Pages

Thursday, December 06, 2012

Khairunnisa bukti ketabahan, kekuatan dalaman

  “Lima tahun ayah dukung saya ke kelas di tingkat tiga sekolah,” akui Khairunnisa Johari yang meraih Anugerah Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM).

  Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maklumat yang menghidap penyakit tulang rapuh sejak kecil, berkata memori pengorbanan ayahnya, Johari Othman, 53, sentiasa menjadi pembakar semangatnya untuk meraih keputusan cemerlang.

  “Kekuatan saya sepanjang belajar di UiTM hanya satu, iaitu memori ayah yang setiap hari mendukung saya ke kelas. Apabila membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian pada peringkat diploma, kemudian ijazah sarjana muda, saya membuat persediaan mental dan fizikal untuk hidup sendiri,” katanya selepas Istiadat Konvokesyen ke-77 UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, di UiTM, baru-baru ini. 

   Mungkin bagi sesetengah pihak menganggap kecacatan sebagai kekalahan dalam kehidupan, tetapi Khairunnisa seperti beberapa orang kelainan upaya (OKU) yang lain membuktikan kekuatan dalaman membantu mereka mencapai kejayaan.

  Isunya sekarang, ke mana Khairunnisa akan melangkah? Adakah majikan yang menawarkan pekerjaan kepadanya atau  akan senasib  ramai lagi OKU yang tersisih dan terabai?
Ramai OKU cemerlang

  Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2012 diadakan pada Isnin lalu. Ia sudah tradisi dan klise. Memang kita akui setiap tahun ramai OKU  mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan di sekolah dan pusat pengajian tinggi. Ramai  memiliki ijazah doktor falsafah dan sarjana. Tetapi sejauh mana mereka memenuhi keperluan pasaran. Sanggupkah majikan menawarkan pekerjaan?

  Kita boleh berbangga dengan pencapaian Pakar Ekonomi Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang berjaya dalam akademik, pengurusan dan akhirnya dilantik  senator. Tetapi tidak ramai OKU lain yang mendapat tempat dalam masyarakat walaupun berkelulusan dan mempunyai kemahiran bidang tertentu.

  Kita masih ingat nasib dua atlit paralimpik yang meraih pingat perak dan gangsa di London  dinafikan ganjaran pencen semata-mata ‘padang permainan’ tidak rata berbanding ahli sukan normal. Pelbagai polemik dan pandangan ahli sosial sekadar angin lalu. Kini nasib mereka tiada siapa yang peduli.

  Kita mempunyai ramai graduan OKU yang masih menganggur atau bertugas di luar kepakaran mereka. Ramai yang bergaji di bawah RM1,500 sebulan dan tercatat dalam statistik kemiskinan negara. Ramai yang tinggal di rumah pangsa dan terpaksa mendapatkan ihsan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM)   bagi mendapatkan bantuan bulanan.

  Prejudis masyarakat dan sikap majikan punca OKU tidak berpeluang menikmati kehidupan lebih baik. Kita harap Khairunnisa mempunyai nasib berbeza daripada OKU lain. Sebelum ini nama Siti Huraizah Ruslan pernah diperkatakan kerana cemerlang akademik tapi gagal mendapat jawatan  sesuai. Akhirnya dia terpaksa berbakti di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang di luar bidang kepakarannya.

  Pertubuhan Kesihatan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WHO) mengandaikan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara mengalami kecacatan fizikal, mental, penglihatan dan pendengaran. Ini bermakna 2.9 juta penduduk Malaysia dianggap OKU walaupun hanya satu perempat  berdaftar dengan JKM.

  Peluang mendapatkan pekerjaan, memiliki rumah dan kemudahan asas OKU masih kurang. Kerajaan perlu memperuntukkan secara terperinci Program Perumahan Rakyat dikhususkan kepada OKU supaya mereka terus mendapat pembelaan. Pembentangan Bajet 2013 mengenai program berkenaan cuma menyediakan 20 peratus rumah mampu milik  dengan harga RM30,000 hingga RM40,000 seunit kepada OKU dan penjawat awam berpendapatan rendah.

  Dalam hal ini  kerajaan seharusnya memantau lebih terperinci memandangkan nasib OKU yang selalu terlepas pandang. Biarpun kerajaan memberikan peluang kepada OKU  untuk memiliki rumah mampu miliki, namun peruntukan serendah 20 peratus itu masih perlu dibahagikan bersama penjawat awam berpendapatan rendah.

  Dari segi sosial, kemudahan OKU masih rendah. Laluan pejalan kaki cacat penglihatan dan anggota tidak banyak disediakan. Banyak premis awam tidak menyediakan laluan kerusi roda. Parkir OKU sentiasa diceroboh.

  Khairunnisa tentunya berbangga dengan ijazah dimiliki, tapi dia harus menerima hakikat bahawa kemudahan OKU di Malaysia masih rendah, termasuk peluang menjawat kerjaya dan kemudahan asas. - Berita Harian,  6 Disember 2012

No comments: