Pages

Thursday, April 29, 2010

Sekat internet tindakan jelek

KETIKA melawat Tembok Berlin tiga dekad lalu, Presiden Soviet Union, Leonid Brezhnev memberitahu sekutunya di Jerman Timur supaya memintas penyebaran maklumat. Kebebasan media, baik dilihat dari perspektif apa pun adalah suatu penentangan terhadap rejim yang pernah didokongi oleh Stalin di Kremlin.

 Soviet Union yang ketika itu paksi kepada pakatan blok timur dikenali Warsaw amat bimbangkan kebebasan media. Dia tidak mahu media menelanjangi kebobrokan rejim komunis yang bertapak di Soviet Union, Albania, Jerman Timur, Poland, Austria dan Hungry. Dia juga tidak mahu media mendedahkan keseronokan budaya Coca Cola secara berleluasa hingga menyebabkan fungsi rakyat kepada negara terabai.
  Pergeseran antara Nato dan Warsaw menimbulkan ketegangan global. Perang dingin memungkinkan ledakan nuklear bila-bila masa. KGB dan CIA – dua agensi perisikan utama dunia bagai bergeser secara terbuka. Perang propaganda menjadi satu bentuk maklumat cara baru.

 Di Amerika Syarikat yang sering melaungkan kebebasan media dan dianggap pejuang hak asasi manusia, kebebasan ada waktunya membolehkan media menceroboh hak peribadi seseorang. Elizabeth Taylor bagai tidak mempunyai diri lagi apabila segala bentuk skandal peribadi diperdagangkan. Percintaan, pelukan, babak intimnya sering mengalahkan lakonan sendiri di Hollywood. Puteri Diana dan Elvis Presley juga tidak terkecuali. Media sudah masuk ke kamar tidur. Mereka ditelanjangi sebegitu rupa. Michael Jackson juga terus diperkata walaupun mayatnya masih tersimpan di dalam peti bawah tanah di sebuah gereja yang banyak dikunjungi kaum Negro.
 Kebebasan adakalanya menjadi lesen untuk membunuh. Sesiapa saja bisa gunakan kebebasan untuk melenyap seseorang. Bagi seteru politik, kebebasan wahana terbaik untuk mengusir pihak lawan. Skandal Watergate membuktikan media adakalanya terlalu tidak bersimpati. Apa yang dicatatkan oleh Bob Woodward dan Carl Bernstein dalam The Final Days bukan sekadar menghalau Richard Nixon dari Rumah Putih pada 9 Ogos 1974, bahkan mendedahkan skandal orang di sekitar Kongres yang berkepentingan. Buku mereka dianggap ‘The worldwide number one bestseller from the authors of all the president’s men’.

Skandal Watergate juga singgah di pawagam seluruh dunia dengan judul All the President’s Men yang dibintangi pelakon kacak Robert Redford. Jualan pita videonya 20 juta unit dalam masa lima hari. Dunia bagai terpesona bagaimana kebebasan digunakan untuk mendedahkan skandal terburuk dalam sejarah pentadbiran Rumah Putih. Orang awam juga bagai tersentak betapa media sudah berjaya menentukan hala tuju dasar pentadbiran sesebuah Negara.

 Hari ini, makna dan takrif kebebasan begitu lunak diperkatakan. Selepas 8 Mac 2008, kita bagai diserangi sindrom kebebasan. Media tradisional dan internet begitu rancak menghuraikan kejadian yang dikaitkan kebebasan bersuara dan bermaklumat. Khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak terkecuali dengan peranan tersendiri.

Jika 15 tahun lalu budaya surat layang begitu menggila, hatta menjelang pemilihan pucuk pimpinan Umno, hari ini SMS, internet dan blog mengambil tempat dengan pelbagai citra dan intrig tersendiri.

  Bagi mereka yang mahu merayakan teknologi maklumat dan kebebasan individu, inilah masanya untuk mendengar suara dari pelbagai arah. Ledakan internet dan blog selepas penangkapan dan tuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998 begitu berleluasa. Pertuduhan dan penghakiman ada waktunya cukup sekadar melalui internet. Hakim, pendakwa dan peguam bela juga hidup dan berwatak melalui skrin komputer. Segalanya terjadi apabila kebebasan bermaklumat dijadikan azimat untuk berkata apa saja.

Hari ini ada yang tidak segan silu untuk mempersendakan institusi Raja. Ada juga yang boleh mengajak orang ramai keluar ke jalan raya untuk berdemonstrasi dan berarak ke Istana Negara. Blogger juga bagai kebal undang-undang, boleh berkata apa saja. Mereka boleh menuduh sesiapa saja yang dirasakan tidak secocok. Mereka juga boleh menghukum dan menghantar seseorang ke neraka.
Ada waktunya, kebebasan yang melampau menyebabkan ketakutan awam. Mao Zedong ketika berkuasa di sebalik Tembok Besar China sering mengarahkan tentera revolusi mengintip rakyat yang menyimpan radio. Baginya, alat komunikasi adalah musuh revolusi. Penyebaran maklumat secara berleluasa menentang aspirasi rakyat.
Apakah kita juga mahu menentang kebebasan bermaklumat?
Persoalan ini amat menarik untuk renungi. Ketika dunia sedang merayakan kehidupan bermaklumat tanpa batasan, ada yang merasakan maklumat perlu disekat. Internet dan blog perlu dikawal supaya suaranya hanya satu arah.
Tindakan ini tentunya sesuatu yang jelek jika dilakukan selepas 20 tahun komunis runtuh di Eropah Timur. Brezhnev sudah lama menjadi mainan sejarah. Soviet Union hanya tinggal Rusia dan beberapa wikayah kecil. Tembok Berlin sudah tiada lagi. Kebebasan sudah menjadi perayaan sejagat. Apabila ada usaha menyekat internet, ia bagaikan kita menolak perjalanan waktu ke belakang. Tidak mungkin kita memaksa masyarakat hanya sependapat dengan pendirian peribadi. Kebebasan bermaklumat dan berpendapat perlu diutamakan. Negara kita mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengawal segala tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum. Akta Komunikasi Multimedia di bawah Seksyen 233 bersedia menangani penipuan, pornografi, ancaman dan suasana menjejaskan keselamatan awam.
Blogger tidak kebal undang-undang. Tindakan keterlaluan boleh dihukum. Akta Hasutan 1948 boleh bertindak terhadap pengendali maklumat yang tidak bertanggungjawab. Tindakan undang-undang terhadap mereka bukan bermaksud menyekat dan mengawal blog.
Hari ini, hampir di seluruh dunia kebebasan internet dan blog diperkatakan. Apakah kita juga mahu diperkatakan sebagai bangsa yang menyekat maklumat? - Berita Harian, 19 Ogos 2009

Sunday, April 25, 2010

12 jam terlantar di wad kecemasan PPUKM


HIDUP sering mengundang kemungkinan dan harapan. Setiap insan tidak mungkin dapat menilai atau menduga apa yang bakal berlaku walaupun sedetik akan datang. Pengalaman penulis pada pagi 16 April lalu amat merimaskan; sakit dada tiba-tiba, sesak nafas, mata berpinar, tekanan darah mendadak dan tangan terasa kebas.
Sejak empat hari sebelumnya badan terasa longlai dan berpeluh, walaupun di bilik tidur ada pendingin hawa. Pernah sekali muntah di meja penyunting Berita Harian dan mendapatkan rawatan di klinik panel.

Jam 10 pagi dirawat di wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas bersesak memandu setengah jam pada waktu puncak. Penulis ditempatkan di bilik lima wad kecemasan dan diberi perhatian rapi oleh pegawai perubatan. Beliau dan beberapa jururawat memantau perkembangan termasuk mengadakan prosedur jantung, memeriksa tekanan darah, sejarah keluarga dan jenis ubat yang dimakan.

Seorang pakar dan dua pegawai perubatan dari unit jantung menemui penulis di wad kecemasan jam 3 petang dan mengesahkan penulis perlu ditempatkan di wad untuk pemeriksaan dan pemantauan.

Apakah saya sakit jantung? “Kami perlu teliti kes anda... kemungkinannya ada. Anda ada sejarah keluarga yang sakit jantung.” Pakar bersuara lembut dan akrab bersalam dengan penulis. “Jangan risau, kami akan pantau anda di dalam wad.”

Penulis terlantar di wad kecemasan selama 12 jam. Jam 10 pagi hingga 10 malam terlalu menyeksakan. Doktor dan jururawat silih berganti, namun penulis masih terlantar di wad kecemasan yang terdedah kepada pesakit silih berganti. Kenapa terlalu lama untuk menempatkan penulis ke Wad Perubatan 1?

Seorang pegawai perubatan meminta maaf kerana membiarkan penulis lama di bilik lima wad kecemasan. “Encik boleh tulis mengenai masalah kami. PPUKM tak cukup katil untuk pesakit. Kami di wad kecemasan akan segera melepaskan pesakit ke wad biasa, tetapi masalahnya tiada tempat untuk menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.”

PPUKM adalah pusat perubatan akademik yang ditubuhkan hasil penggabungan Fakulti Perubatan dan Hospital UKM. Penggabungan ini menyatukan pembelajaran dan kemampuan penyelidikan ahli akademik serta kemudahan klinikal yang mantap. Langkah inovatif itu mengubah institusi ini untuk muncul pusat perubatan akademik terunggul.

Sejarah pusat ini bermula apabila Fakulti Perubatan UKM ditubuhkan pada 30 Mei 1972 berdasarkan aspirasi rakyat untuk mewujudkan institusi perubatan kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Aspirasi pada masa itu adalah untuk mengeluarkan doktor tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan doktor di Malaysia.

Pada awalnya, Hospital Kuala Lumpur digunakan sebagai hospital pengajar. Pada 1997, UKM menubuhkan hospital pengajar sendiri, Hospital UKM dan Fakulti Perubatan dipindahkan ke Hospital UKM di Cheras, Kuala Lumpur.

Pada 20 Februari 2008, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin mengemukakan keputusan pihak pengurusan tertinggi UKM untuk menggabungkan Fakulti Perubatan dan Hospital UKM, dijadikan penyatuan pusat perubatan akademik yang dinamakan PPUKM.

Selama 13 tahun beroperasi di Cheras, PPUKM banyak menempa sejarah tersendiri. Terbaru ialah kejayaan PPUKM memperkenalkan teknologi penuaian pembuluh darah yang dijangka mengurangkan tempoh menunggu bagi menjalani pembedahan pintasan jantung.

Perintis teknologi itu, Dr Peter Hjc Sporen dari Belanda, menjalankan pintasan jantung pertama di PPUKM dengan pengendalian dilakukan oleh Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-Paru PPUKM, Prof Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman.

Teknologi baru itu memendekkan masa pembedahan daripada sejam kepada 10 minit dan tahap pemulihan pula amat pantas dengan pesakit boleh berjalan tidak lama selepas pembedahan. Pesakit boleh meninggalkan hospital selepas menjalani pembedahan dan rawatan antara empat hingga lima hari berbanding lima ke tujuh hari sebelum ini.

Pelbagai catatan kejayaan meletakkan PPUKM antara pusat perubatan terpenting di rantau ini. Apa yang membezakan PPUKM dengan kebanyakan hospital milik kerajaan adalah cara layanan petugasnya dengan pesakit.

Jika selama ini media kerap menerima rungutan orang awam mengenai bentuk layanan yang kurang mesra pelanggan di kebanyakan hospital kerajaan, PPUKM membuktikan sebuah agensi kerajaan yang lebih berhemah dan mempunyai budaya kerja yang amat baik.

Setiap pesakit -- tidak kira status atau keturunannya -- sentiasa mendapat keutamaan daripada petugasnya. Jururawatnya sentiasa manis dengan senyuman dan tidak merungut melayani pesakit kronik. Pegawai perubatan juga amat mesra dan prihatin, walaupun berdepan pesakit yang pelbagai status dan budaya.

Kemesraan ini sekurang-kurang mengubat tempoh 12 jam terlantar di wad kecemasan. “Semoga cepat sembuh...” ungkapan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) menguatkan semangat untuk melawan penyakit.

“Bersabar... sebaik lapang saya datang lawat” ungkapan SMS daripada Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said semakin meneguhkan keyakinan betapa esok masih ada, dugaan penyakit adalah cabaran untuk mengenal kehidupan lebih variasi.  - Berita Harian, 24 April 2010

Tuesday, April 13, 2010

Meniduri budak 11 tahun


SANGGUPKAH lelaki waras meniduri kanak-kanak 11 tahun semata-mata pernikahan sudah dilangsungkan? Apakah seorang ayah yang siuman rela membiarkan anak kecilnya ditiduri pengikut dakwah kerana persahabatan erat ketika 'berdakwah?'


Ada juga melangsungkan pernikahan anak ketika memandu. Ada isteri yang bermadu dilarang bekerja kerana suami sudah bekerja ‘dengan Allah’ dan tidak sanggup membiarkan isteri menjadi hamba sesama manusia.

Rentetan di atas membuktikan umat Islam di negara kita mudah terpengaruh dengan ajaran sesat. Ada yang menggunakan topeng agama untuk menghalalkan cara. Ada juga yang menggunakan ilmu batin, persilatan dan perbomohan hingga sanggup menjadi 'rasul' dan ditahan ketika bersarapan pada waktu siang Ramadan lalu.

Sehingga kini kerajaan mengesahkan 56 ajaran sesat bertebaran dalam masyarakat. Bukan bangsa Melayu saja mengalami ancaman itu, malah Melayulah bangsa yang paling ramai terpengaruh dengan ajaran bertentangan Islam.

Pernikahan Shamsuddin Che Deraman atau lebih dikenali Sudin Ajaib dengan budak perempuan 11 tahun di kaki lima sebuah masjid di Kelantan amat memeranjatkan.

Ia menggambarkan mentaliti segelintir Melayu yang masih lemah dan sanggup melakukan apa saja demi kepuasan seks kononnya untuk agama.

Kejadian ini mendapat liputan dan menggambarkan betapa kopiah, janggut dan jubah bukan jaminan keimanan seseorang.

Sebelum ini, beberapa kes membabitkan ‘pendakwah’ pernah mencemaskan masyarakat. Kumpulan Al-Arqam diasaskan Ashaari Muhammad dan dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah mengembangkan pengaruh di kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Kumpulan ini menyebarkan dakyah menerusi pelbagai bidang.

Bermula dengan 10 ahli pada 1968, ia berkembang sehingga 6,000 orang pada 1987. Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri menganggarkan 6,000 pengikut fanatik dan 15,000 simpatisan pada 1994. Antara kepercayaan mereka ialah Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang meninggal pada 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya hidup dan kembali untuk memimpin umat Islam. Mereka yakin Syeikh Muhammad setaraf Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir.

Kerajaan mengharamkan penerbitan dan pengedaran buku Aurad Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam pada 1986. Pertubuhan itu diharam berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 yang memutuskan ajarannya bertentangan dengan akidah dan syariah Islam, sekali gus mengakibatkan syirik.

Berikutan itu, Ashaari ditahan bersama beberapa pemimpin kanan kumpulan itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan sebelum dibebaskan pada 25 Oktober 2004.

Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad mendedahkan penyelewengan jemaah Al-Arqam menerusi novelnya Tok Guru (1998) serta Ummi dan Abang Syeikhul (1992). Shanon yang pernah mendampingi kumpulan itu mendapati Al-Arqam lebih mementingkan seksual daripada kegiatan dakwah.

Bekas pengikut Al-Arqam pula, Zabidi Mohamed mendedahkan penyelewengan kumpulan itu dalam buku Tersungkur di Pintu Syurga. Perjuangan mereka untuk kebajikan pemimpin sedangkan ahli menjadi pekerja yang terperangkap dalam sistem ‘syurga’ Al-Arqam.

Semakin maju perkembangan ekonomi, pendidikan dan teknologi maklumat, semakin maju pula cara berfikir pendakyah ajaran sesat. Akal yang waras tidak mungkin mempercayai ada manusia yang sanggup berkumpul di hutan Sauk di Grik, Perak untuk berjuang menubuhkan negara Islam.

Tetapi ia sudah berlaku dan Kumpulan Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah (Al-Ma'unah) nekad menceroboh kem Rejimen Askar Wataniah pada 2 Julai 2000 dan melarikan senjata api. Mereka bertindak di luar kewarasan kerana meyakini ilmu batin yang dimiliki amat kebal dan boleh melakukan agenda peribadi.

Akal yang waras juga tidak menerima orang seperti Ariffin Mohamed atau Ayah Pin yang mendirikan Kerajaan Langit di Besut, Terengganu. Tetapi ramai pengikutnya yang sanggup meminum air basuh kaki Ayah Pin sebelum dakyahnya diharamkan pada 2005 dan dia melarikan diri ke Narathiwat, Thailand pada 2006.

Tidak mungkin orang arif membaca al-Quran dan hadis mempercayai nabi dan rasul Melayu seperti Abdul Kahar Ahmad kerana Rukun Islam dan Rukun Iman sudah menggariskan ketentuan-Nya. Namun, ada yang termakan dakyahnya walaupun Abdul Kahar dihukum penjara 10 tahun, enam sebatan dan denda RM16,600 kerana taksub sehingga tidak dapat mewaraskan diri.

Ketika kita merayakan kebebasan maklumat dan Model Ekonomi Baru, masih ada yang mempercayai tahyul dan kuasa bomoh. Semuanya ancaman terhadap keimanan dan cara berfikir umat Islam.

Justeru, tidak memeranjatkan apabila masih ada yang keluar berdakwah dengan nawaitu tersendiri termasuk cuba meniduri kanak-kanak 11 tahun.  - Berita Harian, 13 April 2010

Wednesday, April 07, 2010

Baca, terjemah bantu jayakan 1Malaysia

(Pelbagai pihak perlu jadikan buku teman seperjalanan agar jadi bangsa berhemah, berdaya saing)



TRADISI membaca dan proses penterjemahan seunggul tamadun manusia. Masyarakat bertamadun tidak menafikan kepentingan buku, ilmu dan proses penterjemahan. Bangsa yang jumud dengan ilmu yang ada bakal terus ketinggalan.
Pada era pasca Perang Salib hingga Perang Dunia Pertama, bangsa Arab ketinggalan dalam pelbagai bidang. Mereka bukan saja kalah di medan perang, juga tewas dalam tradisi menggali ilmu seperti yang pernah dimiliki pada zaman Abbasiyah dan Umaiyah. Banyak negara Arab dan Islam pada awal abad ke-20 ketinggalan dalam pelbagai bidang. Sikap jumud menyebabkan mereka kurang mendampingi ilmu, gagal penguasaan ekonomi, malah kehilangan wilayah penting di Asia Barat kepada rejim Zionis.

Banyak negara Arab terperangkap di antara dua rejim -- sistem feudal atau diktator militer. Ketika tamadun dunia berkembang pesat di Asia Timur termasuk Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan China, banyak negara Arab terperangkap dengan kemelut politik dalaman, penguasaan istana terhadap minda rakyat dan akhirnya beberapa negara jatuh ke tangan tentera yang membentuk rejim diktator bentuk baru.
Sistem feudal hampir menjadi tinggalan sejarah. Semuanya berkaitan dengan tradisi membaca dan proses penterjemahan semakin susut. Mereka juga menafikan kejayaan zaman khalifah yang menjadikan Baghdad sebagai pusat pengetahuan yang melanjutkan tradisi keilmuwan Yunani dan Persia selama 200 tahun.
Tradisi keilmuwan Islam mulai merosot menjelang abad ke-20 apabila penguasaan Barat dan Zionis menjadikan ekonomi sebagai sumber kekuasaan dan menindas sistem pendidikan di negara yang terjajah.

Bagi masyarakat Malaysia yang pernah terjajah beberapa abad sejak 1511, tradisi membaca dan proses penterjemahan masih mentah. Ada mitos menyatakan rakyat Malaysia membaca dua halaman buku setahun berbanding 40 hingga 50 buku untuk seorang warga Sweden atau Finland. Andainya mitos ini benar, pelbagai pihak perlu bertindak tegas agar jurang keilmuwan dengan bangsa utama dunia dapat dihapuskan.
Dari segi sejarah, tradisi pesta buku sudah lama diadakan. Lebih dua dekad pesta buku diadakan di negara ini dengan pelbagai tema dan produk judul buku yang menjadi tarikan ramai. Jika dulu nama Changkat Pavilion sinonim sebagai tapak pesta buku, kini Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi lokasi utama.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (PBAKL 2010) pada 19 hingga 28 Mac lalu berjaya menarik perhatian ramai dengan penampilan syarikat penerbitan utama negara. Ribuan judul buku dipamer dan dijual dengan kadar harga istimewa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menjayakan program Bacaan Buku yang julung kali diadakan sebagai kemuncak pengisian aktiviti sempena PBAKL 2010. Konsep bacaan anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang diadaptasi daripada Frankfurt International Book Fair di Jerman.
Ia aktiviti intelektual yang menjadi amalan di kebanyakan negara Barat tetapi tidak pernah dilaksanakan secara formal di Malaysia. Najib membaca buku hasil tulisan beliau, Menakhoda Zaman yang dilancarkan untuk pasaran umum sejak Oktober tahun lalu.

Kira-kira 100 pengunjung yang membeli naskhah buku berkenaan menyertai program Bacaan Buku bersama Perdana Menteri di Gerai ITNM Dewan Tun Razak 3, PWTC. Sementara itu, ITNM menyasarkan menterjemah 300 judul buku setahun hasil karya sastera penulis dan ilmuwan Malaysia ke dalam beberapa bahasa antarabangsa.

Pengerusi ITNM, Datuk Dr Shahruddin Mat Salleh yakin usaha itu mampu mengangkat penulisan ilmiah profesor universiti tempatan dan hasil karya pemenang hadiah Sastera Negara yang sebelum ini kurang diterjemahkan. Sebelum ini karya kartunis Lat diterjemah ke dalam enam bahasa asing. Beberapa karya tempatan pula pernah diterjemah ke bahasa Inggeris, Russia, Perancis, Sepanyol dan Mandarin. Karya dunia pula sudah diterjemah ke bahasa Melayu.
Bagaimanapun usaha penterjemahan karya asing tidak sehebat dengan apa yang dilakukan di Indonesia. Sejak 1930-an, pembaca di Indonesia mengenali karya besar dunia terutama pemenang Hadiah Nobel yang diterjemah dan disebar meluaskan. Sejak zaman Balai Pustaka, Pujangga Baru dan Angkatan 45, tradisi menterjemah karya asing bertapak kukuh di Indonesia.

Di Kelantan pula, tradisi penterjemahan kitab Arab bermula sejak era Pustaka Dian dan Pustaka Aman Press. Banyak buku dari Asia Barat yang membabitkan isu agama diterjemah ke bahasa Melayu. Malangnya kita tidak lagi mendengar karya yang diterbitkan dua syarikat berkenaan.
Andainya tradisi keilmuwan dan proses penterjemahan dijadikan landasan untuk menjayakan konsep 1Malaysia, pelbagai pihak perlu mengangkat buku sebagai teman seperjalanan supaya kita menjadi bangsa yang berhemah dan berdaya saing. - Berita Harian, 7 April 2010