Pages

Monday, June 27, 2011

Interlok di mata paria

BAGAI diduga isu novel Interlok tidak mudah berakhir. Ia terus kusut selagi ada yang bersikap ‘lidah ular’ apabila menimbulkan pelbagai isu remeh terhadap karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain. Ketika kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran berlembut dengan membuka pintu rundingan untuk ‘membetulkan’ beberapa istilah yang dianggap menyinggung sesetengah pihak, mereka pula membuat kerenah termasuk untuk mengubah ayat lain yang langsung tidak berkaitan dengan sensitiviti kaum India di Malaysia.
Isu yang bertele-tele sekarang sudah dipolitikkan. MIC yang merosot teruk pencapaiannya dalam Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 sudah mempolitikkan Interlok untuk meraih semula sokongan kaum India. Seolah-olah pembela kasta bawahan di estet dan kawasan setinggan, MIC menjadikan novel yang cetakan pertama pada 1971 sebagai isu besar.

Ketika Kementerian Pelajaran bersetuju mencetak semula Interlok yang menjadi teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima, mereka menimbulkan isu ‘106 perkara’ yang perlu dipinda dalam karya itu. Tindakan ini tidak wajar kerana yang dibincangkan membabitkan satu perkataan, bukannya meminda pelbagai ayat yang boleh merosakkan semangat asal dalam teks Interlok itu sendiri. Siapalah mereka yang sanggup mengubah ayat dan ungkapan dalam karya besar itu, sedangkan Interlok ketika diterbitkan 40 tahun lalu tidak pernah dipertikaikan.

Berbanding buku Untouchable karya Mulk Raj Anand yang memaparkan kehidupan kasta rendah dilarang bersentuh dengan kasta atasan, Interlok bukan menghina mana-mana kaum. Tetapi apabila dipolitikkan oleh parti yang tidak lagi mendapat kepercayaan kaum sendiri, isu remeh diperbesarkan. Malangnya parti yang mewakili kaum Melayu seolah-olah menyepi dan membiarkan pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) berdiri lantang mempertahankan Interlok. Aneh, apabila penentang Interlok membabitkan parti gabungan sendiri, mereka mengambil pendekatan membisu dan sekadar membiarkan Menteri Pelajaran bersendirian menyelesaikan isu yang sudah dipolitikkan.

Inilah realiti yang berlaku di Malaysia sekarang. Karya seni yang mengangkat perpaduan kaum sudah dilabel sebagai ‘hitam’. Teks yang sepatutnya dibaca sistem tanda dan isyarat sudah diserabutkan dengan sentimen. Sesebuah karya seni mempunyai lesen puitisnya sendiri. Meminda ayat apatah lagi merosakkan jalur cerita sudah melanggar hak mutlak penulis asalnya sendiri. Bagi mereka yang arif seni, karya seseorang seniman mempunyai kedaulatan tersendiri yang tidak boleh digugat dengan kuasa apa pun. Justeru, usaha merobekkan Interlok menggunakan pendekatan politik amat jelek sekali.

Ketika kerajaan terpaksa menarik semula 390,000 buku yang diedarkan di sekolah menengah di zon tengah iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, membabitkan kos RM1 juta termasuk kos penghantaran, pihak tertentu terus menyerang dengan alasan Kementerian Pelajaran tidak jujur ketika membincangkan sensitiviti kaum India. Lantas mereka membuat desakan lain seperti disuarakan Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) yang menggesa novel itu digugurkan sebagai teks sastera di sekolah. Mereka mahu karya itu diganti dengan teks lain. Apakah mungkin mereka mahu karya dalam kalangan ahli NIAT sendiri dijadikan teks sastera?

Interlok hanya digunakan di sekolah Zon II iaitu Selangor, Putrajaya, Seremban dan Kuala Lumpur. Zon I yang membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menggunakan novel Kembara Amira tulisan Amer Hamzah L Kadir, Zon III membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan menggunakan Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan dan Zon IV Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan memilih Kabus di Perbukitan tulisan Mohamad Kholid Hamzah.

Selagi sentimen dan ketidakjujuran dibiarkan mengatasi kewarasan, isu Interlok tidak akan selesai selama-lamanya. Kerajaan sepatutnya bertegas dari awal supaya teks sastera tidak dipolitikkan. Membenarkan perbincangan apatah lagi atas alasan untuk menilai Interlok dilihat dari kaca mata isu kaum, hanya menyemarakkan lagi perdebatan sampingan yang tidak berfaedah. Ramai dalam kalangan kita lebih seronok membincangkan isu kaum dengan kemarahan, bukan keramahan. Justru, Interlok sentiasa panas dalam perdebatan. - Berita Harian, 27 Jun 2011

No comments: