Pages

Tuesday, December 14, 2010

OKU mahu peluang, bukan ungkapan simpati

(Majoriti golongan kurang upaya kekal sebagai antara berpendapatan bawah RM1,500 sebulan)

DALAM konteks orang kurang upaya (OKU), kenyataan demi kenyataan dikeluarkan untuk memastikan penyertaan menyeluruh mereka dalam masyarakat. Namun hasilnya tidak seberapa. Nasib OKU tidak banyak berubah walaupun negara sudah lebih separuh abad merdeka. Sehingga kini pelbagai istilah digunakan – orang kelainan upaya, orang kurang upaya, orang cacat, golongan istimewa dan entah apa lagi — namun usaha untuk memastikan mereka mendapat tempat sewajarnya dalam masyarakat, masih misteri. Kementerian ditubuhkan kerajaan untuk membela nasib mereka lebih memberi fokus kepada isu kewanitaan, ibu tunggal, anak luar nikah dan pembuangan bayi. Justeru, nasib OKU hanya diperkatakan secara bermusim dan tiada jaminan sebarang tindakan tegas untuk menyelesaikan masalah mereka.

OKU tidak mengharapkan simpati, apatah lagi diberi keistimewaan. Mereka hanya mengharapkan peluang dan penyertaan dalam masyarakat. Mereka juga mengharapkan ruang untuk bekerja dengan jaminan pendapatan yang selesa. Malangnya, tidak banyak peluang diberi kepada mereka. Justeru, majoriti OKU kekal sebagai antara golongan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Jika di bandar raya seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, tentunya mereka antara nama yang tercatat dalam senarai kemiskinan bandar.
Bagaimanapun kenyataan Datuk Seri Najib Razak, mengenai pembelaan nasib OKU pada Karnival Jualan Produk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Peringkat Kebangsaan di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Tititwangsa, 4 Disember lalu amat diharapkan. Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan akan memastikan semua agenda pembangunan negara dinikmati setiap masyarakat termasuk OKU.
Beliau berkata, agenda itu yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan inklusif, dapat memastikan wujudnya sebuah masyarakat yang adil, saksama dan seimbang di negara ini. “Kesejahteraan negara bukan hak yang dimiliki oleh sebahagian rakyat negara ini, sebaliknya semua golongan dalam masyarakat tidak kira sama ada berupaya penuh atau kurang upaya,” katanya.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengandaikan 10 peratus jumlah penduduk di sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia tergolong OKU walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Angka yang besar ini memerlukan tindakan tegas pelbagai pihak. Kerajaan, khususnya kementerian terbabit perlu menggariskan tindakan susulan untuk memberi peluang kepada OKU sama ada dari segi pendidikan, peluang berniaga dan pendedahan di pelbagai sektor pekerjaan. Mereka juga wajar dilantik sebagai senator di Dewan Negara bagi menjamin suara OKU pada peringkat Parlimen. Pihak swasta dan pertubuhan sosial juga perlu berperanan kerana OKU memerlukan peluang memajukan diri bukannya ungkapan simpati yang boleh menjejaskan masa depan mereka sendiri.
Ramai di kalangan OKU berkelayakan, tetapi diabaikan untuk menyandang jawatan setimpal berpunca sikap prejudis segelintir anggota masyarakat sendiri. Siti Huraizah Ruslan – antara graduan cemerlang yang pernah mendapat liputan media, namun sehingga kini masih belum mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan dan kemampuannya.
Beliau pernah menjalani temu duga untuk mengisi jawatan pensyarah di pusat pengajian yang pernah mendidiknya dulu, tetapi dianggap tidak berkelayakan kerana cacat penglihatan. Seorang graduan undang-undang pula terpaksa menganggur beberapa tahun sebelum diterima menjadi peguam di Lembah Klang. Mereka ada kelayakan dan kemahuan untuk memajukan diri sendiri. Malangnya, kerana kekurangan peribadi menyebabkan hasrat untuk berbakti kepada masyarakat tergendala.

Di samping mereka, ramai lagi OKU yang dinafikan peluang kenaikan pangkat kerana kekurangan fizikal. Sikap menghukum tanpa mengambil kira kemampuan OKU adalah tindakan keterlaluan. Apakah kecacatan suatu dosa hingga menyebabkan mereka dinafikan peluang kenaikan pangkat?
Malaysia memperkenalkan Akta Orang Kurang Upaya 2008 bertujuan mengiktiraf sumbangan mereka dalam masyarakat. Akta ini diluluskan di Parlimen (Dewan Negara) pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008 sebelum dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008. Ia memberi pengiktirafan hak OKU dan menukar konsep OKU daripada konsep kebajikan kepada konsep right-based.
Akta ini membolehkan OKU mempunyai hak penyamaan peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan ahli masyarakat lain. Ia juga memperuntukkan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan kesejahteraan OKU.

Bagaimanapun akta ini tinggal kaku di atas kertas tanpa pelaksanaan yang jelas. Sejak pengisytiharan Tahun Antarabangsa Orang Kurang Upaya 1980 dan pelancaran The World Programme of Action Concerning Disabled Persons 1982, Malaysia turut memperkenalkan program bagi membaiki kualiti kehidupan OKU. Bagaimanapun hasilnya masih misteri kerana kita terlalu banyak bercakap dan bersimpati tanpa sebarang tindakan tegas.
Masalah sikap menyebabkan nasib OKU terus diabai. Pelaksana pembangunan negara sering mengabai keperluan OKU hingga menyebabkan kemudahan awam milik segelintir masyarakat. Masih banyak bangunan yang tidak menyediakan kemudahan asas untuk OKU. Tandas awam dan kemudahan laluan OKU sering dilupakan.

Tempat parkir kenderaan OKU jarang disediakan. Jika ada pun, ia sering diceroboh pihak lain hingga menyebabkan OKU sukar menjalani kehidupan di kawasan awam. - Berita Harian, 14 Disember 2010

No comments: