Pages

Tuesday, January 15, 2013

Pusat Dialisis 1Malaysia perlu wujud


Sakit buah pinggang tidak pernah mengenal mangsa dan status ekonomi seseorang.  Ia membabitkan kos rawatan yang tinggi dan 14,000 pesakit menanti pemindahan organ pada tempoh yang tidak dapat ditentukan.

  Purata kos rawatan dialisis bagi setiap pesakit adalah RM3,500 sebulan. Ia tidak termasuk kos rawatan di hospital jika pesakit mengalami pelbagai komplikasi lain akibat ginjal tidak berfungsi. Bayangkan pesakit yang berpendapatan rendah dan tidak mampu ke pusat dialisis. Apakah mengharapkan doa dan takdir semata-mata?

  Dalam hal ini kerajaan yang sudah memperkenalkan Klinik 1Malaysia wajar memikirkan penubuhan Pusat Dialisis 1Malaysia bagi membantu pesakit miskin menerima rawatan sempurna.

  Modus operandi pusat berkenaan tidak jauh beza dengan pusat dialisis di hospital kerajaan yang mengutamakan kebajikan pesakit.  Bezanya, pusat dialisis di hospital merawat pesakit yang berada di dalam wad dan Pusat Dialisis 1Malaysia merawat pesakit miskin secara berkala selepas mereka keluar hospital.

  Di beberapa negara Barat terutama Sweden dan Jerman, pesakit buah pinggang diberi subsidi rawatan bagi menjamin kualiti hidup mereka tidak terjejas.

  Kerajaan yang sebelum ini memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Skim Amanah Rakyat 1Malaysia  dan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia wajar menyediakan Pusat Dialisis 1Malaysia bagi membantu pesakit buah pinggang yang meningkat setiap tahun. 

  Tanpa bantuan kerajaan yang terkenal dengan tradisi membela rakyat, pesakit buah pinggang menjadi mangsa keadaan yang akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan dan produktiviti negara.

  Seorang kenalan yang isterinya menjalani rawatan di sebuah pusat dialisis swasta terpaksa mengeluarkan peruntukan RM2,000 sebulan. Isteri beliau  hanya menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)   RM1,500 dan rayuan mendapatkan bantuan Baitulmal belum terjawab sejak beberapa bulan.

  Bayangkan betapa terhimpitnya kehidupan bagi sesebuah keluarga apabila seorang daripada mereka menghadapi masalah buah pinggang. Mereka bukan saja berdepan kos rawatan dialisis yang tinggi, bahkan kos membeli ubat, kualiti hidup dan tekanan perasaan   luar biasa.

  Ada pesakit buah pinggang yang tidak tenteram jiwa kerana bebanan penyakit. Apabila mendengar ada kalangan teman yang menghidap penyakit sama meninggal dunia, mereka juga mengeluh dan pasrah kerana sakit buah pinggang tidak boleh dirawat kecuali menerusi pemindahan organ. Mereka terpaksa bersara awal kerana kegagalan ginjal menjejaskan produktiviti.

  Bayangkan betapa ruginya negara apabila seseorang pekerja yang berkemahiran tinggi terpaksa meninggalkan jawatan kerana bebanan penyakit.

Bagaimanapun pemindahan organ bukan sesuatu yang mudah di Malaysia. Kira-kira 14,000 pesakit tidak pasti  bila mereka akan menjalani pemindahan buah pinggang kerana tradisi menderma organ belum menjadi budaya di negara ini.

  Sejak 1997 hingga 2012, hanya 4,318 orang berikrar sebagai penderma organ berbanding kira-kira 14,000 pesakit. Daripada jumlah itu, tidak semua yang berikrar menjadi penderma berjaya melakukannya.

  Menurut kajian, bilangan rakyat Malaysia menderita kegagalan buah pinggang peringkat akhir dijangka meningkat mendadak daripada 40 orang pada 1980 kepada 16,000 orang   akhir tahun ini.

Pakar nefrologi mengaitkan diabetis dan hipertensi sebagai antara penyebab utama 60 peratus daripada kes baru pesakit yang memerlukan rawatan dialisis. Kajian juga menunjukkan   90 kes baru bagi sejuta penduduk Malaysia, iaitu kira-kira 2,000 hingga 3,000 pesakit baru setiap tahun.

Peningkatan yang serius ini memerlukan skim rawatan yang merakyat. Pusat dialisis swasta tidak dapat menerima pesakit secara percuma kerana membabitkan kos operasi yang tinggi.

  Penubuhan Pusat Dialisis 1Malaysia bakal membantu pesakit berpendapatan kecil menerima rawatan sempurna tanpa dibebani kos perawatan yang tinggi. Kita yakin kerajaan yang mengutamakan rakyat boleh memikirkan penubuhan pusat dialisis yang lebih murah atau  secara percuma kepada rakyat miskin.

  Kemudahan kepakaran dan peralatan di hospital kerajaan termasuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) boleh dimanfaatkan untuk  penubuhan Pusat Dialisis 1Malaysia.
Kita yakin pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh mengkaji saranan ini demi kepentingan rakyat berpendapatan rendah!  - Berita Harian, 15 Januari 2013

No comments: