JIKA debat dianggap
tradisi baru dalam suasana siasah di Malaysia, pertemuan antara Ketua Pemuda
UMNO, Khairy Jamaluddin dengan Pengarah
Strategi PKR, Rafizi Ramli pada 22 Mei
lalu boleh dianggap dialog cerdik yang perlu disokong.
Kedua-dua pihak
berhujah mengenai rancangan Pakatan
Rakyat untuk menghapuskan hutang melalui Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN).
Pendebat mengemukakan
fakta dan angka mengenai masa depan pelajar dan ekonomi negara. Rasional mereka
ialah pelajar sumber masa depan dan pentadbir siasah perlu merangka pelan
jangka panjang bagi membangunkan modal insan generasi pewaris.
Rafizi berhujah mengenai rancangan memberi biasiswa sara hidup RM5,000 kepada setiap pelajar institusi pengajian tinggi awam berjumlah 450,000 orang hanya membabitkan kos RM2.32 bilion setahun.
“Dengan menghapuskan RM24 bilion hutang melalui PTPTN pula, kerajaan hanya perlu membayar RM2 bilion untuk tempoh 15 tahun,” tegasnya.
Khairy pula memberi gambaran negara akan mengalami kerugian dan muflis seperti Greece sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan dan melaksana rancangan pendidikan tinggi percuma.
“Langkah menghapuskan hutang pelajar daripada PTPTN mustahil dilaksanakan dan akan menelan kos RM30 bilion, bukannya RM24 bilion seperti diuar-uarkan Rafizi,” katanya.
Tentunya debat dua tokoh muda masih jauh daripada kesempurnaan, apatah lagi mereka bagai mewakili parti politik masing-masing. Sentimen kepartian tetap ada. Nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut dipalitkan. Isu kronisme, bapa mentua dan penyelewengan agihan projek sepatutnya tidak timbul kerana topik debat berkisar soal kewangan dan bantuan untuk pelajar.
Bagaimanapun sebagai langkah awal, debat terbaru boleh dianggap tradisi yang wajar diteruskan kerana politik Malaysia sudah hampir memasuki era kematangan. Era kerajaan menguasai maklumat sudah berlalu. Zaman ahli politik menyogokkan propaganda murahan sudah tidak sesuai lagi kerana teknologi maklumat menjadi perayaan sejagat semua bangsa.
Dialog cerdik dan debat politik wajar diteruskan walaupun ada segelintir hadirin yang masih terperangkap dengan kepompong lama dan sukar menerima hujah berlandaskan fakta dan angka. Ada yang menjerit dan menyanggah secara terbuka kerana pemikiran mereka tertutup disebabkan kepompong mereka masih mewarisi era feudal yang tidak relevan lagi.
Khairy dan Rafizi pernah berdebat di London pada 29 Januari lalu pada majlis
anjuran Himpunan Mahasiswa United
Kingdom dan Ireland (UKEC) selama 90 minit.
Mereka berhujah, sekali gus
mencabar minda mengenai Wawasan 2020. Walaupun kedua-duanya mewakil dua
kelompok politik berbeza, mereka mempunyai persamaan dari segi menuntut
kebebasan berhujah dan menyuarakan
pendapat, sinis terhadap Akta Mesen Cetak, Akta Rahsia Rasmi, Akta
Keselamatan Dalam Negeri serta
pembabitan generasi muda yang lebih kritikal dan praktikal.
Richard Andrews dalam bukunya Argumentation in Higher
Education menyatakan penghujahan atau
debat ialah 'urutan idea yang logikal atau kuasa logikal yang disokong oleh
bukti'. Ia membabitkan aspek kritikal
iaitu perkara yang membezakannya dengan perbincangan atau perbualan lain.
Pemikiran kritis dan penghujahan berada di
tengah proses pemikiran dan budaya ilmu. Ia jalan menuju pemikiran
rasional.
Pendapat ini hampir dicapai dalam debat dua
tokoh muda itu kerana tradisi intelektual tidak datang secara bergolek. Ia
memerlukan proses panjang mengenai penghujahan dan bagaimana hujah boleh
meyakinkan pendengarnya. Golongan yang antidebat adalah kelompok yang enggan
berfikir dan segan mewaraskan otak.
Jika sebelum ini
debat menerusi twitter dan facebook banyak diperkatakan, kehadiran dua insan
berdebat secara terbuka memberi ruang kepada hadirin melihat
kepetahan hujah dan menduga minda.
Tentunya tidak ada
pemenang mutlak antara kedua-dua pendebat, kerana yang menang adalah semangat
dialog cerdik itu sendiri yang mengajar lebih berimbang ketika bersuara dan
lebih menimbang ketika mendebat hujah yang
tidak dipersetujui.
Kita berharap pada
masa akan datang tradisi debat diteruskan membabitkan tokoh lebih kanan dalam gerakan siasah di Malaysia..
Kita pernah
menyaksikan debat antara Anwar dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, juga antara Presiden MCA, Datuk
Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha
Agung DAP, Lim Guan Eng. Kita juga tentu
mengharapkan tradisi debat diadakan ketika pemilihan dalam sesebuah parti
politik atau perebutan calon sama ada pada peringkat Dewan Undangan Negeri dan
Parlimen pada setiap kali pilihan raya
umum. Tentunya acara debat lebih memberi peluang kepada rakyat untuk
menilai dan memilih wakil mereka ke peringkat yang lebih tinggi tanpa sebarang
prasangka! - Berita Harian, 25 Mei 2012