Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa tidak pasti punca keputusan Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu yang menggugurkan jawatannya dalam badan tertinggi parti berkenaan.
Nasharuddin hanya mengetahui mengenai pelucutan jawatan melalui laporan media.
“Cuma setakat ini saya tahu tentang pemecatan melalui media dan tidak melalui saluran rasmi parti,” katanya.
Bagaimanapun kita yakin hati kecil Nasharuddin sudah lama dapat menduga keputusan yang bakal dibuat oleh PAS. Tindak-tanduk, amalan dan gerak-gerinya bukan lagi menggambarkan Nasharuddin sebagai ahli PAS yang setia.
Tradisi politik kepartian di Malaysia memerlukan ahli yang setia dan tidak membuat kenyataan yang boleh menggugat gerakan siasah itu sendiri.
Ada ketikanya, kesetiaan kepada parti memaksa seseorang ahli membelakangi nilai intelektual yang dimiliki. PAS seperti parti yang lain, memerlukan ahli setia, bukannya pandai memberi pandangan yang bertentangan. Banyak program parti yang Nasharuddin tidak hadir, termasuk muktamar PAS tahun lalu.
Dia memberi alasan sibuk dan banyak komitmen tetapi masih ada masa ke Gaza bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Tahun lalu dia menyertai rombongan Perdana Menteri ke Arab Saudi dan Persidangan Kerjasama Islam (OIC) yang membincangkan krisis berpanjangan di Syria.
Dari segi semiotik, isyarat dan sistem tanda amat mudah dibaca. Walaupun masih menjadi ahli PAS, langkah dan kecenderungan Nasharuddin mudah difahami.
Nasharuddin seperti juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali adalah segelintir intelektual dalam PAS – parti yang masih dominan dengan tradisi pondok dan gerakan ulama yang mendapat pendidikan dari Asia Barat sejak dekad 1950-an.
Bagaimanapun PAS kaya dengan kepelbagaian dan kecenderungan ahlinya. Kini ada tiga golongan yang mewarnai gerakan PAS, iaitu kalangan ulama, intelektual serta ahli biasa termasuk mereka yang menggerakkan tradisi pondok di Pantai Timur dan Kedah.
Pertembungan golongan ulama dan Anwarinas banyak dikaitkan sebagai trend baru dalam PAS ekoran perkembangan politik selepas 2 September 1998 apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan dalam parti dan kerajaan.
PAS terikut dengan perkembangan politik domestik dan tokoh seperti Nasharuddin dianggap penting bagi membentuk imej parti yang dianggap jumud sebelum ini. Ke mana Nasharuddin selepas ini? Apakah kekal dalam PAS, menyertai UMNO atau kekal sebagai insan tanpa gerakan siasah?
Nasharuddin terpaksa membentuk hala tuju sendiri kerana namanya dalam PAS hampir tidak wujud lagi. Jika mengambil keputusan meninggalkan PAS pun tidak memeranjatkan kerana nama Nasharuddin tetap dicurigai. Dia sudah digugurkan namanya sebagai calon Parlimen Bachok yang dimenangi pada 8 Mac 2008. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengesahkan nama Nasharuddin ‘tidak ada’ dalam senarai.
Menyifatkannya sebagai bukan satu tindakan yang pelik, Nik Aziz menyamakan pemecatan itu sebagai perceraian suami isteri dan persatuan sukan. “Pelik apanya? Suami isteri lagikan bercerai. Persatuan bola sepak pun ada orang pecat. Jurulatih pun kena pecat,” katanya. Nik Aziz bagaimanapun enggan mengulas sama ada pengguguran Nasharuddin itu disebabkan masalah dalaman.
Bagaimanapun dari segi sejarah, ramai ahli PAS yang terpaksa meninggalkan parti kerana perbezaan pandangan yang luar biasa.
Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhamad Nasir meninggalkan PAS kerana tidak sebulu dengan Tan Sri Asri Muda mengenai konteks kerjasama siasah di Negeri Cik Siti Wan Kembang. Datuk Hassan Adli Arshad juga pernah berselisih pandangan dengan pimpinan PAS walaupun pencalonannya bertanding kerusi Parlimen Bagan Datoh pada 1978 disokong oleh Asri sendiri.
Banyak tindakannya mengecilkan hati ahli PAS sendiri dan beliau seperti Nasharuddin, bertindak untuk lebih mesra Barisan Nasional (BN). Nasharuddin sepatutnya bertanya apakah dia mampu berpolitik lagi selepas ini? - Berita Harian, 30 Januari 2013
No comments:
Post a Comment