Pages

Tuesday, December 18, 2012

Apabila pengamal media bergelar sasterawan

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said amat sinis menerusi novel Hujan Pagi - “Wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati!”

Karya ini menghuraikan kekusutan jiwa seorang wartawan generasi sebelum perang yang tidak lagi memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan arah dan perkembangan media masa kini. Segala yang berlaku menyentuh hati nurani dan pegangan hidup wartawan. Perkembangan terbaru dalam harian Sinar Pagi (nama akhbar dalam Hujan Pagi) menyebabkan watak utama, Lokman terseksa dan tergelincir ke  dunia halusinasi.

  Samad secara ghairah bertanya:  “Apakah peranan akhbar saudara itu ‘pengghairah’, ‘pelapor’, ‘pendakwah’, atau ‘pengekor’?”
Dalam mingguan halusinasi iaitu Hujan Pagi, Lokman diberi peranan besar sebagai penentu dasar media yang dicabar  kuasa politik. Dirasakan ada sesuatu perjuangan yang bermakna, sesuai dengan latarnya sebagai  nasionalis.

  Samad bagai merungut mengenai kawalan kuasa terhadap akhbar. Era penjajah, pegawai British menguasai media dengan pelbagai kongkongan. Pasca merdeka pula, penjajah dalam kalangan bangsa sendiri berperanan menentukan kandungan sesebuah media. Elitis politik berperanan menentukan suara dari atas dapat membendung hasrat dari bawah. Bagaimanapun suasana politik selepas 1998 berubah apabila media baru mengambil tempat yang lebih jauh dan mengancam media tradisional.

  Mitos kuasa, politik, wartawan dan sasterawan sentiasa erat dalam perkembangan sastera dan kewartawanan di Malaysia.  Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajaknya Zaman Ini sinis terhadap wartawan.
  ‘Engkau wartawan kutip berita antara manusia
  Penamu tajam dapat mencungkil keburukan mereka
  Engkau diam mengikat tangan di bawah meja
  Zaman ini memaksamu menulis yang baik belaka!’


Usman seperti juga Samad adalah antara sasterawan wartawan yang sentiasa lantang memperjuangkan isu sosial dan kemanusiaan. Genre puisi, cerpen, drama dan novel dimanfaatkan untuk menelanjangi suasana yang dianggap bobrok.

  Mereka berdua tidak asing dalam gerakan massa Asas 50 yang ditubuhkan di Singapura bertujuan menyuarakan kepentingan Melayu, bukan bersekutu dengan penjajah dan menggelarkan diri sebagai pejuang kemerdekaan.

  Karyawan lain termasuk Sasterawan Negara Arenawati, Sasterawan Negara Keris Mas, Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) dan Tan Sri A Samad Ismail adalah nama besar sebagai sasterawan dan wartawan. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Mas adalah kritikan tajam terhadap Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilihat berjaya dari segi kulit semata-mata. Melayu dari kelompok mana yang dapat nikmat pembangunan?

  Pak Sako menerusi Putera Gunung Tahan menyindir British yang menguasai Tanah Melayu. Novel ini menggarapkan nasionalisme dalam bentuk satira, menggunakan lambang Gunung Tahan, ‘orang-orang Sakai’ dan kulit harimau putih sebagai bahan kritikan.  Ketika itu tidak mengizinkan Pak Sako    menulis secara terus-terang. Beliau adalah di antara sasterawan wartawan berhaluan kiri dan berkarya di luar pemikiran arus perdana.   

  Mereka menganggap golongan yang dianggap kanan adalah warisan penjajah yang mahu meneruskan agenda Barat  di bekas tanah jajahan. Tidak terkecuali juga segelintir Melayu yang muncul sebagai elitis kuasa mendakwa sebagai pejuang kemerdekaan, walhal agenda tersembunyi adalah meneruskan agenda asing di negara ini.
  Arenawati menerusi beberapa karyanya adalah citra kegelisahan wartawan pada zaman gelap. Menerusi Busa Hati, Arenawati bersuara: “Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah.”

Media dan pengamalnya diperkatakan secara terbuka. Lebih malang apabila ada pihak  mengatakan pengamal media dibolehkan memutar fakta untuk membentuk gambaran yang diingini kepada khalayak.

  Kita tidak yakin amalan ini sebahagian daripada tradisi kewartawanan yang unggul untuk dimanfaatkan. Media, seperti juga sastera perlu kekal manusiawi, mengajak pembaca menjadi cerdik, bukan mendodoikan masyarakat.

  Amat malang apabila seorang wartawan terkenal yang disaman menyalahkan editor yang menyiarkan cerpennya. Dia sepatutnya sedar penulisan  ada hukum-hakamnya walaupun hanya sebaris ayat. Dia perlu ingat  wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati. - Berita Harian, 18 Disember 2012
 

No comments: