Pages

Tuesday, December 24, 2013

Bersederhanalah sambut tahun baru

Kita bakal sambut tahun baru dengan
 kenaikan harga barang. 2014 untuk kita lebih bersabar.
Kita sudah berada pada penghujung 2013 dengan pelbagai kemungkinan dan harapan yang bakal menjelma pada 2014. Bagi kebanyakan insan, tahun baru adalah permulaan kepada tulisan di buku catatan dengan rangka tugasan yang kian mencabar.

 Setiap tahun apabila Krismas menjelang, perayaan sambutan tahun baru tidak dapat dielakkan. Malaysia bersama masyarakat dunia  tidak terkecuali mengumumkan cuti umum pada 1 Januari setiap tahun bagi meraikan detik baru dalam kehidupan insani.

 Malam tahun baru yang diraikan selepas senja 31 Disember dicatat sebagai  hari terakhir dalam  kalendar Gregorian. Banyak negara Barat menyambut tahun baru dengan majlis pesta atau berkumpul bersama ahli keluarga dan sahabat. Amalan yang memabukkan dilakukan dengan alasan menamatkan kegetiran pada tahun ‘lama’. Amalan berkenaan tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia yang berlandaskan  Islam dan budaya ketimuran.

 Negara di kepulauan  Pasifik lebih awal menyambut tahun baru kerana edaran bulan dan matahari lebih cepat. Justeru, amalan setempat di Kiribati dan Samoa yang sesetengahnya masih mengamalkan ateis melakukan pelbagai aksi aneh bagi meraikan tahun baru yang dianggap meriah. Hal ini berbeza dengan penduduk Honolulu, Hawaii yang lambat meraikan pesta tahun baru kerana faktor geografi. Banyak acara baca puisi dan mantera dilafazkan bagi meraihkan peralihan tahun. Peranan seniman, penyair dan pawang  amat berkesan dalam usaha memeriahkan tahun baru di kepulauan Pasifik.

 Kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) yang mempelopori gaya hidup bebas meraikan tahun baru sejak lebih 100 tahun lalu. Gaya hidup AS yang santai mempengaruhi generasi muda negara lain. Orang ramai membanjiri Times Square untuk menanti detik 12 malam yang turut disiarkan di kaca televisyen. Sejak abad lalu sambutan tahun baru dimulakan dengan tradisi penurunan bola raksasa di Times Square. Pemuzik jalanan, pelukis, penyair dan pelawak membawa aksi tersendiri.  

Kebanyakan  kota besar di Australia pula meraikan malam tahun baru dengan cahaya bunga api. Di Perth, Australia Barat, bunga api diluncurkan dari tongkang di sepanjang Sungai Swan. Di Brisbane, orang ramai berkumpul di sekitar Sungai Brisbane untuk menyaksikan pertunjukan bunga api. 
 Ramai seniman memberi analogi bola sepak dan tahun baru adalah pesta yang menakjubkan di Brazil. Malam tahun baru yang disebut Vespera de Ano Novo adalah perayaan meriah, selain lima kali memenangi bola sepak Piala Dunia. Nama Pele, Ronaldo dan Romario bersemarak dalam puisi dan karya jalanan. Wartawan meramalkan sambutan tahun baru kali ini lebih meriah kerana Brazil bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014. Pesta di sepanjang pantai Copacabana di Rio de Janeiro akan diserikan dengan nyanyian lagu puisi bagi meraikan  sambutan 2014.
  
 Kota besar lain seperti London tidak terkecuali menyerikan sambutan dengan tembakan bunga api di  London Eye, seperti juga tembakan meriam dari Istana  Edinburgh, Scotland. Bagi peminat muzik yang pernah mengalunkan  ‘Auld Lang Syne’ yang sering digunakan sebagai lagu penutup tahun bagi pesta yang dinamakan  ‘Hogmanay’, mereka wajar berterima kasih kepada penyair Robert Burns yang melahirkan puisi indah untuk lagu berkenaan. Lirik puitis menggambarkan kesayuan berpisah dengan tahun lama kerana tahun baru belum tentu menjanjikan kenangan yang lebih manis.

Masyarakat Denmark pula berpuisi dan berpidato ketika meraikan tahun baru. Malam tahun baru yang disebut ‘nytarsaften’ adalah detik kemuncak yang menggambarkan warisan tradisi dan cita-cita masa depan. 

 Bagaimanapun keanehan berlaku di Ecuador yang  memiliki tradisi unik dalam merayakan malam tahun baru. Tokoh yang tidak disukai seperti ahli politik yang dibenci dijadikan model orang-orangan daripada jerami, pakaian usang dan topeng kertas. Model berkenaan dibakar selepas tengah malam sebagai tanda menolak bala. Sekali lagi puisi dan mantera memeriahkan majlis dengan tarian sewang yang bercanggah dengan nilai normal antarabangsa.

 Bagi kebanyakan negara Arab dan Afrika, sambutan tahun baru sering dilagukan dengan nyanyian tradisi, mantera dan syair klasik. Unsur kabilah, suku dan resam tempatan menjadi pengiring semangat menjelang tahun baru.

 Bagaimanapun kita di Malaysia yang mengamalkan sikap sederhana, wajar  2014 diraikan dengan kewarasan. Tidak salah baca puisi atau nyanyian artis terkenal tetapi jangan abaikan resam tempatan. Nilai Islam perlu diamalkan agar 2014 membawa rahmat kepada kita semua. - Berita Harian, 24 Disember 2013
 

Tuesday, December 17, 2013

Tradisi akal sepatutnya dicapai menjelang 2020

Tidak sampai tujuh tahun lagi untuk Malaysia mencapai status negara maju. Apakah kita sekadar  maju dari segi ekonomi tapi masih samar dalam  tradisi intelektual dan budaya membaca?
Apakah 2020 sekadar pencakar langit tapi rakyatnya kurang berbudaya -- tersasar daripada kehidupan akal budi dan tidak mesra tetangga serta pupusnya tradisi muafakat?

Persoalan ini sering dilontarkan dalam kalangan sarjana, budayawan, cendekiawan dan intelektual.
Mungkinkah kita sekadar mengisi poket tapi kosong akal dan perasaan? Segala-galanya masih misteri kerana status negara maju bagi sesebuah negara ketiga jarang memenuhi kriteria yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)  menetapkan sesebuah negara maju mempunyai budaya membaca yang tinggi dan sektor penerbitan memenuhi keperluan massa.

 Penerbitan judul buku setahun adalah satu peratus daripada jumlah penduduk. Malaysia yang mempunyai 28 juta penduduk sepatutnya memiliki 28,000 judul bahan bacaan. Tapi sehingga kini angka tersebut sukar dicapai. Persoalan lain yang timbul adakah semua bahan bacaan terbitan tempatan memenuhi keperluan minda?

Kita harus akui banyak buku agama diterbitkan, seperti juga banyak novel dan panduan motivasi menjenguk kedai buku dan dewan pameran. Apakah bahan berkenaan memenuhi keperluan intelektual atau sekadar usaha penerbit dan penulis untuk meraih keuntungan segera semata-mata mengesani keghairahan awam untuk membaca?

Sehingga kini isu buku, penerbitan, bahan bacaan dan tradisi intelektual tidak pernah reda daripada polemik. Memenuhi kedai buku dengan bacaan yang kurang bermutu tidak menggambarkan budaya membaca yang sewajarnya. Penerbitan cerita hantu, jin dan jimak cara Islam bukan gambaran tepat untuk mengatakan bahan bacaan berunsur keagamaan semakin didekati rakyat Malaysia. Kualiti bahan bacaan sering dipertikaikan, justeru, tidak menghairankan apabila ada yang sinis setiap kali pesta buku diadakan  setiap tahun.

Dalam masa dua bulan ini ada dua pesta buku diadakan di Lembah Klang. Pada peringkat negeri juga tidak terkecuali pameran buku diadakan, kononnya untuk menggalakkan budaya membaca. Namun lihatlah novel yang bagaimana menjadi santapan minta remaja dan wanita kita? Kaji juga kenapa  plot ala ‘Ombak Rindu’ mendapat perhatian ramai dan penerbit pula meraih keuntungan yang luar biasa walaupun penulisnya masih dinafikan royaltinya.

Banyak penulis yang mendakwa dieksploit oleh penerbit. Novel yang laris kebanyakannya dibayar secara langsai  tanpa perkiraan dari segi ulang cetak. Ada penulis yang merungut apabila penerbit menjualkan naskhah novel kepada pengusaha filem dan akhirnya diadaptasi sebagai skrip. Filem yang laris dengan keuntungan berjuta bukan jaminan penulis novel mendapat royalti atau honorarium. Isu kontrak di antara penulis dan penerbit tidak pernah selesai. Banyak penulis yang mengharapkan wang segera menerusi  royalti tanpa mengkaji terma  sesebuah karya diulang cetak. Isu lebih besar berlaku apabila karya dipindahkan ke medium lain, novel menjadi skrip filem atau drama tanpa jaminan seseorang penulis mendapat hak mereka.

Isu ini menggambarkan hak kreatif bukan  gambaran hak cipta sesebuah karya dan penerbit masih bebas melakukan tindakan yang bertentangan dengan prinsip keikhlasan.
Inilah konflik yang berlaku dalam sektor penerbitan dan akhirnya memberi kesan kepada seseorang penulis  sendiri. Kemelut sebegini tidak berlaku di negara maju tapi kerap berlaku di Malaysia yang bakal melangkah negara  maju tidak lama lagi.

Sehingga kini masih kabur mengenai  jumlah penerbitan buku setiap tahun. Kita yakin  rekod pengeluaran nombor siri (The International Standard Book Number - ISBN) buku yang dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) tidak meliputi karya yang dikeluar golongan persendirian dengan kadar edaran yang rendah. Ada sesetengah penyair dan cerpenis menerbitkan sendiri karya mereka serta diedarkan pada majlis seni seperti Hari Sastera Nasional. Karya yang diedarkan secara kecilan bukan realiti  sesebuah buku dibaca oleh lima orang, yang bermakna karya  diterbitkan 1,000  naskhah akan dibaca oleh 5,000 penelaah. Mustahil tradisi membaca karya yang baik berakar umbi di negara kita, justeru, jangan terperanjat pembentukan negara maju sekadar angka dan graf ekonomi, bukannya pembentukan akaliah dan nilai budi warganya. - Berita Harian, 17 Disember 2013 

Tuesday, December 10, 2013

Faisal Tehrani, JAKIM wajar berwacana

Kita  wajar menerima Faisal Tehrani sebagai penulis kreatif tempatan paling menonjol pada dekad ini. Karya, catatan dan pemikirannya menjadi tumpuan ramai. Novelnya dianggap   visi baru selepas dua Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Datuk Shahnon Ahmad meneroka pemikiran kritis  menerusi Daerah Zeni, Hujan Pagi, Sutan Baginda, Tok Guru dan Shit.

Faisal menerusi novel Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang; kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu, drama pentas Karbala dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah mempunyai idea yang tersendiri dan wajar diwacanakan.  Karya berkenaan diragui  kerana dianggap bertentangan dengan pemikiran massa di negara ini.

Jika benar penulis berkenaan terbabit dalam penyebaran ajaran Syiah, beliau perlu dikenakan tindakan. Jika tiada bukti, Faisal wajar dibenarkan berkarya kerana kaedah kajian hasil kreatif tidak sama dengan matematik atau sains.

Isu Syiah memerangkap penerima Anugerah Seni Negara pada  2006 ini. Adakah benar beliau penganut Syiah atau sekadar mengemukakan latar belakang Iran dalam karya sebagai suatu kelainan berbanding karya tempatan yang lain?

Dalam konteks semiotik, Faisal dan Iran ada hubungan  tersendiri. Kewujudan ‘Tehrani’ pada hujung nama mungkin membawa maksud Teheran iaitu ibu negara Iran. Hanya  Mohd Faizal Musa yang memahami maksud nama samarannya.

 Faisal mempunyai pengaruh yang tersendiri terutama dalam kalangan generasi muda. Novel 1515, 1511H Kombat, Perempuan Politikus Melayu,  Detektif Indigo, Advencer Si Peniup Ney, Bedar Sukma Bisu dan Cinta Hari-Hari Rusuhan menjadi kesukaan generasi muda.

Pemikiran dan persoalan yang ditampilkan dalam karya berkenaan dibincang dan diperdebatkan. Isu Syiah tidak diperkatakan sebelum ini. Untuk lebih adil, karya yang diharamkan wajar didedahkan secara umum. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan   Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membuat penjelasan secara terbuka agar kontroversi yang melanda Faisal dapat dihuraikan secara terperinci, berhemah dan bertanggungjawab.

Kita menentang sebarang unsur Syiah dalam masyarakat kerana boleh menjejaskan keharmonian umat Islam.  Bagaimanapun Faisal perlu diberikan keadilan. Pihak yang mendapati karya beliau bertentangan dengan nilai tempatan wajar memberi penjelasan. Huraikan bab mana yang mengandungi unsur Syiah. Perjelaskan ungkapan yang dikaitkan dengan Syiah sehingga dianggap mengancam kebebasan beragama dan merosakkan akidah umat Islam.

Isu pengharaman karya bukan sesuatu yang baru di Malaysia. Faisal mungkin pengarang generasi baru pertama yang karyanya diharamkan. Sebelum ini karya Pak Sako diharamkan  British kerana satiranya dianggap menjejaskan kepentingan penjajah. Buku ilmiah Pendeta Za'ba juga  pernah diharamkan pihak berkuasa agama di sebuah negeri kerana sebab yang masih menjadi rahsia umum.

Beberapa karya yang dianggap keterlaluan bebas tersiar sebelum ini walaupun menimbulkan kemarahan umum. Shanon dengan novel Shit  memburukkan pemimpin negara hampir 15 tahun lalu. Yahaya Ismail menerusi cerpen Maharaja Beruk secara keterlaluan membandingkan individu tertentu dengan perangai haiwan yang suka mencakar dan menggigit. Mereka terlepas daripada tindakan pengharaman.

  Kassim Ahmad pernah diharamkan bukunya kerana mengusulkan  penilaian semula hadis. Sajak beliau Sidang Roh menjadi kontroversi kerana diksi ‘...nanti akan padamlah dengan sendiri/ lampu dari menara tinggi/ karena di bawahnya orang kian mabuk/dan Tuhan sudah mati’. Ungkapan ‘Tuhan sudah mati’ dalam konteks sajak berkenaan ditujukan kepada golongan yang ingkar kepada agama dan bukan menggambarkan kehidupan Kassim sendiri.

  Kita harap isu yang melingkari karya sastera tempatan tidak menjejaskan kreativiti, semangat dan keinginan penulis untuk melahirkan karya berbobot.

Jika  Faisal  disahkan berfahaman Syiah, beliau wajar ditarbiah dan dikenakan tindakan berlandaskan perundangan yang ada.  Beliau perlu diberi peluang membela diri dan JAKIM pula wajar memberi penjelasan secara terbuka dan ilmiah bagi mengelak tindakan agensi berkenaan dipertikaikan.
Faisal  mahu mengemukakan isu pengharaman novel ke peringkat antarabangsa termasuk  dirujuk kepada  badan hak asasi  Front Line Defenders serta pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita harap isu sebenar terserlah tidak lama lagi.

Saturday, December 07, 2013

Mandela, sebuah perjuangan hakiki



MANDELA pejuang yang membayar harga
tinggi demi keyakinan kepada keadilan sejagat.
Dunia bagai berhenti beredar seketika menerima perkhabaran kematian bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela di kediamannya di Johannesburg semalam. Jasa, perjuangan dan kecekalan memperjuangkan kulit hitam sudah sinonim dengan lelaki berusia 97 tahun itu. Kematiannya mengingatkan kita penderitaan beliau yang menghidap  jangkitan paru-paru serta batuk kering ketika berada di penjara selama 27 tahun.

 Beliau membayar harga yang tinggi untuk perjuangan politiknya, sekali gus meragut kebebasan peribadi. Beliau juga menemui kejayaan selepas menumbangkan dasar aparteid bagi hak sama rata kulit hitam. Namun pada masa yang sama beliau terpaksa membayar harga yang tinggi apabila rumah tangganya bersama Winnie Madikizela musnah kerana perbezaan pendekatan siasah.

 Kematian Mandela tercatat dalam khazanah sejarah. Penerima Anugerah Nobel ini adalah Presiden Afrika Selatan pertama yang dipilih secara demokrasi selepas dibebaskan pada 1990. Kematiannya  diumumkan oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dengan nada yang sebak.

 “Kini beliau pergi dengan aman untuk selama-lamanya,” kata Zuma yang turut bersedih. Pengebumian negara akan dilakukan untuk Mandela dan Zuma mengarahkan semua bendera dikibar separuh tiang mulai semalam sehinggalah pengebumian tokoh negara itu.

 Mandela atau nama sebenarnya Nelson Rolihlahla Mandela dilahirkan pada 18 Julai 1918 di Mvezo, sebuah desa kecil di tepi Sungai Mbashe, di daerah Umtata, ibu kota Transkei (kini sebahagian wilayah Eastern Cape), Afrika Selatan pada 18 Julai 1918.

 Ayahnya, Gadla Henry Mphakanyiswa, adalah Penasihat Pengadilan Tinggi di Thembuland di bawah pemimpin tertinggi David Dalindyebo. Mandela menamatkan pendidikan menengah di Healdtown Methodist Boarding School dan mendapat ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Universiti Fort Hare. Sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (SRC), beliau  bersama Oliver Tambo menganjurkan mogok sebagai lambang penentangan dasar  aparteid. Ribuan pelajar memberontak dan Mandela akhirnya  dibuang dari universiti berkenaan pada 1940.

 Beliau  kemudian melanjutkan pendidikan melalui program jarak jauh di University of South Africa (UNISA) di Johannesburg. Selepas  mendapat ijazah dalam bidang perniagaan, beliau  mendaftar dalam program LLB (Sarjana Muda Undang-Undang) di Universiti Witwatersrand.

 Pada  1944, Mandela membentuk Liga Pemuda Kongres Kebangsaan Afrika (ANC Youth League). Beliau  dilantik Ketua Sukarela Kebangsaan untuk program yang dikenal sebagai Kempen Penentangan pada 1952. Mandela menjelajah seluruh negara bagi menggerakkan  penentangan terhadap undang-undang aparteid.  Mandela dan  Tambo menubuhkan firma guaman kulit hitam yang pertama di Afrika Selatan, dengan tujuan menentang undang-undang kejam kulit putih.

 Parti ANC diharamkan selepas pemberontakan di Sharpeville pada   1960 dan Mandela ditahan beberapa kali, namun semangat perjuangan tidak padam begitu saja. Mandela masih meneruskan perjuangan dan menjalankan aktiviti bawah tanah sambil memimpin organisasi menuntut kehidupan kebangsaan yang baru, bebas  pengaruh aparteid.

 Umkhonto we Sizwe sayap militer  ANC dibentuk pada tahun yang sama dengan Mandela sebagai pemerintah tertingginya. Di bawah pimpinannya, Mandela  melancarkan sabotaj terhadap rejim kulit putih. Setahun kemudian, Mandela meninggalkan tanah airnya untuk mendalami latihan ketenteraan di Algeria.

 Selepas  kembali, Mandela ditahan dengan alasan meninggalkan negara secara haram dan menghasut   rakyat untuk merusuh. Beliau  didakwa bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama lima tahun pada November 1962. Sewaktu di penjara, beliau juga  didakwa dalam perbicaraan Rivonia, atas tuduhan melakukan sabotaj dan dipenjarakan seumur hidup.

 Mandela pernah  mencadangkan semua aktivis masyarakat menjadikan  setiap rumah menjadi pusat ilmu. Pulau Robben tempat beliau  dipenjarakan dijadikan pusat perkembangan ilmu dan Mandela mengadakan kelas pendidikan politik. Beliau tidak pernah berkompromi dari segi prinsip politiknya dan menjadi sumber kekuatan  banduan  lain di penjara. 

 Pada 1970-an, Mandela menolak tawaran pengurangan hukumannya dengan mengiktiraf Transkei sebagai sebuah penempatan  dan bersetuju untuk tinggal di sana.  Pada 1980-an, beliau  enggan menerima tawaran  untuk membebaskannya. Selepas menolak beberapa tawaran bersyarat rejim Afrika Selatan, Mandela hanya  dibebaskan pada 11 Februari 1990. Akibat tentangan hebat  ANC dan tekanan antarabangsa, Presiden FW de Klerk terpaksa akur dan membebaskan semua tahanan politik termasuk Mandela dan juga mengakhirkan pengharaman ANC. Pada 10 Mei 1994, Mandela dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.

Namanya melonjak dalam kalangan dunia ketiga kerana kejayaan membentuk era politik baru di Afrika Selatan dan Afro-Asia. Mandela berjaya membentuk hala tuju politik baru yang bukan bersandarkan kepada warna kulit.

Dalam konteks antarabangsa, sumbangan beliau diakui ramai. Suara kebebasannya bergema di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dianggap mewakili benua Afrika dan Asia. Beliau juga lantang menyuarakan kepentingan dunia ketiga dalam persidangan negara berkecuali dan Komanwel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Mandela negarawan bertaraf dunia yang sukar dicari ganti. "Mandela seorang negarawan keamanan dan sememangnya anak lelaki yang gagah dan pemimpin yang hebat di Afrika Selatan. Moga rohnya bersemadi dengan aman," katanya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas kematian Mandela semalam berkata: "Pemergiannya  suatu kehilangan besar bagi saya dan semua rakyat Afrika. Mandela bukan saja sahabat sejati, tetapi juga pemimpin yang amat dikagumi. Jika  ditanya siapakah pemimpin yang pernah saya jumpa yang paling saya kagumi, tanpa teragak-agak saya akan menjawab, Nelson Mandela," katanya yang pernah menerima kunjungan tokoh berkenaan di Kuala Lumpur pada  Mac 1997.
 Malaysia juga menganugerahkan  Anugerah Keamanan Global Mahathir kepada tokoh besar itu. Malangnya beliau tidak dapat datang ke Kuala Lumpur  kerana keuzurannya. - Berita Harian, 7 Disember 2013 
 

Friday, December 06, 2013

Mandela ke perjalanan jauh

18 Julai 1918 - 5 Disember 2013

Thursday, December 05, 2013

Gema Hati Anak Alam

Pelancaran pameran lukisan Gema Hati di lobi utama Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur kelmarin mengingatkan kembali era 1970-an dan 1980-an di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

 Jika dulu   bangunan lama di Padang Merbok menjadi tumpuan anak muda berkarya, berwacana, melukis dan mendeklamasikan puisi, kini Balai Berita mengumpul seniman tersohor Anak Alam yang kelibat sesetengah mereka jarang diperkatakan lagi.

 Pameran lukisan  Mazlan Noor dan Hassan Abdul Majid boleh mengingatkan kembali era tiga  dekad lalu apabila calitan warna, garis dan titik mempunyai suara yang tersendiri, lalu bercerita mengenai alam, kehidupan, kesepian dan harapan hari muka.

 Majlis yang  diserikan bicara seni  Dr Siti Zainon Ismail, serta deklamasi puisi oleh  Khalid Salleh,  Pyanhabib,  Marzuki Ali,  Prof Dr Mohamad Hatta Shaharom, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Yassin Salleh dan Ayesha Scott Abdullah berlangsung secara santai tetapi meriah.

Lagu puisi pula  didendangkan oleh  Kopratasa dan  Pak Pandir yang mengisahkan perjuangan Mazlan sebagai pelukis dan seniman bakat alam.

   Majlis  anjuran Media Prima Bhd (MPB) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu,   dirasmikan oleh  Sasterawan Negara (SN) ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan, yang turut berkisah sejarah perjuangan dua pelukis yang pernah menjadi tenaga seni terpenting di DBP.

 Majlis  berkenaan  mengembalikan nostalgia kalangan seniman yang suatu ketika dulu bergabung secara santai, berpuisi, melakar pada kanvas dan akhirnya menjadi gerakan seni yang luar biasa di Malaysia.

 Ada kalangan sarjana yang menafsirkan Anak Alam sebagai gerakan terancang walaupun mereka mengakui  kebanyakan seniman di Malaysia hidup secara mandiri, berjuang tanpa sokongan yang secukupnya daripada birokrat seni atau badan korporat.

 Kita masih ingat laman Padang Merbok di antara medan pertemuan penulis bakat baru  pada 1987 yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk formal yang dikenali Perhimpunan Penulis Muda Malaysia.

 Penulis turut terbabit dalam gerakan berkenaan yang akhirnya mendapat restu daripada Tan Sri Ismail Hussein sebagai Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA).  Dua Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Datuk Usman Awang serta  beberapa rakan di DBP terutama Datuk Johan Jaaffar yang   turut berada di belakang kami untuk  memeriahkan majlis di Padang Merbok.
 Tanpa sokongan rakan di Rumah Anak Alam ketika itu terutama Abdulaziz HM, Khalid, Marzuki dan Ladin Nuawi, mustahil Perhimpunan  Penulis Muda Malaysia tercapai dan mungkin 1987 tidak mencatat sejarah besar dalam konteks kesusasteraan di Malaysia.

 Hari ini Anak Alam sudah menjadi tinggalan sejarah. Sisa lampau  masih tersemat di pedalaman jiwa seniman Malaysia. Tokoh besar seperti  Usman, Siti Zainon, A Ghafar Ibrahim, Dr Ibrahim Ghafar, Khalid,  Abdulaziz HM dan  Pyanhabib sudah meninggalkan kesan yang luar biasa dalam pelbagai genre.  Johan, Dinsman, Sutung Umar RS dan  Ladin  juga turut dewasa bersama Anak Alam dan kini membawa haluan masing-masing.

 Mustahil pameran lukisan Gema Hati mengembalikan era lampau sepenuhnya. Setidak-tidak ia menjadi upaya Media Prima untuk mempertemukan rakan lama yang kini sudah berada pada suasana dan usia yang jauh berbeza.

Kita mengharapkan Anak Alam kembali hidup pada alaf ini kerana kesan perjuangan mereka sukar dinilaikan dengan kata-kata. Semangat, keikhlasan dan jiwa kesenimanan perlu dihidupkan agar Kuala Lumpur bukan sekadar kota batu, bahkan ada ruang untuk seniman berkarya.

 Kita rasa ralat apabila dua bangunan usang di Jalan Padang Merbok diruntuhkan demi melaksanakan misi pembangunan. Ia menyebabkan  seniman bertaburan,  tanpa tempat khusus untuk terus berkarya. Kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan wajar menyediakan tapak untuk lokasi seniman berkarya.

 Kita akui Rumah PENA dan Rumah GAPENA tidak mampu menampung kehidupan seniman berkarya sepenuh masa. Hanya Rumah Anak Alam yang boleh menyediakan ruang tapi malangnya sehingga kini tiada upaya untuk menghidupkan semula. Kita berharap  Gema Hati bukan sekadar mempamerkan  karya, bahkan menjadi gerakan awal untuk menghimpun dan menghidupkan semula Anak Alam dalam bentuk baru. Media Prima, DBP dan badan penulis perlu fikirkan hal ini. - Berita Harian, 5 Disember 2013

Wednesday, December 04, 2013

Kenapa perlu Mao?

Tiada alasan untuk mana-mana pihak memberi cadangan menghidupkan semula Parti Komunis Malaya (PKM) kerana ia tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa. Bukan saja majoriti rakyat Malaysia menolak ideologi komunis, malah masyarakat dunia kini tidak dapat menerima fahaman komunis yang berjuang untuk mendapatkan kuasa melalui kekerasan dan bertentangan dengan sistem nilai sejagat. PKM sebahagian daripada sejarah lampau yang menakutkan dan meninggalkan sejarah hitam di negara ini. Keganasan mereka sejak diasaskan pada 20 April 1930 tidak boleh dimaafkan oleh mereka yang cintakan keamanan. Pengisytiharan darurat dari 1948 hingga 1960 mencatatkan 11,000 nyawa yang terkorban, termasuk 2,500 orang awam. Ia membuktikan fahaman militan PKM tidak lagi sesuai dengan kehidupan rakyat Malaysia. Justeru, kita rasa hairan dengan pandangan yang diluahkan ahli panel pada sebuah forum di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mereka sepatutnya mengkaji sejarah perjuangan komunis yang menafikan hak awam dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan. Paling penting selidik juga kepentingan perpaduan dalam masyarakat yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama dan resam agar tidak menimbulkan masalah keselamatan dan keamanan pada masa depan. Kita tidak mahu ketegangan yang dicetuskan pada era darurat dan Peristiwa 13 Mei 1969 berulang.
Kita yakin pihak berkuasa akan menyiasat pandangan ahli panel berkenaan walaupun sekadar diluahkan pada forum dengan hadirin terhad. Bagaimanapun, kita akui ideologi komunis tidak mungkin terhapus dengan mudah walaupun pertubuhan mereka sudah tidak wujud. Mereka cuba menghidupkan ideologi yang bukan saja bertentangan dengan nilai masyarakat, bahkan menolak fahaman beragama. Hari ini kecenderungan mempersendakan Islam secara terbuka berlaku terlalu kerap seolah-olah ada perancangnya. Tidak terkecuali juga tindakan mempersendakan Raja-Raja Melayu dan menganggap sistem feudal itu sebagai ketinggalan zaman. Kita juga wajar berwaspada dengan golongan yang kononnya memperjuangkan hak asasi dan kedaulatan demokrasi dengan merusuh, menganjurkan demonstrasi jalanan, mengibar Jalur Gemilang secara terbalik atau cuba memperkenalkan bendera baru yang kononnya mempunyai imej Nusantara. Unsur yang sama pernah dilakukan dalam gerakan komunis seperti yang dianjurkan Karl Marx, Vladimir Ilyich Lenin, Mao Zedong dan Ho Chi Minh untuk mempengaruhi massa  di negara masing-masing.  Kita wajar berhati-hati kerana tidak mahu era keganasan lampau berulang, sekali gus meranapkan sistem demokrasi berparlimen dan menjejaskan matlamat menjadi negara maju menjelang 2020.