Pages

Sunday, April 25, 2010

12 jam terlantar di wad kecemasan PPUKM


HIDUP sering mengundang kemungkinan dan harapan. Setiap insan tidak mungkin dapat menilai atau menduga apa yang bakal berlaku walaupun sedetik akan datang. Pengalaman penulis pada pagi 16 April lalu amat merimaskan; sakit dada tiba-tiba, sesak nafas, mata berpinar, tekanan darah mendadak dan tangan terasa kebas.
Sejak empat hari sebelumnya badan terasa longlai dan berpeluh, walaupun di bilik tidur ada pendingin hawa. Pernah sekali muntah di meja penyunting Berita Harian dan mendapatkan rawatan di klinik panel.

Jam 10 pagi dirawat di wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas bersesak memandu setengah jam pada waktu puncak. Penulis ditempatkan di bilik lima wad kecemasan dan diberi perhatian rapi oleh pegawai perubatan. Beliau dan beberapa jururawat memantau perkembangan termasuk mengadakan prosedur jantung, memeriksa tekanan darah, sejarah keluarga dan jenis ubat yang dimakan.

Seorang pakar dan dua pegawai perubatan dari unit jantung menemui penulis di wad kecemasan jam 3 petang dan mengesahkan penulis perlu ditempatkan di wad untuk pemeriksaan dan pemantauan.

Apakah saya sakit jantung? “Kami perlu teliti kes anda... kemungkinannya ada. Anda ada sejarah keluarga yang sakit jantung.” Pakar bersuara lembut dan akrab bersalam dengan penulis. “Jangan risau, kami akan pantau anda di dalam wad.”

Penulis terlantar di wad kecemasan selama 12 jam. Jam 10 pagi hingga 10 malam terlalu menyeksakan. Doktor dan jururawat silih berganti, namun penulis masih terlantar di wad kecemasan yang terdedah kepada pesakit silih berganti. Kenapa terlalu lama untuk menempatkan penulis ke Wad Perubatan 1?

Seorang pegawai perubatan meminta maaf kerana membiarkan penulis lama di bilik lima wad kecemasan. “Encik boleh tulis mengenai masalah kami. PPUKM tak cukup katil untuk pesakit. Kami di wad kecemasan akan segera melepaskan pesakit ke wad biasa, tetapi masalahnya tiada tempat untuk menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.”

PPUKM adalah pusat perubatan akademik yang ditubuhkan hasil penggabungan Fakulti Perubatan dan Hospital UKM. Penggabungan ini menyatukan pembelajaran dan kemampuan penyelidikan ahli akademik serta kemudahan klinikal yang mantap. Langkah inovatif itu mengubah institusi ini untuk muncul pusat perubatan akademik terunggul.

Sejarah pusat ini bermula apabila Fakulti Perubatan UKM ditubuhkan pada 30 Mei 1972 berdasarkan aspirasi rakyat untuk mewujudkan institusi perubatan kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Aspirasi pada masa itu adalah untuk mengeluarkan doktor tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan doktor di Malaysia.

Pada awalnya, Hospital Kuala Lumpur digunakan sebagai hospital pengajar. Pada 1997, UKM menubuhkan hospital pengajar sendiri, Hospital UKM dan Fakulti Perubatan dipindahkan ke Hospital UKM di Cheras, Kuala Lumpur.

Pada 20 Februari 2008, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin mengemukakan keputusan pihak pengurusan tertinggi UKM untuk menggabungkan Fakulti Perubatan dan Hospital UKM, dijadikan penyatuan pusat perubatan akademik yang dinamakan PPUKM.

Selama 13 tahun beroperasi di Cheras, PPUKM banyak menempa sejarah tersendiri. Terbaru ialah kejayaan PPUKM memperkenalkan teknologi penuaian pembuluh darah yang dijangka mengurangkan tempoh menunggu bagi menjalani pembedahan pintasan jantung.

Perintis teknologi itu, Dr Peter Hjc Sporen dari Belanda, menjalankan pintasan jantung pertama di PPUKM dengan pengendalian dilakukan oleh Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-Paru PPUKM, Prof Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman.

Teknologi baru itu memendekkan masa pembedahan daripada sejam kepada 10 minit dan tahap pemulihan pula amat pantas dengan pesakit boleh berjalan tidak lama selepas pembedahan. Pesakit boleh meninggalkan hospital selepas menjalani pembedahan dan rawatan antara empat hingga lima hari berbanding lima ke tujuh hari sebelum ini.

Pelbagai catatan kejayaan meletakkan PPUKM antara pusat perubatan terpenting di rantau ini. Apa yang membezakan PPUKM dengan kebanyakan hospital milik kerajaan adalah cara layanan petugasnya dengan pesakit.

Jika selama ini media kerap menerima rungutan orang awam mengenai bentuk layanan yang kurang mesra pelanggan di kebanyakan hospital kerajaan, PPUKM membuktikan sebuah agensi kerajaan yang lebih berhemah dan mempunyai budaya kerja yang amat baik.

Setiap pesakit -- tidak kira status atau keturunannya -- sentiasa mendapat keutamaan daripada petugasnya. Jururawatnya sentiasa manis dengan senyuman dan tidak merungut melayani pesakit kronik. Pegawai perubatan juga amat mesra dan prihatin, walaupun berdepan pesakit yang pelbagai status dan budaya.

Kemesraan ini sekurang-kurang mengubat tempoh 12 jam terlantar di wad kecemasan. “Semoga cepat sembuh...” ungkapan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) menguatkan semangat untuk melawan penyakit.

“Bersabar... sebaik lapang saya datang lawat” ungkapan SMS daripada Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said semakin meneguhkan keyakinan betapa esok masih ada, dugaan penyakit adalah cabaran untuk mengenal kehidupan lebih variasi.  - Berita Harian, 24 April 2010

No comments: