Pages

Wednesday, December 26, 2012

Kiamat tak jadi, tahun baru hampir tiba

Ramalan  kiamat  pada Jumaat 21 Disember lalu ternyata meleset. Bumi, bulan, bintang  dan matahari masih beredar mengikut paksinya. Kiraan  Kalendar Mesoamerican Mayan  mengikut  pusingan bumi  selama 5,125 tahun dan  tamat  21 Disember lalu tidak menyebabkan kehancuran sejagat.
Kita meneruskan kehidupan menjelang  tahun baru 2013 dengan pelbagai harapan, keyakinan dan pengalaman.

 Tahun baru tentunya menjanjikan keyakinan baru. Situasi kehidupan   dipengaruhi cara hidup bersosial, kegiatan ekonomi, perkembangan siasah dan berbudaya. Tamadun manusia bukan datang dengan sendiri dan sejarah adalah rakaman kehidupan yang sentiasa bergerak dan mencabar kedewasaan jiwa.

Penulis teringat kepada sajak Sidang Roh  karya Dr Kassim Ahmad yang disiarkan pada Ogos 1960: ‘perlu satu-satu diperhitungkan kembali/ hari ini kita dewasa/ tanpa Tuhan tanpa impian/ kerana besok mungkin terlalu lewat/ bagi kiamat yang telah ditangguhkan...’

 Tidak salah menjadikan karya  malar segar sebagai pedoman tahun baru. Apatah lagi  kiamat yang dihebohkan pihak tertentu ‘ditangguhkan’. Hidup  harus diteruskan kerana kiamat yang diramalkan 21   Disember lalu kini  menjadi jenaka sejagat.

 Setiap kali menjelang  tahun baru, penulis  terkenang cerpen Memburu Tahun Baru  karya  Malungun  atau nama asalnya Amir Hamzah  Shamsuddin.

 Cerpen ini dikaji ketika menjayakan projek Proses Kreatif Pengarang Melayu  yang diselenggarakan Sasterawan Negara  Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala).  Wawancara proses kreatif diterbitkan dalam buku Jambak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Memburu Tahun Baru adalah kisah perjuangan marhaen kota  yang bergelut untuk hidup, meneruskan kehidupan bujang dan memenuhi naluri seksual. Lebih menarik,  mereka perlu memenuhi sasaran tahun baru untuk menjayakan projek pembinaan yang hasilnya diraih kalangan kapitalis.

Kisah dua darjat yang saling meminggirkan diri. Marhaen terjerumus dalam lingkaran kemiskinan kota dan sentiasa bekerja di tapak pembinaan untuk membangunkan kawasan perumahan dan perbandaran.  Semakin cekal usaha mereka menjelang tahun baru bererti kadar upahnya kian dekat diperoleh. Tanpa sedar apabila pembinaan siap, mereka terpaksa meninggalkan rumah setinggan yang didiami kerana kawasan itu juga bakal dibangunkan sebagai kawasan komersial.

 Tahun baru bagi orang kecil penuh prasangka. Projek perbandaran untuk pihak lain dan setinggan kota  harus berusaha mencari tapak lain kerana kediaman  dimusnahkan kalangan pedagang.
Sasterawan Negara  Keris Mas memuji  cerpen  yang disiarkan  majalah Dewan Bahasa pada tahun 1965  sebagai suara anak Malaysia.  Malungun mahu membuktikan  bahawa seseorang yang berjiwa sosialis dan memperjuangkan ideologi sosialis belum tentu mengamalkan fahaman sosialis dalam kehidupannya.

Prof Madya Dr  Abdullah Tahir pernah mengulas cerpen ini melalui pendekatan matematik. Tetapi sehingga hari ini tiada siapa yang dapat memahami matematik sebagai asas menilai karya kreatif. Umar Junus dan Lutfi Abbas juga mengkaji karya ini sebagai wadah tahun baru yang sentiasa menggerunkan.

 Kalangan pesimis sentiasa melihat perubahan waktu sebagai ancaman kehidupan.   Siaran televisyen satelit menyiarkan Doomsday 2012: Watch the 'End of the World' sebagai rutin harian sejak Oktober lalu.

 Ramai yang ‘cerdik’ di Amerika Syarikat membina bilik bawah tanah kerana bimbangkan kiamat 21 Disember. Ada yang menyimpan sardin dan gandum sejak tiga tahun lalu. Mereka yakin selamat daripada kiamat kerana berlindung di bilik kebal bawah tanah. Makanan disimpan  setiap hari kerana mereka yakin  boleh meneruskan kehidupan keduniaan ketika kiamat berlaku. Di China pula ada pihak yang membina kapal besar kononnya bahtera Nabi Noh untuk menyelamatkan diri ketika kiamat. 

Kekeliruan mengenai kiamat  dan kerosakan alam  adalah sebahagian daripada fahaman sekular yang mendakwa  dunia  terjadi dengan sendirinya.  Hari ini golongan ini bukan saja sekular, bahkan terbabit dalam fahaman pluralisme dan liberalisme. Kehidupan bagi mereka sekadar  peralihan kalendar sebahagian daripada catatan perjalanan seseorang.

 Fahaman ini amat bahaya dan sedang menular di Malaysia.  Acara sambutan tahun baru dan sorak hilai di Dataran Merdeka sebahagian daripada fenomena kehidupan yang boleh mencabar kewarasan minda.

Tahun baru sepatutnya mendidik kita untuk berjiwa besar dan berhati mulia. Kehidupan berpolitik dan berekonomi tidak semestinya melupakan hakikat manusiawi.  Dunia terlalu kecil untuk kita membesarkan diri. Perbezaan siasah sepatutnya diredakan dengan fikiran  tenang. Kelainan dan silap faham sepatutnya disulami perasaan santun dan berhemah.  Bak kata Prof Dr Hamka dalam bukunya Lembaga Budi; Manusia terlalu kerdil untuk mengkaji kebesaran alam! - Berita Harian, 25 Disember 2012

Thursday, December 20, 2012

Audit bahasa usaha martabat jati diri bangsa

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa’ 
Ungkapan di atas melambangkan keindahan bahasa dan budi yang menjadi latar belakang kehidupan bangsa Melayu sejak berzaman.

Melayu terkenal sejak era keagungan Melaka sebagai bangsa yang berwibawa dan mempunyai bahasa bertaraf dunia. Bahasa Melayu dipertuturkan di gugusan kepulauan Melayu dan menjadi pengucapan terpenting sepanjang Selat Melaka hingga Selat Sunda, selatan Thailand dan selatan Filipina. Bahasa Melayu menjadi penegak hukum kanun di Nusantara, sekali gus dihargai sebagai bahasa rasmi sejak 1400.

   Bagaimanapun keadaan berubah apabila kehadiran penjajah Barat, terutama Inggeris yang berjaya membawa ‘bahasa baru’ sebagai pengganti bahasa Melayu. Keadaan lebih malang apabila kemerdekaan negara pada 1957 berjaya memberi penarafan terhadap bahasa asing dan menafikan kewujudan bahasa tempatan sejak ribuan tahun.

  Walaupun bahasa Melayu diiktiraf bahasa kebangsaan, kewujudannya dipertikai pelbagai sektor. Papan tanda mengabaikan bahasa Melayu sebagai bahasa maklumat  bercambah di pelbagai tempat. Pengacara radio dan televisyen menggunakan bahasa slanga dengan alasan mempercepatkan proses sebaran am. Lebih malang apabila pemimpin politik dan korporat menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengucapan utama, sekali gus menodai kesucian bahasa Melayu itu sendiri.

  Sejarah bahasa Melayu di Malaysia sentiasa diancam dengan kesediaan penutur untuk menghargai kedaulatan bangsa, atau menggunakan bahasa Inggeris sebagai wadah pengucapan ilmu.

  Tindakan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 adalah bukti nyata ada pihak yang meragui nilai ilmu bahasa Melayu.

  Bagaimanapun pejuang bahasa harus berterima kasih kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan kerana menyarankan program audit bahasa Melayu bagi memantau penggunaan bahasa kebangsaan pada peringkat perkhidmatan awam  pada 29 Oktober 2011.

  Beliau berkata, program itu perlu dilakukan dengan melihat dua aspek utama iaitu sejauh mana bahasa Melayu diguna pakai dalam perkhidmatan awam serta mutu  bahasa kebangsaan yang digunakan.

  Dr Awang yakin dalam tempoh dua hingga tiga tahun program ini dilaksanakan, penggunaan dan mutu bahasa Melayu yang digunakan akan melonjak apatah lagi jika ia dikaitkan dengan indeks petunjuk prestasi (KPI) mereka.

  Kertas kerja Dr Awang  bertajuk ‘Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam’ pada Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu pada Oktober 2011 menjadi kenyataan apabila beliau dilantik Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustka (DBP)  pada 1 Februari lalu.

  Sepanjang 2012 isu audit bahasa menjadi tumpuan umum kerana masyarakat berharap bahasa Melayu tidak lagi diperlekeh.

Dr Awang memanfaatkan jawatannya untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai pengucapan utama. Program audit bahasa dilaksanakan bertujuan memartabatkan bahasa Melayu di agensi kerajaan.

 Kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme supaya setiap jabatan dan agensi kerajaan menyediakan dokumen atau surat rasmi dalam bahasa Melayu.

Ia bukan saja bagi urusan yang membabitkan antara jabatan atau agensi  semata-mata, malah merangkumi hubungan dengan pihak luar seperti kedutaan asing di negara ini.

  Dalam hal ini kerajaan digesa bertegas  dengan memulangkan semula surat rasmi atau dokumen yang tidak menggunakan bahasa Melayu.

Kerajaan juga wajar menimbang untuk mewujudkan atase pendidikan dan pengembangan budaya di kedutaan Malaysia di luar negara bagi mempromosikan bahasa dan budaya Melayu kepada masyarakat antarabangsa seperti yang dilakukan oleh Indonesia.

  Dr Awang sebagai sarjana dan penyelidik bahasa berjaya mengembalikan maruah DBP kepada matlamat asalnya. Sejak penubuhan pada 1956 hasil rumusan dan keputusan Kongres Bumiputera, DBP diberi amanah untuk memartabat dan memperkembangkan bahasa Melayu sebagai pengucapan ilmu terpenting. 

  Matlamat penubuhan adalah sebagai agensi pembangunan dan perancangan bahasa Melayu. Tugas penerbitan, percetakan dan pemasaran buku ilmiah boleh diserahkan kepada jawatankuasa khas yang memiliki kepakaran mengenai keperluan supaya keberkesanan kos dapat dicapai. 
Malangnya matlamat asal DBP dikaburi dengan isu lain termasuk polemik pengedaran buku yang terhad serta  isu sastera dan budaya yang tidak berkembang.

  Dr Awang boleh dianggap istimewa di DBP setanding Tan Syed Nasir Ismail dan Datuk Hassan Ahmad.   Keutuhan bahasa Melayu dalam sektor awam merintis jalan kepada audit bahasa secara menyeluruh, termasuk sektor bandar dan perniagaan. Kita tidak mahu imej kota besar negara dilihat seperti di England dan Hong Kong yang mengutamakan bahasa Inggeris dan Mandarin. 
 
Kerajaan memberi reaksi positif terhadap projek audit bahasa apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merestui usaha yang dilakukan DBP.  Penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dipengerusikan Muhyiddin membuktikan komitmen kerajaan mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu.

  Jawatankuasa itu akan membuat pemantauan di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta, untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dipelihara.

  Sehingga kini jawatankuasa itu berjaya melaksanakan beberapa inisiatif untuk menggalakkan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam sektor awam dan swasta. Antaranya garis panduan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi massa, program Ahli Parlimen bersama masyarakat di 21 pihak berkuasa tempatan (PBT), program penggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan di enam Kampung Baru Cina dan Seminar Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Perdagangan dan Kepenggunaan.

  Sistem penarafan bintang bahasa kebangsaan bagi menghargai usaha PBT memartabatkan penggunaan bahasa Kebangsaan di tempat awam turut diwujudkan.   Tiga agensi iaitu DBP, PBT dan kerajaan negeri bekerjasama membangunkan sistem penarafan bintang untuk dilaksanakan secara rintis  tahun depan.

Dalam memperkasakan bahasa kebangsaan kita yakin sistem pendidikan di Malaysia mempunyai peranan dan mampu memupuk semangat perpaduan nasional. Melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, rakyat di negara ini bukan saja dapat menguasai bahasa kebangsaan, tetapi juga menghayati nilai perpaduan dan jati diri nasional yang ingin diterapkan.

  Beberapa kegiatan kebahasaan dijalankan sepanjang 2012 termasuk pada peringkat daerah, negeri dan pusat. Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 diadakan sebagai kesinambungan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

  Minggu Bahasa Melayu diadakan pada 2 hingga 6 Julai lalu. Kembara Bahasa DBP 2012 diadakan pada 21 hingga 24 November  sebagai usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai citra budaya tempatan.

   Bagaimanapun sehingga pertengahan Disember, isu bahasa di papan tanda atau papan iklan yang cacamarba dan lintang pulang belum diatasi. PBT masih berlembut dan membiarkan sektor swasta meremehkan bahasa kebangsaan.  Kita masih melihat nama taman perumahan baru yang masih mengutamakan bahasa Inggeris untuk kelihatan lebih gah. Ejaan tidak betul masih kita lihat di papan tanda besar yang mengutamakan bahasa asing sebagai pengucapan utama.
 
Ramai juga pemimpin korporat menggunakan bahasa Inggeris ketika sidang media seolah-olah menafikan usaha audit bahasa yang dilakukan DBP. Kita yakin keadaan ini tidak berlaku jika pihak yang mendakwa rakyat Malaysia mempunyai semangat cintakan bahasa dan bangsanya. Malaysia tanpa bahasa  hanya menguatkan hujah kewujudan  budaya popular  yang lahir daripada tulisan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel tanpa akar umbi. - Berita Harian. 20 Disember 2012
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


FAKTA BAHASA

1,000   tahun
Anggaran penggunaan  bahasa Melayu (Melayu-Polinesia) di  Malaysia, Indonesia dan persekitarannya.

682 Masihi
Penemuan batu bersurat di Sumatera Selatan yang merakam perkembangan bahasa Melayu di   Jambi dan Palembang.

4 negara
Memilih bahasa Melayu sebagai  bahasa kebangsaan iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

300 juta
Penutur  di seluruh dunia  menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan keempat terpenting   selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu.

70,000 orang
Mampu bertutur  bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.


1970-an
 Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928.

1968  pengisytiharan
 Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia, tetapi bahasa Inggeris masih digunakan dengan meluas terutama dalam kalangan masyarakat Cina dan India.

17 kertas kerja
Dibentangkan  pada Seminar Pengajaran Bahasa Melayu untuk Penutur Asing yang diadakan sempena Sidang Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu ke-2  pada 2003

 

Tuesday, December 18, 2012

Apabila pengamal media bergelar sasterawan

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said amat sinis menerusi novel Hujan Pagi - “Wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati!”

Karya ini menghuraikan kekusutan jiwa seorang wartawan generasi sebelum perang yang tidak lagi memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan arah dan perkembangan media masa kini. Segala yang berlaku menyentuh hati nurani dan pegangan hidup wartawan. Perkembangan terbaru dalam harian Sinar Pagi (nama akhbar dalam Hujan Pagi) menyebabkan watak utama, Lokman terseksa dan tergelincir ke  dunia halusinasi.

  Samad secara ghairah bertanya:  “Apakah peranan akhbar saudara itu ‘pengghairah’, ‘pelapor’, ‘pendakwah’, atau ‘pengekor’?”
Dalam mingguan halusinasi iaitu Hujan Pagi, Lokman diberi peranan besar sebagai penentu dasar media yang dicabar  kuasa politik. Dirasakan ada sesuatu perjuangan yang bermakna, sesuai dengan latarnya sebagai  nasionalis.

  Samad bagai merungut mengenai kawalan kuasa terhadap akhbar. Era penjajah, pegawai British menguasai media dengan pelbagai kongkongan. Pasca merdeka pula, penjajah dalam kalangan bangsa sendiri berperanan menentukan kandungan sesebuah media. Elitis politik berperanan menentukan suara dari atas dapat membendung hasrat dari bawah. Bagaimanapun suasana politik selepas 1998 berubah apabila media baru mengambil tempat yang lebih jauh dan mengancam media tradisional.

  Mitos kuasa, politik, wartawan dan sasterawan sentiasa erat dalam perkembangan sastera dan kewartawanan di Malaysia.  Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajaknya Zaman Ini sinis terhadap wartawan.
  ‘Engkau wartawan kutip berita antara manusia
  Penamu tajam dapat mencungkil keburukan mereka
  Engkau diam mengikat tangan di bawah meja
  Zaman ini memaksamu menulis yang baik belaka!’


Usman seperti juga Samad adalah antara sasterawan wartawan yang sentiasa lantang memperjuangkan isu sosial dan kemanusiaan. Genre puisi, cerpen, drama dan novel dimanfaatkan untuk menelanjangi suasana yang dianggap bobrok.

  Mereka berdua tidak asing dalam gerakan massa Asas 50 yang ditubuhkan di Singapura bertujuan menyuarakan kepentingan Melayu, bukan bersekutu dengan penjajah dan menggelarkan diri sebagai pejuang kemerdekaan.

  Karyawan lain termasuk Sasterawan Negara Arenawati, Sasterawan Negara Keris Mas, Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) dan Tan Sri A Samad Ismail adalah nama besar sebagai sasterawan dan wartawan. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Mas adalah kritikan tajam terhadap Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilihat berjaya dari segi kulit semata-mata. Melayu dari kelompok mana yang dapat nikmat pembangunan?

  Pak Sako menerusi Putera Gunung Tahan menyindir British yang menguasai Tanah Melayu. Novel ini menggarapkan nasionalisme dalam bentuk satira, menggunakan lambang Gunung Tahan, ‘orang-orang Sakai’ dan kulit harimau putih sebagai bahan kritikan.  Ketika itu tidak mengizinkan Pak Sako    menulis secara terus-terang. Beliau adalah di antara sasterawan wartawan berhaluan kiri dan berkarya di luar pemikiran arus perdana.   

  Mereka menganggap golongan yang dianggap kanan adalah warisan penjajah yang mahu meneruskan agenda Barat  di bekas tanah jajahan. Tidak terkecuali juga segelintir Melayu yang muncul sebagai elitis kuasa mendakwa sebagai pejuang kemerdekaan, walhal agenda tersembunyi adalah meneruskan agenda asing di negara ini.
  Arenawati menerusi beberapa karyanya adalah citra kegelisahan wartawan pada zaman gelap. Menerusi Busa Hati, Arenawati bersuara: “Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah.”

Media dan pengamalnya diperkatakan secara terbuka. Lebih malang apabila ada pihak  mengatakan pengamal media dibolehkan memutar fakta untuk membentuk gambaran yang diingini kepada khalayak.

  Kita tidak yakin amalan ini sebahagian daripada tradisi kewartawanan yang unggul untuk dimanfaatkan. Media, seperti juga sastera perlu kekal manusiawi, mengajak pembaca menjadi cerdik, bukan mendodoikan masyarakat.

  Amat malang apabila seorang wartawan terkenal yang disaman menyalahkan editor yang menyiarkan cerpennya. Dia sepatutnya sedar penulisan  ada hukum-hakamnya walaupun hanya sebaris ayat. Dia perlu ingat  wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati. - Berita Harian, 18 Disember 2012
 

Monday, December 17, 2012

Lagu, puisi, buku tentang salah guna kuasa

Penyanyi yang digelar seniman rakyat, Iwan Falls dengan sinis mengungkapkan lirik yang dianggap luar biasa di dunia ketiga: ‘Wakil rakyat seharusnya merakyat, jangan tidur ketika sidang soal rakyat!’

  Iwan mengungkapkan lirik berkenaan dalam lagu Wakil Rakyat bagi menyuarakan bantahan terhadap masalah yang melanda Indonesia di bawah pimpinan Orde Baru, Presiden Suharto.
  Pada 1997 Indonesia berdepan kemelesetan ekonomi yang luar biasa. Serangan spekulator mata wang pada 1998 tambah merumitkan keadaan menyebabkan Jakarta hampir setiap hari menjadi medan protes rakyat.

  Iwan atau nama asalnya Virgiawan Listanto  adalah antara segelintir seniman yang lantang menyuarakan isu marhaen. Bait puisi dilagukan irama  balada dan country yang langsung sampai ke hati rakyat bawahan sejak 1970-an. Selain Iwan, Ebiet G Ade juga melagukan puisi. Bezanya, Ebiet lebih lembut dan pasrah kepada Ilahi dan mesra alam.

  Kejatuhan Suharto kononnya kejayaan demokrasi di Indonesia. Rakyat yang dulunya demonstrasi, kekal berdemonstrasi kerana meraikan kejayaan demokrasi. Mereka bagai tidak peduli ruang dapur semakin kosong dan anak isteri tiada makanan lagi. Demonstrasi dan demokrasi menjadi mantera ajaib yang sukar dimengertikan kesannya.

  Pelantikan Prof Dr  Bacharuddin Jusuf Habibie atau dikenal sebagai BJ Habibie sebagai Presiden Indonesia ketiga selama setahun setengah juga mendapat kritikan rakyat. Iwan menerusi sebuah lagu menyuarakan ‘tikus berada di katung (terapung-apung dalam air)’

  Rakyat yang menderita kekal menderita. Penulis menerima koleksi album Iwan daripada seorang teman di Jakarta pada era kejatuhan Orde Baru.  Penulis juga menerima beberapa karya WS Rendra yang bercakap mengenai kuasa dan mengkritik rejim Suharto ‘yang tak ubah’ Sukarno.

Bagi orang politik, kuasa, wang dan pengaruh memainkan peranan penting. Mereka terlupa rakyat juga berhak dalam proses demokrasi kerana tanpa pimpinan sempurna bakal melahirkan anarki tulen.

  Penyanyi Bob Dylan atau Robert Allen Zimmerman tidak lekang dengan kuasa dan kesejagatan. Penyanyi, penyair, pencipta dan penggubah lagu itu mencipta The Times They Are a-Changin bagi menggambarkan tuntutan perubahan sejagat.

  Nicollo Machiavelli sebagai falsafah politik memberi gambaran kuasa boleh dipertahankan dengan senjata dan undang-undang. Tapi awas, jangan sampai dilihat menentang rakyat!

  Machiavelli menghasilkan buku pertama berjudul The Prince memuatkan tema  sesebuah negara harus memiliki tentera nasional warga sendiri dan tidak mengharapkan tentera sewaan. Negara harus memiliki politik tegas  sepenuhnya digerakkan oleh wang dan tentera. Pemimpin tidak dihambat oleh penundaan dalam pembuatan keputusan. Penguasa harus menggunakan cara licik jika keamanan terancam.

  Ahli politik moden menafsirkan The Prince sebagai teori pengekalan kuasa atau menghalalkan cara. Ia sebahagian daripada cara baru berpolitik yang diamalkan di seluruh dunia. Banyak negara Asia dan Afrika mengamalkan proses menghalalkan cara untuk mengekalkan kuasa. Kebanyakan negara Arab menjelang abad 20 terbabit dalam konflik penentangan rakyat sendiri.

  Pimpinan sama ada anarki feudal mahupun rejim tentera menggunakan jentera kerajaan termasuk ketenteraan. Rakyat yang berjuang menentang sistem feudal akhirnya terperangkap dengan rejim baru yang lebih ganas. Pentadbiran tentera dan pimpinan sosialis di Asia Barat sebahagian daripada anarkis baru bertopengkan demokrasi.

  Amerika Syarikat (AS) yang dianggap jaguh demokrasi tidak terkecuali menggunakan kuasa untuk menghalalkan peperangan di Gaza sejak 64 tahun lalu. Perang Vietnam, pencerobohan ketenteraan di Iraq dan Afghanistan adalah sebahagian dominasi kekuasaan AS mengikut acuan teori Machiavelli. AS menggunakan kuasa veto jika undian di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak memihak kepada Zionis.

   Rakyat di dunia ketiga yang baru 50 tahun merdeka mula mempelajari politik menerusi teori dan praktis. Malangnya proses politik di bekas tanah jajahan jauh daripada kematangan. Tidak salah untuk Iwan dan Rendra bersuara supaya pemimpin selalu merakyat kerana pelan pembangunan nasional memerlukan tindakan menyeluruh. Kegagalan menafsir hasrat rakyat bakal ditelanjangi menerusi mahkamah sejarah! - Berita Harian, 11 Disember 2012 

Thursday, December 06, 2012

Khairunnisa bukti ketabahan, kekuatan dalaman

  “Lima tahun ayah dukung saya ke kelas di tingkat tiga sekolah,” akui Khairunnisa Johari yang meraih Anugerah Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM).

  Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maklumat yang menghidap penyakit tulang rapuh sejak kecil, berkata memori pengorbanan ayahnya, Johari Othman, 53, sentiasa menjadi pembakar semangatnya untuk meraih keputusan cemerlang.

  “Kekuatan saya sepanjang belajar di UiTM hanya satu, iaitu memori ayah yang setiap hari mendukung saya ke kelas. Apabila membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian pada peringkat diploma, kemudian ijazah sarjana muda, saya membuat persediaan mental dan fizikal untuk hidup sendiri,” katanya selepas Istiadat Konvokesyen ke-77 UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, di UiTM, baru-baru ini. 

   Mungkin bagi sesetengah pihak menganggap kecacatan sebagai kekalahan dalam kehidupan, tetapi Khairunnisa seperti beberapa orang kelainan upaya (OKU) yang lain membuktikan kekuatan dalaman membantu mereka mencapai kejayaan.

  Isunya sekarang, ke mana Khairunnisa akan melangkah? Adakah majikan yang menawarkan pekerjaan kepadanya atau  akan senasib  ramai lagi OKU yang tersisih dan terabai?
Ramai OKU cemerlang

  Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2012 diadakan pada Isnin lalu. Ia sudah tradisi dan klise. Memang kita akui setiap tahun ramai OKU  mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan di sekolah dan pusat pengajian tinggi. Ramai  memiliki ijazah doktor falsafah dan sarjana. Tetapi sejauh mana mereka memenuhi keperluan pasaran. Sanggupkah majikan menawarkan pekerjaan?

  Kita boleh berbangga dengan pencapaian Pakar Ekonomi Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang berjaya dalam akademik, pengurusan dan akhirnya dilantik  senator. Tetapi tidak ramai OKU lain yang mendapat tempat dalam masyarakat walaupun berkelulusan dan mempunyai kemahiran bidang tertentu.

  Kita masih ingat nasib dua atlit paralimpik yang meraih pingat perak dan gangsa di London  dinafikan ganjaran pencen semata-mata ‘padang permainan’ tidak rata berbanding ahli sukan normal. Pelbagai polemik dan pandangan ahli sosial sekadar angin lalu. Kini nasib mereka tiada siapa yang peduli.

  Kita mempunyai ramai graduan OKU yang masih menganggur atau bertugas di luar kepakaran mereka. Ramai yang bergaji di bawah RM1,500 sebulan dan tercatat dalam statistik kemiskinan negara. Ramai yang tinggal di rumah pangsa dan terpaksa mendapatkan ihsan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM)   bagi mendapatkan bantuan bulanan.

  Prejudis masyarakat dan sikap majikan punca OKU tidak berpeluang menikmati kehidupan lebih baik. Kita harap Khairunnisa mempunyai nasib berbeza daripada OKU lain. Sebelum ini nama Siti Huraizah Ruslan pernah diperkatakan kerana cemerlang akademik tapi gagal mendapat jawatan  sesuai. Akhirnya dia terpaksa berbakti di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang di luar bidang kepakarannya.

  Pertubuhan Kesihatan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WHO) mengandaikan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara mengalami kecacatan fizikal, mental, penglihatan dan pendengaran. Ini bermakna 2.9 juta penduduk Malaysia dianggap OKU walaupun hanya satu perempat  berdaftar dengan JKM.

  Peluang mendapatkan pekerjaan, memiliki rumah dan kemudahan asas OKU masih kurang. Kerajaan perlu memperuntukkan secara terperinci Program Perumahan Rakyat dikhususkan kepada OKU supaya mereka terus mendapat pembelaan. Pembentangan Bajet 2013 mengenai program berkenaan cuma menyediakan 20 peratus rumah mampu milik  dengan harga RM30,000 hingga RM40,000 seunit kepada OKU dan penjawat awam berpendapatan rendah.

  Dalam hal ini  kerajaan seharusnya memantau lebih terperinci memandangkan nasib OKU yang selalu terlepas pandang. Biarpun kerajaan memberikan peluang kepada OKU  untuk memiliki rumah mampu miliki, namun peruntukan serendah 20 peratus itu masih perlu dibahagikan bersama penjawat awam berpendapatan rendah.

  Dari segi sosial, kemudahan OKU masih rendah. Laluan pejalan kaki cacat penglihatan dan anggota tidak banyak disediakan. Banyak premis awam tidak menyediakan laluan kerusi roda. Parkir OKU sentiasa diceroboh.

  Khairunnisa tentunya berbangga dengan ijazah dimiliki, tapi dia harus menerima hakikat bahawa kemudahan OKU di Malaysia masih rendah, termasuk peluang menjawat kerjaya dan kemudahan asas. - Berita Harian,  6 Disember 2012

Tuesday, December 04, 2012

Demografi politik pengaruhi media sosial

Internet sebahagian senjata politik bentuk baru. Dengan 20 juta pengguna di Malaysia, ia memberi kesan besar kepada pertimbangan massa menjelang pilihan raya umum.

 Hanya lapan  juta yang tidak melangganinya, tetapi bukan bererti mereka buta internet. Internet sebagai wahana dunia tanpa sempadan mempunyai daerah sendiri. Ia memberi kesan bukan saja kepada ledakan teknologi maklumat, malah kecenderungan berfikir.

 Demografi politik sekarang mengaitkan pengundi muda bakal menentukan keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Sejak Mac 2008 ada 2.9 juta pengundi baru mendaftar sebagai pemilih. Mereka mewakili  lebih satu perlima daripada jumlah 13.1 juta  pengundi. Ini bermakna setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti ialah generasi baru atau pengundi yang  kali  pertama ke pusat pengundian. Mereka mempunyai latar pendidikan dan aktif media sosial. Lebih menakjubkan apabila 90 peratus dalam kalangan mereka aktif media baru termasuk penggunaan internet, khidmat pesanan ringkas serta mempunyai akaun Facebook dan Twitter.

 Internet mula menguasai suasana politik pada  Pilihan Raya Umum 1999. Ketika itu Barisan Nasional (BN) bukan saja gagal menawan Kelantan, malah gagal mempertahankan pentadbiran di Terengganu.

 Puncanya, isu liwat dan salah laku seks seorang tokoh menjadi tumpuan di media baru. Apabila media tradisional dikaitkan sebagai kurang mesra reformasi, internet mengambil tempat yang tersendiri. Ketika itu istilah `mahafiraun’ dan `mahazalim’ diulang berkali-kali seolah-olah apa yang dilaporkan di media baru ada kebenarannya.

 Pada hari ini kebenaran boleh dijual beli, sesuatu yang tidak benar jika ulangi berkali-kali akan dianggap benar. Internet dan media baru sering dianggap menjadi wadah yang melaporkan kebenaran kerana laporan mereka jarang disanggah secara terbuka.

 Ketika penduduk Malaysia 24.6 juta pada 2000, seramai 3.7 juta orang menggunakan internet. Pada 2010 dengan penduduk 26.12 juta, pengguna internet 16.9 juta orang.

 Peningkatan ini berterusan dengan angka yang menakjubkan. Pengguna Facebook pula berjumlah 13 juta sekarang dengan kadar chatting lebih 23 jam sehari.

 Jika generasi muda dianggap pengguna setia internet, mereka juga mungkin antara penentu keputusan pilihan raya. Kecenderungan dan arah berfikir mereka belum dipastikan. Isu semasa terutama yang membabitkan generasi muda mudah menjadi tumpuan.

 Kita harus menerima hakikat bahawa pengundi muda pada dasarnya tidak mempunyai sentimen akar umbi. Sejarah dan kisah lampau tidak penting bagi mereka Generasi Y dan Z atau Generasi Starbucks harus diberikan perhatian oleh mana-mana parti politik yang ingin berkuasa atau mengekalkan kuasa.

 Anak muda tidak seperti ayah dan ibu mereka yang sebelum ini mempunyai fahaman politik kepartian. Mereka di dunia tersendiri, melayari internet, bersembang dan saling mengenal tanpa sempadan. Mereka berhujah dan berdebat, sesekali santai berkicau. Isu pendidikan percuma, filem terbaru, muzik terkini dan budaya K-Pop menjadi tumpuan.

 Jangan anggap generasi muda kurang ilmu atau kurang ajar terhadap tradisi. Mereka melihat tradisi dengan cara tersendiri. Mereka sinikal dan kritikal.

 Jika orang lama lebih melihat tradisi kepada siapa pengasas negara, bapa kemerdekaan dan dasar nasional, mereka melihat tradisi kepada pola pemikiran dan jaringan masa depan. Mereka mengaitkan pembangunan sebagai tugas pemimpin, bukan kerana sumbangan seseorang tokoh. Kita akan dianggap silap jika menuduh generasi muda abai perkembangan politik.

Ruang sembang sosial yang sebelumnya sebagai wadah mengucapkan salam, bercerita dan berkelakar kini semakin menakjubkan. Facebook dan Twitter sudah menjadi senjata politik. ada yang mengajak turun ke jalan untuk tunjuk perasaan kerana isu pendidikan percuma. Tiga kali perhimpunan  Bersih digerakkan oleh media baru yang lengkap memberi panduan cara mengelak bertembung dengan petugas keamanan.

Pada masa ini dianggarkan lebih 60,000 pemilik blog atau bloggers di negara ini,  sebahagian kecilnya terbabit dalam politik. Tetapi pengaruh mereka tidak boleh diambil mudah.

 Jun-E Tan dan Zawawi Ibrahim dalam buku Blogging and Democratisation in Malaysia: A New Civil Society in the Making memberi amaran pengaruh bloggers sebagai  pemimpin minda generasi baru.  Kelompok yang dipanggil elit pemikiran masa kini mulai mencorakkan agenda siasah tempatan.

 Mana-mana kelompok yang masih meyakini media baru kurang berkesan, bersedialah menghadapi risikonya kerana anak muda tidak semestinya berakal budak! - Berita Harian, 4 Disember 2012

Tuesday, November 27, 2012

UMNO jangan sekadar hidup mewah

Sebelum melepaskan jawatan dalam UMNO dan kerajaan, seorang tokoh berpesan: “Jagalah UMNO baik-baik. Jangan sampai lupakan akar umbi di luar bandar!” Ungkapan lebih dua dekad lalu itu sepatutnya menjadi pedoman kepada 3.2 juta ahli UMNO di seluruh Malaysia.

  Hari ini parti umat Melayu bersidang lagi. Harapan pemimpin dan perwakilan membawa mesej yang hampir sama. UMNO perlu kekal untuk Melayunya dan dengan akar umbi. Sebarang usaha melupakan akar umbi akan membawa padah kepada UMNO.

  Sejak penubuhan pada 11 Mei 1946, UMNO sentiasa dilihat untuk Melayu.   Sejarah mentakdirkan UMNO parti Melayu yang kekal berkuasa sejak 55 tahun lalu. Sejarah juga yang merakamkan kesepakatan, pengorbanan dan semangat menentang Malayan Union sebagai paksi kekuatan bangsa yang tidak ternilai.

  Namun, sejarah juga yang mencatatkan UMNO bergelora apabila ahlinya berpecah selepas pemilihan parti  1987 kerana pertandingan  jawatan presiden  antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah. Dr Mahathir menang dengan majoriti 43 undi tetapi beliau tidak menang sepenuhnya.

Razaleigh juga tidak kalah sepenuhnya. UMNO berpecah dan masalah parti dibawa ke mahkamah. UMNO diharamkan pada 4 Februari 1988 di bawah Akta Pertubuhan. Sejak itu UMNO dewasa bersama masalah dalaman untuk menguji kekuatan jiwa ahli dan pemimpinnya.

  Sebagai  antara parti yang paling lama berkuasa di dunia, UMNO sentiasa kaya dengan kepelbagaian. Kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) meletakkan Melayu di antara pemain penting dalam pentadbiran dan sektor perusahaan.

 Kuala Lumpur yang dulunya dianggap milik pihak lain berubah wajah selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kita wajar berterima kasih kepada sejarah kerana menjadikan rusuhan kaum membentuk Melayu moden yang lebih ampuh dalam pelbagai bidang.

  Sekitar  1980-an dan 1990-an, kewujudan usahawan Melayu agak drastik walaupun gagal memenuhi sasaran 30 peratus DEB. Kewujudan istilah Melayu baru memberi tafsiran  lebih meluas. Melayu baru sepatutnya yang berilmu, berminda taraf dunia dan tauke korporat yang tahan  ujian. Ada yang berjaya dan ramai juga  gagal. Lebih malang, istilah Melayu baru dikaitkan pula dengan politik wang. Lebih mengecewakan, segelintir ahli UMNO  dikaitkan dengan wang untuk menjadi ketua cawangan, perwakilan bahagian dan menjadi ahli majlis tertinggi parti.

  Cita-cita menghayati akar umbi sentiasa dibayangi keperluan lain sehingga ada tohmahan UMNO bukan lagi milik petani, nelayan dan penoreh getah.  Seorang tokoh secara sinis menggelarkan Desawan Joe bukan lagi berkain dan berbaju Melayu, bahkan bergaya moden dengan kenderaan mewah di Kuala Lumpur.

 Imej UMNO sebagai parti kampung secara evolusi menjadi milik korporat dan usahawan pasca DEB. Jika dulu perwakilan UMNO guru lulusan maktab perguruan kini bertukar kepada jutawan muda yang mempunyai ribuan lot saham di Bursa Malaysia. Suara keramat UMNO sentiasa disangsi walaupun masih ada yang berhati luhur  membela Melayu  luar bandar.

  Cabaran terbesar UMNO berlaku pada 2 September 1998 apabila pergolakan dalaman membabitkan isu moral seorang pemimpinnya. Pemuda UMNO ketika itu hampir lumpuh apabila ramai tokoh berpindah kem dan mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan parti. Media baru menjadi wadah lebih canggih dan eksklusif melaporkan masalah dalaman.

     Persidangan    kali ini sepatutnya dilakukan usaha mengukuhkan perpaduan Melayu. Lihatlah masalah rakyat dan dekatilah akar umbi. Jika UMNO mahu dipandang gah untuk sekian lama, ahli dan pimpinan perlu wujudkan saf yang kukuh bagi membina benteng parti.
Tradisi intelektual dan muafakat yang sudah lama tertanam di jiwa Melayu perlu disemarakkan. Lebih penting, UMNO jangan sekadar melihat dirinya di bandar.  
    
  Desawan Joe  perlu menjenguk ke  desa, mengenal akar umbi dan menterjemahkan perjuangan dalam bentuk baru. Semangat dan roh UMNO perlu kekal. Lebih penting tradisi membela rakyat perlu tersemat di hati pemimpinnya agar sebahagian Melayu tidak menjauhkan UMNO lagi! - Berita Harian, 27 November 2012

Tuesday, November 20, 2012

Dulu UMNO untuk rakyat, kini?

Bukan mudah ke Kuala Lumpur bagi remaja  kampung akhir dekad 1970-an  kerana  terpaksa merayu kepada orang tua, di samping meneliti wang di poket sendiri. Kemampuan harus ada kerana UMNO ketika itu masih dianggap parti bagi orang kampung yang serba kekurangan. UMNO  dianggotai nelayan, petani, penoreh getah, tukang kebun sekolah,  buruh kasar dan guru lulusan maktab perguruan.

Tidak ramai yang berjawatan tinggi menyertai UMNO lebih-lebih lagi di sebuah negeri yang mempunyai kepentingan siasah berbeza.

 Bagaimanapun, peluang ke perhimpunan agung UMNO adalah pengalaman luar biasa.  Tiada tawaran penginapan hotel lima bintang untuk wakil bahagian dan pemerhati seperti sekarang,  melainkan rumah tumpangan di Jalan Chow Kit untuk berkongsi mimpi dan melepaskan lelah seketika.

 Perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur amat meletihkan. Selama 12 jam berhimpit dalam Morris Minor atau bas uzur yang terpaksa melintasi kawasan pantai di  Terengganu, sebelum meredah  bukit di Pahang dan tiba di Kuala Lumpur ketika matahari sudah lama menghilang. Laluan Gua Musang belum dibuka kerana ancaman pengganas komunis.

 Kuala Lumpur amat asing bagi kebanyakan Melayu ketika itu. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 bagai membuktikan sesuatu yang tidak kena apabila sebuah kawasan yang asalnya tempat bermukim bangsa Melayu sejak 1800 dikuasai pihak lain.

 Bagaimanapun, peluang ke perhimpunan agung UMNO adalah pengalaman unik. Wakil dari Kelantan lazimnya tinggal di Jalan Chow Kit kerana lebih selesa di kawasan sesak itu. Ramai peniaga kecil, pemilik gerai dan buruh kasar berasal dari Kelantan menjadikan Chow Kit sebagai tempat pertemuan, melepaskan lelah dan bersembang sesama sendiri. Loghat Kelantan begitu ketara di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada dekad 1970-an sebelum dikuasai loghat pendatang Indonesia pada 1980-an dan kini.

 UMNO pula tidak mempunyai dewan yang besar untuk bermesyuarat, memadai sekadar meminjam Balai Budaya dan Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi   membincangkan dasar parti dan suara akar umbi.

 Sehingga awal 1980-an, ibu pejabat UMNO di Medan Tuanku dianggap pusat strategi parti. Dari sinilah berkumandang  suara Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein  Onn yang bekerja keras membantu perpaduan Melayu dan menentukan pencapaian dasar membangunkan peniaga Bumiputera.

 Hari ini mungkin sebahagian besar dalam kalangan kita berasa sinis, atau mungkin simpati dengan nasib lampau. Bangunan Ibu Pejabat UMNO di Medan Tuanku hanya premis kecil yang menyimpan pengalaman tersendiri. UMNO tidak lagi bergayut pada lokasi kumuh kerana kini beroperasi di bangunan tersergam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
 
 Ahli UMNO pula bukan lagi kalangan buruh, petani dan nelayan. Ada profesional dan korporat yang lahir pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB)  turut memberi watak berbeza kepada parti itu sendiri. Kehadiran mereka mengubah cara berfikir dan bertindak. UMNO bukan lagi parti orang kampung kerana sudah memiliki kepelbagaian tersendiri. Selera, mimpi dan harapan ahli juga mula berubah dan semakin tercabar.

Tahun ini perhimpunan  diadakan dari 27 November hingga 1 Disember. Tumpuan perwakilan tentulah ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis perasmian di Dewan Merdeka pada 29 November ini. Perdana Menteri dijangka memberi amanat penting  dan langkah yang harus diambil bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

 UMNO  kini kesinambungan perjuangan yang diasaskan sejak 11 Mei 1946. Cuma wajah ahli  dan pemimpin agak berbeza, namun semangat ahlinya mustahil berbeza. Ramai yang komited berjuang untuk parti, di samping harus diakui ada  sekadar pencacai yang mahu mendapatkan laba hasil perjuangan mereka.

 UMNO dengan kepelbagaian pengalaman perjuangan ahli dan cabaran zaman harus kekal relevan di mata Melayu.  Sejarah membuktikan kekuatan UMNO adalah asas perjuangan yang bertapak kukuh di luar bandar. Pemimpin perlu sedar sesebuah parti yang meninggalkan tradisi sendiri bakal berdepan dengan masalah. Pengalaman Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 harus dikenang sebagai  teladan yang amat pahit. Segelintir ahli sendiri meninggalkan parti atau mengambil keputusan tidak keluar mengundi kerana sikap sesetengah pihak dalam parti.
  
Masa depan Melayu tidak semestinya bergantung kepada UMNO semata-mata. Selagi UMNO kekal untuk Melayu dan mendaulatkan bahasa Melayu, agama dan bangsa  di tempat sewajarnya, rakyat akan memihak kepada UMNO. Jika tidak, UMNO akan lebur! - Berita Harian, 20 November 2012         

Tuesday, November 06, 2012

Derita AS tak sama Vietnam, Iraq, Afghanistan

Amerika Syarikat (AS) sepatutnya sedar kuasa ketenteraan dan ekonomi tidak boleh mengatasi kekuatan alam yang dicipta jutaan tahun lalu.

  Imej seorang penduduk New Jersey yang berwajah cemas diselamatkan menerusi jendela sebuah bangunan bagai menyerlahkan kelemahan manusia berdepan unsur alam. Jambatan hanyut, kenderaan tersadai dan kota New York menjadi gugusan pulau kecil diulang tayang berkali-kali bagi menggamit simpati dunia.

  Sehingga kini lebih 100 nyawa terkorban sejak Selasa lalu dengan angka kerugian dijangka RM150 bilion dianggap ‘tragedi’ walaupun kesan tindakan ketenteraan AS di beberapa negara jauh lebih dahsyat daripada itu.

  Hari ini pilihan raya Presiden yang membabitkan saingan sengit dua tokoh. Tapi media Barat yang dikuasai Yahudi berulang kali menayangkan ‘penderitaan’ AS berdepan ancaman dahsyat.

  Taufan Sandy yang kini menjadi mantera wartawan Barat seolah-olah melupakan perhatian dunia terhadap kes pembunuhan tiga rakyat Palestin di Tebing Barat pada 29 Oktober lalu.

  Kita wajar bersimpati dengan rakyat AS yang berdepan bencana.   Bagaimanapun sejarah tetap meletakkan AS antara negara yang banyak menjejaskan wilayah lain. Sejak 100 tahun lalu, AS hanya sekali menerima  ancaman ketenteraan ketika kemuncak Perang Dunia Kedua.

   Selepas serangan tentera Jepun di Pearl Harbor, ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada akhir 1945 membuka tirai kekejaman AS di luar negara. Seramai 140,000 maut di Hiroshima dan 80,000 di Nagasaki. Kesannya lebih dahsyat berbanding Sandy yang dianggap bencana paling buruk sekarang.

 AS pernah dikejutkan dengan serangan World Trade Centre  (WTC) di New York pada 11 September 2001, tetapi kesannya amat minimum berbanding  jutaan bom dan tembakan dilepaskan di Vietnam, Iraq, Afghanistan, Somalia dan beberapa negara yang dianggap sosialis. 

 Sejarah menjadi  saksi kekejaman AS di My Lai, Vietnam pada 16 Mac 1968, apabila platun tentera membunuh ratusan wanita dan kanak-kanak dengan alasan berpihak kepada gerila komunis.

   Bayangkan wanita dan kanak-kanak yang lemah ditembak dan kediaman dibakar secara rakus. Bayangkan juga sebuah Vietnam yang terus menderita  hingga kini walaupun kekejaman berlaku 44 tahun lalu dengan sisa perang yang kekal tidak bertamadun.

 Jutaan umat Islam di Iraq dan Afghanistan dibunuh semata-mata untuk melaksanakan perancangan jahat imperialis neocon (Neo Conservative) dan   Zionis.  Neocon adalah kumpulan sayap kanan Yahudi di AS dan Eropah yang dianggotai bangsa Eropah, Amerika Utara dan Yahudi. Di antara ahlinya adalah bekas Presiden George Bush, ahli Kongres AS dan kebanyakan pemimpin Eropah. Matlamat mereka mentadbir AS bagi pihak Israel untuk menjayakan hasrat ‘Israel Raya' di Asia Barat.  Pemerhati politik menganalisis cita-cita Israel bukan saja di Palestin, bahkan seluruh negara Arab dan Iran.

 AS menggunakan alasan serangan 11 September 2001  untuk mencengkam Asia Selatan yang dianggap satelit kepada China yang kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas AS dan mengatasi pencapaian Jepun sejak empat dekad lalu.

Afghanistan ditakluki semata-mata untuk memudahkan AS dan Eropah membina paip bagi menyalur keluar minyak dari negara bekas Kesatuan Soviet di Laut Kaspia.

 AS juga menggunakan khidmat askar upahan seramai 120,000 orang dari pelbagai negara bagi membantu tentera di Iraq yang kononnya mahu menamatkan kekejaman Presiden Saddam Hussein. Askar upahan ini bernaung di bawah syarikat Black Water yang dimiliki Naib Presiden AS ketika era  pemerintahan Bush, Dick Cheney.

 Mereka lazimnya digelar sebagai ‘kontraktor awam’ bagi mengabui mata masyarakat dunia, dibayar gaji AS$1,000 sehari bertujuan membantu AS  dalam peperangan, memberi perlindungan kepada pemimpin boneka, serta melakukan misi pembunuhan orang awam yang dicurigai pengikut Saddam.

Kekejaman di penjara Abu Gharib, Iraq bukan rahsia umum lagi. Tahanan didera, dinafikan hak untuk solat, membaca al-Quran dan dipaksa menjamah daging babi. Falujah, kota seribu masjid  dibom menyebabkan ribuan awam terbunuh.

 Ketika bencana melanda AS sekarang, kita juga wajar melihat kekerdilan manusia berdepan Kuasa Yang Lebih Agung dan Abadi. Mahukah AS berubah selepas ini atau kuasa besar itu menjadi sebahagian daripada sejarah yang bakal dipersendakan? - Berita Harian, 6 November 2012

Wednesday, October 31, 2012

Sandy ujian getir Amerika Syarikat

Sehingga petang semalam, 13 orang disahkan mangsa korban Taufan Sandy di Amerika Syarikat (AS) dan seorang di Kanada. Seramai 200 pesakit di sebuah hospital di New York terpaksa dipindahkan kerana banjir. Pada masa yang sama, bekalan elektrik terputus di 13 negeri yang menyebabkan lebih enam  juta penduduk  terjejas.

 Pelabuhan New York pula diancam gelombang besar yang bukan saja menyukarkan kegiatan penduduk, bahkan melumpuhkan aktiviti ekonomi dan  pentadbiran. Beberapa bandar raya besar dari Washington hingga ke Boston yang kepadatan penduduk 50 juta orang  membuat persiapan rapi menghadapi Sandy.

Rakyat AS trauma  kerana  tidak pernah mengalami bencana  dahsyat, selain Taufan Katrina   pada 2005 dengan nilai  kerugian AS$108 bilion.  Kerugian angkara Sandy dijangka berganda ketika Presiden Barack Obama dan lawannya, Mitt Romney meramalkan bencana Oktober adalah amaran paling keras buat AS.

 Sandy  memaksa pasaran saham AS, Wall Street, ditutup buat  kali pertama dalam tempoh 27 tahun berikutan masalah cuaca. Ia turut memberi kesan penurunan  pasaran  saham di Madrid, Greece, Tokyo, Sydney dan Hong Kong. Sebanyak 284,000 harta benda awam  bernilai AS$281 bilion berisiko musnah,  7,000 penerbangan batal dan 67 penduduk terbunuh di Caribbean yang menghadap pantai AS.

  Taufan kategori satu itu juga mengancam aktiviti perniagaan, menyebabkan banjir dan memutuskan bekalan elektrik. Pusat Ribut Kebangsaan AS (NHC)  meramalkan suasana tidak menentu  berterusan beberapa hari.  Sembilan negeri   mengisytiharkan darurat manakala Obama memberi amaran  bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Penganalisis cuaca berkata, Sandy yang  jarang melanda  dan luar biasa dianggap ribut super hybrid  mungkin menyebabkan hujan sehingga 25 sentimeter di beberapa kawasan, selain salji sehingga semeter di Pergunungan Appalachian dari  Virginia Barat hingga Kentucky. Taufan itu dijangka membawa angin maksimum berterusan 140 kilometer sejam dan berada kira-kira 615 kilometer di tenggara New York.

Rakyat AS yang selama ini mendakwa  kuasa besar dunia terpaksa akur dengan kuasa   lebih agung. Jika era Perang Dingin pada 1950-an hingga 1980-an, AS terbabit secara langsung dalam perang di Vietnam dan Semenanjung Korea, kini mereka mula menyedari mitos AS sebagai penguasa  tunggal dunia sudah tercabar. AS juga terbabit secara langsung dalam konflik di Asia Barat sehingga penubuhan negara  Israel.

 New York yang  pernah  dianggap pusat kegiatan Pakatan Atlantik Utara (NATO) ketika berdepan ancaman blok komunis Eropah Timur yang dikenali Pakatan Warsaw, kini lumpuh.  Sejarah keagungan lampau kini tidak bermaya  berdepan ancaman taufan yang lebih dahsyat daripada kekuatan ketenteraan dan ejen risikan.

 Jika AS boleh mendabik dada dengan serangan hendap untuk menangkap  bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein dan membunuh  Osama Ben Laden di bumi asing, kini mereka terpaksa berdepan ancaman cuaca yang dahsyat di tanah air sendiri. Nasib AS dijangka hampir sama dengan sekutu utama, Jepun yang mengalami  gempa bumi dan  ancaman Tsunami pada Mac 2011.  Sandy yang disifatkan sebagai ‘kejutan Oktober’  berbahaya turut menjejaskan perancangan kempen kedua-dua calon  presiden. Obama  dan pesaingnya dari Republikan  terpaksa menangguhkan rancangan kempen di negeri  yang menjadi laluan taufan gergasi  itu, sekali gus menjejaskan strategi  sejak berbulan lalu dalam menghadapi persediaan terakhir seminggu sebelum hari pilihan raya sebenar.

   Obama bersama bekas presiden,  Bill Clinton dilaporkan ke Florida tetapi terpaksa menangguhkan acara di Virginia, Ohio dan  Colorado untuk memantau perkembangan  dari Rumah Putih.
Rakyat berdepan bahaya

   Beliau menyatakan kebimbangan  terhadap rakyat AS yang bakal berdepan  bahaya dan secara  tersirat bukan mengenai masa depan politik beliau sendiri.

   “Keutamaan saya ialah  memastikan semuanya memuaskan untuk keluarga dan  bersedia. Ia akan meletakkan sedikit  beban kepada mereka yang terbabit  secara langsung kerana saya tidak   mampu  lebih banyak  berkempen dalam beberapa hari  akan datang,”  kata Obama kepada  pekerja kempen di Florida.   Romney membatalkan kempen di  Virginia, satu daripada negeri yang  diramalkan dilanda taufan.

 Jika  Sandy  terus mengancam, mungkinkah pilihan raya presiden diteruskan minggu depan, atau rakyat AS sekali lagi mencipta sejarah penangguhan pilihan raya kali pertama, selepas mencipta sejarah empat tahun lalu kerana memilih kulit hitam sebagai penghuni Rumah Putih selama empat tahun? -Berita Harian, 31 Oktober 2012
 

Tuesday, October 30, 2012

Usain Bolt dari Myanmar

 Kanak-kanak memanggilnya Usain Bolt. Ada yang memanggil Usain Bangla. Tapi dia tidak kisah. “Nama saya Husin, buku Usain,” tuturnya tergelak. “Saya bukan Bangladesh, saya   Myanmar!”
Kami mengenalinya sejak lima tahun lalu. Dia datang ke taman perumahan setiap  tiga minggu. Berbasikal sambil menggalas mesin pemotong rumput. Hampir setiap rumah dijelajahi dengan harapan ada rezeki. Dia hanya  mengenakan bayaran RM30 untuk memotong rumput dan membersih kebun yang dipenuhi pokok pisang, mangga, cempedak, serai dan nangka. Ketika perayaan Aidiladha, dia turut membantu melapah daging korban untuk diagihkan kepada orang ramai.

 “Saya sudah 20 tahun di Malaysia. Rasa selamat di sini. Sesekali terasa mahu pulang,” air matanya mula tergenang. “Saya rindukan isteri dan enam anak. Mereka masih ada di Myanmar. Masih hidup, tapi terseksa,” tuturnya semakin lemah.

Minggu kedua Ramadan lalu kami telefonnya. Tiada jawapan. Hanya menjelang Syawal baru dapat dihubungi. Husin kelihatan lesu dan sedih. “Saya kena tahan. 10 hari dalam penjara kerana dituduh pendatang haram,” tegas pelarian Rohingya itu.

 Sepanjang 20 tahun, 16 kali Husin ditahan dan kemudian dilepaskan. Husin menganggap sebagai takdir, seperti juga nasib puak Rohingya yang tidak diiktiraf oleh negaranya sendiri.
 Kira-kira 15,000 Rohingya berlindung di Malaysia berstatus pelarian di bawah kawalan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Kebanyakan mereka seperti Husin   bekerja memotong rumput, mencuci kereta, mengutip barang  lusuh dan menjadi buruh di kilang haram.

 Status pelarian menghalang mereka mendapatkan permit pekerjaan   sah. Mereka dilarang kerja di pusat beli-belah mahupun kilang besar. Berbanding warga Bangladesh dan India yang bebas mencari rezeki pelbagai sektor, pelarian Rohingya hanya mengharapkan nasib untuk hidup. Anak mereka tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah. Malah, mereka sering ‘diganggu’ kerana status   diragui.
 Walaupun pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerap bersuara mengenai nasib Rohingya, keadaan tidak banyak berubah. Kerajaan sendiri tidak dapat berbuat apa-apa kerana terikat dengan piagam. Sebagai negara anggota Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), Malaysia dilarang campur tangan masalah dalaman anggota ASEAN sendiri.

 Etnik Rohingya beragama Islam. Tapi tiada negara Islam yang berusaha pembantu mereka. Kajian menunjukkan Rohingya sebagai mangsa  paling malang di dunia. Kekejaman terhadap mereka mengatasi nasib yang dialami Bosnia-Herzegovina di Balkan dan kaum Yahudi ketika era Adolf Hitler.

Kumpulan etnik ini mengalami pembersihan etnik secara bersistematik oleh kerana dasar pemerintahan Yangon yang enggan mengiktiraf sebagai rakyat Myanmar.

Junta tentera dan kumpulan etnik lain mahu menghalau mereka keluar dari bumi Myanmar. Puak lain di Rakhine, negeri di wilayah barat Myanmar, melancarkan serangan terhadap etnik Rohingya. Kanak-kanak dan orang tua menderita kebuluran kerana kekurangan makanan. Junta pula memukul, mengugut dan membunuh kumpulan etnik ini tanpa sebab. Ada juga laporan mengatakan wanita dan perempuan muda dirogol.
 Sehingga kini kita tidak nampak bantuan dari negara Islam yang menguasai minyak di Asia Barat. Mereka lebih ghairah menjaga kepentingan sendiri, di samping menjalin hubungan rapat dengan kuasa besar dunia.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula bagai hilang suara mengenai isu Rohingya. Pada sidang  tergempar di Makkah   Ramadan lalu mereka sekadar membincangkan isu Syria. Mereka terlupa nasib manusia seperti Husin yang sepatutnya mendapat hak sebagai warga dunia, serta peluang pekerjaan, kesihatan dan kemudahan sosial.

 Selagi tiada pihak berusaha melihat isu Rohingya sebagai keperluan siasah dunia, etnik minoriti Myanmar ini akan terus diterajang, dibakar dan disembelih untuk kepuasan pihak lain.
 Memang kita akui Myanmar kononnya ada pejuang asasi yang menang Hadiah Nobel Keamanan. Tapi kita hairan Aung San Suu Kyi sering mengelak  membicarakan pembunuhan Rohingya. Beliau gagal mengkritik Kerajaan Thein Sein yang menghantar lebih 800,000 etnik Rohingya ke kem pelarian di sempadan Bangladesh.

  Nasib mereka tentu  kekal misteri, seperti juga nasib Husin   yang tidak berkesudahan dirundung malang.  Husin tentu tercatat dalam statistik mangsa kekejaman paling dahsyat pada era teknologi digital.  - Berita Harian, 30 Oktober 2012

Tuesday, October 23, 2012

Semangat Red Warrios

Gadis yang bertugas di sebuah stesen minyak di Raub pada 12 Oktober lalu  menegur: “Encik  nak ke  Stadium Shah Alam?”  Penulis tergamam dan geli hati. Gadis berkenaan mengintai  beberapa  cenderamata Red Warriors dalam kenderaan. Pada masa sama, konvoi kenderaan persendirian dan bas yang mengibarkan bendera Kelantan memenuhi jalan raya dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang, Lipis, Raub dan Bentong.
 
Malam itu pertandingan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Selangor. Bayangkan apabila Kelantan menang dan ke pertandingan akhir pada 20 Oktober lalu yang ‘memaksa’ konvoi dari Kelantan sekali lagi ke Stadium Shah Alam dalam tempoh seminggu  bagi menyokong  Red Warriors menjuarai Piala Malaysia, selepas bergaya menjulang Piala FA dan Liga Super.

 Sokongan dan sifat fanatik penyokong Kelantan diakui  paling hebat di negara ini.  Ada yang  sanggup menempah penerbangan semata-mata untuk menyokong anak buah Tan Sri Annuar Musa bertarung  pada pusingan awal piala AFC di Hanoi, Vietnam.

 Seorang kenalan yang juga usahawan sanggup menempah tiket penerbangan ke mana saja  Red Warriors beraksi. Jika tiket penerbangan habis, dia sanggup memandu  bersama rakan ke sesuatu destinasi dan kembali ke Kota Bharu sebaik saja perlawanan berakhir.

 Di beberapa jalan utama di Kota Bharu, gambar pemain bola sepak Kelantan boleh dilihat di mana-mana saja. Malah, syarikat telekomunikasi terkemuka menggunakan wajah pemain Red Warriors pada kad prabayar bagi memberi peluang peminat mengumpul wajah dan aksi mereka.

 Pakaian rasmi pasukan bola sepak Kelantan boleh dilihat    di majlis kenduri, kematian atau  di masjid. Tidak terkecuali juga ketika lepak di pasar malam Wakaf Che Yeh atau membeli-belah di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur.  Ia menggambarkan perasaan bersatu hati dan semangat cekal   rakyat Kelantan terhadap pasukan negeri walaupun berbeza fahaman  kepartian.

 Lebih aneh, Red Warrios juga boleh meredakan seketika sengketa  ahli UMNO dan PAS. Jika pada majlis politik ahli kedua-dua parti  bertelagah, malah tidak bertegur sapa, bola sepak meredakan pergeseran mereka semata-mata kerana kesukanan yang dianggarkan lebih waras daripada berpolitik.

 Bagaimanapun, ada kalangan ahli UMNO Kelantan yang silap tanggapan  untuk membezakan sokongan terhadap Red Warriors dengan kepartian. Menyokong pasukan bola sepak bukan bermakna sokongan terhadap UMNO atau PAS. Kita boleh lihat beberapa slogan, sepanduk dan bendera kepartian yang dibawa ke stadium menggambarkan isu politik masih belum reda di Tanah Sekebun Bunga itu.

 Ketika perlawanan separuh akhir di Stadium Shah Alam baru-baru ini, sepanduk ‘Kami Mahu Royalti Minyak’ menjadi tumpuan ramai yang boleh dikaitkan dengan parti yang menguasai Kelantan ketika ini. Bagaimanapun slogan ‘Gelombang Merah’ yang dikaitkan dengan UMNO Kelantan  jelas terpapar ketika malam final Piala Malaysia.

 Pada beberapa perlawanan lain, bendera parti pembangkang turut dibawa ke stadium walaupun Red Warrios digerakkan   ahli UMNO. Ia menggambarkan politik dan sukan tidak dapat dipisahkan. Sokongan terhadap bola sepak bukan bermakna sokongan terhadap pihak yang menggerakkan kejayaan sukan itu sendiri.  UMNO dan PAS akan   terus bergasak untuk merebut sokongan rakyat Kelantan.

Sebagai  negeri yang penduduk Melayu lebih 90 peratus, Kelantan sentiasa kaya dengan keindahan alam, keunikan budaya, syurga beli-belah dan sengketa politik yang kekal. Alangkah baiknya jika rakyat bersatu hati menggunakan pendekatan menyokong Red Warriors  dalam perspektif lebih luas.  Sengketa tidak membawa manfaat apatah lagi apabila Melayu masih berada di persimpangan jalan. Memenangi tiga piala bola sepak dalam satu musim bukan menggambarkan kemajuan  dalam bidang kesukanan, pendidikan, pencapaian ekonomi dan perpaduan bangsa.

 Ramai anak Kelantan   berjaya  dalam pelbagai sektor, namun  rakyat negeri itu  juga yang mengisi rumah setinggan, menjadi gelandangan di Jalan Chow Kit dan marhaen di kawasan urban. Sudah sampai masanya anak Kelantan melihat ke depan, mengintai perubahan dan memaknakan citra perpaduan seperti yang diidamkan. -  Berita Harian, 23 Oktober 2012

Sunday, October 21, 2012

Seni Perang calon Presiden AS

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan pencabar daripada Parti Republikan, Mitt Romney, wajar berterima kasih kepada Sun Tzu kerana menghasilkan karya agung Art of War yang boleh dimanfaatkan menjelang Pilihan Raya Presiden pada 6 November depan.
Art of War menghuraikan strategi menawan musuh dan potensi mengubah hala tuju dunia. Politik sebahagian daripada seni peperangan terbuka yang menganjurkan wataknya berjuang untuk kelangsungan hidup.

Matlamat Demokrat atau Republikan bukan sekadar menguasai politik AS, malah ‘berperang’ menguasai dunia dengan pelbagai cara.
Sun Tzu memberi bayangan apa saja boleh dijadikan senjata kerana ia sebahagian seni peperangan itu sendiri.

Justeru, tidak menghairankan apabila debat Obama dan Romney pada 17 Oktober lalu menggunakan pelbagai isu untuk menonjol kekuatan peribadi dan menidakkan kemampuan pihak lawan. Bagai di medan perang, pekerjaan dan pengangguran menjadi isu debat, selain insiden serangan terhadap kedutaan AS di Libya ekoran filem dakyah jahat Innocence of Muslims karya Nakoula Basseley.

Dunia bagai tidak percaya AS yang selama ini dianggap simbol kebebasan wanita masih dihantui isu diskriminasi jantina. Gaji wanita lebih rendah daripada lelaki dan kedua-dua tokoh saling berhujah untuk membantu wanita mendapat pengiktirafan seperti lelaki. Apa yang Obama lakukan selama empat tahun pentadbiran di Rumah Putih?

“Kamu gagal ubah nasib wanita dan kamu sukar meyakinkan pengundi wanita,” hujah Romney, seolah-olah dirinya pejuang wanita sejati.

Seseorang yang belum berkuasa mempunyai kemampuan untuk mempertikai pihak lawan dalam pelbagai aspek. Isu China yang dianggap kuasa utama menjelang 2020 bagai menghantui ego AS. Kini China berada di tempat kedua sebagai kuasa ekonomi dunia di belakang AS. Jepun di tempat ketiga diikuti beberapa negara Kesatuan Eropah.

Romney berjanji menghukum China mengenai isu mata wang. Bagaimanapun ditempelak oleh Obama bahawa mentadbir negara berbeza dengan membangkang apa yang dilakukan pihak lain.
Debat pusingan kedua selama 90 minit memihak kepada Obama yang jauh lebih bersedia daripada Romney. Jika dua minggu lalu di Denver, Colorado, presiden kulit hitam pertama AS gagap menjawab selaran lawannya, kini beliau lebih tenang dan bersedia.

“Persembahan Presiden lebih baik malam ini berbanding di Denver. Ia sengit tetapi saya beri kelebihan kepada Obama,” kata profesor politik di Kolej Claremont McKenna, John Pitney.
Obama menunjukkan persembahan meyakinkan dengan mengecam pelan Romney memulihkan ekonomi dan memberi reaksi kepada kritikan cara beliau menangani serangan ke atas kedutaan AS di Libya, bulan lalu.

Stesen televisyen AS memberi reaksi segera selepas perdebatan di Universiti Hofstra, Washington yang memihak kepada Obama. Tinjauan CBS News menunjukkan 37 peratus responden yakin Obama memenangi perdebatan itu, berbanding 30 peratus kepada Romney, manakala 33 peratus berpendapat tiada pemenang.

Selain itu, 55 peratus menganggap Obama memberi jawapan mengikut soalan, manakala 49 peratus beranggapan sama mengenai Romney. Tinjauan Cable News Network (CNN)/ORC mendapati 46 peratus mengakui Obama menang dan 39 peratus memihak Romney.

Felo kanan Institut Keusahawanan AS, Karlyn Bowman, berkata walaupun tiada pemenang mutlak, Obama kembali beraksi.

  Menjelang tiga minggu hari pengundian, kedua-dua tokoh bakal menemui perwakilan tempatan di beberapa negeri bagi menentukan sokongan setempat.

Sesiapa saja terpilih ke Rumah Putih selepas 6 November nanti, tidak akan memeranjatkan dunia. Dasar AS terhadap politik serantau dan Asia Barat dijangka tidak berubah.

Obama dan Romney akan mengekalkan dasar menyokong kewujudan negara Yahudi di Asia Barat. Hal ini tidak memeranjatkan kerana ejen Zionis berada di kedua-dua pihak.

Begitu juga isu Rohingya dan Myanmar dijangka tidak berubah kerana yang penting bagi AS adalah Aung San Suu Kyi berkuasa sebagai ejen Barat di Asia Tenggara, bukan membantu umat Islam Rohingya sebagai warga sah di Myanmar.

Dasar AS di Eropah juga dijangka kekal walaupun situasi ekonomi Eropah Barat terus merudum. AS hanya bimbang kebangkitan Moscow yang kini semakin ghairah menjadikan Russia kembali bersaing dalam arena politik dunia.

Russia dan China antara watak penting di belakang pimpinan Iran dan Syria sekarang. Krisis di Semenanjung Korea juga tidak menampakkan penyelesaian.

AS bimbang seni peperangan yang dicetuskan Sun Tzu memberi kesan kepada Washington sebagai penguasa tunggal dunia. Ini sebahagian Art of War yang dibincang penganalisis politik dunia.
Obama dan Romney tentu gusar AS berdepan cabaran lebih getir pada masa depan.
‘Seni perang’ calon Presiden Amerika. -  Berita Harian, 20 Oktober 2012

Tuesday, October 16, 2012

Ustazah seksi di majlis ceramah

 Majlis yang awalnya santai, lancar dan tenang tiba-tiba diganggu pengumuman daripada lelaki berkopiah putih berbelang hijau: “Hadirin diminta masuk ke premis bangunan. Permit yang kita peroleh sekadar pertemuan dalam dewan. Hadirin  dilarang berada  di jalan raya!”

Beberapa petugas  bermotosikal meninjau kawasan ceramah dan berbincang dengan jawatankuasa cawangan sebuah parti politik supaya majlis lancar dan jalan raya tidak sesak.
 Premis ceramah yang sepatutnya memuatkan 100 orang melimpah kepada 200 hadirin. Suasana sesak dan bau hangit.  Ada yang terpaksa berdiri atau duduk di atas simen kerana tidak cukup kerusi. Ada kanak-kanak lima tahun yang merengek mahu pulang kerana tidak tahan   suasana bingit penceramah yang lantang bercakap soal  hudud  dan citra  politik baru. Ada juga yang melaungkan takbir berulang kali apabila dirasakan sesuatu hujah berjaya menaikkan semangat.

 Penulis harus akui  suasana tempat ceramah politik  sering mengundang pelbagai tafsiran. Lazimnya majlis sekadar  untuk kegiatan penerangan  keahlian tetapi akhirnya terbuka kepada semua pihak  yang ‘sudi’ mendengar  tarbiah isu semasa.  Ada juga majlis memperalatkan artis ‘lanjut tempoh’  semata-mata untuk meraih perhatian penduduk taman perumahan. Sudah jadi trend  memperalatkan   nama artis untuk  memancing  khalayak. Walaupun pada beberapa majlis mencatatkan lima nama artis  pernah jadi idola ramai,  yang hadir cuma seorang  dipanggil ‘ustazah’  kerana sudah bertudung dan bercakap mengenai Islam. 

 Ada desas-desus mengatakan penceramah mendapat komisen hasil titik peluh mereka. Jika ramai yang hadir, komisen yang diperoleh semakin meningkat. Kehebatan seseorang penceramah bukan kerana kemampuan intelektual dan hujah yang cerdik, tetapi bersandarkan sejauh mana lawak jenaka seseorang boleh diterima umum. Justeru, jangan hairan   ada majlis ceramah diiringi kutipan derma ikhlas. Jangan terperanjat apabila kehadiran seseorang tokoh disenangi   menentukan  jumlah hadirin di sesuatu kawasan.
 Kita sedia maklum  hadirin majlis ceramah bukan mengharapkan idea bernas untuk   pembangunan negara. Mereka memadai terpukau dengan intonasi suara yang menarik serta mampu berjenaka, termasuk memperlekehkan saingan politik. Harus kita akui politik ada kalanya zalim terhadap politikus.  Politik jarang mengampunkan lawan, justeru majlis ceramah menjadi landasan terbaik  menyerang pihak lain.

 Sehingga kini tiada kajian khusus mengenai bentuk ceramah dan kesan terhadap pendengar dan pengikut. Ceramah politik sudah membentuk tradisi lisan tersendiri sejak prakemerdekaan. Jika dulu  nasionalis menggunakan perhimpunan umum untuk menggerakkan semangat menentang penjajah, kini ia  sebahagian daripada wahana mendapatkan mandat rakyat.
 Kita tidak pasti sejauh mana majlis ceramah  membantu pendidikan politik kenegaraan  kerana bentuk majlis itu sendiri sentiasa dikaburi unsur sentimen, propaganda yang kaya dengan drama dan intrignya.
 Tentu tidak adil  mengharapkan penceramah   jujur dalam ucapannya. Politik memang  kejam terhadap pesaing.  Memadai ceramah untuk memancing hadirin mendengar hujah tanpa diberi kesempatan    mempertikaikan apa  diperkatakan.

Ketika media baru dianggap  saingan kepada akhbar, majalah dan sebaran am lain, ceramah kekal berakar umbi dalam masyarakat.  Tradisi lisan yang kita bentuk dalam cerita penglipur lara  diterjemahkan dalam bentuk moden yang lebih agresif dan kreatif. Jika dulu tradisi lisan sekadar berceritera mengenai feudal dan kesetiaan kepada istana, kini ia mengambil bentuk tersendiri dalam masyarakat.
 Tradisi lisan bentuk moden sebahagian budaya politik kepartian yang menjadi tuntutan ramai. Ia hampir dipercayai sebagai pembawa suara kebenaran walaupun latar belakang penceramah  sendiri tidak sunyi daripada khilaf dan salah.
 Penulis  akui kerap menghadiri majlis ceramah politik sejak akhir-akhir ini kerana ingin mengenali  sistem tanda dan isyarat masyarakat Malaysia. Politik kepartian dan majlis ceramah memberi tanda baca tersendiri. Gerakan siasah tidak selamanya statik kerana  rakyat juga mahir membaca kaedah semiotik yang kekal misteri. Politik  seperti juga sastera sentiasa kaya dengan watak dan perwatakan! - Berita Harian, 16 Oktober 2012

Monday, October 15, 2012

Islam mangsa kelemahan sendiri

Kita sering berbangga sebagai umat Islam dan yakin agama Allah yang terbaik. Tapi kita tidak pernah bertanya kenapa umat Islam masih mundur? Dari segi politik dan ekonomi, negara yang majoriti penduduk Islam sentiasa diancam rusuhan kaum, pergolakan kepartian dan kebangkitan rakyat. Banyak negara Islam di Afrika dan Asia Selatan menghadapi masalah kebuluran, kemiskinan dan wabak penyakit.

  Jika Islam dianggap terbaik dan pedoman hidup manusia, kenapa kita tidak maju seperti Jepun dan Korea Selatan? Adakah kekayaan dan keselesaan hidup untuk pihak lain dan umat Islam mengharapkan ganjaran akhirat semata-mata? Sikap jumud, ekstremes agama dan kurang ilmu menjadi punca umat Islam ketinggalan.

  Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya The Challenge (Menghadapi Cabaran, 1976) menegur kelemahan ummah menjadi punca pihak lain berkuasa dan umat Islam ketinggalan. Mereka sekadar bersuara dan beremosi, tapi gagal melaksanakan perjuangan Islam.
Sengketa sesama sendiri.

  Sikap berpuak dan sengketa sesama sendiri menjadikan Islam lemah. Jika sebuah filem yang kononnya memburukkan Nabi Muhammad SAW dibantah di seluruh dunia, apa tindakan umat Islam seterusnya? Sekadar tunjuk perasaan di depan kedutaan Amerika Syarikat (AS) tidak ke mana. Barat, Yahudi, Zionis dan ideologi mereka sudah lama menjajah  dengan pelbagai cara.

  Umat Islam lemah selepas Perang Salib adalah bukti kekurangan diri sendiri. Umat Islam tidak bersatu walaupun penganutnya ramai. Dianggarkan 1.5 bilion umat Islam daripada tujuh bilion warga dunia. Sebanyak satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di AS.
  Setiap lima manusia di dunia ini seorang adalah Islam. Setiap seorang Hindu ada dua umat Islam, setiap seorang Buddha ada dua umat Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus umat Islam. Tapi kita gagal dan pihak lain sentiasa mendahului dalam pelbagai bidang. 

   Ketika kita bercakap mengenai 2020 dan kerjasama ummah, umat Islam mati atau cedera parah dalam kebangkitan politik di Asia Barat. Rejim bertukar tapi nasib negara Islam kekal. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagai tidak berdaya mengatasi isu kelaparan, penyakit, pendidikan dan  penghinaan berterusan.

  Terdapat 57 negara anggota OIC dengan memiliki 500 universiti. Purata sebuah universiti untuk setiap tiga juta umat Islam. Kita masih kalah berbanding AS yang mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, penyelidik Universiti Shanghai Jiao Tong membuat kajian   kedudukan akademik universiti   dunia. Tiada satu pun universiti negara Islam   di puncak 200 terbaik. Yang dianggap cemerlang adalah pusat pengajian di AS, Britain dan Eropah Barat yang akrab dengan Zionis.

  Malahan Universiti al-Azhar yang dianggap pusat kecemerlangan pengajian Islam bukan institusi pendidikan terulung. Justeru, jangan terperanjat kadar celik huruf di Mesir dan Libya masih rendah. Malah, mereka hanya mempunyai 20 peratus penduduk yang mampu menikmati media baru.
  Kajian Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pula mendapati tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara mempunyai 100 peratus celik huruf. Berbanding negara Islam yang purata  celik huruf  sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus celik huruf.

  Keadaan ini menggambarkan tahap ilmu umat Islam masih rendah walaupun mereka mungkin membanggakan tradisi intelektual pada era kebangkitan Islam dulu. Negara majoriti Islam hanya mempunyai 230 ahli sains bagi setiap sejuta penduduk berbanding AS (4,000) dan Jepun (5,000).
  Kajian juga mendapati negara Islam hanya membelanjakan 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedangkan negara maju membelanjakan hingga lima peratus. 

  Dari segi ekonomi, umat Islam  jauh di belakang. Jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 negara ahli OIC  di bawah RM6 trilion. AS  menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai RM36  trilion, China (RM24 trilion), Jepun (RM19 trilion) dan Jerman (RM7 trilion).

   Kelemahan ekonomi dan ilmu punca kita  di belakang. Nakoula Basseley dan Innocence Of Muslims bukan punca Islam lemah. Yang melemahkan Islam adalah diri kita sendiri. -  Berita Harian, 9 Oktober 2012
 

Sunday, October 07, 2012

Debat Obama, Romney

 Siapa bakal terpilih menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) tidak mendebarkan lagi kerana  calon Parti Republikan, Mitt Romney hampir pasti menjadi tarikan dunia.

Pusingan pertama debat beliau bersama  Presiden Barack Obama  membuktikan sekutu setia Israel itu berjaya menguasai pentas. Romney dengan selamba bercakap  menangani krisis ekonomi dan   pengangguran.
 Reputasi  Obama yang mahir berpidato dan berhujah  sejak lima tahun lalu semakin tergugat. Ada ketika dia kelihatan gagap mengutarakan hujah dan mempertahankan pentadbirannya.
 Debat dua tokoh menjadi tarikan sejagat. Seperti tradisi, penyandang Presiden dan pencabar diuji di atas pentas dan rakyat AS bebas menilai ketokohan masing-masing.
 Kita harus akui Obama mempunyai peribadi yang baik sepanjang pentadbirannya. Beliau tidak mempunyai gosip yang menjejaskan pentadbiran seperti dialami Bill Clinton, Richard Nixon dan John Kennedy. Obama tiada hubungan sulit dengan pembantu peribadi  Rumah Putih atau mengintip pihak lawan. Peribadinya dianggap bersih, malah ketika awal pentadbirannya ada yang silap sangka dengan mendakwa beliau seorang Muslim.
 Bagaimanapun, politik bukan sekadar isu  peribadi. Tidak juga sekadar debat dan personaliti kerana politik adalah segala-galanya.  Kelemahan Obama adalah  kurang menonjol sebagai sekutu Zionis walaupun beliau menang pilihan raya empat tahun lalu hasil biaya Yahudi. Beliau juga gagal menangani isu pengangguran yang menjadi beban utama di AS sekarang.

 Romney lebih kelihatan tangkas. Bukan saja kerana melawat Israel untuk menonjolkan sikap mesra Yahudi di Asia Barat, bahkan sedang mereka pelan tindakan menguasai kebangkitan generasi muda Arab di Timur Tengah. Romney juga merangka pelan tindakan menguasai ekonomi Eropah Barat yang berdepan krisis kewangan meruncing.

 Sehingga kini  penganalisis berpendapat, terlalu awal untuk mengatakan Romney memiliki kelebihan ke atas Obama dalam perlumbaan ke Rumah Putih. Tinjauan  Cable News Network  (CNN) mendapati 67 peratus responden beranggapan Romney mengalahkan Obama dan hanya 25 peratus berpendapat sebaliknya. Tinjauan  CBS News menyaksikan lebih dua kali ganda bersetuju  Romney menang.
 Dalam perdebatan yang berulang kali ditayangkan CNN sejak Khamis lalu,  Obama bercakap lebih lama dalam perdebatan 90 minit di Denver,   tetapi pencabarnya lebih berjaya memberi pandangan meyakinkan.  Jika keadaan tidak berubah, pengundian 6 November depan bakal menyaksikan peralihan kuasa di Rumah Putih.

 Pengarah Pusat Politik dan Hal Ehwal Awam di Kolej Franklin dan Marshall, G Terry Madonna   mengakui  Romney mempunyai  banyak alasan untuk  menang  debat ketika Presiden tidak berada dalam prestasi terbaik.
 Madonna yang memantau pilihan raya sejak 1960  yakin peralihan kuasa adalah tradisi berterusan yang membentuk kepemimpinan di AS.
  “Romney tahu apa yang perlu dilakukan  dengan   menyampaikan  mesejnya dan beri keyakinan kepada penyokong Republikan bahawa beliau boleh menang,” katanya. 
 “Beliau masih hadapi cabaran besar. Mungkin beliau akan dahului sokongan di Virginia atau Florida dalam masa dua tiga hari lagi,” kata profesor di Universiti Georgetown, Clyde Wilcox.
  Cuma, di banyak tempat lain, beliau mendahului sokongan termasuk Ohio dan Wisconsin. Jadi, persoalannya sama ada Romney boleh mengatasinya sebelum pengundian bermula.
 Penasihat empat Presiden Amerika, David Gergen, berpendapat keadaan lebih terbuka bagi Romney selepas ini.
 Romney dan Obama meneruskan tradisi debat  yang ditonton hampir  700 juta penduduk dunia.  Debat pertama   pada 26 September  1960 disaksikan  66 juta  rakyat AS  membabitkan   calon Demokrat,  John  Kennedy dan calon Republikan,  Richard Nixon.
 Pemerhati berpendapat  Nixon  kalah dalam debat ini kerana  kurang persiapan diri untuk siaran televisyen. Beliau memakai sut  kelabu  yang     tidak menonjol dibandingkan latar belakang studio  untuk siaran televisyen  hitam putih.
 Debat calon Presiden tidak diadakan pada  1964, 1968, dan 1972.  Pada 23 September 1976, calon Demokrat, Jimmy Carter dan calon Republikan  Gerald R Ford berdebat di hadapan kamera televisyen  dan penonton studio. Debat calon Naib Presiden  juga diadakan antara wakil Demokrat,  Walter Mondale dan wakil Republikan,  Bob Dole.
 Sejak 1976    tradisi debat calon Presiden bagai kewajipan dalam tradisi demokrasi AS.  Ia bukan undang-udang bertulis, tetapi calon perlu berdepan lawan mereka untuk membuktikan kemampuan berhujah dan mentadbir negara. Tokoh yang enggan berdebat dianggap   tak layak dipilih sebagai pemimpin negara.
 Romney dan  Obama  masih ada waktu   membuktikan ketokohan masing-masing. Terpulang kepada media, juga Zionis untuk menentukan kepemimpinan AS.  - Berita Harian, 6 Oktober 2012
 

Tuesday, October 02, 2012

Innocence Of Muslims dedah kelemahan umat Islam

Nakoula Basseley atau dikenali Sam Bacile sepatutnya berterima kasih kepada sebahagian besar umat Islam kerana memberi publisiti percuma kepada filemnya. Innocence Of Muslims hanya filem murahan yang tiada kualiti. Bacile bukan pengarah ternama apatah lagi penulis skrip yang meraih Anugerah Oscar. Dia hanya penyangak yang ada  kes penipuan perbankan.

Tiada siapa  peduli ketika dia memulakan penggambaran Desert Warriors kerana   tiada tarikan magis untuk diperkatakan. Ia sekadar cerita pahlawan padang pasir yang tidak sesuai lagi dengan selera semasa. Malah, wartawan hiburan di California pun menolak undangan sidang media kerana filem yang kemudian ditukar kepada Innocence of Muslims dianggap tiada  isu untuk dipaparkan.

  Innocence of Muslims hanya meletup apabila menerima bantahan umat Islam sejagat.  Bacile dianggap anti-Islam dan menjalankan agenda Yahudi untuk memburukkan Nabi Muhammad SAW. Jika tiada bantahan umat Islam, tiada siapa pun yang kenal Innocence of Muslims  apatah lagi menyebut nama pengarahnya.

 Bacile  tentu gembira kerana  latah umat Islam  menyebabkan filemnya jadi sebutan dunia. Lebih aneh, kemarahan itu menyebabkan umat Islam sendiri menjadi mangsa. Seramai 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kaherah. Bukan Bacile atau  Yahudi yang cedera, tapi umat Islam. Seramai 224  cedera sejak keganasan tercetus.

  Seramai 5,000 merusuh di  Khartoum, Sudan dengan menyerbu Kedutaan Britain dan Jerman. Perusuh  cedera kerana bergaduh sesama sendiri selain bergasak dengan polis.
Lebih parah di Yaman,  ribuan penunjuk perasaan  merusuh menyebabkan seorang maut dan 15 cedera di luar Kedutaan AS.  

  Barangkali yang tidak beruntung bagi pihak AS adalah di Benghazi, timur Libya apabila dutanya, Chris Stevens dan tiga warganya terbunuh.

   Bantahan turut diadakan di  Palestin dengan ribuan  orang berkumpul di Genting Gaza, manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmaqdis.

  Kumpulan penunjuk perasaan  bertempur dengan polis Israel di Baitulmaqdis. Ada yang  parah dan dipenjarakan rejim Yahudi. Yang untung dalam kes ini ialah Yahudi.

  Di Gaza pula penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad Islam serta membakar  bendera AS sambil melaungkan slogan meminta AS dan Israel dihapuskan. Mereka menjadikan isu sebuah filem yang mungkin tidak pernah ditonton untuk menunjuk perasaan. Mereka bagai lupa nasib umat Islam di Palestin, Myanmar dan Thailand yang sentiasa ditindas.

  Moral ceritanya umat Islam mudah sensitif  jika penganut agama lain mencerca mereka secara terbuka. Tapi mereka mudah lupa betapa sesama sendiri bersengketa dan berpuak-puak.   Sejak pasca Perang Salib, tamadun Islam tiada lagi. Umat Islam yang kononnya mempunyai tamadun berabad sudah dipermainkan pihak lain. Banyak negara Islam menjadi bidak catur kuasa asing yang menjadikan fahaman feudal, sosialis, komunis dan kapitalis sebagai fahaman kepartian.

  Akhirnya polemik politik menjadi medan untuk menghina Islam dan hukum Allah itu sendiri. Ada yang mendakwa pejuang Islam tapi secara terbuka merendahkan hudud yang kononnya melahirkan masyarakat  tidak bertamadun, sedangkan syariat Islam memenuhi semua aspek pentadbiran, gerakan siasah, pembentukan akhlak dan tamadun manusia.

  Innocence of Muslims hanya sekelumit cabaran terhadap umat Islam sejagat. Cabaran lebih besar  membentuk jiwa Islam  dalam kalangan ummah sendiri.   Walaupun ada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang kononnya menyatupadukan suara ummah, polemik   di sebalik tabir lebih memeranjatkan. Negara Islam  kaya bagai alpa membantu umat  kebuluran di Somalia dan Sudan.

Mereka juga abai isu Rohingnya walaupun pada masa sama bercakap soal Libya, Syria dan Palestin.
  Lebih lucu ketika Innocence of Muslims diperkatakan, restoran makanan segera dan minuman ringan keluaran Yahudi kekal laris di seluruh dunia.   Yahudi sudah berada di ruang tamu  kita menerusi TV yang menayangkan pelbagai filem dan siaran berita  Barat yang memberi tempat kepada musuh Islam itu. Kita lupa ancaman wujud dalam diri  sendiri! - Berita Harian, 2 Oktober 2012

Tuesday, September 25, 2012

Hui Yee, Faridah serlah nilai kasih sayang

Tee Hui Yee, 18  dan Faridah Sampik, 57, hanya dua insan yang tidak pernah menjadi idola ramai. Mereka hanya anggota masyarakat yang kebetulan ibu dan anak angkat walaupun berbeza agama dan kaum.

  Tragisnya, ibu dan anak angkat itu dipisahkan takdir 18 September lalu. Anak angkat yang tinggal di Batu Pahat meninggal kerana komplikasi jantung  dan ibu angkat yang tinggal  di Kuala Lumpur menceritakan pengalaman pertemuan terakhir beberapa minggu lalu. 

   “Mummy tidak dapat mesej SMS Tibeh ya...Tibeh datang hendak bermanja dengan Mummy,” adalah antara kata akhir Hui Yee, gadis jantung mekanikal yang menjalani dua pembedahan menerima jantung penderma.

  Hui Yee  memanjakan dirinya sebagai Tibeh sejak bertahun. Panggilan itu juga menimbulkan kasih sayang dan simpati. Faridah hadir memberikan penghormatan terakhir kepada anak angkat di rumah mayat Cina, Jalan Fatimah, Batu Pahat  pada 19 September lalu.

   Kisah gadis ini meruntun hati apabila dia merayu orang ramai menderma jantung pada September 2007 selepas bergantung hidup kepada jantung mekanikal selama setahun. Bagaimanapun tiada siapa yang sudi menderma jantung kerana kebanyakan rakyat Malaysia hanya sekadar simpati di bibir.

  Dia kemudian menerima jantung remaja Melayu dari Perak yang maut dalam kemalangan. Bagaimanapun, sehari selepas menjalani pembedahan 10 jam, dia sekali lagi terpaksa dibedah selepas badannya menolak  jantung berkenaan.

  Hui Yee kemudian menjalani pembedahan kedua hampir tujuh jam selepas menerima jantung penderma baru pada 5 Oktober 2007 dan dibenarkan keluar Institut Jantung Negara  (IJN)  pada 2008.

  Moral ceritanya adalah kasih sayang tidak pernah mengenal rupa, warna kulit, bangsa dan agama. Kasih sayang juga tumbuh di jiwa seseorang hingga sanggup menghadiri majlis kematian tanpa rasa bersalah terhadap persekitaran dan lingkungan adat.

  Faridah dan Hui Yee tentunya model 1Malaysia yang sepatutnya melihat kasih sayang dan perasaan tanpa batasan agama dan kaum. Mereka dalam kesederhanaan hidup masing-masing melihat persamaan ketika kehidupan kian mencabar. Tidak ramai insan seteguh Faridah yang sanggup ke majlis   membabitkan adat dan agama kaum lain. Faridah membuktikan dirinya berbeza daripada kebanyakan warga Malaysia.

  Hui Yee pula mendedahkan sesuatu yang tidak kena kerap berlaku dalam kalangan kita.  Dia pernah menderita bertahun dan merayu pendermaan organ. Tapi malangnya suara Hui Yee  sekadar angin lalu. Dia bukan personaliti terkenal yang boleh menggamit perhatian ramai. Isu derma organ dianggap tabu. Tiada siapa berani melakukan sesuatu yang dianggap ‘gila’ ketika semakin ramai yang mengalami pelbagai penyakit kronik. Dua pertiga   pesakit  dalam senarai menunggu untuk menerima organ meninggal dunia sebelum sempat memenuhi hasrat itu.

  Perangkaan Pusat Sumber Transplan Nasional sehingga Jun lalu, menyenaraikan lebih 15,000 pesakit  bertarung nyawa untuk mendapatkan pelbagai jenis organ.  Angka dan anggaran kematian akibat penyakit kronik semakin meningkat seiring pertambahan bilangan pesakit baru yang mendaftar untuk mendapatkan organ.

  Lebih 4,000 pesakit baru memerlukan buah pinggang setiap tahun, tidak termasuk ribuan pesakit sedang menanti bahagian organ lain seperti injap jantung, jantung, mata, kornea dan paru-paru.
   Pusat Sumber Transplan Nasional menerima antara 30 hingga 40 penderma organ setiap tahun. Jumlah tertinggi direkodkan ialah 47 penderma beberapa tahun lalu.

  Walaupun Melayu kaum majoriti di Malaysia, Melayu juga paling rendah mendaftar sebagai penderma berbanding bangsa lain walaupun senarai tertinggi yang menunggu organ adalah Melayu.

  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meletakkan Malaysia masih dikategorikan antara negara mencatatkan bilangan terendah rakyat mendaftar sebagai penderma organ, kira-kira 0.7 peratus daripada keseluruhan penduduk 28 juta orang.

  Walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menetapkan hukum pemindahan dan pendermaan organ harus, masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Sampai bila? - Berita Harian, 25 September 2012 

Tuesday, September 18, 2012

The Satanic Verses & Innocence of Muslims

Penulis harus akui terpaksa membawa masuk beberapa karya untuk telaah dan penelitian peribadi. Alasannya, sesetengah peraturan dan hukum hidup di negara kita masih terbelenggu dengan kekangan lama.  Bukan semua hasil kreatif dan intelek boleh beredar dalam masyarakat. Halangan agama, adat, prejudis dan sensitiviti kaum sering dijadikan alasan  menghalang  karya tersebar.
 
Ada  alim seni dan agama menjadi hakim  menentukan  karya boleh diedar secara bebas, sekali gus menentukan sama ada karya yang dianggap haram dan tabu. Mereka seolah-olah penentu dosa dan pahala  karya. Mereka sepatutnya membezakan antara penelaah seni dengan peminat karya.
  Penelaah sentiasa mengkaji karya dan kemungkinan yang terdapat di sebalik jalinan plot dan tema. Peminat  pula lazimnya tergolong dalam kalangan karya popular yang sentiasa melihat seni sebagai wahana hiburan semata-mata.
  Novel The Satanic Verses karya Salman Rushdie yang diterbitkan pada 1988 mengocakkan seluruh dunia. Isunya Rushdie menghina Nabi Muhammad SAW dan sejarah Islam.  Pemimpin agama Iran, Ayatollah Ruhollah Musavi Khomeini (17 Mei 1900 - 3 Jun 1989) memberi arahan bunuh terhadap Rushdie yang dianggap murtad dan merosakkan akidah manusia.   Beberapa ulama dan ahli sebuah parti politik tempatan pula kecoh memperkatakan The Satanic Verses walaupun mereka mungkin tidak mengenalinya sebelum itu.

  Pandangan umum adalah sesebuah karya dianggap haram kerana isu agama semata-mata. Mereka lupa menjadikan seni analisis sebagai landasan untuk mengkaji  karya. Ada yang  menilai  isu dari sudut tertentu dan menafikan pandangan  lain. Pengkaji seni pula  menganalisis  karya berdasarkan sistem tanda dan isyarat. Mereka tidak melihat sudut agama semata-mata, bahkan menilai karya sebagai sebuah dunia tersendiri.

  Membelakangi tradisi pengkajian bakal melahirkan golongan malas berfikir. Ia tidak selaras bagi  bangsa yang mendakwa sudah merdeka. Sikap ini melahirkan kalangan jumud yang sukar menerima pandangan di luar pemikiran perdana.

  Penulis membeli The Satanic Verses ketika berkesempatan ke Asia Barat pada 1989. Ketika itu beberapa kenalan membelinya di Hong Kong, Bangkok dan Singapura yang tidak sensitif mengenai isu agama.

  Prof Madya Dr Abdullah Tahir berbangga kerana memiliki fotostat The Satanic Verses yang diperoleh menerusi seorang teman yang rapat dengan pimpinan negara ketika itu.   Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri A Samad Ismail meminjam The Satanic Verses daripada penulis yang ketika itu menjadi pelajarnya di sebuah syarikat penerbitan.

  Reaksi Samad amat menarik. Beliau tidak hairan The Satanic Verses dianggap melampau kerana banyak sasterawan Malaysia sudah menelaah cerpen  Langit Makin Mendung yang dihasilkan penulis Indonesia, Ki Panji Kusmin.

  Sehingga kini isu hak cipta dan kebebasan kreatif menjadi perdebatan umum di Jakarta. Ada sarjana yang meragui penulis sebenar Langit Makin Mendung yang diterbitkan Majalah Sastra, pada Ogos 1968. Ada yang mendakwa Ki Panji Kusmin tidak wujud. Ia jelmaan penulis lain. Mungkin WS Rendra, mungkin juga Pramoedya Ananta Toer.  Ada yang mendakwa penulisnya seorang komunis kerana latar belakang karya ketika kemuncak Perang Dingin.
 
Sehingga kini misteri insan bernama Ki Panji Kusmin menjadi rahsia umum.  Penulis menemui cerpen ini di Jakarta yang dimuatkan dalam sebuah kajian pengkritik terkenal Indonesia, HB Jassin (Hans Bague Jassin, 13 Julai 1917 – 11 Mac 2000).
  Keadaan sama  berlaku terhadap beberapa filem besar arahan Steven Spielberg. Karyanya amat dicurigai semata-mata beliau seorang Yahudi. Namun, peminat seni di Malaysia bertuah kerana dapat menonton Saving Private Ryan  dan The English Patient yang suatu ketika amat dicurigai pegawai Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).
  Bagaimanapun nasib karyanya, Schindler’s List (1993) agak malang kerana isu Perang Dunia Kedua dan penindasan terhadap Yahudi oleh Adolf Hitler dianggap  agenda Zionis. Penulis memperoleh cakera video digital (DVD) Schindler’s List  pada 2011 di Bandung, iaitu selepas 18 tahun filem ini ditonton dan dinilai  peminat dan pengkaji seni seluruh dunia!
 
Kini filem Innocence of Muslims hangat diperkatakan hingga Duta Amerika Syarikat ke Libya, J Christopher Stenvens dibunuh 12 September lalu. Lesen kreatif sekali lagi mencabar kewarasan beragama. Mampukah manusia kreatif bersikap waras kepada agama? - Berita Harian, 18 September 2012

Tuesday, September 11, 2012

Rumah terbuka citra nilai Melayu baru

Masyarakat Melayu lama tidak pernah menyambut Aidilfitri sepanjang Syawal. Mereka paling lama pun sambut hari raya selama tiga hari. Hari keempat Syawal lazimnya mereka ke sawah atau menangkap ikan. Yang menjadi buruh terus membanting tulang dan penoreh memperagakan tulang empat kerat di pinggir bukit.

  Suasana tradisi lebih berpihak mencari makan seadanya. Amalan  bermaafan dan ziarah diamalkan sepanjang masa. Rumah mereka sentiasa terbuka, tidak tertakluk kepada Aidilfitri untuk bersalaman dan bermaafan. Bagi mereka, Syawal hanya sebahagian daripada kesinambungan bulan yang menganjurkan manusia beribadat dan menjalankan tradisi muafakat.

  Hanya pada dekad 90-an, budaya baru terbentuk hasil perkembangan ekonomi dan perubahan cara hidup. Melayu sambut raya selama sebulan.   Tahun ini 16 September yang dianggap Hari Malaysia tepat pada hari terakhir Syawal. Cuti umum tentunya dimanfaatkan untuk majlis rumah terbuka. Mereka menggunakan alasan Syawal untuk menjemput saudara mara dan rakan ke majlis kenduri. Jika tiada Syawal, majlis rumah terbuka tidak diadakan.

 Konsep Melayu moden meletakkan kehidupan sebagai milik peribadi, berbeza suasana tradisi yang wujud sebelum dekad 80-an. Jati diri Melayu berubah mengikut perubahan masa dan tradisi muafakat yang kita kaji dari kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah mulai tercabar.
  Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) mengalami perubahan drastik dari segi cara hidup dan sistem nilai. Dasar kerajaan yang mengutamakan agihan ekonomi dan penyusunan semula masyarakat memberi kesan terhadap struktur masyarakat itu sendiri.
  Konsep profesionalisme dikaitkan sebagai ‘penjualan’ tenaga dan kepakaran. Melayu turut terbabit menjual tenaga dan kepakaran untuk mendapat upah. Ahli kapitalis meletakkan pasaran pekerjaan sebagai penentu nilai sosial seseorang. Semakin tinggi kepakaran yang dimiliki mendorong kadar upah yang tinggi.
 Peningkatan ekonomi, taraf hidup dan prasarana tanpa sedar mengubah identiti Melayu dan budayanya. Sistem nilai yang turut berubah menjadikan saingan dalam pasaran pekerjaan lebih utama daripada mengekalkan amalan muafakat dan tradisi gotong-royong.
 Konsep kejiranan mulai terhakis dan kawasan perumahan moden yang dikaitkan dengan perbandaran menjadikan penduduknya lebih tertutup. Jika terdedah pun sekadar menikmati media baru yang terhasil daripada dasar langit terbuka.
  Amalan rumah terbuka pada bazar Ramadan dan Syawal menterjemahkan keunikan Melayu baru. Dulu hidangan Syawal dimasak sendiri oleh isteri dan ahli keluarga bagi meraikan tetamu. Juadah Ramadan disediakan oleh ahli keluarga mengikut kemampuan. Tidak timbul istilah bazar Ramadan atau katering kerana wanita Melayu ketika itu mempunyai masa yang cukup untuk memasak dan berlapang dada menyediakan masakan.
  Tuntutan masa dan perubahan cara hidup kini memaksa wanita turut bersaing ‘menjual’ kepakaran mereka dalam pasaran pekerjaan. Mereka keluar rumah sejak pagi dan kediaman hanya menjadi ‘sarang’ untuk berehat waktu senja dan malam. Perubahan suasana ini menyebabkan bazar Ramadan melata sepanjang bulan puasa dan katering menjadi tumpuan  majlis rumah terbuka Syawal.
  Kita harus akui katering dan bazar Ramadan adalah citra ekonomi Melayu moden. Semakin tinggi kuasa ekonomi di sesuatu kawasan semakin banyak perkhidmatan penyediaan makanan. Kuasa ekonomi mendorong majlis rumah terbuka diadakan sepanjang Syawal. Kuasa ekonomi juga mendorong sesetengah majlis Aidilfitri atau berbuka puasa diadakan di hotel lima bintang sebagai membuktikan kekuatan kewangan penganjur majlis.

  Paradoks pembangunan sering memberi gambaran terbalik. Penulis menghadiri majlis Aidilfitri di sebuah dewan agam. Malangnya, tidak jauh dari kawasan parkir, kalangan gelandangan merayau mencari makan. Mereka juga Melayu. Kontradiksi pembangunan!
  Ketika merayakan Hari Malaysia,  wajar juga kita menilai sistem kehidupan Melayu hari ini. Pencapaian DEB dan kesan kemelut dalaman UMNO pada 1987 berjaya membentuk identiti baru kepada sebahagian Melayu. Politik wang, persaingan kerjaya dan pasaran saham sebahagian daripada keretakan bangsa sendiri.
  Jangan terperanjat jika majlis terbuka Syawal sekadar acara tanpa semangat kemelayuan itu sendiri. Seorang teman secara sinis mengandaikan majlis rumah terbuka untuk tetamu yang dijemput saja! - Berita Harian, 11 September 2012