Ramalan kiamat pada Jumaat 21 Disember lalu ternyata meleset. Bumi, bulan, bintang dan matahari masih beredar mengikut paksinya. Kiraan Kalendar Mesoamerican Mayan mengikut pusingan bumi selama 5,125 tahun dan tamat 21 Disember lalu tidak menyebabkan kehancuran sejagat.
Kita meneruskan kehidupan menjelang tahun baru 2013 dengan pelbagai harapan, keyakinan dan pengalaman.
Tahun baru tentunya menjanjikan keyakinan baru. Situasi kehidupan dipengaruhi cara hidup bersosial, kegiatan ekonomi, perkembangan siasah dan berbudaya. Tamadun manusia bukan datang dengan sendiri dan sejarah adalah rakaman kehidupan yang sentiasa bergerak dan mencabar kedewasaan jiwa.
Penulis teringat kepada sajak Sidang Roh karya Dr Kassim Ahmad yang disiarkan pada Ogos 1960: ‘perlu satu-satu diperhitungkan kembali/ hari ini kita dewasa/ tanpa Tuhan tanpa impian/ kerana besok mungkin terlalu lewat/ bagi kiamat yang telah ditangguhkan...’
Tidak salah menjadikan karya malar segar sebagai pedoman tahun baru. Apatah lagi kiamat yang dihebohkan pihak tertentu ‘ditangguhkan’. Hidup harus diteruskan kerana kiamat yang diramalkan 21 Disember lalu kini menjadi jenaka sejagat.
Setiap kali menjelang tahun baru, penulis terkenang cerpen Memburu Tahun Baru karya Malungun atau nama asalnya Amir Hamzah Shamsuddin.
Cerpen ini dikaji ketika menjayakan projek Proses Kreatif Pengarang Melayu yang diselenggarakan Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Wawancara proses kreatif diterbitkan dalam buku Jambak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Memburu Tahun Baru adalah kisah perjuangan marhaen kota yang bergelut untuk hidup, meneruskan kehidupan bujang dan memenuhi naluri seksual. Lebih menarik, mereka perlu memenuhi sasaran tahun baru untuk menjayakan projek pembinaan yang hasilnya diraih kalangan kapitalis.
Kisah dua darjat yang saling meminggirkan diri. Marhaen terjerumus dalam lingkaran kemiskinan kota dan sentiasa bekerja di tapak pembinaan untuk membangunkan kawasan perumahan dan perbandaran. Semakin cekal usaha mereka menjelang tahun baru bererti kadar upahnya kian dekat diperoleh. Tanpa sedar apabila pembinaan siap, mereka terpaksa meninggalkan rumah setinggan yang didiami kerana kawasan itu juga bakal dibangunkan sebagai kawasan komersial.
Tahun baru bagi orang kecil penuh prasangka. Projek perbandaran untuk pihak lain dan setinggan kota harus berusaha mencari tapak lain kerana kediaman dimusnahkan kalangan pedagang.
Sasterawan Negara Keris Mas memuji cerpen yang disiarkan majalah Dewan Bahasa pada tahun 1965 sebagai suara anak Malaysia. Malungun mahu membuktikan bahawa seseorang yang berjiwa sosialis dan memperjuangkan ideologi sosialis belum tentu mengamalkan fahaman sosialis dalam kehidupannya.
Prof Madya Dr Abdullah Tahir pernah mengulas cerpen ini melalui pendekatan matematik. Tetapi sehingga hari ini tiada siapa yang dapat memahami matematik sebagai asas menilai karya kreatif. Umar Junus dan Lutfi Abbas juga mengkaji karya ini sebagai wadah tahun baru yang sentiasa menggerunkan.
Kalangan pesimis sentiasa melihat perubahan waktu sebagai ancaman kehidupan. Siaran televisyen satelit menyiarkan Doomsday 2012: Watch the 'End of the World' sebagai rutin harian sejak Oktober lalu.
Ramai yang ‘cerdik’ di Amerika Syarikat membina bilik bawah tanah kerana bimbangkan kiamat 21 Disember. Ada yang menyimpan sardin dan gandum sejak tiga tahun lalu. Mereka yakin selamat daripada kiamat kerana berlindung di bilik kebal bawah tanah. Makanan disimpan setiap hari kerana mereka yakin boleh meneruskan kehidupan keduniaan ketika kiamat berlaku. Di China pula ada pihak yang membina kapal besar kononnya bahtera Nabi Noh untuk menyelamatkan diri ketika kiamat.
Kekeliruan mengenai kiamat dan kerosakan alam adalah sebahagian daripada fahaman sekular yang mendakwa dunia terjadi dengan sendirinya. Hari ini golongan ini bukan saja sekular, bahkan terbabit dalam fahaman pluralisme dan liberalisme. Kehidupan bagi mereka sekadar peralihan kalendar sebahagian daripada catatan perjalanan seseorang.
Fahaman ini amat bahaya dan sedang menular di Malaysia. Acara sambutan tahun baru dan sorak hilai di Dataran Merdeka sebahagian daripada fenomena kehidupan yang boleh mencabar kewarasan minda.
Tahun baru sepatutnya mendidik kita untuk berjiwa besar dan berhati mulia. Kehidupan berpolitik dan berekonomi tidak semestinya melupakan hakikat manusiawi. Dunia terlalu kecil untuk kita membesarkan diri. Perbezaan siasah sepatutnya diredakan dengan fikiran tenang. Kelainan dan silap faham sepatutnya disulami perasaan santun dan berhemah. Bak kata Prof Dr Hamka dalam bukunya Lembaga Budi; Manusia terlalu kerdil untuk mengkaji kebesaran alam! - Berita Harian, 25 Disember 2012