Pages

Tuesday, March 27, 2012

Muhammad Zainal Ariff ikon remaja bermasalah

HIDUP tidak selalu indah dan  tidak juga terlalu kejam. Muhammad Zainal Ariff Mat Zain sudah membuktikan kesilapan lampau boleh ditebus dengan usaha yang gigih. Dia berazam  memulih zaman lampau yang celaru dan keliru.

Kehidupan dalam penjara menginsafkan dan dia sedar  hanya ilmu yang mampu mengubah jalan hidupnya.
Dia  tekad menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2010 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Dia dibebaskan dari Penjara Kajang Oktober lalu  selepas  dipenjarakan sejak 2008 kerana terbabit dalam kegiatan jenayah.

Walaupun  tidak bersekolah sejak Tingkatan Satu kerana desakan hidup, memperoleh keputusan 6A, 1B dan 1E dalam SPM lalu amat membanggakan.

Kini nama Muhammad Zainal  disebut kerana dia  antara sembilan pelajar cemerlang SPM di Selangor menerima keputusan peperiksaan daripada Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus pada 21 Mac lalu. Menjadi resam manusia memuji kepada yang berjaya, sekali gus mencela insan yang dianggap hina.

  Muhammad Zainal  yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan dan pengurusan di pusat pengajian tinggi tempatan.

Kisah hidup   Muhammad Zainal  bagai naratif fiksyen yang menarik perhatian. Dia pernah gagal, kecewa, putus asa,  terlanjur,  terperap dalam penjara, dinafikan hak belajar, akhirnya menjadi wira kerana kejayaan dalam SPM.

Mungkinkah Muhammad Zainal menjadi  ikon belia dan sejauh mana kementerian terbabit dapat memanfaatkan kejayaan remaja ini sebagai model contoh rakan sebaya yang bermasalah?

Ada ketikanya masyarakat terlalu zalim menghukum. Masyarakat terlalu kejam meletakkan warna hitam terhadap seseorang yang dianggap sampah tanpa membiarkan insan terbabit membela diri atau menebus kesilapan lampau.

Muhammad Zainal mungkin berpeluang melanjutkan pelajaran setinggi mungkin.  Namun apakah dia bakal diterima ‘sepenuhnya’ dalam masyarakat?

Apakah ada majikan yang sanggup menerima bekas banduan bekerja?  Apakah ada jabatan dan agensi kerajaan yang benar-benar telus dan tulus membantu segelintir anggota masyarakat yang luar biasa perjalanan hidupnya?

Saya mengutarakan pelbagai persoalan di atas kerana mempunyai kenalan yang pernah dipenjara selama enam tahun kerana kesalahan dadah. Dia dituduh  mengikut  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dikaitkan mengedar dadah. Dia bernasib baik kerana kes dipinda kepada ‘memiliki dadah’ dan dipenjarakan di Sungai Buloh, Kajang dan Seremban. Setiap kali menziarahinya, dia akan menangis kekesalan kerana mengikut nafsu muda yang salah memilih kawan.

Selepas keluar penjara, dia bukan saja berdepan cercaan masyarakat, juga menghadapi masalah untuk memulakan hidup baru. Orang ramai sukar menerima bekas penghuni penjara hatta di kawasan masjid sekali pun. Dia melamar pekerjaan demi pekerjaan, namun nombor MyKadnya menghalang segala-galanya. Majikan tidak sanggup risiko mengambil bekas banduan bekerja. Lebih fatal, dia gagal mendapatkan pasport antarabangsa  kerana  jabatan terbabit melarang bekas banduan ke luar negara.

Kini hidupnya berubah apabila menamatkan kursus pelayaran dan memperoleh pasport antarabangsa apabila bertugas di sebuah syarikat perkapalan. Dia juga mendalami agama, berwirid dan berzikir. Hidup terperap dalam penjara selama enam tahun menginsafkan. Dia merasakan dirinya lebih beruntung kerana berpeluang mendapat pendidikan akhlak dan agama di penjara.

Bagi masyarakat di luar penjara, mata sinis sentiasa menghukum seolah-olah mereka bebas daripada dosa masyarakat.

Bagi yang bersedia belajar, kehidupan sentiasa berliku. Likuan itulah yang mematangkan seseorang kerana setiap daripada kita tidak mungkin menjalani episod hidup yang sama. Kehidupan dan ilmu bukan saja kerana kertas bernama sijil dan ijazah, juga rentak dan cabaran di pusat tahanan. Muhammad Zainal  tentunya tidak bersendirian menghadapi dugaan sedemikian kerana  resam dunia sentiasa kaya dengan cabaran dan dugaan. - Berita Harian, 27 Mac2012

Monday, March 19, 2012

Pengundi muda perangkap misteri

SEJAUH mana generasi muda penentu undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Apakah mereka memihak kepada pembangkang yang sentiasa mendakwa ‘aspirasi  muda’ atau  menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN)  bagi mengekalkan kestabilan politik, ekonomi dan masa depan negara?

  Pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini.  Mereka adalah  generasi X dan Y yang membesar bersama budaya komputer dan media baru. Mereka bukan generasi yang mudah terpengaruh dengan slogan propaganda selaras perubahan  cara hidup  yang meletakkan maklumat di hujung jari.

Sama ada tinggal di luar bandar atau di kawasan urban, selera dan minat  siasah generasi muda sukar dianalisis. Suara mereka menerusi Facebook dan Twitter  sentiasa kritikal dan sinis.  Lebih sukar apabila mereka dianggap sebagai majoriti senyap yang akan membuat perkiraan menerusi peti undi. 

Perkembangan siasah sejak 2 September 1998 mengaitkan aspirasi muda dengan pembangkang. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 1999 dan 2008 hampir membuktikan tanggapan ini.

Terkecuali pada Pilihan Raya Umum 2004 apabila sebahagian pengundi terpengaruh dengan slogan Islam Hadhari yang dipopularkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, suasana selepas itu berbeza. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 memberi gambaran drastik.

Saya menghadiri tiga majlis yang dikaitkan dengan politik pada masa terdekat ini.  Majlis Bekwoh Anak-Anak Kelate anjuran  Biro Pengundi Luar UMNO Kelantan  di Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi generasi muda. Hampir 10,000  hadirin  yang sebahagian besarnya generasi muda melaungkan azam untuk membantu kemenangan BN di Kelantan.

Sebahagian besar mereka siswa menyuarakan hasrat gelombang merah untuk mengubah suasana siasah di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Penulis juga  menghadiri ceramah PAS di Taman Cheras Jaya yang membabitkan bekas pelawak Bob Lokman yang mendakwa dirinya sudah berhijrah dalam perjuangan siasah. Tidak kurang 100 hadirin  dengan separuh daripadanya  golongan berusia bawah 40 tahun.

Suasana di sebuah dewan  berhawa dingin di Kuala Lumpur pula dihadiri 200 tetamu yang sebahagian besarnya generasi  muda dan pelbagai kaum. Panel pula di kalangan elit massa yang mengemukakan pandangan mengenai generasi muda dan penentu masa depan siasah negara. Isu hak asasi, kebebasan media, media baru dan  sistem kehakiman dibincang secara polos.

Sukar untuk menyatakan bahawa generasi muda sebagai penentu politik negara kerana sebahagian besar daripada mereka tidak mendaftarkan nama sebagai  pengundi.

 Sebanyak  3.7 juta rakyat di negara ini gagal mendaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka generasi muda. Golongan yang tidak mendaftar secara langsung tidak berhak membuat keputusan menerusi peti undi. Jika sekadar bersuara dan heboh dengan aktiviti kepartian tanpa peluang membuat keputusan di peti undi, tidak akan mengubah keadaan.

  Suatu pendekatan drastik perlu dilakukan agar kempen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftar pengundi berjalan lancar.

Kajian secara  demografi  juga perlu dilakukan bagi menilai tahap sokongan generasi muda terhadap sesebuah gerakan siasah. Bersuara  mengenai isu semasa bukan gambaran seseorang memihak  parti pemerintah mahupun pembangkang. Ada masanya, isu ditimbulkan membabit kepentingan umum yang tidak relevan dengan sokongan siasah.

Sepanjang minggu lalu  generasi muda menerusi media baru bersuara menentang cukai perkhidmatan  talian telefon prabayar. Mereka mendesak kerajaan bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan syarikat telekomunikasi yang kononnya akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Bangkangan isu cukai perkhidmatan telefon tiada kaitan politik, tetapi akan menjadi barah jika tidak ditangani secara saksama.

Ada mitos mengaitkan   pengundi dewasa terikat   sentimen mengenang jasa dan kepartian, berbeza  pengundi muda yang dilihat lebih bebas  menentukan sokongan. Sokongan pengundi dewasa lebih untuk jangka masa lama, pengundi muda  lebih bersifat jangka pendek apabila  mereka menilai dasar parti, sikap pemimpin dan isu semasa.  Kredibiliti calon menjadi fokus generasi muda berbanding golongan lama yang mempunyai pandangan berbeza.

Kajian sebuah badan bebas mengandaikan pengundi muda luar bandar  memberi  fokus  isu tempatan seperti  membantu golongan nelayan dan petani, pengundi bandar pula lebih fokus kepada isu semasa dan pentadbiran  kerajaan, pelaksanaan   ekonomi, dasar luar dan cara menangani  isu sosial. 

Kajian  sebuah parti politik pula  mendapati  62 peratus pengundi muda  tidak menyokong sesiapa. Mereka hanya membuat keputusan pada saat akhir pengundian. Jika andaian ini benar,  pengundi muda masih kekal misteri sokongan mereka! - Berita Harian, 19 Mac 2012

Tuesday, March 13, 2012

Malangnya pesakit buah pinggang

BAYANGKAN hidup bersabung maut dan masa depan terlalu samar. Bayangkan juga rutin harian berubah dari sebelumnya -- terpaksa mendapat rawatan setiap bulan, menjalani   dialisis, CAPD   (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis),  kerap demam serta pelbagai komplikasi lain.

Jika sebelumnya mereka menjalani kehidupan normal, atau sesekali menyertai aktiviti lasak, kini segala-galanya tinggal kenangan yang mengusutkan. Kualiti kehidupan tidak sempurna lagi.

Bagi pesakit buah pinggang peringkat akhir  (ESRF), masalah  anemia, hipertensi dan osteoporosis seiring jalan. Mereka tiada pilihan untuk menolak, malah terpaksa pasrah menerima keadaan.

Penderitaan, kesakitan dan harapan bagai episod hidup tidak berpenghujung. Anemia terjadi apabila badan tidak mempunyai sel darah merah yang cukup bagi menampung keperluan oksigen untuk semua sel. Pesakit sentiasa  kelesuan. Kesan    lain adalah semput, pening, rasa berdebar, kulit  pucat serta tidak boleh berfikir dengan jelas dan rasional.
Penyakit ginjal boleh menyebabkan berlaku paras rendah hormon erythropoietin dan zat besi dalam badan.

     Seorang kakitangan awam terpaksa meninggalkan jawatan yang disandang selama  30 tahun apabila tidak mampu meneruskan kerjaya. Dia  terpaksa mengalah kepada takdir yang menimpa semata-mata kerana ginjal tidak berfungsi. Dia hanya mampu berharap ada penderma yang ‘menghadiahkan’ buah pinggang, walaupun amat mustahil. Dia terus menanti dan menanti dengan harapan yang samar ketika negara menyambut Hari Ginjal Sedunia pada 8 Mac lalu.

Seorang pesakit lain pula dalam dilema untuk menjalani pembedahan di luar negara. Dia bimbang kualiti pembedahan dan pemindahan organ di India. Apakah ginjal sebahagian daripada objek perdagangan era moden?

Bilangan rakyat Malaysia menderita kegagalan buah pinggang peringkat akhir bertambah daripada  40 orang pada 1980 kepada  lebih 12,000 kini.

Mereka  terpaksa menunggu lebih lama bagi menjalani pemindahan organ  kerana jumlah  yang berikrar menjadi penderma jauh lebih sedikit berbanding pesakit.

Sejak 1997 hingga Februari lalu  hanya 4,318 orang berikrar sebagai penderma berbanding lebih 12,000 pesakit.

   Pakar nefrologi percaya jumlah pesakit yang berdaftar tidak mencerminkan bilangan sebenar pesakit buah pinggang di negara ini kerana kemungkinan terdapat mereka yang menderita secara senyap disebabkan kekurangan kemudahan.

Dari segi perbandingan, sebanyak  90 kes baru bagi  setiap sejuta penduduk atau antara 2,000 hingga 3,000 kes setiap tahun.

Kerajaan sentiasa peka dengan isu kesihatan dengan  memperuntukkan RM171.1 juta dalam bentuk subsidi rawatan hemodialisis kepada  badan bukan kerajaan (NGO) dalam tempoh 10 tahun (2001-2010) dan 'geran modal' berjumlah RM20.15 juta kepada pusat dialisis bagi pembelian mesin hemodialisis baru pada  tempoh  sama.

Dianggarkan 23,390 pesakit   mendapat manfaat hasil daripada inisiatif kerajaan itu.
Bagaimanapun dialisis bukan penyelesai masalah buah pinggang. Pesakit memerlukan organ untuk ‘mengembalikan’ kehidupan mereka. Malangnya, pendermaan organ bukan tradisi di kalangan rakyat Malaysia. Hanya  0.6 peratus iaitu  188,147 rakyat  yang menderma organ.

 Walaupun rakyat Malaysia mendakwa sebagai prihatin dan masyarakat penyayang, minat untuk membantu pesakit amat minimum.

Rakyat  Sepanyol mencatat jumlah penderma organ tertinggi di dunia iaitu sebanyak 25 peratus daripada jumlah penduduk, manakala Singapura mencatat jumlah lima peratus daripada jutaan penduduk di negara itu.
 Kita pula lebih banyak sorak-sorai dan ungkapan simpati tanpa menyedari setiap minggu ramai pesakit buah pinggang  yang pergi untuk selama-lamanya tanpa sempat menjalani rawatan sepatutnya. Bayangkan betapa kejamnya penyakit bagi seseorang insan! - Berita Harian, 13 Mac 2012

Sunday, March 04, 2012

Zahari Hasib dan kejamnya politik sastera


SERULING

Anak muda itu

terlalu pandai ia menyusun kata-kata
memujuk dengan setangkai bunga
di bawah pohon rendang.

Lalu rebahlah seorang puteri

mengemis dengan bibir basah
minta isikan dahaga
dengan anggur bernama nafsu.

Maka

angin pun meniupkan seruling
dan bulan
mengintai di hujung daun.

Ah, seorang gadis

seorang perempuan
di sini ia bermain dengan ombak
ia bermain dengan api
untuk pada suatu ketika
dia akan menangis
dan tersedu!

ZAHARI HASIB
Teluk Intan

 

SAYA tidak akan menerima panggilan telefonnya lagi. Dia juga tidak akan menghulur kumpulan puisi atau bertanya kenapa karyanya tidak tersiar. Saya pernah menerima gula-gula darinya, selain seberkas kenangan lampau ketika aktif dalam dunia persajakan tanah air.

Zahari Hasib sebuah nama yang tidak asing lagi. Dia penyair prolifik  yang karyanya tersiar di akhbar mingguan hampir setiap minggu sejak awal dekad 70-an. Sajaknya juga termuat setiap bulan di pelbagai majalah  -- dari majalah serius seperti Dewan Sastera, Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya hinggalah majalah ringan seperti URTV, Mingguan Wanita, Utusan Filem dan Fesyen, Variapop dan banyak lagi.

Mendapat khabar kematiannya pada  26 Februari lalu cukup mengharukan; kami sempat bersembang panjang menerusi telefon pada malam tahun baru. Dia tidak bercerita mengenai angin ahmar,  seperti juga sebelumnya dia berahsia hal-hal peribadi. 

Dia kerap telefon ke rumah terutama pada malam minggu dan  anak saya amat kenal suaranya. “Boleh bicara dengan Saudara Imlan Adabi...!” Mendengar suara itu anak akan mengenal  empunya diri, juga cara ungkapannya,  sudah 20 tahun kedengaran di corong telefon rumahku. Dia juga mengenal nama semua anak saya kerana kekerapan panggilannya setiap bulan.

Kesilapan saya ialah tidak menelefonnya walaupun sepatutnya Zahari menghubungi saya pada awal Februari. Kesilapan ini  memberi kesan kerana kami pernah berjanji untuk bertemu di desa kelahirannya di Kampung Selboh, Parit, Teluk  Intan.

Kami akrab sejak awal dekad 80-an apabila menggerakkan majlis baca puisi di sekitar Lembah Klang. Sekumpulan penulis muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Perkumpulan Penyair Mutakhir bergabung dengan pengelola media tabloid mengadakan acara seni saban minggu di Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa.

 Majlis yang awalnya kecil, akhirnya bersejarah apabila Perhimpunan Penulis Muda kali pertama diadakan pada 1987 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Ramai sasterawan muda ketika itu bergabung menjayakan pertemuan sastera yang bersejarah. Zahari Hasib, Abdulaziz HM,   Abdullah Tahir,  Khalid Salleh, Nawawee Mohamad, Azmi Yusof, Wanrazuhar, Pyanhabib, Zaen Kasturi, Ladin Nuawi, M Hanafiah Samad dan ramai lagi  memeriahkan acara seni dengan pelbagai karya yang boleh dipertanggungjawabkan.

Zahari dianggap penyair paling popular sekitar 80-an. Puisinya merakyat, menyentuh isu semasa dengan cara tersendiri. Unsur pancungan   pada bait akhir memeriahkan karyanya yang agak prosaik. Zahari tidak peduli kepada teguran pengkritik seni, kerana baginya puisi adalah curahan nurani kehidupan penyairnya.

Bagi Zahari, kerja penulisan adalah milik peribadi kerana setiap penulis   berhak untuk bersuara dengan caranya sendiri. Tugas pengkritik pula adalah mengkritik dan menganalisis karya seni.

Pertembungan antara penulis dan pengkritik tanpa disedari menjadi politik sastera yang luar biasa di Malaysia. Bagi kebanyakan penulis, isu sastera sama hebatnya dengan masalah politik tanah air, cuma tidak disedari umum kerana hak kesenian seringnya terselindung untuk segelintir penanggap sastera itu sendiri.
Isu sastera tanah air sering dianggap mempunyai kabilah dan kroni tersendiri. Zahari,   seperti juga Suhaimi Haji Muhammad dan Leo AWS bagai dipinggir karya mereka. Keunikan, iltizam dan roh  sesebuah karya jarang diperhatikan. Yang muncul dan sering diutamakan adalah sorak-sorai sastera hingga menyebabkan isu sebenar karya tempatan tidak diperkatakan.

Kini Zahari sudah tiada walaupun ratusan sajaknya kekal bersama kita. Tentunya saya terkilan kerana tidak sempat menziarahinya yang meninggal dunia ketika  azan Maghrib berkumandang  dari Masjid Nurulhuda yang  terletak di depan rumahnya.

Lelaki berusia 65 tahun ini tentunya pergi untuk selamanya selepas menderita  angin  ahmar di rumahnya di Lorong lntan 3, Taman lntan  Emas, Jalan Padang Tembak.   Jenazahnya   dikebumikan di Tanah Perkuburan lslam Jalan Sultan Abdullah.  Al-Fatihah - Berita Harian, 6 Mac 2012