Pages

Tuesday, October 23, 2012

Semangat Red Warrios

Gadis yang bertugas di sebuah stesen minyak di Raub pada 12 Oktober lalu  menegur: “Encik  nak ke  Stadium Shah Alam?”  Penulis tergamam dan geli hati. Gadis berkenaan mengintai  beberapa  cenderamata Red Warriors dalam kenderaan. Pada masa sama, konvoi kenderaan persendirian dan bas yang mengibarkan bendera Kelantan memenuhi jalan raya dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang, Lipis, Raub dan Bentong.
 
Malam itu pertandingan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Selangor. Bayangkan apabila Kelantan menang dan ke pertandingan akhir pada 20 Oktober lalu yang ‘memaksa’ konvoi dari Kelantan sekali lagi ke Stadium Shah Alam dalam tempoh seminggu  bagi menyokong  Red Warriors menjuarai Piala Malaysia, selepas bergaya menjulang Piala FA dan Liga Super.

 Sokongan dan sifat fanatik penyokong Kelantan diakui  paling hebat di negara ini.  Ada yang  sanggup menempah penerbangan semata-mata untuk menyokong anak buah Tan Sri Annuar Musa bertarung  pada pusingan awal piala AFC di Hanoi, Vietnam.

 Seorang kenalan yang juga usahawan sanggup menempah tiket penerbangan ke mana saja  Red Warriors beraksi. Jika tiket penerbangan habis, dia sanggup memandu  bersama rakan ke sesuatu destinasi dan kembali ke Kota Bharu sebaik saja perlawanan berakhir.

 Di beberapa jalan utama di Kota Bharu, gambar pemain bola sepak Kelantan boleh dilihat di mana-mana saja. Malah, syarikat telekomunikasi terkemuka menggunakan wajah pemain Red Warriors pada kad prabayar bagi memberi peluang peminat mengumpul wajah dan aksi mereka.

 Pakaian rasmi pasukan bola sepak Kelantan boleh dilihat    di majlis kenduri, kematian atau  di masjid. Tidak terkecuali juga ketika lepak di pasar malam Wakaf Che Yeh atau membeli-belah di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur.  Ia menggambarkan perasaan bersatu hati dan semangat cekal   rakyat Kelantan terhadap pasukan negeri walaupun berbeza fahaman  kepartian.

 Lebih aneh, Red Warrios juga boleh meredakan seketika sengketa  ahli UMNO dan PAS. Jika pada majlis politik ahli kedua-dua parti  bertelagah, malah tidak bertegur sapa, bola sepak meredakan pergeseran mereka semata-mata kerana kesukanan yang dianggarkan lebih waras daripada berpolitik.

 Bagaimanapun, ada kalangan ahli UMNO Kelantan yang silap tanggapan  untuk membezakan sokongan terhadap Red Warriors dengan kepartian. Menyokong pasukan bola sepak bukan bermakna sokongan terhadap UMNO atau PAS. Kita boleh lihat beberapa slogan, sepanduk dan bendera kepartian yang dibawa ke stadium menggambarkan isu politik masih belum reda di Tanah Sekebun Bunga itu.

 Ketika perlawanan separuh akhir di Stadium Shah Alam baru-baru ini, sepanduk ‘Kami Mahu Royalti Minyak’ menjadi tumpuan ramai yang boleh dikaitkan dengan parti yang menguasai Kelantan ketika ini. Bagaimanapun slogan ‘Gelombang Merah’ yang dikaitkan dengan UMNO Kelantan  jelas terpapar ketika malam final Piala Malaysia.

 Pada beberapa perlawanan lain, bendera parti pembangkang turut dibawa ke stadium walaupun Red Warrios digerakkan   ahli UMNO. Ia menggambarkan politik dan sukan tidak dapat dipisahkan. Sokongan terhadap bola sepak bukan bermakna sokongan terhadap pihak yang menggerakkan kejayaan sukan itu sendiri.  UMNO dan PAS akan   terus bergasak untuk merebut sokongan rakyat Kelantan.

Sebagai  negeri yang penduduk Melayu lebih 90 peratus, Kelantan sentiasa kaya dengan keindahan alam, keunikan budaya, syurga beli-belah dan sengketa politik yang kekal. Alangkah baiknya jika rakyat bersatu hati menggunakan pendekatan menyokong Red Warriors  dalam perspektif lebih luas.  Sengketa tidak membawa manfaat apatah lagi apabila Melayu masih berada di persimpangan jalan. Memenangi tiga piala bola sepak dalam satu musim bukan menggambarkan kemajuan  dalam bidang kesukanan, pendidikan, pencapaian ekonomi dan perpaduan bangsa.

 Ramai anak Kelantan   berjaya  dalam pelbagai sektor, namun  rakyat negeri itu  juga yang mengisi rumah setinggan, menjadi gelandangan di Jalan Chow Kit dan marhaen di kawasan urban. Sudah sampai masanya anak Kelantan melihat ke depan, mengintai perubahan dan memaknakan citra perpaduan seperti yang diidamkan. -  Berita Harian, 23 Oktober 2012

No comments: