Pages

Friday, May 25, 2012

Bila debat Najib dan Anwar?




JIKA debat dianggap tradisi baru dalam suasana siasah di Malaysia, pertemuan antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan  Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli  pada 22 Mei lalu boleh dianggap dialog cerdik yang perlu disokong.

Kedua-dua pihak berhujah  mengenai rancangan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan hutang melalui Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pendebat mengemukakan fakta dan angka mengenai masa depan pelajar dan ekonomi negara. Rasional mereka ialah pelajar sumber masa depan dan pentadbir siasah perlu merangka pelan jangka panjang bagi membangunkan modal insan generasi pewaris.

 Rafizi berhujah mengenai  rancangan  memberi biasiswa sara hidup RM5,000 kepada setiap pelajar institusi pengajian tinggi awam berjumlah 450,000 orang hanya membabitkan kos RM2.32 bilion setahun.
 

“Dengan menghapuskan RM24 bilion hutang melalui PTPTN pula, kerajaan hanya perlu membayar RM2 bilion untuk tempoh 15 tahun,” tegasnya.
 

Khairy pula  memberi gambaran  negara akan mengalami kerugian dan muflis seperti  Greece sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan dan melaksana rancangan   pendidikan tinggi percuma.
 

“Langkah  menghapuskan hutang pelajar daripada PTPTN  mustahil  dilaksanakan dan akan menelan kos RM30 bilion, bukannya RM24 bilion seperti diuar-uarkan Rafizi,” katanya.

    Tentunya debat dua tokoh muda masih jauh daripada kesempurnaan, apatah lagi mereka bagai mewakili parti politik masing-masing. Sentimen kepartian tetap ada. Nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri,  Tun Abdullah Ahmad Badawi turut dipalitkan. Isu kronisme,   bapa mentua dan penyelewengan agihan projek sepatutnya tidak timbul kerana topik debat berkisar soal kewangan dan bantuan untuk pelajar.

Bagaimanapun sebagai langkah awal, debat terbaru boleh dianggap  tradisi yang wajar diteruskan kerana politik Malaysia sudah hampir memasuki era kematangan. Era kerajaan menguasai maklumat sudah berlalu. Zaman ahli politik menyogokkan  propaganda murahan sudah tidak sesuai lagi kerana teknologi maklumat  menjadi perayaan sejagat semua bangsa.

Dialog cerdik dan debat politik wajar diteruskan walaupun ada segelintir hadirin yang masih terperangkap dengan kepompong   lama dan sukar menerima hujah berlandaskan fakta dan angka. Ada yang menjerit dan menyanggah secara terbuka kerana pemikiran mereka tertutup  disebabkan kepompong mereka masih mewarisi era feudal yang tidak relevan lagi.

   Khairy dan Rafizi pernah berdebat di  London pada 29 Januari lalu  pada majlis  anjuran  Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) selama 90 minit.    Mereka berhujah, sekali gus mencabar minda mengenai Wawasan 2020. Walaupun kedua-duanya mewakil dua kelompok politik berbeza, mereka mempunyai persamaan dari segi menuntut kebebasan berhujah dan menyuarakan  pendapat, sinis terhadap Akta Mesen Cetak, Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri  serta pembabitan generasi muda yang lebih kritikal dan praktikal.
 
  Richard Andrews  dalam bukunya Argumentation in Higher Education menyatakan  penghujahan atau debat ialah 'urutan idea yang logikal atau kuasa logikal yang disokong oleh bukti'. Ia membabitkan  aspek kritikal iaitu perkara yang membezakannya dengan perbincangan atau perbualan lain. Pemikiran kritis dan penghujahan berada di  tengah proses pemikiran dan budaya ilmu. Ia jalan menuju pemikiran rasional.

 Pendapat ini hampir dicapai dalam debat dua tokoh muda itu kerana tradisi intelektual tidak datang secara bergolek. Ia memerlukan proses panjang mengenai penghujahan dan bagaimana hujah boleh meyakinkan pendengarnya. Golongan yang antidebat adalah kelompok yang enggan berfikir dan segan mewaraskan otak.

Jika sebelum ini debat menerusi twitter dan facebook banyak diperkatakan, kehadiran dua insan berdebat  secara   terbuka memberi ruang kepada hadirin melihat kepetahan hujah dan menduga minda.

Tentunya tidak ada pemenang mutlak antara kedua-dua pendebat, kerana yang menang adalah semangat dialog cerdik itu sendiri yang mengajar lebih berimbang ketika bersuara dan lebih menimbang ketika mendebat hujah yang   tidak dipersetujui.

Kita berharap pada masa akan datang tradisi debat diteruskan membabitkan   tokoh lebih kanan dalam   gerakan siasah di Malaysia..

Kita pernah menyaksikan debat antara Anwar dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, juga antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.  Kita juga tentu mengharapkan tradisi debat diadakan ketika pemilihan dalam sesebuah parti politik atau perebutan calon sama ada pada peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen pada  setiap kali pilihan raya umum.  Tentunya acara debat   lebih memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan memilih wakil mereka ke peringkat yang lebih tinggi tanpa sebarang prasangka! - Berita Harian, 25 Mei 2012

No comments: