Pages

Sunday, June 12, 2011

Politik Islam, rasuah pun Islam

 SEORANG lelaki yang dipercayai bertaraf wali pernah dipilih  bertanding dalam Pilihan Raya Umum di kawasan Parlimen Gua Musang   menentang Tengku Razaleigh Hamzah. Lelaki itu dipilih  semata-mata kerana kewaliannya. Dia juga diyakini tokoh sesuai untuk menewaskan kerabat diraja Kelantan yang ketika itu menjawat Menteri Kewangan dan Naib Presiden UMNO.

Ketika kempen pilihan raya sedang rancak, bertebaran berita   kononnya pagar rumah Tengku Razaleigh di Palm Manor, Kota Bharu retak kerana sumpahan ‘tok wali’. Ada juga yang mendakwa Tengku Razaleigh sakit tenat kerana sumpahan keramat. Bertanding pilihan   raya apatah lagi menentang seorang yang bertaraf wali dianggap ‘dosa’ kerana  menjejaskan  perjuangan  Islam.

Sebaik keputusan pilihan raya yang memihak kepada Tengku Razaleigh,  dongengan wali tidak mudah lenyap begitu saja.    Imej agama yang dipromosikan oleh parti yang diwakili wali itu menyebabkan ramai yang percaya nilai Islam yang diperjuangkan. Tidak sedikit juga yang mempercayai perjuangan agama di Malaysia masih kalut kerana pentadbiran Pusat diwakili oleh parti sekular nasionalis, atau lebih lunak disebut golongan asabiyyah.

Keadaan lebih parah apabila seseorang dianggap  bertaraf ulama mengeluarkan   fatwa mengharamkan perjuangan nasionalis dan melarang umat Islam memakan binatang sembelihan mereka. Amanatnya menjadi keributan masyarakat kerana penegasannya untuk melaksanakan hukum hudud jika mentadbir negara.

Kekalutan  dan  polemik  berdasarkan pandangan sempit terhadap agama bertele-tele dalam masyarakat Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Isu sembahyang dua imam dan pulau memulau menjadi kelaziman di kawasan luar bandar.

 Masyarakat sukar membezakan antara ulama dan golongan yang memperdagangkan agama untuk kepentingan siasah dan periuk nasi. Memang ada tokoh ulama terbabit dalam politik kepartian, tetapi mereka tetap dilihat sebagai ahli politik dan agama dipergunakan untuk mencapai tujuan siasah yang tidak berkesudahan. Justeru, kenyataan dan cara bertindak mereka dilihat sebagai tindakan ahli politik, walaupun pada masa sama mereka juga ulama dan mengajar  agama dan berdakwah.

Pada hari ini, sesiapa saja amat  mudah menjadi ulama atau ustaz. Memadai saja menyertai gerakan siasah yang berlandaskan Islam, seseorang sudah dianggap alim dan menjadi selebriti di pentas ceramah. Mereka boleh berhujah menggunakan ayat Quran dan   hadis untuk menghalalkan perjuangan siasah, tetapi pada masa sama memberi pendapat yang sesuai dengan   keperluan peribadi. Jika pada suatu ketika mereka boleh mendakwa mahu menegakkan negara Islam, pada masa lain pula perjuangan bertukar kepada negara berkebajikan, semata-mata kerana muafakatan rapuh sesama  sendiri.

      Agama menjadi alat peribadi amat ketara pada masa ini. Bukan saja ahli politik yang mempergunakan hukum untuk meraih undi, juga masyarakat awam. Ada individu yang dikaitkan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa, mengumumkan pada sidang media untuk ke Makkah dan Madinah kerana  mengerjakan umrah. Semiotik yang dibawanya adalah mudah. Dia seorang alim, ke Tanah Suci dan dikenali ramai. Mustahil untuk salah guna kuasa, apatah lagi rasuah!

Peniaga pula tidak kalah mempergunakan Islam untuk melariskan jualan. Ada  restoran yang diragui keislamannya meletakkan ayat Quran dan ungkapan Allah di belakang kaunter semata-mata membawa imej halal dan suci. Agama sudah menjadi tanda baca yang amat melunakkan. Imej halal digunakan sebagai strategi melariskan jualan.

Ada juga pen, telefon bimbit dan jam yang mengalunkan seruan azan dan bacaan al-Fatihah.   Tanda dan   maknanya amat mudah dibaca — menggambarkan imej Islam untuk melariskan jualan. Tidak terkecuali juga  pakej umrah murah dan tabung anak yatim diselewengkan semata-mata kepentingan peribadi.

Pada hari  ini agama sudah menjadi keperluan utama untuk mencapai hajat dan tujuan. Bukan saja ahli politik yang memperdagangkan nama Allah dan hudud untuk berkuasa,   juga peniaga dan tertuduh rasuah juga tidak terkecuali membawa imej alim. Ketayap, jubah dan tasbih memberi tanda makna yang amat menarik. Sesiapa saja boleh berlakon baik di khalayak kerana masyarakat adakalanya lebih menghargai penonjolan imej luaran, bukan kerana kejernihan akal  budi.

Jika keadaan ini terus berlanjutan, krisis dan kemelut dalam masyarakat Melayu tidak akan mudah berakhir. Slogan  politik dan helah peniaga cenderung memerangkap orang ramai menjadi penonton setia. Kita masih belum merdeka minda dan masih terperangkap dengan lakonan golongan yang memperdagangkan agama untuk mencapai cita-cita siasah dan ekonomi. Keadaan berlanjutan dan agenda Melayu  serta Islam menjadi mainan lunak yang tidak berkesudahan. - Berita Harian, 14 Jun 2011

No comments: