Pages

Monday, December 27, 2010

Penjara khas ajaran sesat

(Pengikut tak patut ditempat bersama banduan lain bimbang fahaman berkembang di penjara)

AGAMA dan kepercayaan wujud sejak awal tamadun dunia. Manusia memerlukan pegangan untuk mentadbir kehidupan. Mereka juga berlandaskan pegangan kepercayaan untuk mengurus hubungan sesama manusia dan persekitaran.

 Islam diturunkan untuk membentuk ummah yang salih dan mengukuhkan persaudaraan. Islam tidak membezakan warna kulit, ras dan jantina. Islam mengutamakan perpaduan sosial dan melarang perhambaan dalam masyarakat.
 Bagaimanapun, kemuliaan Islam mula tercemar selepas tamadun Umaiyyah dan Abasiyyah. Gerakan yang dikatakan mempelopori perpaduan ummah  meletakkan perbezaan antara Islam dan sistem perundangan. Mereka menjadikan Islam untuk ibadat dan sistem hukum berdasarkan kepintaran akal manusia. Lebih teruk, apabila ada  golongan yang menyingkirkan Islam dalam pentadbiran hingga menyebabkan wujud salah urus pentadbiran, fahaman sekular dan menduakan kekuasaan Ilahi. Kemurnian al-Quran dan hadis diketepikan kerana kemodenan mendorong insan menggunakan hukum akal dalam tindakan mereka.
 Di negara kita, ramai pengikut ajaran sesat yang didapati bersalah di mahkamah dipenjarakan bersama pesalah lain. Bagaimanapun  timbul  polemik; wajarkah mereka ditempatkan bersama tahanan lain kerana  kesalahan mereka membabitkan akidah yang tentunya memerlukan pendekatan berbeza untuk mengatasinya.
 Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mencadangkan  pusat tahanan ajaran sesat diwujudkan di negara ini. Saranan ini wajar disokong kerana bentuk kesalahan membabitkan akidah memerlukan tindakan berlainan untuk mengatasinya. Pesalah agama tentunya berbeza dengan penjenayah lain. Mereka boleh mempengaruhi banduan lain jika ditahan di penjara yang sama.
 Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, Mohamad Rais Rasid, bimbang ajaran sesat akan terus berkembang di penjara jika pesalahnya ditempatkan bersama banduan yang lain.
 Sehingga kini kerajaan mengesahkan 56 ajaran sesat yang bertebaran di dalam masyarakat. Bukan bangsa Melayu saja mengalami ancaman itu, tetapi Melayulah bangsa yang paling ramai terpengaruh dengan ajaran bertentangan dengan Islam.  Pernikahan Shamsuddin Che Deraman atau lebih dikenali Sudin Ajaib dengan budak perempuan berusia 11 tahun di kaki lima sebuah masjid di Kelantan amat memeranjatkan. 
 Sebelum ini beberapa kes membabitkan golongan ‘dakwah’ pernah mencemaskan masyarakat. Kumpulan Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari Muhammad pernah dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan mengembangkan pengaruh dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Kumpulan ini menyebarkan dakyah menerusi bidang pendidikan, penerangan, nasyid, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan dan pertanian.
 Aktiviti Darul Al-Arqam bermula pada 1971-1972 di Kampung Datuk Keramat dan beroleh perhatian dan penerimaan ramai selepas bertapak di Sungai Pencala pada 1973-75. Di antara kepercayaan mereka adalah Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang meninggal pada 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup dan akan kembali untuk memimpin umat Islam. Mereka yakin Syeikh Muhammad setaraf Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir.
  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melihat adanya penyelewengan akidah dalam organisasi ini. Kerajaan mengharamkan penerbitan dan pengedaran buku Aurad Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam pada 1986. Pertubuhan itu diharamkan berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 yang memutuskan ajaran dan fahaman kumpulan itu bertentangan dengan akidah dan syariah Islam, sekali gus mengakibatkan syirik. Berikutan itu Ashaari ditahan bersama beberapa pemimpin kanan kumpulan itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau kemudian dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan, sebelum dibebaskan pada 25 Oktober 2004. Kini, walaupun Ashaari sudah tiada, pengikutnya masih aktif di beberapa lokasi tertentu.
  Kumpulan Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah (Al-Ma’unah) pula sanggup menceroboh kem Rejimen Askar Wataniah pada subuh 2 Julai 2000 dan melarikan sejumlah besar senjata api. Mereka bertindak di luar kewarasan kerana meyakini ilmu batin yang dimiliki amat kebal dan boleh melakukan agenda peribadi.
 Akal yang waras juga tidak menerima orang seperti Ariffin Mohamed atau Ayah Pin yang mendirikan Kerajaan Langit di Besut, Terengganu. Tetapi ramai pengikutnya yang sanggup meminum air basuh kaki Ayah Pin sebelum dakyahnya diharamkan pada 2005 dan dia melarikan diri ke Narathiwat, Thailand pada 2006.
 Tidak mungkin orang yang arif membaca al-Quran dan hadis mempercayai kewujudan nabi dan Rasul Melayu seperti Abdul Kahar Ahmad kerana Rukun Islam dan Rukun Iman sudah menggariskan ketentuan-Nya. Namun masih ada yang termakan dakyahnya walaupun Abdul Kahar sudah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, enam sebatan dan denda RM 16,500. Semuanya kerana taksub dan taklid kepada seseorang hingga tidak dapat mewaraskan diri sendiri.
 Walaupun Abdul  Kahar dipenjarakan, apakah ada jaminan dia tidak mempengaruhi orang lain dalam tahanan? Justeru, saranan JAIS mengenai penjara khas pesalah agama perlu diteliti agar dakyah  ajaran sesat dapat ditangani lebih saksama. - Berita Harian, 27 Disember 2010

Monday, December 20, 2010

Kelincahan Larry King terus diingati

(KING adalah tokoh pengacara mengetepikan kepentingan peribadi)

DUNIA mengenalinya setanding negarawan besar. Lebih suku abad bicara lincah hos program popular CNN, Larry King menjadi tumpuan sejagat. Dia pernah lantang mengkritik kegilaan Amerika Syarikat (AS) mengganyang bumi Iraq dan Afghanistan. Dia pernah menyamakan kegilaan berulang di Vietnam akan meranapkan dominasi Rumah Putih sebagai pusat demokrasi dunia.
Selepas 25 tahun bual bicaranya menyentuh kesan Perang Dingin, serangan spekulator mata wang tajaan George Soros, keresahan di sempadan Semenanjung Korea, kesan gerakan reformasi di Indonesia dan Malaysia; dunia penuh emosi mengucapkan salam perpisahan kepada King kerana suara lantangnya bakal hilang di media penyiaran. King hanya manusia biasa. Pernah gelandangan. Pernah berulang kali runtuh rumah tangganya. Pernah juga lamaran cinta yang tidak berbalas. Namun, dia bangkit daripada segala kegagalan hidup untuk menjadi hos televisyen ternama yang disegani di seluruh dunia. Telatah, sinikal, sindiran dan kritikan diselami jenaka pedas tentunya pernah mencuit perasaan George W Bush dan Tony Blair. Ketika dunia melihat kebesaran nama King, dunia juga sudah melupakan nasib anak muda yang tidak cemerlang pendidikannya dan pernah ditolak permohonan memasuki akademi tentera.
Bicaranya menjadi topik hangat dan pernah mengundang kontroversi hubungan antara Washington dan dunia Barat menjelang saat keruntuhan Tembok Berlin yang memisahkan dua Jerman pada era pasca Perang Dingin.
Pada 16 Disember lalu dia mengakhiri khidmatnya dalam satu program penuh beremosi serta mendapat ucapan penghargaan daripada Presiden Amerika dan pesaing daripada stesen penyiaran lain. Berusia 77 tahun, tempat King untuk program siaran langsung Larry King Live, akan digantikan bekas wartawan British, Piers Morgan.
Dia meninggalkan program yang paling disenanginya sejak berkhidmat di stesen yang berpusat di Atlanta sejak 1985. Dia juga menerima sanjungan daripada Presiden Barack Obama yang menyampaikan ucapan penghargaan menerusi persidangan video. Malah, pesaing King daripada stesen penyiaran lain, termasuk Barbara Walters, Diane Sawyer dan Katie Couric turut memberi penghargaan terhadapnya. Aktor yang kini Gabenor California, Arnold Schwarzenegger mengisytiharkan Hari Larry King (Larry King Day) di negeri barat Amerika itu.
Dari segi sejarah, dunia hanya memiliki dua tokoh pengacara yang hebat. Selain King adalah Oprah Winfrey sentiasa segar menerusi program bual bicara mereka.
Sejak 1985, Larry King Live di CNN mempunyai rating paling tinggi dan satu-satunya program bual bicara televisyen menerusi telefon yang menjangkau seluruh dunia dan dipancarkan secara langsung.
Dilahirkan di Brooklyn pada 1933, King yang nama sebenarnya Lawrence Harvey Zeiger, yatim sejak berusia sembilan tahun dan bukan manusia cerdas serta kurang berminat meneruskan pengajian. Dia pernah menjadi pengacara radio di Miami dan pernah menemu bual tokoh ternama dunia.
Kontroversi, isu peribadi dan kecemerlangan kerjaya membantu King menjadi personaliti yang hebat. Dia menjadikan CNN sebagai markas untuk berjenaka dan menyanggah pandangan tetamu ternama yang diundangnya. Dia berjaya mencungkil rahsia peribadi Frank Sinatra, Al Pacino, Dalai Lama, Bill Clinton, Richard Nixon hingga Angelina Jolie dan Mike Tyson. Di stesen televisyen inilah namanya bersinar cepat dan bertahan lama lebih 25 tahun menjadi pengacara terhebat di dunia.
King tokoh pengacara yang mengetepikan kepentingan peribadi. Dia tidak berpolitik dan bebas menyuarakan pendapat tanpa keraguan. Dia bukan Demokrat, tidak juga Republikan. Tetapi dia tetap berfahaman bebas dan tanpa ragu mengkritik tamu yang diundang pada programnya.
Mungkin terlalu awal untuk mengatakan CNN bakal kehilangan permata paling berharga. Namun, paling jelasnya, program bual bicara di kaca TV terasa kehilangan ‘sambal’ tanpa King kerana lelaki yang mempunyai masalah penglihatan itu sudah membentuk jati luar biasa selama 25 tahun bersiaran. - Berita Harian, 20 Disember 2010

Tuesday, December 14, 2010

OKU mahu peluang, bukan ungkapan simpati

(Majoriti golongan kurang upaya kekal sebagai antara berpendapatan bawah RM1,500 sebulan)

DALAM konteks orang kurang upaya (OKU), kenyataan demi kenyataan dikeluarkan untuk memastikan penyertaan menyeluruh mereka dalam masyarakat. Namun hasilnya tidak seberapa. Nasib OKU tidak banyak berubah walaupun negara sudah lebih separuh abad merdeka. Sehingga kini pelbagai istilah digunakan – orang kelainan upaya, orang kurang upaya, orang cacat, golongan istimewa dan entah apa lagi — namun usaha untuk memastikan mereka mendapat tempat sewajarnya dalam masyarakat, masih misteri. Kementerian ditubuhkan kerajaan untuk membela nasib mereka lebih memberi fokus kepada isu kewanitaan, ibu tunggal, anak luar nikah dan pembuangan bayi. Justeru, nasib OKU hanya diperkatakan secara bermusim dan tiada jaminan sebarang tindakan tegas untuk menyelesaikan masalah mereka.

OKU tidak mengharapkan simpati, apatah lagi diberi keistimewaan. Mereka hanya mengharapkan peluang dan penyertaan dalam masyarakat. Mereka juga mengharapkan ruang untuk bekerja dengan jaminan pendapatan yang selesa. Malangnya, tidak banyak peluang diberi kepada mereka. Justeru, majoriti OKU kekal sebagai antara golongan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Jika di bandar raya seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, tentunya mereka antara nama yang tercatat dalam senarai kemiskinan bandar.
Bagaimanapun kenyataan Datuk Seri Najib Razak, mengenai pembelaan nasib OKU pada Karnival Jualan Produk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Peringkat Kebangsaan di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Tititwangsa, 4 Disember lalu amat diharapkan. Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan akan memastikan semua agenda pembangunan negara dinikmati setiap masyarakat termasuk OKU.
Beliau berkata, agenda itu yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan inklusif, dapat memastikan wujudnya sebuah masyarakat yang adil, saksama dan seimbang di negara ini. “Kesejahteraan negara bukan hak yang dimiliki oleh sebahagian rakyat negara ini, sebaliknya semua golongan dalam masyarakat tidak kira sama ada berupaya penuh atau kurang upaya,” katanya.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengandaikan 10 peratus jumlah penduduk di sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia tergolong OKU walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Angka yang besar ini memerlukan tindakan tegas pelbagai pihak. Kerajaan, khususnya kementerian terbabit perlu menggariskan tindakan susulan untuk memberi peluang kepada OKU sama ada dari segi pendidikan, peluang berniaga dan pendedahan di pelbagai sektor pekerjaan. Mereka juga wajar dilantik sebagai senator di Dewan Negara bagi menjamin suara OKU pada peringkat Parlimen. Pihak swasta dan pertubuhan sosial juga perlu berperanan kerana OKU memerlukan peluang memajukan diri bukannya ungkapan simpati yang boleh menjejaskan masa depan mereka sendiri.
Ramai di kalangan OKU berkelayakan, tetapi diabaikan untuk menyandang jawatan setimpal berpunca sikap prejudis segelintir anggota masyarakat sendiri. Siti Huraizah Ruslan – antara graduan cemerlang yang pernah mendapat liputan media, namun sehingga kini masih belum mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan dan kemampuannya.
Beliau pernah menjalani temu duga untuk mengisi jawatan pensyarah di pusat pengajian yang pernah mendidiknya dulu, tetapi dianggap tidak berkelayakan kerana cacat penglihatan. Seorang graduan undang-undang pula terpaksa menganggur beberapa tahun sebelum diterima menjadi peguam di Lembah Klang. Mereka ada kelayakan dan kemahuan untuk memajukan diri sendiri. Malangnya, kerana kekurangan peribadi menyebabkan hasrat untuk berbakti kepada masyarakat tergendala.

Di samping mereka, ramai lagi OKU yang dinafikan peluang kenaikan pangkat kerana kekurangan fizikal. Sikap menghukum tanpa mengambil kira kemampuan OKU adalah tindakan keterlaluan. Apakah kecacatan suatu dosa hingga menyebabkan mereka dinafikan peluang kenaikan pangkat?
Malaysia memperkenalkan Akta Orang Kurang Upaya 2008 bertujuan mengiktiraf sumbangan mereka dalam masyarakat. Akta ini diluluskan di Parlimen (Dewan Negara) pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008 sebelum dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008. Ia memberi pengiktirafan hak OKU dan menukar konsep OKU daripada konsep kebajikan kepada konsep right-based.
Akta ini membolehkan OKU mempunyai hak penyamaan peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan ahli masyarakat lain. Ia juga memperuntukkan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan kesejahteraan OKU.

Bagaimanapun akta ini tinggal kaku di atas kertas tanpa pelaksanaan yang jelas. Sejak pengisytiharan Tahun Antarabangsa Orang Kurang Upaya 1980 dan pelancaran The World Programme of Action Concerning Disabled Persons 1982, Malaysia turut memperkenalkan program bagi membaiki kualiti kehidupan OKU. Bagaimanapun hasilnya masih misteri kerana kita terlalu banyak bercakap dan bersimpati tanpa sebarang tindakan tegas.
Masalah sikap menyebabkan nasib OKU terus diabai. Pelaksana pembangunan negara sering mengabai keperluan OKU hingga menyebabkan kemudahan awam milik segelintir masyarakat. Masih banyak bangunan yang tidak menyediakan kemudahan asas untuk OKU. Tandas awam dan kemudahan laluan OKU sering dilupakan.

Tempat parkir kenderaan OKU jarang disediakan. Jika ada pun, ia sering diceroboh pihak lain hingga menyebabkan OKU sukar menjalani kehidupan di kawasan awam. - Berita Harian, 14 Disember 2010

Tuesday, December 07, 2010

WikiLeaks dedah kepincangan Rumah Putih pasca Perang Dingin

PASCA Perang Dunia Kedua dikenali sebagai abad Amerika Syarikat (AS) kerana Washington menguasai hampir setiap penjuru dunia dalam pelbagai sektor. Keruntuhan Tembok Berlin dan perpecahan Soviet Union secara langsung mengiktiraf AS sebagai kuasa tunggal dunia. Seluruh benua berpaksikan AS seakan Rumah Putih menjadi pusat penguasaan global.


Pada dekad 60-an hingga awal 80-an, perimbangan kuasa dunia lebih terarah kepada persaingan blok NATO (Pakatan Atlantik Utara) dan Warsaw (gabungan negara komunis di Eropah Timur yang berkiblat kepada Soviet Union). Saingan dan permusuhan antara CIA (Agensi Perisik Pusat) dan KGB menjadikan Perang Dingin seolah-olah bakal pencetus Perang Dunia Ketiga.

Kejatuhan Vietnam, Laos dan Kemboja kepada rejim komunis hampir menjelmakan teori domino di Asia Tenggara hingga menyebabkan pasaran saham dunia terjejas pada dekad 70-an. Isu keselamatan serantau sering menjadi topik perbincangan dan AS dianggap sebagai pelindung negara kapitalis dunia.

Apabila runtuhnya Soviet Union dan beberapa negara di Eropah Timur menyingkir penguasa komunis, AS dianggap penguasa tunggal dan dominan menguasai perdagangan dan politik dunia.

Washington dianggap kiblat kepada dunia moden dan AS segala-galanya yang mentadbir pendapat sejagat. Keadaan ini memberi ruang kepada Rumah Putih melihat dunia dari kaca mata tersendiri hingga menyebabkan mereka tidak segan menyokong sesuatu rejim dan menyingkir rejim yang lain jika dianggap mencabar kepentingan Washington.

AS dengan kerjasama CIA pernah mendaulatkan takhta Shah Iran semata-mata bimbang golongan mullah berkuasa di Teheran. Menyokong raja yang hidup kebaratan boleh dianggap benteng terakhir untuk keselamatan Teluk Parsi yang ada kepentingan dengan rejim Zionis di Tel Aviv. Hanya apabila gerakan massa tidak boleh dibendung, AS terpaksa undur dengan penuh keaiban ketika Shah Iran gagal menggunakan Savak untuk mengekalkan takhta.

AS juga mendaulatkan kekuasaan Ferdinand Marcos di Filipina kerana tidak mahu golongan yang dianggap radikal berkuasa di Asia Tenggara. Cuma apabila gerakan rakyat yang menobatkan Corazon Aquino, AS terpaksa mengalah dan membiarkan tokoh wanita itu berkuasa di Filipina.

Sikap waspada dan prejudis terhadap kerajaan di sesebuah negara mendorong AS sentiasa sinis kepada orang lain. Justeru, tidak menghairankan apabila pendedahan Julian Assange menerusi sesawang WikiLeaks, mendedahkan kecaman AS terhadap hampir semua pemimpin dunia. Bagi AS, hampir seluruh dunia ditadbir oleh pemimpin yang lemah, rasuah, rakus dan tidak berdaya maju.

Hanya AS memenuhi cita rasa sejagat kerana kemampuan menggerakkan demokrasi tersendiri. Sikap ego AS sudah menjadi sejarah yang mengaibkan kerana mereka sendiri gagal membuktikan kekuatan sebenar di Indochina dan ribuan karung mayat tentera AS terpaksa dibawa pulang dari medan perang di Vietnam.

Hari ini, sebut saja AS, dunia tidak mungkin melupakan tangan kotor yang mengorbankan warga Iraq dan Afghanistan. Ribuan warga Dunia Ketiga mati kelaparan, anak kehilangan ayah di medan perang, bantuan senjata sekadar mengekalkan peperangan atas nama perjuangan menentang keganasan.

Pasca Perang Dingin menjadi acuan AS mengekalkan kekuasaan sejagat. WikiLeaks tentunya medium baru untuk menelanjangi kerenah sebenar AS yang sentiasa bergerak songsang di mata dunia.

Sejauh mana WikiLeaks jujur melaporkan, bukan jadi persoalan sekarang. Dunia dengan tenang melihat bagaimana AS melangkah ketika dua Korea sedang hangat dan China pula sedang memerhati penuh minat. Russia juga tentunya tidak melupakan era Perang Dingin dan memerhatikan kelibat AS penuh curiga. - Berita Harian, 7 Disember 2010