Pages

Tuesday, January 22, 2013

Melayu hilang tanah, Melayu hilang kuasa

Kawasan semak yang sedikit berlopak itu tiada istimewanya. Ia sekadar kawasan buangan sampah bersaiz sederhana  yang tidak diangkut oleh  kontraktor  pembersih kawasan. Ada tilam lusuh dan perabot patah. Tidak terkecuali sisa binaan yang  dicampakkan di pinggir lebuh raya yang kerap sesak pada waktu puncak.

 Sejak 15 tahun lalu, kawasan semak itu terbiar dengan petugas majlis perbandaran tidak pernah  membersihkannya. Walaupun pembesar pernah melalui kawasan itu untuk merasmikan sebuah masjid yang dulunya tersadai ekoran krisis politik 1998, kawasan semak itu kekal tiada siapa yang peduli.

 Hanya tahun lalu  muncul seorang lelaki lewat 40-an yang tidak segan bergelut di kawasan semak itu tanpa mempedulikan hujan atau panas. Dengan parang, cangkul dan mancis api, lelaki itu membersihkan kawasan sendirian sehingga seminggu kemudian, muncul empat lagi rakannya  membersihkan kawasan yang kini tidak lagi bersemak. Tilam lusuh dan perabot patah tidak kelihatan lagi. Sisa binaan entah ke mana dicampak. Kawasan dulunya dianggap berhantu pada waktu malam kini bersih dan tidak lagi berbau.

 Penduduk taman perumahan berdekatan tidak pernah peduli apa  dilakukan kumpulan lima lelaki itu. Walaupun mereka kerap memandu di kawasan itu, tidak tergerak untuk bertanya mengapa lima lelaki kerjakan kawasan semak di pinggir lebuh raya  tanpa kecurigaan.

 Ada pemandu dan penunggang motosikal yang membunyikan hon ketika melihat kelibat lima lelaki itu berkeringat setiap hari. Mereka sekadar menyengihkan barisan gigi yang kurang putih.
 Menjelang Aidilfitri lalu, kawasan yang sudah diratakan itu sudah menjadi tempat ibadat. Bayangkan satu pokok besar yang agak merimbun menjadi tumpuan ibadat yang mungkin dianggap selesa oleh mereka. Binaan konkrit kecil dibina untuk memudahkan mereka berkumpul tanpa diganggu hujan atau petir.

 Tidak jauh dari tapak ibadat itu sudah diratakan secara rakus. Jentolak dan pembajak memugar tanah secara lebih sistematik. Segelintir penduduk yang mungkin menyesali sikap mereka yang berdiam diri ketika kawasan semak dulu ditebas, membuat aduan ke pejabat majlis perbandaran. Pegawainya dengan serius menyatakan kawasan itu tidak akan dimajukan dan sebarang penerokaan haram akan dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh tanah kerajaan. Penduduk lega menerima jaminan itu agar pisang tidak berbuah dua kali.

 Bagaimanapun, mereka hairan kerana jentera mengaum siang dan malam termasuk ketika bilal mengumandangkan azan Maghrib. Dengan bersangka baik, penduduk berharap pegawai majlis perbandaran membuat tindakan susulan agar keharmonian kawasan perumahan tidak tercabar.

 Bagaimanapun, kini kesabaran penduduk semakin tergadai. Jentolak tiada lagi meratakan bukit kecil itu. Tanah tidak jauh dari pusat ibadat di sisi pokok merimbun itu sudah dipagar, ditar  dan sebuah papan tanda besar memaparkan perniagaan kereta terpakai dengan harga menarik.

 Penduduk tidak mampu berbuat apa-apa kerana pegawai majlis perbandaran  tidak berbuat apa-apa kecuali bersemangat menceritakan tindakan akan diambil kerana menceroboh rizab awam.

 Mesyuarat jawatankuasa penduduk dan pihak berkuasa tempatan tidak menemui penyelesaian. Mesyuarat sekadar mengisi masa lapang berdasarkan agenda  ditetapkan majlis perbandaran.

 Kini kawasan perumahan yang dijanjikan lembah hijau berdepan suasana tidak pernah diduga. Kawasan ibadat bukan saja di bekas semak di bawah pohon merimbun, bahkan di beberapa kawasan   yang ada tanah lapang.

 Longkang dan parit juga tersumbat kerana syarikat kereta terpakai membina sebuah bengkel membaiki kenderaan dan kesan minyak hitam serta kotak alat ganti dicampakkan saja ke parit yang akhirnya menyekat aliran air dari  kawasan perumahan itu.

 Penduduk sudah beberapa kali membuat aduan kepada majlis perbandaran dan alasan diberikan pegawainya berlainan dengan nada sebelumnya. Apabila wakil penduduk bertanya bila status tanah  bertukar tangan daripada tanah rizab, pegawai berkenaan hanya tersenyum pahit.

 Hari ini begitu banyak kes hampir sama berulang di kawasan perumahan lain. Tanah lapang yang sepatutnya dibangunkan sebagai pusat riadah diceroboh dan akhirnya menjadi milik persendirian.  Kita tidak boleh bertindak apa-apa kerana tiada pihak yang mampu bertindak. Sikap inilah akhirnya membentuk jiwa kerdil kerana kalangan kita kekal mengalah. Hang Tuah tentunya menarik balik kata-kata keramatnya ‘takkan Melayu hilang di dunia’, kerana kita tidak lagi berhak untuk bercakap apatah lagi menjaga kawasan sendiri! - Berita Harian, 22 Januari 2013

No comments: