Selamat Hari Raya Aidilfitri: Kad raya kini diancam teknologi digital. |
Dulu telefon bimbit dianggap simbol status, tetapi kini menjadi keperluan semua pihak termasuk kanak-kanak dan amah Indonesia yang kita sebut bibik.
Di mana-mana saja orang memegang telefon bimbit atau menghubungi seseorang di tempat terbuka. Tiada lagi simbol status pada alat perhubungan kerana dunia semakin memerlukan medium komunikasi yang mudah, cepat dan talian sempurna. Ada yang mempunyai lebih sebuah telefon bimbit di poket mereka kerana alasan tersendiri.
Lebih 30 tahun lalu, telefon bimbit mempunyai saiz yang besar dan tidak sempurna pada ukuran mata sekarang. Ada yang berangkai dengan beg bimbit yang boleh dibawa ke mana-mana saja. Ada juga telefon yang dipasang kenderaan seperti siri televisyen Mannix lakonan Mike Connors. Aktor Peter Graves dalam beberapa siri drama Mission Impossible juga menggunakan telefon bimbit yang disambung pada sebuah kenderaan yang dianggap markas penyiasatan membendung keganasan sejagat.
Kecanggihan tiga dekad lalu bukan lagi dianggap luar biasa pada hari ini. Dulu ada tabib yang menjalankan operasi mengurut lelaki lemah tenaga batin bergambar sambil menggayakan telefon bimbit pada iklan di akhbar dan majalah. Hari ini telefon bimbit bukan sekadar gaya dan rupa, malah fungsinya semakin meluas -- jaringan internet membolehkan pelbagai data dan akses komunikasi diperoleh di hujung jari.
Hari ini telefon bimbit sudah merakyat. Selangor mencatat negeri paling tinggi pengguna telefon bimbit dengan 22.6 peratus daripada keseluruhan lebih 2,000 pengguna yang terbabit dalam Kajian Telefon Bimbit - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 2012.
Johor dan Kuala Lumpur masing-masing 11.6 peratus dan 9.1 peratus, manakala Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka, Perlis, Putrajaya dan Labuan mencatat peratusan pengguna paling rendah iaitu antara 0.2 dan lima peratus.
Mengikut kajian yang membabitkan semua sistem rangkaian telefon itu, lelaki masih menguasai penggunaan telefon bimbit di negara ini dengan 56.5 peratus berbanding wanita, hanya 43.5 peratus.
Daripada jumlah itu, Melayu menguasai penggunaan telefon dengan 61.1 peratus, diikuti Cina (22.9 peratus); Bumiputera Sabah dan Sarawak (9 peratus) dan India (6.1 peratus) manakala Orang Asli 0.3 peratus.
Golongan dewasa paling tinggi menggunakan telefon bimbit dengan kumpulan umur antara 20 hingga 24 tahun mencatat 17.3 peratus dan kumpulan termuda iaitu bawah 15 tahun, hanya 1.8 peratus.
Kajian juga mendapati 19.6 peratus pengguna telefon bimbit terbabit dalam kajian ini mempunyai pendapatan kurang RM1,000 sebulan, manakala 36.5 peratus (antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan) dan 7.2 peratus (antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan).
Kajian itu juga mendapati, 76.5 peratus pengguna sentiasa menghidupkan telefon mereka walaupun pada waktu tidur, manakala 23.5 peratus akan mematikan telefon bimbit sebelum masuk tidur.
SKMM juga mendapati 2012 adalah tahun bagi telefon pintar apabila mencatatkan 26 peratus pengguna telefon berkenaan, peningkatan dua kali ganda berbanding 2010 dan 2011, yang masing-masing hanya mencatat 14 dan 12 peratus pengguna telefon pintar. Melalui kajian itu juga, 36.4 peratus pengguna yang terbabit dalam kajian itu sanggup berbelanja bawah RM500 untuk naik taraf ke telefon pintar manakala hanya 37.7 peratus bersedia berbelanja antara RM500 hingga RM1,000.
Dari segi jantina, lelaki masih menguasai penggunaan telefon pintar dengan 15.5 peratus pengguna berbanding wanita hanya 10.6 peratus. Pelajar menguasai penggunaan telefon pintar dengan mencatat 32.5 peratus. Penggunaan telefon pintar sebahagian daripada revolusi komunikasi sejagat. Beberapa tahun lalu ada negara Arab feudal yang melarang penggunaan telefon pintar kerana bimbang ancaman keselamatan.
Kini mustahil berbuat demikian kerana teknologi canggih sudah menjadi perayaan sejagat yang menjadi idaman lebih separuh daripada tujuh bilion penduduk bumi ini. Sebuah negara di Asia Barat pernah mengharamkan wanita memiliki telefon pintar kerana bimbang kejadian fitnah boleh berlaku secara terbuka. Pandangan jumud berkenaan akhirnya gagal dipertahankan kerana dunia tanpa sempadan sudah merobek pagar yang menghalang kebebasan manusia.
Inovasi Alexander Graham Bell (3 March 1847 – 2 Ogos 1922) menghasilkan telefon dalam bentuk yang tersendiri. Usaha diteruskan Martin Cooper (lahir pada 1928 di Chicago, Illinois) yang mencipta telefon bimbit untuk memeriahkan dunia, sekali gus memudarkan fungsi kad raya! - Berita Harian, 6 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment