Pages

Monday, June 27, 2011

Interlok di mata paria

BAGAI diduga isu novel Interlok tidak mudah berakhir. Ia terus kusut selagi ada yang bersikap ‘lidah ular’ apabila menimbulkan pelbagai isu remeh terhadap karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain. Ketika kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran berlembut dengan membuka pintu rundingan untuk ‘membetulkan’ beberapa istilah yang dianggap menyinggung sesetengah pihak, mereka pula membuat kerenah termasuk untuk mengubah ayat lain yang langsung tidak berkaitan dengan sensitiviti kaum India di Malaysia.
Isu yang bertele-tele sekarang sudah dipolitikkan. MIC yang merosot teruk pencapaiannya dalam Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 sudah mempolitikkan Interlok untuk meraih semula sokongan kaum India. Seolah-olah pembela kasta bawahan di estet dan kawasan setinggan, MIC menjadikan novel yang cetakan pertama pada 1971 sebagai isu besar.

Ketika Kementerian Pelajaran bersetuju mencetak semula Interlok yang menjadi teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima, mereka menimbulkan isu ‘106 perkara’ yang perlu dipinda dalam karya itu. Tindakan ini tidak wajar kerana yang dibincangkan membabitkan satu perkataan, bukannya meminda pelbagai ayat yang boleh merosakkan semangat asal dalam teks Interlok itu sendiri. Siapalah mereka yang sanggup mengubah ayat dan ungkapan dalam karya besar itu, sedangkan Interlok ketika diterbitkan 40 tahun lalu tidak pernah dipertikaikan.

Berbanding buku Untouchable karya Mulk Raj Anand yang memaparkan kehidupan kasta rendah dilarang bersentuh dengan kasta atasan, Interlok bukan menghina mana-mana kaum. Tetapi apabila dipolitikkan oleh parti yang tidak lagi mendapat kepercayaan kaum sendiri, isu remeh diperbesarkan. Malangnya parti yang mewakili kaum Melayu seolah-olah menyepi dan membiarkan pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) berdiri lantang mempertahankan Interlok. Aneh, apabila penentang Interlok membabitkan parti gabungan sendiri, mereka mengambil pendekatan membisu dan sekadar membiarkan Menteri Pelajaran bersendirian menyelesaikan isu yang sudah dipolitikkan.

Inilah realiti yang berlaku di Malaysia sekarang. Karya seni yang mengangkat perpaduan kaum sudah dilabel sebagai ‘hitam’. Teks yang sepatutnya dibaca sistem tanda dan isyarat sudah diserabutkan dengan sentimen. Sesebuah karya seni mempunyai lesen puitisnya sendiri. Meminda ayat apatah lagi merosakkan jalur cerita sudah melanggar hak mutlak penulis asalnya sendiri. Bagi mereka yang arif seni, karya seseorang seniman mempunyai kedaulatan tersendiri yang tidak boleh digugat dengan kuasa apa pun. Justeru, usaha merobekkan Interlok menggunakan pendekatan politik amat jelek sekali.

Ketika kerajaan terpaksa menarik semula 390,000 buku yang diedarkan di sekolah menengah di zon tengah iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, membabitkan kos RM1 juta termasuk kos penghantaran, pihak tertentu terus menyerang dengan alasan Kementerian Pelajaran tidak jujur ketika membincangkan sensitiviti kaum India. Lantas mereka membuat desakan lain seperti disuarakan Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) yang menggesa novel itu digugurkan sebagai teks sastera di sekolah. Mereka mahu karya itu diganti dengan teks lain. Apakah mungkin mereka mahu karya dalam kalangan ahli NIAT sendiri dijadikan teks sastera?

Interlok hanya digunakan di sekolah Zon II iaitu Selangor, Putrajaya, Seremban dan Kuala Lumpur. Zon I yang membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menggunakan novel Kembara Amira tulisan Amer Hamzah L Kadir, Zon III membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan menggunakan Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan dan Zon IV Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan memilih Kabus di Perbukitan tulisan Mohamad Kholid Hamzah.

Selagi sentimen dan ketidakjujuran dibiarkan mengatasi kewarasan, isu Interlok tidak akan selesai selama-lamanya. Kerajaan sepatutnya bertegas dari awal supaya teks sastera tidak dipolitikkan. Membenarkan perbincangan apatah lagi atas alasan untuk menilai Interlok dilihat dari kaca mata isu kaum, hanya menyemarakkan lagi perdebatan sampingan yang tidak berfaedah. Ramai dalam kalangan kita lebih seronok membincangkan isu kaum dengan kemarahan, bukan keramahan. Justru, Interlok sentiasa panas dalam perdebatan. - Berita Harian, 27 Jun 2011

Monday, June 20, 2011

Siber yang menggerunkan

Media maya alat ideologi jatuhkan pemimpin 


ERA pasca Perang Dingin semakin membuktikan serangan tentera, kereta perisai, jet pejuang dan maritim semakin berganti perang siber. Malaysia tidak terkecuali menerima kesannya bermula malam 16 Jun lalu apabila   laman web dengan domain.gov.my diserang menyebabkan sekurang-kurang 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

  Serangan itu disyaki membabitkan pihak tertentu di Malaysia  sebelum sekumpulan penggodam antarabangsa menggelar diri mereka ‘Anonymous’  menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui ‘Operation Malaysia’.

  ‘Anonymous’ boleh disifatkan sebagai sebuah organisasi tersusun dan disertai ramai penggodam  yang memiliki kepakaran  teknologi maklumat.    Malaysia  negara terbaru yang menjadi mangsa godam  siber selepas  laman web MasterCard dan Paypal kerana menghentikan perkhidmatan kewangan kepada Wikileaks. Mereka juga pernah menggodam laman web di Syria, Tunisia, Mesir dan India.

  Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, melahirkan rasa kekecewaannya apabila tindakan kerajaan membanteras jenayah siber menerima reaksi negatif. Mengulas ancaman sesetengah pihak yang menggodam laman web kerajaan berikutan tindakan menyekat 10 laman web perkongsian fail,  Rais berkata, penggodam menjadikan pihak yang salah sebagai sasaran mereka.  Antara laman web kerajaan  yang tidak dapat dilayari termasuk SabahTourism.com, ASEAN connect, Jabatan Bomba, Perbendaharaan Malaysia, Parlimen Malaysia, JobsMalaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Majlis Sukan Negara. Beberapa pelayar yang  merakamkan laman web kerajaan yang digodam  berkata, kumpulan itu juga menukar kenyataan di laman berkenaan.

  Isu serangan siber bukan perkara baru. China dan India pernah menjadi mangsa serangan maya gara-gara penapisan internet yang dianggap menyekat hak asasi manusia. Kerajaan China memperkenalkan ‘Green Dam’ ketika kebangkitan prodemokrasi di Beijing.

  Negara komunis itu tidak mahu penyaluran maklumat yang bebas bakal meruntuhkan Revolusi Kebudayaan yang digerakkan oleh Mao Tse Tung empat dekad sebelumnya. Membenarkan kebebasan media seperti mengundang kehancuran sesebuah sistem yang dianuti sebelumnya. Akibatnya, serangan siber menyebabkan beberapa web agensi pentingnya digodam pihak tertentu.

  Ketika gerakan prodemokrasi meledak di Tunisia, Mesir dan Libya, pihak berkuasa menapis siaran internet menyebabkan banyak media maya yang antikerajaan disekat. Tindak balas daripada penggodam antarabangsa sudah diduga. Sebelum presiden Tunisia dan Mesir meninggalkan ‘takhta’ mereka, pejuang media siber  merayakan kemenangan kerana media baru berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat. Sebelum tentera Amerika Syarikat dan Nato (Pakatan Atlantik Utara) mengganyang Libya,  perang siber sudah lama bermula.

  Bagi kebanyakan pemimpin dunia ketiga dan Arab, kebebasan maklumat sesuatu yang tabu dan boleh menjejaskan kekuasaan mereka. Media baru sering dicurigakan dan penapisan maklumat sering berlaku. Rakyat dinafikan hak untuk mendapat  maklumat bebas. Mesir yang mempunyai  Universiti al-Azhar yang terunggul di dunia Islam, hanya mempunyai   rakyat celik internet 13 peratus. Rakyat dinafikan maklumat bebas, menyebabkan gelora mereka menjadi tentangan terbuka.

  Malaysia pula boleh dianggap negara yang sederhana dari segi capaian internet. Kerajaan memberi kebebasan bermaklumat,  namun beberapa web disekat bagi mengelak unsur penciplakan dan isu hak cipta. Ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Koridor Raya Multimedia, kerajaan menyediakan  ‘Bill of Guarantees’, yang memberi jaminan kebebasan internet dan bermaklumat seperti dimiliki negara maju yang lain.

   Jika sejarah mencatat peperangan zaman lampau membabitkan laskar dan kelengkapan senjata yang canggih, dunia maya sudah menjadi senjata baru yang lebih menggerunkan. Hak peribadi semakin terhakis oleh serangan siber. Akaun wang, data  profil, status perkahwinan dan isu seks sudah menjadi kelaziman yang menakutkan.

  Peribadi seseorang mudah terdedah di dunia maya. Pelukan di kamar tidur sudah menjadi bacaan umum seperti dialami bintang golf, Tiger Wood. Keterlanjuran Bill Clinton dan pembantu Rumah Puteh menjadi adegan sejagat. Akhirnya, dunia siber menjadi paparan umum yang cukup ghairah. Ia bukan sekadar mendedahkan harta Hosni Mubarak sebelum tumbang, juga membuktikan siber menjadi saluran ideologi yang memaksa pihak lain menerima seadanya.

  Apa yang berlaku di Malaysia mungkin serangan permulaan yang bakal menyusul serangan siber yang lebih dahsyat pada masa depan. Ia tidak mudah dikalahkan apabila segelintir di kalangan kita juga menjadi sekutu Barat untuk menjayakan hasrat mereka. Akhirnya, teknologi maklumat kekal sebagai senjata yang dwipenggunaan. Baik atau buruk, terpulang kepada kita untuk memaknakannya. - Berita Harian, 20 Jun 2011

Sunday, June 12, 2011

Politik Islam, rasuah pun Islam

 SEORANG lelaki yang dipercayai bertaraf wali pernah dipilih  bertanding dalam Pilihan Raya Umum di kawasan Parlimen Gua Musang   menentang Tengku Razaleigh Hamzah. Lelaki itu dipilih  semata-mata kerana kewaliannya. Dia juga diyakini tokoh sesuai untuk menewaskan kerabat diraja Kelantan yang ketika itu menjawat Menteri Kewangan dan Naib Presiden UMNO.

Ketika kempen pilihan raya sedang rancak, bertebaran berita   kononnya pagar rumah Tengku Razaleigh di Palm Manor, Kota Bharu retak kerana sumpahan ‘tok wali’. Ada juga yang mendakwa Tengku Razaleigh sakit tenat kerana sumpahan keramat. Bertanding pilihan   raya apatah lagi menentang seorang yang bertaraf wali dianggap ‘dosa’ kerana  menjejaskan  perjuangan  Islam.

Sebaik keputusan pilihan raya yang memihak kepada Tengku Razaleigh,  dongengan wali tidak mudah lenyap begitu saja.    Imej agama yang dipromosikan oleh parti yang diwakili wali itu menyebabkan ramai yang percaya nilai Islam yang diperjuangkan. Tidak sedikit juga yang mempercayai perjuangan agama di Malaysia masih kalut kerana pentadbiran Pusat diwakili oleh parti sekular nasionalis, atau lebih lunak disebut golongan asabiyyah.

Keadaan lebih parah apabila seseorang dianggap  bertaraf ulama mengeluarkan   fatwa mengharamkan perjuangan nasionalis dan melarang umat Islam memakan binatang sembelihan mereka. Amanatnya menjadi keributan masyarakat kerana penegasannya untuk melaksanakan hukum hudud jika mentadbir negara.

Kekalutan  dan  polemik  berdasarkan pandangan sempit terhadap agama bertele-tele dalam masyarakat Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Isu sembahyang dua imam dan pulau memulau menjadi kelaziman di kawasan luar bandar.

 Masyarakat sukar membezakan antara ulama dan golongan yang memperdagangkan agama untuk kepentingan siasah dan periuk nasi. Memang ada tokoh ulama terbabit dalam politik kepartian, tetapi mereka tetap dilihat sebagai ahli politik dan agama dipergunakan untuk mencapai tujuan siasah yang tidak berkesudahan. Justeru, kenyataan dan cara bertindak mereka dilihat sebagai tindakan ahli politik, walaupun pada masa sama mereka juga ulama dan mengajar  agama dan berdakwah.

Pada hari ini, sesiapa saja amat  mudah menjadi ulama atau ustaz. Memadai saja menyertai gerakan siasah yang berlandaskan Islam, seseorang sudah dianggap alim dan menjadi selebriti di pentas ceramah. Mereka boleh berhujah menggunakan ayat Quran dan   hadis untuk menghalalkan perjuangan siasah, tetapi pada masa sama memberi pendapat yang sesuai dengan   keperluan peribadi. Jika pada suatu ketika mereka boleh mendakwa mahu menegakkan negara Islam, pada masa lain pula perjuangan bertukar kepada negara berkebajikan, semata-mata kerana muafakatan rapuh sesama  sendiri.

      Agama menjadi alat peribadi amat ketara pada masa ini. Bukan saja ahli politik yang mempergunakan hukum untuk meraih undi, juga masyarakat awam. Ada individu yang dikaitkan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa, mengumumkan pada sidang media untuk ke Makkah dan Madinah kerana  mengerjakan umrah. Semiotik yang dibawanya adalah mudah. Dia seorang alim, ke Tanah Suci dan dikenali ramai. Mustahil untuk salah guna kuasa, apatah lagi rasuah!

Peniaga pula tidak kalah mempergunakan Islam untuk melariskan jualan. Ada  restoran yang diragui keislamannya meletakkan ayat Quran dan ungkapan Allah di belakang kaunter semata-mata membawa imej halal dan suci. Agama sudah menjadi tanda baca yang amat melunakkan. Imej halal digunakan sebagai strategi melariskan jualan.

Ada juga pen, telefon bimbit dan jam yang mengalunkan seruan azan dan bacaan al-Fatihah.   Tanda dan   maknanya amat mudah dibaca — menggambarkan imej Islam untuk melariskan jualan. Tidak terkecuali juga  pakej umrah murah dan tabung anak yatim diselewengkan semata-mata kepentingan peribadi.

Pada hari  ini agama sudah menjadi keperluan utama untuk mencapai hajat dan tujuan. Bukan saja ahli politik yang memperdagangkan nama Allah dan hudud untuk berkuasa,   juga peniaga dan tertuduh rasuah juga tidak terkecuali membawa imej alim. Ketayap, jubah dan tasbih memberi tanda makna yang amat menarik. Sesiapa saja boleh berlakon baik di khalayak kerana masyarakat adakalanya lebih menghargai penonjolan imej luaran, bukan kerana kejernihan akal  budi.

Jika keadaan ini terus berlanjutan, krisis dan kemelut dalam masyarakat Melayu tidak akan mudah berakhir. Slogan  politik dan helah peniaga cenderung memerangkap orang ramai menjadi penonton setia. Kita masih belum merdeka minda dan masih terperangkap dengan lakonan golongan yang memperdagangkan agama untuk mencapai cita-cita siasah dan ekonomi. Keadaan berlanjutan dan agenda Melayu  serta Islam menjadi mainan lunak yang tidak berkesudahan. - Berita Harian, 14 Jun 2011

Monday, June 06, 2011

Gomo Klate Gomo: PAS atau UMNO...

RAKYAT Kelantan teruja dengan pasukan bola sepaknya.
 Mereka  fanatik, seperti juga fanatiknya penyokong UMNO dan PAS.
HAMPIR menjadi simbol  baru di Kelantan ketika ini – kemeja T imej jersi pasukan bola sepak negeri – The Red Warriors – bertebaran di merata tempat seolah-olah menjadi pakaian rasmi di Tanah Sekebun Bunga.

Di mana-mana saja berada di Negeri Cik Siti Wan Kembang, kita boleh melihat ramai yang memakai kemeja T warna merah. Bukan saja kanak-kanak dan remaja, kalangan dewasa termasuk wanita juga memakai baju tersebut di kawasan awam seolah-olah bola sepak menjadi permainan budaya dan cara hidup di negeri   Pantai Timur itu. Penonjolan imej yang luar biasa ini ekoran kejayaan Kelantan memenangi Piala Malaysia pada 2010 selepas kalah pada pertandingan akhir 2009 kepada Negeri Sembilan.

Peningkatan mendadak pasukan bola sepak negeri memberikan sistem tanda yang luar biasa untuk dihuraikan. Sebuah negeri yang dikatakan mundur, diterajui oleh sebuah kerajaan yang bertentangan dengan pentadbiran Pusat selama 21 tahun,  serta cara hidup dan pola berfikir berbeza dengan Melayu  negeri   lain,  rakyat Kelantan seakan memberi isyarat dan makna kehadiran mereka yang terus unik  untuk dianalisis. 

Jika sebelum   ini  lambang  PAS dan Barisan Nasional yang diterajui UMNO banyak bertebaran di merata tempat walaupun bukan musim pilihan   raya, kini kemeja T lambang pasukan The Red  Warrios dipakai di merata tempat hatta di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur sehingglah ke majlis kahwin. Di mana-mana saja orang bercakap  isu bola. Malah, ada kenalan yang sanggup menempah tiket penerbangan ke mana saja skuad negeri bermain di luar Kelantan dan pulang semula ke Kota Bharu pada malam yang sama, semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka. Ada juga ahli PAS dan UMNO saling 'membelanjakan rakan' membeli tiket setiap kali perlawanan di Kota Bharu. Tidak terkecuali juga  'kerjasama' menempah tiket bas jika perlawanan di gelanggang lawan.

Setiap perlakuan dan penonjolan imej menterjemahkan sistem tanda yang tersendiri. Kajian John Locke pada abad ke-17 amat jelas menghuraikan doktrin perlambangan yang wujud betapa setiap ungkapan dan penulisan mempunyai isyarat tersendiri. Ilmu perlambangan turut mendapat reaksi baik daripada ahli linguistik Eropah, Ferdinand de Saussure dan ahli falsafah Amerika pada abad ke -19, Charles Sander Pierce yang mengakui tingkah laku dan warna juga boleh memberi isyarat tertentu. Setiap tulisan, perlakuan, curahan emosi dan disiplin kehidupan  yang wujud mempunyai makna dan pesan tersendiri. Ia hidup sesuai dengan cara berfikir dan budaya masyarakat setempat.

Dalam konteks makna setempat, The Red Warrios bukan sekadar imej dan sistem tanda pasukan bola sepak, juga lambang penyatuan penduduk yang menafikan seketika  kemelut politik dua parti dominan Melayu—PAS dan UMNO. Kedua-dua parti bersaing hangat sejak awal merdeka untuk merebut  hati pengundi Melayu. PAS yang membawa imej Islam dan UMNO   yang  dianggap nasionalis masing-masing pernah diberi peluang mentadbir Kelantan.  UMNO mentadbir Kelantan sejak 1978 hingga 1990 apabila pimpinan  PAS   ketika itu dikaitkan dengan isu balak dan rasuah  yang akhirnya mencetuskan rusuhan antikumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda pada 1977. Apabila MAGERAN (Majlis Gerakan  Negara) dikuatkuasakan dan pentadbiran   negeri digantung,  PAS tidak mampu berbuat apa-apa dan  hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Khas 1978.

Bagaimanapun persaingan politik UMNO-PAS berterusan kerana kedua-dua parti mempunyai kekuatan seimbang. PAS atau UMNO tidak pernah hilang wang  pertaruhan di Kelantan kerana mempunyai imej tersendiri di mata rakyat Kelantan. Majlis ceramah, kempen pilihan raya dan perang poster memberikan sistem tanda yang unik. Kedua-dua pihak saling bersaing  walaupun Kelantan berjaya ditadbir semula  PAS sejak Pilihan Raya Umum  1990.

Ketika ini UMNO dan Barisan Nasional diangap alternatif untuk mentadbir semula Kelantan jika pilihan raya diadakan pada masa terdekat. Seorang pengkaji politik menganalisis kecenderungan  pengundi yang mahukan perubahan tetapi pada masa sama, faktor Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak boleh diketepikan. Imej ulama  masih membayangi sebahagian besar generasi dewasa Kelantan dan Barisan Nasional mempunyai peluang jika Nik Aziz umum bersara dalam kegiatan siasah.

Ketika kemelut dan persaingan politik tidak pernah reda, kehadiran The Red Warrios melekakan sengketa buat sementara waktu. Imej merah, keceriaan dan bersorak di   Stadium Sultan Muhamad ke-1V membuktikan kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk kepentingan pasukan negeri. Mungkinkah bola sepak menjadi penjalin UMNO dan PAS di Kelantan? Hanya masa yang bakal menjawabnya! - Berita Harian, 7 Jun 2011