Pages

Monday, February 04, 2013

Bukan mudah tawan Kelantan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri  Muhyiddin Yassin melawat Kelantan dalam masa terdekat, membuktikan Pusat menaruh harapan besar untuk membangunkan negeri yang diterajui PAS sejak 1990.

 Najib berjanji menjayakan tujuh projek besar untuk mengubah nasib rakyat yang sebelum ini katakan mundur di bawah pentadbiran Datuk Nik Aziz Nik Mat. Muhyiddin pula  menegaskan Pusat tidak pernah abaikan Kelantan – sebuah negeri yang lebih 90 peratus penduduknya Melayu dan beragama Islam.

 Kelantan dianggap negeri Serambi Makkah dan tradisi pondok berjaya mempengaruhi pola berfikir rakyatnya. Hal ini membezakan kecenderungan berpolitik di antara Melayu Kelantan dengan Melayu di negeri lain.

 Malah, dalam institusi beraja pun, kesultanan Kelantan sejak dulu dianggap alim, menggerakkan dakwah di istana dan balai besar serta mendekati rakyat menerusi unsur keagamaan.  Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra lbni Sultan lsmail Petra atau dikenali Sultan Muhammad ke-V dianggap tokoh yang menegakkan keislaman menerusi cara hidup sederhana. Rakyat menghormati baginda bukan kerana takhta, bahkan sikapnya yang sentiasa terbuka, berjubah dan berkopiah serta kerap menghadiri majlis keagamaan.  Sikap baginda membezakan dengan kerabat di negeri lain.

 Keunikan dimiliki dalam institusi beraja di Kelantan menjadikan rakyat memahami mengapa mereka mempunyai kecenderungan berbeza dari segi  fahaman siasah.

 Jika mahu menguasai semula Kelantan yang ditadbir PAS selama 23 tahun, UMNO perlu memahami minda rakyat Kelantan. Sekadar berjanji untuk membangunkan negeri yang dikatakan mundur tidak cukup.  UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memahami isu sebenar yang berlaku di Kota Bharu.

 Kita akui PAS bukan parti dominan di Kelantan walaupun ramai  penyokong. Kejayaan PAS memperagakan imej Nik Aziz Nik Mat yang dikaitkan sebagai ulama menjadikan bumi Serambi Makkah tidak sunyi daripada sepak terajang politik.

 UMNO juga tidak sunyi dengan kesilapannya. Sekadar berjanji membangunkan projek tanpa memahami hasrat rakyat tempatan bakal membawa padah. Majoriti rakyat Kelantan mahukan royalti minyak. Tokoh UMNO termasuk Tengku Razaleigh Hamzah juga menyuarakan isu sama. Malah, Tan Sri Annuar Musa juga dikaitkan ada permintaan  sama.

 Membelakangi harapan dan keperluan rakyat bakal menjadikan kempen UMNO tidak ke mana. Walaupun ada tokoh yang mendakwa Kelantan bermasalah dari segi bekalan air bersih, ia tidak membantu kempen politik. Isu air di Pahang hingga kini gagal diselesaikan. Penduduk Seremban dan Nilai mempertikaikan penswastaan air. Malah di Lembah Klang, terutama Selangor, krisis bekalan air dikaitkan dengan kepemimpinan terdahulu.

 Dalam kes Kelantan, BN perlu kaji strategi menawan hati rakyat. Pembangunan perlu diteruskan walaupun belum menguasai pentadbiran negeri. Berjanji untuk menjayakan projek raksasa apabila berkuasa seolah-olah suatu ugutan terhadap rakyat.

 Kita akui PAS tidak berjaya sebagai parti yang mampu membawa perubahan kepada rakyat  Kelantan tetapi UMNO pula perlu membuktikan mereka lebih baik. Jika ada kalangan pemimpin tempatan yang masih menonjolkan cara hidup mewah dan kurang mesra rakyat, harapan untuk meraih sokongan majoriti masih tercabar.

 Pensyarah Geostrategis, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan, mendakwa BN mungkin boleh kembali menguasai Kelantan jika sokongan diberikan rakyat negeri itu terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dijadikan sebagai ukuran, tidak semestinya tepat.
 Mengkaji keperluan politik rakyat berbeza dengan sukan bola sepak yang diminati semua kaum. Seluruh manusia di planet bumi menggunakan bahasa hampir sama untuk bola sepak. Mereka menjeritkan ‘gol’ ketika bola  mencecah jaring.

 Ia menggambarkan bola sepak diminati ramai tanpa membezakan fahaman kepartian. Dalam kes The Red Warriors, hampir semua rakyat Kelantan termasuk penghijrah ke negeri lain menyokong pasukan  mereka. Bagaimanapun, kita boleh lihat di mana-mana stadium membabitkan  pasukan Kelantan, bendera PAS dan PKR turut berkibaran di segenap penjuru. Ia membuktikan walaupun Annuar menguasai KAFA, tetapi penyokong tidak semestinya ahli UMNO. Justeru, UMNO perlu lebih memahami kehendak rakyat jika mahu mentadbir semula Kelantan dengan lebih cemerlang.  - Berita Harian, 4 Februari 2013

No comments: