Pages

Friday, August 30, 2013

Bashar ulangi nasib Saddam, Gaddafi

Amerika Syarikat (AS) atau Presiden Bashar al-Assad yang melepaskan senjata kimia terhadap pemberontak di Syria?

  AS dan sekutu Barat berkali-kali menuduh rejim Bashar  bertindak ganas bagi mengekalkan kuasa di Syria. Bagaimanapun Russia,  China dan Iran tidak yakin pemimpin Arab berkenaan mampu berbuat demikian kerana teknologi senjata kimia dikuasai Barat dan Israel.

  Lebih menimbulkan keraguan apabila tembakan senjata kimia berlaku di  daerah Douma - kawasan yang dikuasai pemberontak pro-AS sejak beberapa bulan lalu. Kawasan berkenaan juga dipantau pakar senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikatakan akrab dengan AS.

  Timbul keraguan  kawasan yang dianggap ‘milik’ AS boleh disabotaj oleh Bashar  untuk membunuh rakyatnya dengan senjata terlarang.

  Dulu Muammar Gaddafi (Libya) dan Saddam Hussein (Iraq) juga dikatakan menggunakan senjata kimia terhadap musuh mereka. Selepas meninggal dunia  beberapa tahun lalu, dakwaan penggunaan senjata kimia tidak dapat dibuktikan.

  Keadaan ini mungkin terjadi kepada Bashar sebagai alasan untuk menghalalkan pertumpahan darah lebih besar di negara Arab itu. Perkembangan yang berlaku di Douma memberi alasan AS mengganyang Syria seperti yang mereka lakukan di Vietnam, Afghanistan, Iraq dan Libya sebelum ini.

  Diplomat AS  dan sekutunya sudah memaklumkan kepada pemberontak Syria bahawa Barat boleh menyerang negara itu dalam tempoh beberapa hari dan diminta  bersedia untuk rundingan damai. Presiden Pakatan Kebangsaan Syria, Ahmad Jarba dilaporkan menemui wakil  11 negara yang menyokong pemberontak termasuk Duta AS  ke Syria, Robert Ford di Istanbul.

 Pada masa sama, Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel, mengarahkan  tentera AS di Asia Barat bersedia sementara Washington bersama sekutunya di Eropah dan Asia Barat menyediakan rancangan   menghukum  Bashar yang  didakwa melancarkan serangan gas beracun yang mengorbankan lebih 1,000 orang minggu lalu.

 Hanya China dan Russia yang sedang berusaha membuktikan Bashar tidak terbabit. Bayangkan jika Barat menyerang Syria dan dua kuasa besar komunis berkenaan melakukan penentangan terbuka? Mungkinkah Syria menjadi medan Perang Dunia Ketiga dan Iran yang menganut fahaman Syiah mengambil kesempatan untuk berdiri teguh di Asia Barat?

  Perkembangan di Syria mungkin mengubah percaturan politik dunia ketika Mesir juga belum stabil hingga memaksa rejim haram Yahudi di Tel Aviv meningkatkan kawalan keselamatan.

 Perdana Menteri Britain, David Cameron memanggil  mesyuarat tergempar Parlimen untuk membincangkan isu Syria. Presiden AS,  Barack Obama dan Presiden Perancis,  Francois Hollande berdepan  kemungkinan  serangan udara  dan  bersedia menyerahkan kuasa kepada pemisah Islam yang anti-Barat jika Bashar digulingkan.

  Dalam konteks politik,  Barat sengaja menggunakan alasan untuk menyerang Bashar yang dianggap memusuhi AS dan kuasa feudal Arab pro-Barat. Bashar meneruskan dasar ayahnya Hafiz al-Assad yang terkenal  sosialis ketika era Perang Dingin dan berkiblatkan Moscow sejak dekad 1960-an.

Usaha menggulingkan Bashar sebahagian   program menguasai Asia Barat ketika pemimpin Arab yang lantang seperti  Gaddafi  dan Saddam sudah tiada lagi.

 Perancangan menguasai Asia Barat bermula sejak 1948 apabila negara Arab yang dianggap berhaluan kiri melakukan serangan terbuka terhadap Israel. Barat bimbang Bashar berpotensi menyerang Tel Aviv dengan bantuan China dan Russia yang kini memerlukan perluasan kuasa politik dan minyak untuk perancangan ekonomi pasca 2020.

  Keadaan sama berlaku di Mesir apabila  Mohamed Morsi yang dipilih melalui proses demokrasi digulingkan oleh tentera  pro-Barat dan Israel.

Perkembangan di Syria dan Mesir membuktikan kebenaran  ungkapan ikon generasi muda, Ernesto Che Guevara di  Havana, Cuba  pada  16 April 1967:  “...satu, dua,  tiga... Vietnam!” Ertinya perang terbuka terhadap kuasa imperialis akan berterusan dan gerakan ‘tamarod’ sebahagian daripada inspirasi generasi muda Arab untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman kuasa asing.

  AS atau Bashar mungkin lebih mengetahui siapa menggunakan senjata kimia yang menyebabkan ribuan terbunuh di Syria sekarang! - Berita Harian, 30 Ogos 2013

Thursday, August 29, 2013

Khalid Samad vs Haji Hadi


Pengaruh Anwar dibimbangi ancam golongan ulama PAS.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mendakwa difitnah secara terbuka oleh ahli PAS apabila beberapa kenyataan terbuka tidak sehaluan dengan individu tertentu dalam parti.

 Khalid adalah tokoh PAS yang tidak membawa imej ulama seperti beberapa pemimpin di Pantai Timur dan utara Semenanjung. Beliau juga dianggap bayangan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam PAS, sekali gus boleh mencabar imej ulama yang dipertahankan sejak 1950-an.

  Unsur fitnah semakin ketara sehinggakan beberapa ungkapan yang tidak sepatutnya muncul dalam kalangan ahli PAS sendiri. Khalid mendedahkan dalam blog beberapa poster yang menjejaskan wibawa sebagai pemimpin PAS di Selangor.

 PAS sepatutnya lebih aman tanpa kelibat Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa yang sebelum ini dianggap duri dalam daging kepada parti itu tetapi keadaan sebaliknya berlaku menjelang  Muktamar Tahunan Ke-59 pada 22 hingga 24 November ini di Selangor apabila parti berkenaan terus bergolak.

 Dakwaan percubaan  menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden semakin lantang kedengaran sehingga menimbulkan  persaingan sengit   antara golongan ulama dan profesional dalam PAS.

Walaupun Hasan dan Nasharudin bukan lagi   dalam saf kepemimpinan, parti berkenaan kekal bergolak untuk mencari hala tuju baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

 Lebih memeranjatkan ada individu yang rapat dengan Hadi bimbang Khalid akan menjejaskan reputasi  pemimpin utama  PAS.   Mereka mempersoalkan perlukah PAS masih mendakwa memperjuangkan negara Islam, sedangkan manifesto pilihan raya mereka sekadar memperjuangkan negara berkebajikan.

  Sejak PRU-12 pada 8 Mac 2008, PAS menjaga hati sahabat dalam pakatan pembangkang terutama DAP yang tidak mahu isu negara Islam diperbesarkan. Pengerusi DAP, Karpal Singh secara terbuka mencabar mana-mana pihak yang cuba memperjuangkan negara Islam supaya melangkah mayatnya terlebih dulu.

PAS juga dituduh menjejaskan kemenangan pakatan pembangkang apabila membabitkan pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan  dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini termasuk di  Dewan Undangan Negeri (DUN)  Kota Damansara pada PRU-13 lalu. Penyertaan tiga penjuru menyebabkan  calon Barisan Nasional (BN), Halimaton Saadiah Bohan menang 16,387 undi,  manakala calon PKR, Mohd Nasir Hashim  14,860 undi dan calon PAS, Ridzuan Ismail, 7,312 undi.

  PKR dijangka  menang di kawasan berkenaan jika tidak membabitkan pertandingan tiga penjuru. Malangnya  kerana agenda peribadi pihak tertentu dalam PAS, pakatan pembangkang kehilangan kerusi yang dimenangi pada 2008.

 Isu Kota Damansara sehingga kini masih menjadi perdebatan dalam pakatan pembangkang. Khalid secara terbuka mempertikai semangat setia kawan.  Beberapa tokoh dalam PKR juga tidak senang dengan imej ulama individu tertentu yang merugikan perjuangan pembangkang.

 Pengaruh Hadi dalam parti sering dipertikai ahli sendiri, namun mereka tidak mempunyai saluran untuk menyuarakan bantahan. Sejak menerajui PAS pada 2003,  Hadi sering dibayangi Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah, dalam muktamar parti, Nik Aziz sering menjadi rujukan ahli kerana kepakaran siasah beliau mentadbir Kelantan selama 23 tahun.

 Hadi pernah mentadbir Terengganu pada 1999 hingga 2004. Malangnya banyak isu  ditimbulkan di Kuala Terengganu menyebabkan BN kembali berkuasa.

  Sehingga kini imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam masih kabur. Mereka gagal bersuara dalam isu kalimah Allah yang cuba digunakan penganut Kristian  dalam  Bible versi Melayu. 

Sejak 1951, PAS dikenali parti yang komited dengan perjuangan Islam. Pemimpin terdahulu dikenali ramai kerana adunan keilmuan Islam dan tradisi membela Melayu.  Ahmad Fuad  Hassan (1951–1953) bukan sekadar ulama, ustaz, juga pejuang yang ikut berwacana mengenai kemerdekaan.  Dr  Abbas  Illias (1953–1956),  Dr Burhanuddin Al-Helmi (1956–1969),    Tan Sri Mohd Asri  Muda (1969–1982), Yusof  Rawa (1982–1989) dan  Datuk  Fadzil  Mohd Noor (1989–2002) mempunyai sejarah tersendiri dalam perjuangan politik Islam.

 Pemilihan Hadi sebagai Presiden pada 2003 diharap membawa PAS lebih cemerlang. Malangnya polemik kian hangat ketika  semakin  ramai profesional menjadi ahli parti.  Ada ustaz dan tok guru yang rasa terancam dengan kehadiran golongan   dianggap sekular! - Berita Harian, 29 Ogos 2013

Tuesday, August 27, 2013

Kemerdekaan bukan sekadar perayaan tanpa jiwa

Laungan kemerdekaan perlu berlandaskan
kejujuran memartabatkan maruah bangsa.
Hanya empat hari lagi kita bakal merayakan 56 tahun kemerdekaan. Sejak 31 Ogos 1957, sudah banyak yang kita kecapi dan pelbagai pengalaman dialami rakyat Malaysia.

  Persoalannya sejauh mana kita mempunyai perasaan cintakan negara dan menghargai kemerdekaan? Apakah dengan menyanyi lagu Negaraku sudah menggambarkan semangat patriotik? Apakah dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada bangunan dan kenderaan menggambarkan kita amat mencintai Malaysia?

  Hari ini isu kaum dan agama mudah menyentuh sensitiviti massa. Berita murid makan di bilik persalinan sekolah pun sudah mampu mengundang kemarahan sesetengah pihak sehingga ada yang tergamak berkumpul di pintu pagar sekolah. Di manakah nilai kontrak sosial yang selama ini dipersetujui, tiba-tiba sudah ada tangan kotor yang melunturkan?

  Kita mungkin megah menjerit ‘merdeka’ berulang kali. Sambutan kemerdekaan, perarakan kereta berhias, demonstrasi jet pejuang dan ucapan pemimpin yang sudah menjadi klise, sekadar ulang tayang apa yang berlaku sebelumnya.

  Namun, ramai yang semakin berani menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Islam perlu dihormati sebagai Agama Persekutuan dan mana-mana pihak tidak wajar mencalar kesucian agama yang diturunkan Allah SWT itu. Tidak wajar menghina agama lain dengan pelbagai citra buruk di media baru.

  Kesabaran kita terus diuji dengan paparan bak kut teh ketika Ramadan lalu serta kalimah Allah yang tiba-tiba mahu disebut oleh penganut agama lain.

Betapa rapuhnya nilai kemerdekaan apabila isu agama dan kaum mudah membawa sengketa sedangkan kontrak sosial menghargai kedudukan Melayu sebagai penghuni asal wilayah ini dan pihak lain sekadar menumpang untuk menyambung hayat.

  Lupakah mereka betapa unsur perkauman boleh mengundang padah dan kesan buruk seperti tragedi 13 Mei 1969 yang tidak wajar diulangi lagi. Malangnya sejak kebelakangan ini usaha mencetuskan ketegangan semakin kerap didendangkan. Lebih malang apabila isu kaum dan agama dibawa ke pentas politik yang akhirnya menular menjadi bara yang menakutkan.

  Kemerdekaan bukan sekadar mengusir penjajah dari tanah jajahan, bahkan menilai sejauh mana bekas tanah jajahan mampu berdikari, berpendapat dan bertindak sebagai bangsa merdeka. Sejak 1511, kita mengalami pengalaman perit dijajah pelbagai kuasa asing. Kita mempunyai pengalaman pahit di bawah pentadbiran Jepun, Inggeris dan ancaman darurat.

 Kita harus bersedia bangkit untuk menilai diri menjadi bangsa maju menjelang 2020. Takrif kemajuan harus dilengkapi kejayaan kerohanian, semangat perjuangan dan kekuatan intelektual.
  Bangsa yang benar-benar merdeka tidak sekadar memiliki kekuatan ekonomi dan kewangan, bahkan mempunyai imej kebebasan yang menyuburkan nilai kemanusiaan. Kita harus mempunyai mentaliti negara maju jika mahu dihargai.

  Pembangunan prasarana seharusnya dilengkapi budaya penyelenggaraan terbaik. Kemajuan fizikal bukan sekadar mendirikan bangunan agam tapi kosong jiwa penghuninya. Lebih penting bangsa merdeka harus mampu membebaskan dirinya daripada cengkaman pihak lain.

  Kita wajar berdikari dari segi kewangan dan perdagangan serta tidak menjadi hamba kuasa besar yang memperkenalkan dasar perlindungan ekonomi untuk kepentingan mereka sendiri. Pelbagai bentuk perjanjian perdagangan yang boleh merugikan perlu dihindari kerana kesilapan kita sekarang memberi kesan kepada generasi akan datang.

  Kepelbagaian agama, bangsa, cara hidup dan sejarah memberi makna terhadap Malaysia. Kemerdekaan yang kita capai sepatutnya dihargai dengan pengorbanan dan perjuangan. Setiap pihak wajar meletakkan kepentingan negara di paksi tertinggi kerana hanya Malaysia yang menjadikan kita dihargai negara lain.

  Perjuangan Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Guru Peramu dan Mat Salleh perlu dikaji dalam usaha membentuk Malaysia merdeka.

  Pejuang yang tidak dikenang dalam sejarah hayatnya perlu dihargai betapa semangat mereka menjadi iltizam demi masa depan Malaysia. Mereka yang berjuang kerana cintakan negara tentunya tidak dapat menerima filem The New Village yang menggambarkan perjuangan komunis di Tanah Melayu.
 Untuk selamanya, kita tetap yakin hari kemerdekaan bukan perayaan tanpa jiwa. Kita merdeka kerana  kebebasan jiwa dan minda. - Berita Harian, 27 Ogos 2013

Thursday, August 22, 2013

Barat pengaruhi krisis pembunuhan di Mesir

Mesir sudah empat kali berperang dengan Israel.
Krisis dalam negara melegakan AS kerana negara
Yahudi berkenaan tidak lagi diancam mana-mana kuasa Arab.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel tentunya lega kerana kuasa tentera terbesar di semenanjung Arab sedang bergolak. Mesir yang selama ini ditakuti kerana kemampuan mengancam  Tel Aviv pada 1948, 1956, 1967 dan 1973  kini menghadapi krisis politik, kemanusiaan dan demokrasi yang luar biasa.

Sejak tentera pimpinan Mejar Jeneral Abdel-Fatah el-Sissi merampas kuasa pada 3 Julai lalu, demokrasi sudah berkubur dan darah mewarnai Kaherah. el-Sissi dikaitkan dengan perancangan Zionis.  Ribuan jiwa  sudah terkorban dan hampir sejuta umat Islam cedera, kehilangan tempat tinggal, menganggur dan menghadapi ibadat Ramadan serta Syawal  dalam kedukaan.

Menepati agenda Yahudi untuk menghancurkan sesebuah negara dari dalam, apa yang berlaku di Mesir  adalah agenda terancang untuk menghancurkan kuasa Arab yang berpengaruh.
Ketika banyak negara  Arab feudal dan konservatif mendiamkan diri, pembunuhan di Mesir bukan sekadar meranapkan pengaruh Ikhwanul Muslimin dan  Mohamed Morsi, tapi mengekalkan keselamatan Israel di tengah rantau Arab.

Inilah peranan sebenar yang dimainkan Zionis  bagi memastikan Mesir terus bergolak kerana mereka bimbang kejatuhan Hosni Mubarak yang dianggap sekutu Yahudi boleh mengubah struktur peta Asia Barat dan Utara Afrika. AS bimbang perubahan politik yang berlaku di Tunisia, Libya dan Mesir boleh mendorong kebangkitan Arab menentang kuasa sekular. Lebih membimbangkan pergolakan di Syria belum menampakkan noktah apabila Russia, China dan Iran dikaitkan sebagai kuasa di sebalik kekuatan rejim Bashar al Assad.

Barat menganggap Mesir sebagai satelit yang bakal menentukan perimbangan kuasa di rantau Arab. Kekuatan tentera, kemudahan logistik dan geografi memungkinkan Mesir menjadi medan melancarkan serangan terhadap Israel. Lebih membimbangkan generasi muda Arab mungkin menggunakan pengaruh politik pada masa akan datang, sekali gus mengikat negara Arab   bersatu menyerang kerajaan haram di Tel Aviv.

Dari segi sejarah, pembinaan  Terusan Suez  pada 1869 menjadikan Mesir sebagai pusat perhubungan dan pengangkutan sedunia. Pertikaian antara kerajaan Uthmaniyyah dan British mendorong  pengambilan kawasan Mesir oleh British pada 1914. British melantik Husayn Kamil sebagai Sultan Mesir.

 Akibat gerakan nasionalis yang hebat, British mengisytiharkan kemerdekaan Mesir pada 22 Februari 1922. Kerajaan baru ditubuhkan dan bersifat raja berperlembagaan.
Pada 1948, Mesir mengetuai beberapa negara  Arab menyerang  Israel tetapi kalah. Golongan nasionalis yang tidak puas hati  menggulingkan institusi beraja pada 1952 menerusi  Revolusi Mesir dan mengisytiharkan Republik Arab Mesir pada 1953.

 Gamal Abdel Nasser menjadi Presiden Republik pada 1954 dan mengisytiharkan kemerdekaan penuh daripada British. Tindakan Abdel Nasser memilik negara Terusan Suez pada 1956 membangkitkan kemarahan British  dan Perancis,  mengakibatkan konflik tentera, iaitu Krisis Suez. Dalam Perang Enam Hari 1967, wilayah Mesir, iaitu Semenanjung Sinai dan   Gaza ditakluk oleh Israel.

Ketegangan sempadan di antara Mesir dan Israel menjadi sebahagian daripada agenda penyelesaian krisis Asia  Barat.  Abdel Nasser meninggal dunia pada 1970 dan digantikan oleh Anwar Sadat.
 Pada 1973, Mesir dan Syria melancarkan Perang Yom Kippur bagi mendapat balik wilayah Semenanjung Sinai dan Bukit Golan. Campur tangan AS  dan Kesatuan Soviet berjaya memulakan gencatan senjata.

Pada 1977, Sadat menandatangani perjanjian damai dengan Israel untuk mendapatkan balik Semenanjung Sinai. Tindakannya mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Arab di dalam dan luar Mesir. Pada 1981 Sadat  dibunuh dan digantikan  timbalannya  Mubarak sehingga ditumbangkan pada 2011.

Mubarak dan el-Sissi mempunyai hubungan rapat dengan tentera darat --- cabang terbesar dalam Angkatan Tentera Mesir. Kekuatannya dianggarkan   468,000 orang, selain  480,000 anggota simpanan.  Pada 1991, tentera  Mesir yang diasuh AS  terbabit dalam   Desert Storm  (Operasi Ribut Padang Pasir) untuk membebaskan Kuwait daripada  pendudukan Iraq. Kita yakin pengaruh AS dan Zionis masih aktif bagi memastikan Mesir terus lumpuh demi keselamatan negara haram Israel.

Amat malang negara Arab di sekeliling Mesir masih mendiamkan diri. Liga Arab tidak melakukan apa-apa. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) belum bersuara ketika darah semakin deras mengalir. Morsi mungkin tiada peluang berkuasa lagi, tapi kekejaman dan kezaliman menjadi saksi sejarah yang tidak bisu. - Berita Harian, 22 Ogos 2013

Wednesday, August 21, 2013

100 hari tiada apa-apa di Kelantan

STADIUM dibina Mac... Mac tahun 2020 atau 2030?
 Rakyat Kelantan masih menanti perubahan yang bakal dibawa pentadbiran PAS sekarang, tapi semuanya masih misteri. Lebih 100 hari pentadbiran Datuk Ahmad Yaakob, keadaan di Kelantan tidak banyak berubah. Dulu pernah dicanangkan Lebuh Raya Rakyat (LERAK) oleh Datuk Husam Musa, kini lenyap selepas beliau tidak terpilih sebagai ahli EXCO.

  Pentadbiran Datuk Nik Aziz Nik Mat  pernah meriuhkan isu pembinaan Bandar Sukan Bukit Merbau yang kononnya membabitkan pembinaan stadium sukan bertaraf antarabangsa dan dilengkapi sebuah masjid yang boleh memuatkan ribuan jemaah. Sehingga kini projek berkenaan sepi selepas Mursyidul Am PAS tidak lagi memegang kuasa. Apakah projek berkenaan sudah berkubur dan dulu sekadar gimik murahan untuk pancing undi semata-mata?

  Kita hairan kenapa PAS tidak meneruskan projek berkenaan sedangkan rakyat Kelantan terkenal dengan sokongan kuat terhadap pasukan bola sepak The Red Warriors (TRW) yang menyaksikan tahun lalu membolot semua piala utama dalam Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

  Di mana-mana saja di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, jersi dan kemeja-T pasukan bola sepak Kelantan dipakai oleh penduduknya tanpa mengira majlis. Ini menggambarkan sokongan padu daripada penduduk terhadap pasukan bola sepak negeri, tapi malangnya mereka diberi harapan palsu apabila sebuah stadium yang kononnya serba lengkap sekadar kempen politik.

  Selama 23 tahun pentadbiran PAS di Kelantan, tidak banyak program pembangunan yang boleh memberi rahmat kepada rakyat. Penduduk Kelantan mengharapkan negeri berubah kerana sebagai wilayah yang dianggap serambi Makkah, perubahan harus berlaku dan menjadi contoh kepada negeri lain yang kononnya ditadbir golongan sekular.

  Malangnya ceramah politik lebih banyak berbanding  projek pembangunan untuk rakyat. Tazkirah Maghrib yang hampir setiap malam berlangsung di seluruh negeri sekadar menceritakan kejayaan Islam zaman silam di Asia Barat, Eropah dan Asia Tengah, tapi tidak dipraktikkan oleh pentadbiran yang ada sekarang.

  Lebih mengaibkan polemik  antara Husam dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah masih berlanjutan. Bukan sekadar pembinaan  lebuh raya yang tidak mengikut perancangan, bahkan Nik Mohd Amar bagai mendedah helah sebenar punca pembinaan tertangguh. Kononnya kerajaan negeri masih pada peringkat penilaian oleh perunding baru.

  Jika dulu sudah gembar-gembur kononnya LERAK sudah dibina secara berperingkat, tapi kini masih peringkat kajian dan penilaian. Kenyataan siapa yang boleh dipakai sekarang – Husam atau Nik Mohd Amar?

  Isu terbaru yang menjadi polemik ialah pembinaan ratusan unit pangsapuri mewah di Tunjung, Seri Cemerlang, Jalan Hamzah dan di beberapa tempat strategik. Kononnya projek berkenaan dibina secara usaha sama syarikat kerajaan negeri dan swasta. Persoalannya siapa di sebalik perancangan projek berkenaan dan pihak swasta mana yang bakal mendapat manfaat?

  Sejarah politik PAS di Kelantan tidak pernah lekang dengan pergolakan dan salah guna kuasa. Era Tan Sri Asri Muda pernah dikaitkan isu pembalakan di Gua Musang menyebabkan berlaku krisis politik pada 1977 yang membawa konflik kumpulan 20 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

 Krisis berpolitik menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri digantung dan Kerajaan Pusat ketika pentadbiran Tun Hussein Onn terpaksa mengisytiharkan perintah berkurung di Kota Bharu dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mentadbir Kelantan.

  PAS kalah teruk apabila hanya menang dua kerusi pada pilihan raya khas negeri pada 1978 yang memberi laluan kepada UMNO dan Barisan Nasional mentadbir Kelantan sehingga 1990.

  PAS menerusi kerjasama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) mentadbir  semula Kelantan pada 1990 hingga kini. Imej ulama dan hidup sederhana Nik Aziz tidak mampu membenamkan kritikan terhadap isu balak di hulu Kelantan. Penerokaan tanah di Lojing dan penguasaan balak menjadikan cerita 1977 berulang pada 2011 apabila banyak kawasan yang sebelumnya dilindungi, tapi diceroboh secara rakus.

  Bagi kebanyakan rakyat Kelantan, pembangunan perlu diteruskan walaupun sengketa politik dalam kalangan ahli PAS tidak dapat dibendung. 

  Taraf hidup perlu dipertingkatkan, tapi yang paling penting generasi muda memerlukan peluang pendidikan dan pekerjaan. Apa guna berpolitik, jika kalangan penyokong sendiri tidak cukup tanah untuk bercucuk tanam atau penduduk pantai yang menghadapi ancaman hakisan ombak tanpa tindakan sewajarnya dari kerajaan negeri. Kerajaan Pusat pula jangan lupakan rakyat Kelantan dan perlu membantu menjayakan pembangunan yang gagal dilakukan kerajaan negeri. - Berita Harian, 21 Ogos 2013

Tuesday, August 20, 2013

Citra Melayu tercabar sepanjang Aidilfitri

Tradisi rumah terbuka era sekarang berbeza
 sambutan dalam masyarakat Melayu tradisional.
Klise Melayu yang diulang tayang setiap Syawal - bermaaf-maafan, bersalam-salaman dan balik kampung untuk beraya bersama keluarga dan sahabat handai.  Setiap lebaran menjelma, cerita balik kampung sentiasa menjadi bualan. Seolah-olah tiada raya jika tak balik kampung. Lebih utama  bagi wanita, raya tidak sah jika kuih raya tidak banyak ditempah, langsir tidak berganti.

  Bagi lelaki pula persoalan paling utama adalah bajet servis kenderaan, minyak kereta, bayaran tol dan pelbagai langkah keselamatan jika berlaku kecemasan di perjalanan. Kemeriahan raya diraikan bersama telefon pintar yang belum tentu kepintaran dimiliki penggunanya.

  Tidak salah balik kampung ketika perayaan, begitu juga bermaafan sesama insani pada hari yang mulia. Ramadan dan Syawal adalah detik untuk menginsafi dan merapatkan hubungan manusiawi. Balik kampung adalah mengembalikan detik lampau dan kesegalaan yang ditinggalkan sepanjang pengembaraan usia. Tradisi bermaafan adalah mendekatkan diri pada yang jauh dan melupakan sengketa silam bagi memurnikan hubungan insani.

  Pada era yang serba tangkas sekarang, sikap toleransi dan bermaafan hampir pupus. Tidak banyak ungkapan maaf dihulurkan, hatta dalam kesibukan trafik di jalanan  kerana masing-masing mahu cepat dan tergesa. Jarang yang mengucapkan terima kasih kepada pemandu lain yang memberi laluan kepada kita ketika kesesakan.

  Jarang juga yang mengucapkan terima kasih pada hal yang dianggap remeh seperti kepada penjaga lif yang memberi laluan kepada kita menggunakan kemudahan awam. Jarang juga yang melontarkan senyuman kerana kesibukan moden menjadikan individu semakin kaku dan lebih terurus kepada kerjaya. Jarang juga kita mengenal wajah jiran di kawasan perumahan, apatah lagi mengenali nama mereka untuk saling menghulur juadah berbuka puasa  atau menjadi tamu pada penghujung  Syawal.

  Apakah jiwa kita semakin lembut dan pasrah pada hari raya saja? Apakah kemaafan dan saling bersalaman hanya untuk Syawal dan kita kembali kaku, bisu dan menjadi robot  apabila Aidilfitri berlalu?

  Tradisi balik kampung begitu ketara sejak empat dekad lalu. Kejadian 13 Mei 1969 mengundang penghijrahan Melayu secara besar-besaran untuk meneruskan kehidupan di kota besar seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Dasar Ekonomi Baru (DEB) membawa Melayu membentuk kawasan urban, sekali gus menceburi bidang yang tidak pernah difikirkan oleh moyang sendiri.

  Pada dekad 1980-an, istilah Melayu baru muncul dengan kepelbagaian tafsiran. Sektor korporat dan politik saling membantu sekali gus membentuk citra Melayu baru yang walaupun mempunyai wajah yang serupa dengan mereka di desa, tapi mempunyai cita-cita dan kecenderungan berbeza. Melayu baru mengundang kehidupan berlainan dan kota menjadi desa mereka dengan segala suka dan dukanya.

  Di kota, Melayu bernostalgia zaman lampau, sekali gus merangka tradisi balik kampung menjelang lebaran. Di kota juga mereka mula memahami erti gotong-royong yang kian terpinggir dan pengertian kemaafan yang kian menjauh.  

  Kini minggu kedua Syawal yang disulami majlis rumah terbuka Aidilfitri. Ia menjadi budaya baru di bandar besar apabila tetamu dirai dengan juadah dan hubungan dimesrakan dengan salam perkenalan yang erat. Secara luarannya ia mengambil tradisi lama yang sudah wujud dalam masyarakat Melayu tradisional apabila kunjung mengunjung berlaku secara rela bagi merapatkan silaturahim.

  Malangnya majlis terbuka di kota besar berubah wajah apabila tetamu yang diundang saja boleh menghadiri sesuatu majlis. Tanpa undangan, majlis berkenaan bukan milik anda. Semangat dan setia kawan yang dimiliki Melayu lampau dicabar oleh suasana baru apabila kelas sosial menjadi pendinding yang menghalang hubungan murni.

  Tanpa disedari  majlis rumah terbuka yang ada sekarang lebih bersifat mengutamakan insan yang dirasakan paling dekat dan menjauhkan mereka yang kurang diperlukan. Kepentingan peribadi diutamakan. Falsafah rumah terbuka yang wujud pada zaman lampau sudah diberi tafsiran baru apabila ia lebih mengutamakan tetamu yang diundang semata-mata.

  Keadaan ini tidak memeranjatkan kerana tradisi  diubah oleh persekitaran dan keperluan semasa. Melayu baru yang dicetuskan di pentas siasah mengubah citra kehidupan, sekali gus mencabar nilai sebenar konsep kemelayuan.

  Justeru, tradisi balik kampung dan klise salam kemaafan sekadar nostalgia kepada zaman yang sudah tiada. Kampung halaman juga sudah berubah dan mustahil untuk kita mengekalkannya seperti era lampau. Perubahan waktu dan keadaan memaksa kita lebih merindui sesuatu yang tidak mungkin dimiliki lagi.  Aidilfitri sebahagian daripada citra kerinduan Melayu kepada warisannya yang semakin terhakis. - Berita Harian, 20 Ogos 2013 

Monday, August 19, 2013

AS takut pengaruh China

Kekuatan  tentera China menyaingi pengaruh Amerika
Syarikat, sekali gus mewujudkan Perang Dingin era baru.
 Mampukah China mengatasi Amerika Syarikat (AS) menjelang 2020? Persoalan ini menjadi perhatian umum kerana persaingan terbuka dua kuasa besar dunia bukan saja dari segi politik dan ekonomi, bahkan isu ketenteraan dan personaliti.

 Tentera China dianggap  ancaman di Laut China Selatan hingga mendorong beberapa negara yang terbabit dalam perebutan pulau   mengadu kepada AS mengenai keselamatan mereka.

  Media Barat melaporkan kekuatan tentera China memberi ancaman terhadap kestabilan Asia Timur dan Asia Tenggara.

  Isu Pyongyang yang memuncakkan pertelingkahan di Semenanjung Korea membabitkan persaingan terbuka China dan AS yang masing-masing berada di belakang Korea Utara dan Korea Selatan.

  Personaliti dua pemimpin utama kedua-dua negara  bukan sekadar membandingkan ketokohan China dan AS sebagai pemimpin dunia, malah isteri mereka juga menjadi perhatian ramai.

 Wanita pertama China, Peng Liyuan, buat tahun kedua mengalahkan wanita pertama AS,  Michelle Obama, dalam senarai penampilan pakaian terbaik antarabangsa majalah fesyen, Vanity Fair. Majalah berkenaan dalam galeri foto mengiktiraf Peng kerana pakaian yang dianggap menepati aliran semasa.

 Media menyiarkan tajuk ‘Peng Liyuan atasi Michelle Obama’.  Penduduk China menganggap Peng  ibu kepada rakyat.  “Akhirnya China memiliki wanita pertama yang mendapat pujian penduduk seluruh dunia,” tulis blogger China yang berdaftar di Hebei.

   Kemunculan Peng yang sering dilihat dalam lawatan rasmi ke luar negara  memecah tradisi kerana isteri pemimpin tertinggi China biasanya tidak tampil di khalayak.

  Peng memainkan peranan penting dalam perhubungan awam yang digerakkan suaminya, Presiden Xi Jinping. Beliau juga  wanita pertama kedua dalam sejarah China tersenarai dalam pakaian terbaik  Vanity Fair.  Kali pertama 70 tahun lalu adalah Soong May-ling, isteri Presiden Nasionalis China, Chiang Kai-shek, yang kemudian melarikan diri bersama suaminya ke Taiwan selepas kekalahan kepada Parti Komunis China.

  Imej wanita utama ditonjolkan sebagai gambaran kebangkitan China pasca Perang Dingin.  China dijangka menguasai ekonomi dunia menjelang 2020, sekali gus mengekalkan perimbangan kuasa    antara demokrasi dan sosialis demokratik dalam percaturan politik global.

  Dengan penduduk  1.5 bilion daripada tujuh bilion warga dunia, China menguasai pasaran buruh yang mampu melonjakkan ekonomi serantau, berbanding penduduk Kesatuan Eropah (EU) berjumlah 456,285,8391 dan AS, 310,311,200. EU menghadapi krisis kewangan yang sukar ditangani sekarang dan AS pula berdepan kesan ekonomi berikutan kedudukan dolar  tidak stabil.

  Kehadiran China secara langsung dalam pergolakan politik Asia Barat dan Utara Afrika berikutan krisis Arab Spring menjadikan Beijing menjadi tumpuan di belakang tabir Syria dan Iran.

   Oktober ini negara berkenaan  akan  memperingati ulang tahun revolusi  ke-64. China tidak pernah menjadi kuasa politik dan sejarah silamnya yang kelam akibat penjajahan kejam Jepun  menjadi memori  selepas Perang Dunia Kedua. Revolusi 64 tahun  negara besar dunia ini adalah  realiti baru dan buat pertama kali  dianggap sebagai negara kuasa besar.

  China mula membangun sejak  1978 melalui sektor  sains dan teknologi  yang didorong oleh kepentingan ketenteraan. Pembangunan ini bermula sejak zaman pemerintahan Mao Zedong. Mao menginginkan pembangunan ketenteraan yang kuat mengatasi segala-galanya. Projek ketenteraan inilah yang menjadi tulang belakang dasar Deng Xiao Ping untuk mempelbagaikan ekonomi  yang bukan hanya tertumpu pada sektor pertahanan, tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat umum.

 Konsep Deng yang mengandungi 16 garis panduan pada  awal 1980-an dengan jelas   mengintergrasikan pertumbuhan sektor ketenteraan dan rakyat awam dengan memastikan keperluan ketenteraan dipenuhi, mempertahankan kemampuan ketenteraan dan menggunakan ekonomi awam dalam usaha memodenkan ketenteraan.

  Cita-cita berkenaan meletakkan AS dan sekutu di Eropah bimbang kebangkitan China bakal menggantikan ancaman Soviet Union ketika era Perang Dingin. Lebih membimbangkan hampir 310 juta kaum Cina di seberang laut menguasai pelbagai sektor ekonomi. Mereka lazimnya kurang setia kepada negara semasa kerana mahu menggunakan kekuatan ekonomi untuk menguasai politik.  - Berita Harian, 18 Ogos 2013

Thursday, August 15, 2013

Pak Lah bangkit daripada tidur

PAK LAH cerita masalah tidur dan perasaan
terhadap Tun Dr Mahathir.
Masyarakat jarang menyebut nama Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah sejak bersara pada 2009 berbanding  Tun Dr Mahathir Mohamad. Namanya disebut semula  apabila buku 'Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia' diterbitkan.

Ada yang mendakwa Pak Lah bersubahat dengan pembangkang untuk mengkritik pemimpin  kerajaan sekarang dan Dr Mahathir. Pak Lah  menafikan  beliau menulis, menaja atau meminta supaya buku diterbitkan. Beliau  sekadar  diwawancara oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh atas prinsip keterbukaan demi perdebatan seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan.

Justeru, beliau meminta agar tiada pihak membuat andaian bahawa buku ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah bersubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri.

"Itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang dimuatkan dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat.

"Saya tidak pernah meninggalkan UMNO dan insya-Allah apabila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir  di dunia ini  sebagai ahli UMNO  yang cintakan negaranya," katanya.

Pak Lah hanya terbabit dalam satu wawancara pada 2011 yang lebih kepada menjawab  soalan yang dibangkitkan oleh penulis dan memberi ruang kepada beliau untuk menjelaskan beberapa perkara.
Bagaimanapun Pak Lah tak boleh lepas tangan kerana buku berkenaan boleh menimbulkan perdebatan terbuka. Kenapa buku  diterbitkan ketika UMNO bakal menghadapi perhimpunan agung? Kenapa buku terbit ketika Barisan Nasional (BN) hanya menang 133 kerusi daripada 222 kawasan Parlimen?

Apakah Pak Lah mahu membuktikan dirinya lebih baik kerana pada Pilihan Raya Umum 2008 BN menang 140 kerusi berbanding 133 kerusi pada 5 Mei lalu? Apakah Pak Lah mahu buktikan pencapaian BN lebih baik ketika pentadbiran beliau berbanding sekarang?

Pencapaian pakatan pembangkang juga semakin meledak setiap tahun. Ketika Pilihan Raya Umum 2004, pembangkang hanya menang 21 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi sekarang. Apakah niat sebenar di sebalik  penerbitan buku berkenaan?

Kita yakin  Awakening, the Abdullah years in Malaysia bakal mengundang kritikan  Dr Mahathir. Pengakuan Pak Lah yang menghadapi  masalah kesihatan ‘sleep apnea’ mengundang serangan terhadap Dr Mahathir. Pak Lah mengaku menghadapi masalah mengawal tidur dan hal berkenaan sudah dimaklumkan kepada Dr Mahathir. Malangnya bekas Perdana Menteri keempat itu seakan tidak mahu menerima hakikat penyakit yang dialami oleh Pak Lah.

"Saya memberitahu Dr Mahathir keadaan saya, jadi untuk beliau mengatakan saya tertidur kerana tidak berminat dengan tugas tidak patutlah," kata Pak Lah dalam satu kenyataan.

Pak Lah mendakwa jika  beliau mengikut kehendak dan tekanan  Dr Mahathir supaya berbelanja tanpa kawalan dan meneruskan projek mega, Malaysia pasti muflis.

Kenyataan Pak Lah dalam buku berkenaan mengundang tafsiran pergolakan masih wujud dalam UMNO. Kesan pentadbiran Dr Mahathir dalam parti dan kerajaan selama 22 tahun masih menghantui situasi politik semasa.

Pak Lah yang selama ini mendiamkan diri sudah menyatakan pendirian peribadi bahawa setiap pemimpin perlu dibenarkan berdikari dan mencorakkan hala tuju parti dan negara. Bekas pemimpin tidak perlu mengganggu pentadbiran semasa. Biarkan tokoh yang ada sekarang mentadbir negara dengan wajar bagi membantu kejayaan Malaysia pada masa akan datang.

Sejarah kepemimpinan UMNO sentiasa kaya dengan kepelbagaian. UMNO tentunya berbangga kerana mempunyai tokoh berpandangan jauh seperti Tun Abdul Razak Hussein. Razak terkenal melahirkan pemimpin pelapis berwibawa seperti Dr Mahathir, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Ghazali Shafie. kewibawaan mereka boleh mentadbir negara dengan cemerlang dan membantu BN mengekalkan integriti dalam kalangan rakyat. Keadaan berubah sejak 1982 apabila penyisihan dalam parti menyebabkan banyak tokoh yang diasuh  oleh Razak mula kehilangan tempat dalam parti dan kerajaan. Pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO di antara Musa dan Tengku Razaleigh pada 1982 dan 1984 adalah perancangan halus yang akhirnya memberi kesan kepada parti hingga kini.

Pak Lah tentunya memahami masalah UMNO bukan sekadar penyakit tidur yang dihadapinya, bahkan unsur penyisihan tokoh berwibawa menyebabkan parti semakin dicabar.
Isu yang berlaku sekarang bukan sekadar Pak Lah dan Dr Mahathir. Cabaran sebenar adalah memulihkan UMNO sebagai parti untuk rakyat dan dari rakyat! - Berita Harian, 15 Ogos 2013 

Tuesday, August 13, 2013

Kelemahan kita punca mereka biadab

Ada yang mendewakan Malaysia negara Islam contoh. Islam pragmatis. Islam berdaya maju. Kita juga terkenal kerana penerapan nilai Islam dan kini dengan pendekatan wasatiyah. Sebelum ini, kita juga dikenali kerana konsep Islam Hadhari.

ANJING sebahagian daripada
isu bulan Ramadan 2013
 Islam memang agama syumul - bersifat menyeluruh dan sempurna. Undang-undang Islam bersifat universal dan sesuai untuk semua zaman. Namun, Malaysia dengan hampir 60 peratus rakyat beragama Islam masih mencari arah - di antara keperluan agama dengan kehendak globalisasi.

  Ia menjadi cabaran terhadap kewujudan perundangan Islam. Ia juga menjadi dugaan awam apabila isu agama menjadi bahan sensitif yang boleh menimbulkan polemik keagamaan secara berterusan.

 Mungkin kita terlalu banyak berbangga dengan kejayaan peribadi, tapi akhirnya kita juga yang rasa tergugat apabila isu agama menjadi bahan sindiran dan diperlekeh secara terbuka.

  Apabila usul penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu diperdebatkan, isu agama sudah dirasuk dengan kepentingan siasah. Orang politik menyemarakkan nama Allah untuk mendapat sokongan massa. Ahli politik Melayu melatah kerana Allah yang seolah-olah menjadi hak eksklusif Islam dipergunakan pihak lain, sedangkan ramai penganut Kristian  di Sabah, Sarawak, Indonesia dan beberapa negara Arab  menggunakannya dalam kitab mereka.

  Polemik yang berterusan menggambarkan isu agama masih menjadi bara dalam politik Malaysia. Jika reda pun seketika, ia akan menjadi barah dalam daging dan bakal berulang pada masa yang lain.

  Sepanjang Ramadan tahun ini, ibadat puasa dicabar dengan pelbagai isu agama yang tidak berkesudahan.  Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino mungkin mempunyai niat tersendiri kerana menyatakan sokongan dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian. Seperti biasa, ada yang melatah dan menunjuk perasaan, kemudian reda apabila paderi berkenaan minta maaf. Rakyat Malaysia mudah memaafkan orang lain, walaupun tiada jaminan isu sama akan berulang  pada masa akan datang.

  Lebih menghairankan, dasar terbuka yang kita amalkan seolah-olah memberi ruang pihak lain bertapak di Malaysia. Kononnya kebebasan agama yang mengundang Duta Vatican City ke Malaysia. Kita seharusnya sedar peranan duta sekali gus paderi. Mereka bukan sekadar menjalin persahabatan, bahkan pendirian keagamaan boleh mempengaruhi diplomasi di antara satu sama lain.

  Ketika Ramadan semakin penghujung, isu Syiah yang wujud sejak 40 tahun lalu meledak secara meluas. Kedah secara rasmi mengisytiharkan fahaman berkenaan sesat, walhal Majlis Fatwa Kebangsaan sudah lama mengharamkan ajaran berkenaan. Pertubuhan Syiah mendakwa 200,000 hingga 300,000 jemaah mereka di Malaysia. Empat institusi pengajian tinggi awam dikaitkan sebagai pusat penyebaran dalam kalangan siswa. Pelajar dan pensyarah asing didakwa terbabit.

  Lebih menghairankan kenapa isu lama sampai kini gagal diatasi? Kenapa kementerian terbabit membiarkan orang luar mempengaruhi rakyat Malaysia untuk menjadi sesat dan menyesatkan? Kenapa universiti tempatan tidak menghukum orang asing yang terbabit sejak dulu?

  Persoalan yang bertalu-talu menggambarkan kelemahan kita sendiri untuk bertindak tegas. Kita membiarkan keadaan menjadi parah, akhirnya menjadi heboh untuk seketika dan kemudian berulang lagi pada masa akan datang.

 Kerana kelemahan kita sendiri menyebabkan ada pihak yang tergamak mempersenda Islam. Apa yang dilakukan pasangan lucah Alvin Tan dan  Vivian Lee bukan tanpa alasan. Mereka tahu babi adalah haiwan yang menjijikkan dalam kalangan Islam. Mereka mempersenda ibadat Ramadan dengan sup babi sebagai ujian terhadap kebebasan berkreatif. Perbuatan menghina agama lain memang menyentuh sensitiviti dan mengundang tindak balas.

  Bayangkan kesannya jika perbuatan pasangan lucah berkenaan berlaku di Iran, India, Pakistan dan Afghanistan. Bayangkan pula nasib Maznah Mohd Yusof dan anjingnya jika kejadian berkenaan berlaku di negara lain? Bayangkan juga nasib  peserta ratu cantik yang dihalang memperagakan badan di pentas pertandingan? - Berita Harian, 13 Ogos 2013

Wednesday, August 07, 2013

PAS akan hadapi krisis pimpinan

DIN AYAM fenomena menarik
dalam percaturan kuasa PAS.
Persaingan golongan ulama dan profesional sekali lagi menjadi perdebatan terbuka menjelang  Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 pada 22 hingga 24 November di Selangor.

 Lebih memeranjatkan, menantu Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, turut dikaitkan sebagai penggerak utama untuk menyingkir golongan profesional dalam parti.

 Menuduh Zaharudin Muhammad sebagai menantu presiden parti paling berkuasa menimbulkan perdebatan terbuka kerana beliau terpaksa memainkan peranan bagi memastikan PAS dan mentuanya tidak terancam dengan kehadiran golongan yang disifatkan antiulama.

Sebelum ini, beberapa ahli PAS mengaitkan Zaharudin yang dikenali sebagai ‘Din Ayam’ sedang berusaha melumpuhkan pesaing Hadi dalam parti.

 Ada yang mendakwa ancaman dalam parti lebih besar berbanding kritikan terbuka UMNO yang menjadi seteru siasah PAS sejak dekad 1950-an.

Sejak beberapa tahun lalu kehadiran tokoh bukan ulama seperti Khalid Abdul Samad, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Dr Mohd Hatta Ramli sebagai ancaman secara langsung terhadap pimpinan ulama.

Walaupun mereka berjasa kepada PAS, termasuk memegang jawatan penting dalam parti dan menang pilihan raya, tindak-tanduk mereka menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan ulama.

Kenyataan lawak Mohamad Sabu yang menyokong perjuangan tokoh komunis seperti Mat Indera dianggap cabaran paling besar terhadap PAS yang selama ini mendakwa sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Lebih membimbangkan PAS apabila beberapa kenyataan Khalid yang dianggap bertentangan dengan prinsip dan kepentingan perjuangan dalam pembangkang.

Mereka tidak mahu individu seperti Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa yang dituduh ejen UMNO berulang yang akhirnya menimbulkan masalah kepada parti. 

Tuduh menuduh dalam PAS juga berlaku ekoran kekalahan calon pembangkang di kawasan Kota Damansara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dikaitkan berpunca daripada parti itu. Pembangkang juga berlawan sesama sendiri di Sungai Acheh, Labuan dan Bukit Besi kerana PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sependapat. Menantu Hadi dituduh campur tangan dalam pemilihan calon menyebabkan pencapaian PAS merosot.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Temerloh yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi, mempertahankan Zaharudin sebagai bukan penyebab kekalahan di beberapa kawasan penting. 

Ahli PAS, Mohamad Abdullah, menulis beberapa surat terbuka kepada Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dengan mendakwa ramai tokoh yang mempergunakan parti untuk kekayaan peribadi.
Beliau mendakwa Nasruddin mempunyai gaya hidup mewah yang bertentangan dengan perjuangan PAS. Zaharudin pula dituduh menantu paling berkuasa. Anak Nik Aziz, Nik Mohamad Abduh yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS dan Ahli Parlimen Pasir Mas juga dituduh hidup mewah berbanding cara hidup sederhana bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Dakwaan itu menimbulkan keributan dalam PAS, sekali gus mengulangi konflik dalaman seperti pada 1980-an yang memaksa bekas Presiden PAS, Tan Sri Asri Muda, meninggalkan parti pada 23 Februari 1983 dan menyertai UMNO beberapa bulan kemudian.

Sebagai sebuah gerakan siasah yang berpengalaman, PAS sepatutnya sudah mempunyai jati diri dalam memperjuangkan dasarnya. PAS dua kali mentadbir Kelantan iaitu pada 1960 hingga 1978 dan 1990 hingga kini. Parti berkenaan juga dua kali mentadbir Terengganu dan kini mempunyai 15 kerusi berbanding 17 dimiliki Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Pengalaman siasah sepatutnya mematangkan PAS bagi menjadi tunjang pembangkang. Malangnya pergeseran sesama sendiri menyebabkan ahli bimbang PAS tidak lagi relevan bagi menghadapi cabaran pada dekad mendatang.

Muktamar PAS tahun ini tentunya menjadi medan serangan peribadi secara terbuka. Sekarang sudah banyak blog dan portal berita yang saling menyiarkan kenyataan bercanggah di antara satu sama lain. Kelemahan PAS akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang yang mempunyai 89 kerusi Parlimen berbanding 133 milik BN. Dengan persoalan yang timbul sekarang, masih perlukah PAS dikenali parti ulama? - Berita Harian, 7 Ogos 2013

Tuesday, August 06, 2013

Nostalgia kad raya

Selamat Hari Raya Aidilfitri: Kad raya kini
diancam teknologi digital.
Kecanggihan teknologi maklumat hampir melupuskan fungsi kad hari raya. Khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kini boleh dikirim menerusi telefon bimbit. Sesiapa saja boleh berhubung pada bila-bila masa dengan pantas dan berkesan.

 Dulu telefon bimbit dianggap simbol status, tetapi kini menjadi keperluan semua pihak termasuk kanak-kanak dan amah Indonesia yang kita sebut bibik.

 Di mana-mana saja orang memegang telefon bimbit atau menghubungi seseorang di tempat terbuka. Tiada lagi simbol status pada alat perhubungan kerana dunia semakin memerlukan medium komunikasi yang mudah, cepat dan talian sempurna. Ada yang mempunyai lebih sebuah telefon bimbit di poket mereka kerana alasan tersendiri.

 Lebih  30 tahun lalu, telefon bimbit mempunyai saiz yang besar dan tidak sempurna pada ukuran mata sekarang. Ada yang berangkai dengan beg bimbit yang boleh dibawa ke mana-mana saja. Ada juga telefon  yang dipasang kenderaan seperti siri televisyen Mannix lakonan Mike Connors. Aktor Peter Graves dalam beberapa siri drama  Mission Impossible juga menggunakan telefon bimbit yang disambung pada sebuah kenderaan yang dianggap markas penyiasatan membendung keganasan sejagat.

 Kecanggihan tiga dekad lalu bukan lagi dianggap luar biasa pada hari ini. Dulu ada tabib yang menjalankan operasi mengurut lelaki lemah tenaga batin  bergambar sambil menggayakan telefon bimbit pada iklan di akhbar dan majalah. Hari ini telefon bimbit bukan sekadar gaya dan rupa, malah fungsinya semakin meluas -- jaringan internet membolehkan pelbagai data dan akses komunikasi diperoleh di hujung jari.

 Hari ini telefon bimbit sudah merakyat. Selangor mencatat negeri paling tinggi pengguna telefon bimbit dengan 22.6 peratus daripada keseluruhan lebih 2,000 pengguna yang terbabit dalam Kajian Telefon Bimbit - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 2012.
 Johor dan Kuala Lumpur masing-masing 11.6 peratus dan 9.1 peratus, manakala Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka, Perlis, Putrajaya dan Labuan mencatat peratusan pengguna paling rendah iaitu antara 0.2 dan lima peratus.

 Mengikut kajian yang membabitkan semua sistem rangkaian telefon itu, lelaki masih menguasai penggunaan telefon bimbit di negara ini dengan 56.5 peratus berbanding wanita, hanya 43.5 peratus.
Daripada jumlah itu,  Melayu menguasai penggunaan telefon dengan 61.1 peratus, diikuti Cina (22.9 peratus); Bumiputera Sabah dan Sarawak (9 peratus) dan India (6.1 peratus) manakala Orang Asli  0.3 peratus.

 Golongan  dewasa  paling tinggi menggunakan telefon bimbit dengan kumpulan umur antara 20 hingga 24 tahun mencatat 17.3 peratus dan kumpulan termuda iaitu bawah 15 tahun, hanya 1.8 peratus.

 Kajian juga mendapati 19.6 peratus pengguna telefon bimbit terbabit dalam kajian ini mempunyai pendapatan kurang RM1,000 sebulan, manakala 36.5 peratus (antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan) dan 7.2 peratus (antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan).

  Kajian itu juga mendapati, 76.5 peratus pengguna sentiasa menghidupkan telefon mereka walaupun pada waktu tidur, manakala 23.5 peratus akan mematikan telefon bimbit sebelum masuk tidur.

  SKMM juga mendapati 2012 adalah tahun bagi telefon pintar apabila mencatatkan 26 peratus pengguna telefon berkenaan, peningkatan dua kali ganda berbanding 2010 dan 2011, yang masing-masing hanya mencatat 14 dan 12 peratus pengguna telefon pintar. Melalui kajian itu juga, 36.4 peratus pengguna yang terbabit dalam kajian itu sanggup berbelanja bawah RM500 untuk naik taraf ke telefon pintar manakala hanya 37.7 peratus bersedia berbelanja antara RM500 hingga RM1,000.

 Dari segi jantina, lelaki  masih menguasai penggunaan telefon pintar dengan 15.5 peratus pengguna berbanding wanita hanya 10.6 peratus. Pelajar menguasai penggunaan telefon pintar dengan mencatat 32.5 peratus. Penggunaan telefon pintar sebahagian daripada revolusi komunikasi sejagat. Beberapa tahun lalu ada negara Arab feudal yang melarang penggunaan telefon pintar kerana bimbang ancaman keselamatan.

 Kini mustahil berbuat demikian kerana teknologi canggih sudah menjadi perayaan sejagat yang menjadi idaman lebih separuh daripada tujuh bilion penduduk bumi ini. Sebuah negara di Asia Barat  pernah mengharamkan wanita memiliki telefon pintar kerana bimbang kejadian fitnah boleh berlaku secara terbuka. Pandangan jumud berkenaan akhirnya gagal dipertahankan kerana dunia tanpa sempadan sudah merobek pagar yang menghalang kebebasan manusia.

 Inovasi Alexander Graham Bell (3 March  1847 – 2 Ogos  1922) menghasilkan  telefon dalam bentuk yang tersendiri. Usaha diteruskan  Martin Cooper (lahir pada 1928 di Chicago, Illinois)  yang mencipta telefon bimbit  untuk memeriahkan dunia, sekali gus memudarkan fungsi kad raya! - Berita Harian, 6 Ogos 2013 

Darah mengalir di bumi Mesir

Kekejaman dan keganasan di Mesir menguntungkan
Amerika Syarikat dan Israel.
Ramadan sepatutnya menjadi madrasah, yang mendidik akhlak ummah mencari keredaan Ilahi dan memperkukuh perpaduan ummah.  Malangnya, apa yang berlaku di Mesir adalah sebaliknya hingga memaksa ulama tersohor, Syeikh Yusuf Qaradhawi menggesa pihak bertelingkah menghormati bulan mulia.

  Lebih menghairankan apabila banyak negara Arab konservatif mendiamkan diri seolah-olah merestui rampasan kuasa tentera, yang dikaitkan sebagai agenda Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk melumpuhkan kerajaan demokrasi pertama di Mesir.

  Qaradhawi dalam kenyataan yang siarkan stesen TV  Al-Jazeera menegur  Menteri Pertahanan Mesir, Abdul Fatah As-Sisi supaya patuh kepada sumpah jawatan  untuk berlaku adil ketika pentadbiran  Mohammed Morsi.

  Malangnya, Sisi dituduh menggunakan kekuatan tentera dengan membunuh ratusan umat Islam pada Jumaat lalu, di samping mengekalkan tahanan terhadap Morsi, yang bakal menghadapi tuduhan membunuh, memberontak dan menghasut orang awam.

  Lebih menimbulkan kemarahan awam  apabila Menteri Dalam Negeri,  Mohammad Ebrahim mengumumkan  Morsi akan  dipindahkan ke penjara yang  sama dengan bekas Presiden Hosni Mubarak sebagai langkah keselamatan awam.

  Qaradhawi  yang juga  Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia  menyifatkan presiden sementara,   Adli Mansour sebagai boneka kepada  Perdana Menteri Hazim Beblawi, yang terbabit secara langsung menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

  Sisi juga memansuhkan Perlembagaan 2012 yang  diperakui dengan sokongan 64 peratus pengundi. Beliau  membentuk 10 ahli jawatankuasa penggubal dalam tempoh  sebulan bagi mengadakan pindaan perlembagaan. Pada zaman Morsi tahun lalu, perlembagaan dibincang oleh 100  panel yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat dalam tempoh enam  bulan sebelum diadakan pungutan suara pada Disember 2012.

  Qaradhawi juga menyalahkan Sisi ekoran kematian  140 orang dan kecederaan 4,500 yang lain. Perlukah pembunuhan sesama ummah semata-mata untuk menjaga kepentingan kuasa rejim yang bukan pilihan rakyat?

  Percanggahan pendapat sesama ulama begitu ketara apabila   Qaradhawi  mempertikaikan   pendirian Syeikh Al-Azhar, Dr Ahmad Toyyib yang menganggap remeh pembunuhan  ummah di Mesir sekarang.

 Perdana Menteri Turki,  Reccep Tayyip Erdogan,  mengajak  negara  Islam mengutuk perbuatan yang mencemari Ramadan di Mesir. Dalam kenyataan kepada Anadolu Agency, beliau berkata:  “Pembunuhan sedang berlaku.  Keadilan dan hak asasi sedang disembelih. Darah umat Islam disembelih oleh mereka yang mengakui beragama Islam!”

  Keadaan yang sama berlaku di Syria apabila ribuan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dibunuh oleh kerajaan Syiah  yang dokong tentera.

  Kita hairan banyak negara Islam masih membisu terhadap apa yang berlaku. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sehingga kini masih membisu dan lebih mengutamakan kepentingan dalam negeri. Liga Arab yang memang diakui dikuasai negara Arab yang kaya dengan minyak masih membisu dan mungkin mengambil pendirian berkecuali buat sementara waktu.
 
  Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih membisu, walaupun perkembangan di Asia Barat dan Utara Afrika memberi kesan terhadap kestabilan ekonomi dan politik dunia.
 
Pemerhati politik meramalkan  rampasan kuasa di Mesir  memberi ruang kepada Israel untuk melancarkan serangan ke atas Gaza. Sehingga kini rejim Tel Aviv mempertingkatkan rondaan sempadan bagi memastikan keselamatan negara tajaan AS itu. 

  Sempadan Rafah ditutup 3 Julai lalu oleh tentera Mesir sekali gus memberi masalah kepada  penduduk Gaza meneruskan aktiviti harian sepanjang Ramadan.  Rafah dianggap  sumber pembekalan barangan asas  seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan, peralatan rawatan dan minyak.

  Penutupan zon berkenaan seolah-olah memberi ruang kepada Israel melakukan kekerasan kerana ramai pejuang Islam menggunakan kawasan berkenaan untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman rejim Yahudi.

  Lebih memeranjatkan penutupan Rafah membuka laluan kepada  Fatah membuat  propaganda untuk menghasut penduduk Gaza menolak kerajaan Hamas.

  Jika keadaan ini berterusan, sengketa  di Asia Barat akan berterusan tanpa menghormati keberkatan Ramadan, yang dianggap detik paling berkat dalam kalendar Islam. - Berita Harian, 5 Ogos 2013

Thursday, August 01, 2013

Kuala Besut perlu kemajuan, bukan tolak agama

Politik pembangunan masih dominan di Kuala Besut
yang rakyatnya mengharapkan projek dan
diperalatkan oleh golongan politik.
Tidak menghairankan apabila  Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menganggap penduduk Kuala Besut sebagai lalai dan mengetepikan tanggungjawab terhadap agama kerana memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil, pada 24 Julai lalu.

 Sebagai orang politik, bekas Menteri Besar Kelantan  memberi alasan PAS ditolak penduduk Kuala Besut  kerana mereka perlukan pembangunan. Nik Aziz mendakwa  kehidupan sebagai nelayan menyebabkan mereka  sukar membuat pilihan terbaik  sehingga terpaksa bergantung kepada BN.

 Kita yakin andaian Nik Aziz masih berpaksikan suasana politik tradisional yang memaksa majoriti pengundi Melayu menolak PAS kerana mereka masih bergantung kepada kerajaan yang ada sekarang. Politik pembangunan sudah menjadi amalan di kawasan luar bandar, pedalaman dan tanah rancangan, sekali gus menjadi aset kepada BN mengekalkan penguasaan di kawasan Melayu.

 Bagaimanapun, tidak wajar Nik Aziz menuduh penduduk lalai dan tolak Islam sebagai alasan  kekalahan PAS. Perjuangan keagamaan dan pembangunan sentiasa menjadi ciri perjuangan siasah di Malaysia. Pihak yang mendakwa diri mereka beragama sampai kini tidak mampu membuktikan keislaman mereka lebih baik daripada pihak lain. Golongan yang dianggap sekular juga  tidak membuktikan mereka berusaha mempelopori pentadbiran berdasarkan syariah.

 Dalam konteks semasa, politik pembangunan masih dominan walaupun kewujudan media baru yang kononnya lebih terbuka dan berkesan, tapi kurang berperanan di kawasan kampung seperti  Kuala Besut,  apabila calon  BN,  Tengku Zaihan  Che Ku Abd Rahman  mendapat  8,288 undi berbanding calon PAS,  Endot @ Azlan  Yusof  yang meraih  5,696 undi.

  Kemenangan majoriti  2,592 undi ini disebabkan  penduduk yang majoriti nelayan masih memerlukan bantuan kerajaan bagi meningkatkan kualiti sosial mereka. Sebagai kawasan yang masih memerlukan tumpuan pembangunan, sebahagian besar daripada 14,108 penduduk yang keluar mengundi mengharapkan Kuala Besut berubah wajah sebagai koridor pelancongan utama di Pantai Timur. Pulau Perhentian yang dikatakan di antara 14 pulau tercantik di dunia masih memerlukan kemudahan prasarana bagi mengekalkan tarikan pelancongan.

 Nelayan juga memerlukan suasana selesa untuk menjalankan aktiviti harian. Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pembaikan muara Sungai Besut bernilai RM250 juta dianggap menepati harapan penduduk tempatan. Sebelum ini ramai nelayan mengeluh kerana muara cetek menyebabkan mereka sukar menjalankan aktiviti menangkap ikan.

 Projek berkenaan juga  memberi manfaat kepada   pengusaha industri pelancongan di Kuala Besut,  malah mampu menjadikan pekan nelayan sebagai kawasan pertumbuhan baru ekonomi di Pantai Timur khasnya dalam industri berkaitan maritim.

  Muhyiddin  juga mengumumkan  peruntukan RM35 juta untuk menambah baik kemudahan empangan dan tali air di Pengkalan Nangka. Ia juga langkah drastik bagi memastikan hasil tanaman dapat ditingkatkan, terutama di kawasan yang sebelum ini kerap berlaku sawah terbiar.

 Projek di Pengkalan Nangka yang menjadi  sumber air utama kepada 900 hektar kawasan padi  dijangka berkeupayaan meningkatkan pengeluaran  daripada empat metrik tan kepada 5.5 metrik tan.

 Kita akui projek pembangunan sebahagian daripada pelaksanaan yang perlu disegerakan. Dalam konteks Kuala Besut yang majoriti penduduk berpendapatan rendah, kehadiran menteri dan tokoh BN berkempen memberi rahmat tersembunyi. Mereka bukan saja dijanjikan perubahan prasarana bagi peningkatan pendapatan setempat, juga meletakkan calon yang lebih muda dan berkelulusan untuk menjadi penyambung lidah rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

 Kuala Besut yang bersempadan dengan Kelantan yang diwakili PAS selama 23 tahun memerlukan perubahan drastik dalam masa yang singkat. Kejayaan projek pembangunan boleh membantu BN mengekang kemaraan PAS ke Terengganu. Pengalaman dua kali di bawah PAS termasuk pada 1999 sehingga 2004 membuktikan BN Terengganu belum selamat.

 Perimbangan kuasa di DUN dengan kadar 17-15 bukan jaminan  keutuhan BN kerana pelbagai masalah kecil, hatta perebutan jawatan peringkat cawangan UMNO pun boleh menjadi barah dalam pentadbiran negeri. Mereka yang bertelagah dengan isu remeh perlu memikirkan jalan terbaik mengekalkan BN. Nik Aziz pula tidak perlu mendakwa penduduk menolak agama punca kekalahan partinya. PAS bukan Islam, PAS hanya parti yang mendakwa memperjuangkan Islam! - Berita Harian, 1 Ogos 2013