Ada pihak membuat lawak apabila memilih ungkapan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ sebagai tema Hari Kebangsaan 1996. Tahun yang sama juga ungkapan ‘Budaya Murni Teras Kecapaian’ menjadi slogan sambutan Maal Hijrah.
Bayangkan betapa banyak rakyat yang terkeliru menggunakan perkataan ‘kecapaian’ bagi membangunkan negara. Ramai juga murid dan pelajar yang disogok dengan perkataan yang salah untuk maksud tidak tepat. Bayangkan mereka menggunakan ‘kecapaian’ dalam karangan untuk maksud yang salah dan menjejaskan markah peperiksaan.
Pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kebangsaan ketika itu sekadar memberi alasan ‘keputusan Kabinet’ menyebabkan tema hari kebangsaan bernada lesu, longlai dan tak bermaya itu dipilih.
Kononnya perkataan ‘kecapaian’ lebih hebat, gah dan bersemangat berbanding ‘pencapaian’.
Kamus Dewan menghuraikan ‘kecapaian’ sebagai ‘keletihan; capek’. Kesilapan lalu diharap tidak berulang apabila kerajaan berjanji untuk memperkasa bahasa Melayu ke tempat sewajarnya.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberi jaminan proses audit penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan akan dilaksanakan dengan kerjasama pasukan audit dalaman di setiap jabatan dan agensi terbabit. Mulai Januari, 30 kakitangan DBP ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam dan agensi kerajaan bagi program audit bahasa.
DBP memberi tumpuan kepada dua komponen utama, iaitu peratus kandungan dokumen dalam bahasa Melayu dan mutu bahasa digunakan. Kita menanti hasilnya pada 2013.
Selain peratus penggunaan bahasa Melayu, kemantapan bahasa juga dinilai dari segi ejaan, tanda baca, istilah, kesantunan, pemilihan perkataan yang tepat dan kejelasan fikiran.
Kita harap DBP mampu melaksanakan tugas sebagai ‘pengawal’ bahasa yang berkesan. Tanpa kuasa untuk bertindak dan menguatkuasa penggunaan bahasa yang betul, DBP tidak lebih sekadar kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal bertindak terhadap iklan haram dengan kesalahan ejaan melampau.
Sejauh mana DBP boleh bertindak terhadap kertas Kabinet yang mengabaikan penggunaan bahasa Melayu? Mampukah pegawai DBP bersuara jika ada pembesar menggunakan bahasa penjajah walaupun pada majlis rasmi kerajaan? Bolehkah DBP menegur atau melarang penggunaan istilah asing untuk jalan, premis awam, pusat beli-belah dan nama taman perumahan?
Dulu kita ada Hentian Bas Pudu Raya. Kini disebut Pudu Sentral sebagai nama baru Terminal Bas Puduraya. Kita sudah biasa dengan Central Market berbanding Pasar Budaya atau Pasar Seni. Kita juga tidak segan menyebut ‘presint’ ketika berada di Putrajaya. Kita ada KLIA yang bermaksud Kuala Lumpur International Airport. Hinakah bahasa Melayu digunakan di tempat naik dan turun kapal terbang?
Nama taman perumahan yang aneh cukup meloyakan pencinta bahasa. Kenapa perlu The Peak, Trovit Homes, The Lakes Ville dan Casablanca? Kita tidak yakin keadaan berubah pada 2013 kerana pemaju besar kepala dan mengutamakan keuntungan, bukan mendaulatkan bahasa Melayu.
Sehingga kini tiada peruntukan undang-undang yang memaksa pemaju merujuk DBP untuk menamakan jalan, premis awam dan taman perumahan. Tanpa undang-undang, pelaksanaan audit bahasa mudah dicabul oleh sesiapa saja.
Kita kesal keadaan ini berlaku di sebuah bumi Melayu yang mempunyai akar tradisi yang panjang. Ketika era kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu bukan sekadar wahana perhubungan, bahkan sumber ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera dan pensejarahan.
Bahasa Melayu ketika era Kesultanan Melayu lebih 700 tahun dulu juga unggul sebagai bahasa penting perhubungan diplomatik.
Malangnya kini ia boleh dipermainkan dengan mudah. Ada ahli politik yang bukan saja merendahkan kedudukan karya Sasterawan Negara seperti novel Interlok, bahkan meragui nilai ekonomi yang dituturkan hampir setengah bilion penduduk dunia. Mereka bukan saja meletakkan bahasa Melayu kurang berfungsi, bahkan sanggup merendahkan penggunaan untuk subjek Sains dan Matematik.
Penggunaan bahasa bagi generasi muda juga semakin ‘kecapaian’ apabila khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel mengguna bahasa slanga yang salah ejaan dan tatabahasa.
Lebih malang medium penyiaran seperti radio dan televisyen bagai membudayakan bahasa rojak semata-mata untuk melariskan pasaran. Bahasa Melayu, loghat, slanga dan bahasa asing semakin berkecamuk. Semoga kita tidak kecapaian pada tahun baru. Bersamalah kita martabatkan bahasa Melayu sebagai cermin jati diri bangsa Malaysia! - Berita Harian, 2 Januari 2013

No comments:
Post a Comment