Pages

Tuesday, February 05, 2013

Dari Asas 50 ke PRU13

Generasi muda sentiasa kaya dengan harapan dan kemungkinan. Jika filem, lagu dan novel dianggap citra zaman, kita harus akui karya kreatif  bertunjang kepada realiti yang wujud sejak era Asas 50 dan perkembangan studio di Jalan Ampas, Singapura.

  Kehadiran filem P Ramlee seperti Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku menggambarkan realiti sosial penentangan anak muda terhadap sistem nilai yang wujud sejak berzaman. Perbezaan kelas, cinta dua darjat dan penentangan anak muda adalah cetusan konflik sosial. Karya Asas 50 dengan slogan ‘seni untuk masyarakat’ jelas memaparkan ideologi sosialis yang menjadi ikutan segelintir generasi muda. 

  Dekad 60-an terlalu kaya dengan pergolakan. Generasi muda melihatnya sebagai era kebangkitan menentang kapitalis yang cuba menjadikan Perang Dingin sebagai medan menghalalkan peperangan di Vietnam, Laos dan Kemboja. Pergolakan di Semenanjung Korea memberi kesan pertembungan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Soviet Union.

  Malaysia pula ketika itu sedang mencari arah di pentas global. Sebagai negara baru merdeka, Malaysia dilihat sebagai satelit imperialis AS dan Britain di Asia Tenggara. Alasan ini mendorong Sukarno melancarkan konfrontasi pada 1962 hingga 1966 kerana membantah penubuhan Malaysia. Ketika itu juga budaya hippie yang bermula di AS dan Barat, tersebar ke seluruh dunia.

  Perkataan ‘hippie’ berasal daripada perkataan ‘hip’ atau ‘hipster’ yang  diperjuangkan kebanyakan remaja kerana pemberontakan politik, sosial dan spiritual yang melanda AS  pada pertengahan dekad 1960-an. Imej Vietnam yang berdarah dipaparkan di skrin besar dan anak muda membantah kenapa AS perlu berperang di bumi asing. Mereka lebih marah apabila 58,195 askar AS maut atau hilang di Vietnam.

  Kebanyakan generasi muda Malaysia melihat  ‘hippie’ sebagai cetusan kemarahan golongan yang membelakangi agama dan menjadikan seks bebas  serta dadah sebagai budaya mereka. Walaupun slogan peace not war banyak diedarkan, belia kita menganggap perjuangan mereka berbeza dengan keperluan di Malaysia.

 Keadaan berubah pada dekad 1970-an apabila gerakan Islam mempengaruhi perjuangan belia tempatan. Persatuan pelajar menjadikan kampus sebagai wadah menyuarakan pandangan dan menegur birokrat yang didakwa tidak mesra demokrasi. Sudut Pidato merancakkan pelbagai pemahaman terhadap gerakan Islam dan sekular. Gerakan belia terutama Angkatan Belia Islam (ABIM) memberi kesan yang besar kepada generasi muda Islam.

  Tunjuk perasaan pelajar pada 1974 yang menggunakan Baling sebagai isu perjuangan mendapat perhatian pihak eksekutif. Pemimpin pelajar termasuk  Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 14 Disember 1974 atas kesalahan menghasut mahasiswa mengadakan demonstrasi haram. Nasib sama dialami Idris Sanusi dan Datuk  Ibrahim Ali. Hishamudin Rais  melarikan diri ke luar negara. Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) diperkemaskan.

  Revolusi Iran pertengahan 1977 hingga 1979 bukan saja menyingkirkan Shah Mohammad Reza Pahlavi keluar dari Teheran, bahkan meletakkan imej  Ayatollah Ruhollah Khomeini sebagai idola.
Ada gerakan belia di Malaysia yang taksub dengan Khomeini walaupun dasar pentadbiran belum  terbukti berkesan.

  Dari segi positifnya gerakan Islam berjaya menyemarakkan lagi citra keagamaan di Malaysia. Lebih ramai wanita Malaysia mula memakai tudung. Dekad 1980-an dan awal 1990-an pula merakamkan suasana berbeza. Sikap ekstrem generasi muda agak reda seketika apabila sebahagian mereka menyertai UMNO. Program Rakan Muda yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya membawa belia bersikap sederhana.

  Bagaimanapun keadaan berubah apabila peristiwa politik 1998 menyebabkan generasi muda mempunyai sikap berbeza. Kemajuan media baru menyemarakkan lagi suara belia dengan nada berbeza. Keadaan tidak jauh berubah menjelang Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008. 

  Demografi Malaysia berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir 70  peratus tinggal di kawasan bandar. Sebanyak 40 peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah. Sebanyak 80 peratus pula berumur kurang 45  tahun. Mereka adalah sebahagian besar pengundi yang bakal membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Suara mereka sukar diramal. -  Berita Harian, 5 Februari 2013

No comments: