Pages

Tuesday, November 27, 2012

UMNO jangan sekadar hidup mewah

Sebelum melepaskan jawatan dalam UMNO dan kerajaan, seorang tokoh berpesan: “Jagalah UMNO baik-baik. Jangan sampai lupakan akar umbi di luar bandar!” Ungkapan lebih dua dekad lalu itu sepatutnya menjadi pedoman kepada 3.2 juta ahli UMNO di seluruh Malaysia.

  Hari ini parti umat Melayu bersidang lagi. Harapan pemimpin dan perwakilan membawa mesej yang hampir sama. UMNO perlu kekal untuk Melayunya dan dengan akar umbi. Sebarang usaha melupakan akar umbi akan membawa padah kepada UMNO.

  Sejak penubuhan pada 11 Mei 1946, UMNO sentiasa dilihat untuk Melayu.   Sejarah mentakdirkan UMNO parti Melayu yang kekal berkuasa sejak 55 tahun lalu. Sejarah juga yang merakamkan kesepakatan, pengorbanan dan semangat menentang Malayan Union sebagai paksi kekuatan bangsa yang tidak ternilai.

  Namun, sejarah juga yang mencatatkan UMNO bergelora apabila ahlinya berpecah selepas pemilihan parti  1987 kerana pertandingan  jawatan presiden  antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah. Dr Mahathir menang dengan majoriti 43 undi tetapi beliau tidak menang sepenuhnya.

Razaleigh juga tidak kalah sepenuhnya. UMNO berpecah dan masalah parti dibawa ke mahkamah. UMNO diharamkan pada 4 Februari 1988 di bawah Akta Pertubuhan. Sejak itu UMNO dewasa bersama masalah dalaman untuk menguji kekuatan jiwa ahli dan pemimpinnya.

  Sebagai  antara parti yang paling lama berkuasa di dunia, UMNO sentiasa kaya dengan kepelbagaian. Kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) meletakkan Melayu di antara pemain penting dalam pentadbiran dan sektor perusahaan.

 Kuala Lumpur yang dulunya dianggap milik pihak lain berubah wajah selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kita wajar berterima kasih kepada sejarah kerana menjadikan rusuhan kaum membentuk Melayu moden yang lebih ampuh dalam pelbagai bidang.

  Sekitar  1980-an dan 1990-an, kewujudan usahawan Melayu agak drastik walaupun gagal memenuhi sasaran 30 peratus DEB. Kewujudan istilah Melayu baru memberi tafsiran  lebih meluas. Melayu baru sepatutnya yang berilmu, berminda taraf dunia dan tauke korporat yang tahan  ujian. Ada yang berjaya dan ramai juga  gagal. Lebih malang, istilah Melayu baru dikaitkan pula dengan politik wang. Lebih mengecewakan, segelintir ahli UMNO  dikaitkan dengan wang untuk menjadi ketua cawangan, perwakilan bahagian dan menjadi ahli majlis tertinggi parti.

  Cita-cita menghayati akar umbi sentiasa dibayangi keperluan lain sehingga ada tohmahan UMNO bukan lagi milik petani, nelayan dan penoreh getah.  Seorang tokoh secara sinis menggelarkan Desawan Joe bukan lagi berkain dan berbaju Melayu, bahkan bergaya moden dengan kenderaan mewah di Kuala Lumpur.

 Imej UMNO sebagai parti kampung secara evolusi menjadi milik korporat dan usahawan pasca DEB. Jika dulu perwakilan UMNO guru lulusan maktab perguruan kini bertukar kepada jutawan muda yang mempunyai ribuan lot saham di Bursa Malaysia. Suara keramat UMNO sentiasa disangsi walaupun masih ada yang berhati luhur  membela Melayu  luar bandar.

  Cabaran terbesar UMNO berlaku pada 2 September 1998 apabila pergolakan dalaman membabitkan isu moral seorang pemimpinnya. Pemuda UMNO ketika itu hampir lumpuh apabila ramai tokoh berpindah kem dan mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan parti. Media baru menjadi wadah lebih canggih dan eksklusif melaporkan masalah dalaman.

     Persidangan    kali ini sepatutnya dilakukan usaha mengukuhkan perpaduan Melayu. Lihatlah masalah rakyat dan dekatilah akar umbi. Jika UMNO mahu dipandang gah untuk sekian lama, ahli dan pimpinan perlu wujudkan saf yang kukuh bagi membina benteng parti.
Tradisi intelektual dan muafakat yang sudah lama tertanam di jiwa Melayu perlu disemarakkan. Lebih penting, UMNO jangan sekadar melihat dirinya di bandar.  
    
  Desawan Joe  perlu menjenguk ke  desa, mengenal akar umbi dan menterjemahkan perjuangan dalam bentuk baru. Semangat dan roh UMNO perlu kekal. Lebih penting tradisi membela rakyat perlu tersemat di hati pemimpinnya agar sebahagian Melayu tidak menjauhkan UMNO lagi! - Berita Harian, 27 November 2012

No comments: