukan lagi berketayap, berjubah dan berjanggut kerana ramai juga profesional yang memilih parti itu.

 Kejayaan cemerlang  pada  Pilihan Raya Umum Ke-12  pada 8 Mac  2008,   meletakkan PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai kuasa tawar menawar sama ada pada peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). PAS mempunyai wakil  rakyat  di   Kedah, Perak dan Selangor, selain mengekalkan prestasi di Kelantan (menguasai kerajaan negeri sejak 1990) dan Terengganu.  PAS menguasai 10 peratus   kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang.

Bagaimanapun PAS masih gagal membentuk imej nasional walaupun ahlinya bertebaran di seluruh negara.
Ramai yang beranggapan PAS masih gagal melahirkan pemimpin yang boleh diterima semua pihak walaupun diakui parti itu mempunyai pemidato yang hebat dan mahir berjenaka di pentas ceramah.
Kelemahan ini dikaitkan dengan kegagalan parti  membentuk kerangka politik yang lebih besar.

Ketika  menyambut ulang tahun penubuhan  ke-60 di Kepala Batas pada 1 Oktober lalu, retorik PAS dengan harapan menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 masih bergema. Pada masa sama, kemelut hudud dan pembentukan negara Islam masih cerita lama yang diulang tayang.
Kita akur kehadiran tokoh seperti  Datuk  Tuan Ibrahim Tuan Man,  Salahuddin Ayub,  Dr Mohd Hatta  Ramli,  Datuk  Kamaruddin Jaffar dan  Datuk  Husam Musa memberi imej ulama dan profesional kepada PAS, tetapi   kehadiran beberapa individu lain boleh menjejaskan imej parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu sendiri.

PAS belum mampu melahirkan ikon  yang boleh diterima semua pihak, termasuk bukan Islam. Kegagalan ini   suatu cabaran kepada  Pakatan Rakyat dalam usaha memberi saingan sengit kepada BN.
Jika mahu terus   kekal relevan, PAS perlu berusaha melahirkan  tokoh untuk semua bangsa seperti pernah dirintis  Burhanuddin al-Helmy dan Asri.

Jika PAS masih terperangkap dengan agenda kecil seperti apa yang berlaku di Kelantan, parti itu bakal tidak relevan pada masa depan.

Bagi sebahagian besar Melayu yang berada di luar UMNO dan PAS, kehadiran kedua-dua parti politik Melayu mempunyai natijah besar dalam pola siasah tanah air. Kedua-duanya saling melengkapi walaupun pada masa sama kelihatan sukar untuk mengadakan gencatan senjata. Imej Melayu dan Islam di pihak pembangkang,  serta perjuangan Melayu yang dominasi UMNO  memberi pilihan terbaik kepada golongan atas pagar. PAS atau UMNO perlu pastikan mereka menjadi pilihan terbanyak  di peti undi  tanpa memperjudikan perjuangan kepartian masing-masing. PAS kini bukan lagi  pondok dan padi! - Berita Harian, 6 Oktober 2011