SITI Huraizah Ruslan bagai pasrah menerima keadaan dirinya. Hampir tiga tahun bergelar siswazah, namun sehingga kini belum mampu menjawat jawatan yang setimpal dengan kelulusannya.
Pada 2007, media tempatan melaporkan kejayaan gadis cacat penglihatan yang muncul antara siswa cemerlang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Berita Harian, tidak terkecuali juga TV3, menyiarkan berita kegembiraan gadis hitam manis yang berjaya mengejutkan massa. Dia lambang kegigihan orang kurang upaya (OKU). Dia lambang kecemerlangan yang tidak dibatasi kekurangan diri. Dia juga lambang kekuatan semangat untuk menimba ilmu walaupun terpaksa meninggalkan keluarga dan tiga adiknya di Pantai Timur.
Hari ini, Siti Huraizah bagai dilupakan. Ijazah cemerlang hanya sekadar selembar kertas yang hampir tidak ada apa-apa. Segala ilmu yang ditimba di Fakulti Seni Persembahan sekadar bayangan masa lalu, yang juga tidak ada apa-apa.
“Terlalu tebal tembok halangan,” cetusnya. Sudah acap kali dia menghadiri temu duga namun hasilnya tidak ada apa-apa. "Mereka takut mengambil orang buta seperti saya. Mereka bimbang saya tidak mampu menjalankan tugas dengan baik," cetusnya sinis. Dia tidak diberi peluang. Dia bagai merenung nasib sendiri. Ada penemuduga yang jujur mengakui kesukaran memilih pekerja OKU di organisasi mereka.
Siti Huraizah pernah memohon untuk menyertai skim tenaga pengajar di pusat pengajian yang pernah berjasa kepadanya. "Malangnya mereka masih prejudis, tidak yakin kemampuan pensyarah buta," keluhnya.
Kini dia bertugas di Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, di Setapak, Kuala Lumpur. Dengan pendapatan yang diterimanya, dia terpaksa bekerja kerana tidak mungkin untuk kembali ke pangkuan orang tuanya tanpa sebarang jawatan. Ria atau lara di Lembah Klang, Siti Huraizah terpaksa tekad kerana kehidupan tidak semudah yang diharapkan.
Siti Huraizah boleh dianggap citra permasalahan OKU di negara ini. Mereka bukan saja kekurangan fizikal dan kesempurnaan, bahkan kurang tumpuan daripada masyarakat. OKU tidak selamanya memohon bantuan dan berjiwa hamba. Apa yang mereka mahukan adalah peluang untuk menonjolkan kemampuan dan kreativiti. Malangnya prejudis dan salah anggapan menyebabkan ramai OKU tercicir daripada pelbagai peluang yang disediakan.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengandaikan 10 peratus daripada jumlah penduduk di sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia tergolong OKU, walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pada dasarnya, kerajaan amat prihatin masalah OKU menerusi pelbagai perancangan teliti. Akta OKU diluluskan di Parlimen (Dewan Negara) pada 24 Disember 2007, diwartakan pada 24 Januari 2008 dan dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008.
Akta ini memberikan pengiktirafan hak OKU - peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat. Akta ini memperuntukkan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan kesejahteraan OKU.
Sejak pengisytiharan Tahun Antarabangsa OKU 1980 dan pelancaran The World Programme of Action Concerning Disabled Persons 1982, Malaysia turut memperkenalkan pelbagai polisi dan program untuk membaiki kualiti kehidupan OKU.
Bagaimanapun setiap dasar dan peraturan yang tidak diamalkan, bakal mengundang tanggapan sinis masyarakat. Pelaksanaan hampir tidak ada. Kehidupan OKU masih di bawah paras kemiskinan. Meskipun ada beberapa OKU berjaya dalam sektor tertentu, nisbahnya terlalu kecil berbanding mereka yang melarat.
Lihat saja di tepi jalan Chow Kit dan Jalan Masjid India, amat ramai warga cacat fizikal dan penglihatan merempat, mengemis dan mengharapkan simpati orang ramai.
Kerajaan melalui konsep 1Malaysia perlu lakukan sesuatu agar Akta OKU berfungsi untuk memberi peluang sama rata berdasarkan sistem merit, bukan kerana halangan fizikal. Jika Milton boleh muncul sebagai penyair dan seniman tersohor Britain kerana kebutaannya, kita juga ada Prof Datuk Dr Ismail Salleh (Allahyarham) yang handal pemikiran ekonominya. Kita juga ada Dr Chandra Muzafar yang bernas pemikiran sosialnya. Kita juga ada Dr Zulkifli Ahmad (politik) dan Nahmar Jamil (sastera). Mereka adalah segelintir insan OKU yang mencipta nama, di sebalik jutaan lagi yang tercicir dan menjadi marhaen di sisi tembok pembangunan negara.
Kempen kesedaran dan sikap bertanggungjawab untuk membantu OKU perlu dipupuk. Apalah gunanya mendakwa sebagai masyarakat penyayang, tetapi pada masa sama meletakkan kenderaan di petak yang disediakan untuk pemandu OKU.
Sehingga ini tiada peraturan khusus yang boleh menghukum mana-mana pesalah yang meletakkan kenderaan di petak OKU. Begitu juga kemudahan awam yang amat senang dicerobohi. Tandas OKU dimasuki sesuka hati, kenderaan awam tidak menyediakan kemudahan mengangkut kerusi roda, bangunan pejabat dan pusat beli-belah yang tidak mesra OKU dan prejudis sosial terhadap golongan cacat, menyebabkan usaha membentuk masyarakat minda kelas pertama tercabar.
Apa yang dialami Siti Huraizah tidak berseorangan. Masih ramai lagi OKU yang tidak mendapat tempat sewajarnya dalam masyarakat, walaupun mereka berkelayakan. Ada yang dinafikan peluang kenaikan pangkat kerana kekurangan fizikalnya. Ada juga yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana kerana penaja meragui kemampuan intelektual mereka.
Semuanya menuntut renungan pelbagai pihak. OKU masih terasing daripada impian masa depan yang indah di negara ini. - Berita Harian, 25 Disember 2009