Pages

Tuesday, October 30, 2012

Usain Bolt dari Myanmar

 Kanak-kanak memanggilnya Usain Bolt. Ada yang memanggil Usain Bangla. Tapi dia tidak kisah. “Nama saya Husin, buku Usain,” tuturnya tergelak. “Saya bukan Bangladesh, saya   Myanmar!”
Kami mengenalinya sejak lima tahun lalu. Dia datang ke taman perumahan setiap  tiga minggu. Berbasikal sambil menggalas mesin pemotong rumput. Hampir setiap rumah dijelajahi dengan harapan ada rezeki. Dia hanya  mengenakan bayaran RM30 untuk memotong rumput dan membersih kebun yang dipenuhi pokok pisang, mangga, cempedak, serai dan nangka. Ketika perayaan Aidiladha, dia turut membantu melapah daging korban untuk diagihkan kepada orang ramai.

 “Saya sudah 20 tahun di Malaysia. Rasa selamat di sini. Sesekali terasa mahu pulang,” air matanya mula tergenang. “Saya rindukan isteri dan enam anak. Mereka masih ada di Myanmar. Masih hidup, tapi terseksa,” tuturnya semakin lemah.

Minggu kedua Ramadan lalu kami telefonnya. Tiada jawapan. Hanya menjelang Syawal baru dapat dihubungi. Husin kelihatan lesu dan sedih. “Saya kena tahan. 10 hari dalam penjara kerana dituduh pendatang haram,” tegas pelarian Rohingya itu.

 Sepanjang 20 tahun, 16 kali Husin ditahan dan kemudian dilepaskan. Husin menganggap sebagai takdir, seperti juga nasib puak Rohingya yang tidak diiktiraf oleh negaranya sendiri.
 Kira-kira 15,000 Rohingya berlindung di Malaysia berstatus pelarian di bawah kawalan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Kebanyakan mereka seperti Husin   bekerja memotong rumput, mencuci kereta, mengutip barang  lusuh dan menjadi buruh di kilang haram.

 Status pelarian menghalang mereka mendapatkan permit pekerjaan   sah. Mereka dilarang kerja di pusat beli-belah mahupun kilang besar. Berbanding warga Bangladesh dan India yang bebas mencari rezeki pelbagai sektor, pelarian Rohingya hanya mengharapkan nasib untuk hidup. Anak mereka tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah. Malah, mereka sering ‘diganggu’ kerana status   diragui.
 Walaupun pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerap bersuara mengenai nasib Rohingya, keadaan tidak banyak berubah. Kerajaan sendiri tidak dapat berbuat apa-apa kerana terikat dengan piagam. Sebagai negara anggota Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), Malaysia dilarang campur tangan masalah dalaman anggota ASEAN sendiri.

 Etnik Rohingya beragama Islam. Tapi tiada negara Islam yang berusaha pembantu mereka. Kajian menunjukkan Rohingya sebagai mangsa  paling malang di dunia. Kekejaman terhadap mereka mengatasi nasib yang dialami Bosnia-Herzegovina di Balkan dan kaum Yahudi ketika era Adolf Hitler.

Kumpulan etnik ini mengalami pembersihan etnik secara bersistematik oleh kerana dasar pemerintahan Yangon yang enggan mengiktiraf sebagai rakyat Myanmar.

Junta tentera dan kumpulan etnik lain mahu menghalau mereka keluar dari bumi Myanmar. Puak lain di Rakhine, negeri di wilayah barat Myanmar, melancarkan serangan terhadap etnik Rohingya. Kanak-kanak dan orang tua menderita kebuluran kerana kekurangan makanan. Junta pula memukul, mengugut dan membunuh kumpulan etnik ini tanpa sebab. Ada juga laporan mengatakan wanita dan perempuan muda dirogol.
 Sehingga kini kita tidak nampak bantuan dari negara Islam yang menguasai minyak di Asia Barat. Mereka lebih ghairah menjaga kepentingan sendiri, di samping menjalin hubungan rapat dengan kuasa besar dunia.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula bagai hilang suara mengenai isu Rohingya. Pada sidang  tergempar di Makkah   Ramadan lalu mereka sekadar membincangkan isu Syria. Mereka terlupa nasib manusia seperti Husin yang sepatutnya mendapat hak sebagai warga dunia, serta peluang pekerjaan, kesihatan dan kemudahan sosial.

 Selagi tiada pihak berusaha melihat isu Rohingya sebagai keperluan siasah dunia, etnik minoriti Myanmar ini akan terus diterajang, dibakar dan disembelih untuk kepuasan pihak lain.
 Memang kita akui Myanmar kononnya ada pejuang asasi yang menang Hadiah Nobel Keamanan. Tapi kita hairan Aung San Suu Kyi sering mengelak  membicarakan pembunuhan Rohingya. Beliau gagal mengkritik Kerajaan Thein Sein yang menghantar lebih 800,000 etnik Rohingya ke kem pelarian di sempadan Bangladesh.

  Nasib mereka tentu  kekal misteri, seperti juga nasib Husin   yang tidak berkesudahan dirundung malang.  Husin tentu tercatat dalam statistik mangsa kekejaman paling dahsyat pada era teknologi digital.  - Berita Harian, 30 Oktober 2012

No comments: