Mesir sudah empat kali berperang dengan Israel. Krisis dalam negara melegakan AS kerana negara Yahudi berkenaan tidak lagi diancam mana-mana kuasa Arab. |
Sejak tentera pimpinan Mejar Jeneral Abdel-Fatah el-Sissi merampas kuasa pada 3 Julai lalu, demokrasi sudah berkubur dan darah mewarnai Kaherah. el-Sissi dikaitkan dengan perancangan Zionis. Ribuan jiwa sudah terkorban dan hampir sejuta umat Islam cedera, kehilangan tempat tinggal, menganggur dan menghadapi ibadat Ramadan serta Syawal dalam kedukaan.
Menepati agenda Yahudi untuk menghancurkan sesebuah negara dari dalam, apa yang berlaku di Mesir adalah agenda terancang untuk menghancurkan kuasa Arab yang berpengaruh.
Ketika banyak negara Arab feudal dan konservatif mendiamkan diri, pembunuhan di Mesir bukan sekadar meranapkan pengaruh Ikhwanul Muslimin dan Mohamed Morsi, tapi mengekalkan keselamatan Israel di tengah rantau Arab.
Inilah peranan sebenar yang dimainkan Zionis bagi memastikan Mesir terus bergolak kerana mereka bimbang kejatuhan Hosni Mubarak yang dianggap sekutu Yahudi boleh mengubah struktur peta Asia Barat dan Utara Afrika. AS bimbang perubahan politik yang berlaku di Tunisia, Libya dan Mesir boleh mendorong kebangkitan Arab menentang kuasa sekular. Lebih membimbangkan pergolakan di Syria belum menampakkan noktah apabila Russia, China dan Iran dikaitkan sebagai kuasa di sebalik kekuatan rejim Bashar al Assad.
Barat menganggap Mesir sebagai satelit yang bakal menentukan perimbangan kuasa di rantau Arab. Kekuatan tentera, kemudahan logistik dan geografi memungkinkan Mesir menjadi medan melancarkan serangan terhadap Israel. Lebih membimbangkan generasi muda Arab mungkin menggunakan pengaruh politik pada masa akan datang, sekali gus mengikat negara Arab bersatu menyerang kerajaan haram di Tel Aviv.
Dari segi sejarah, pembinaan Terusan Suez pada 1869 menjadikan Mesir sebagai pusat perhubungan dan pengangkutan sedunia. Pertikaian antara kerajaan Uthmaniyyah dan British mendorong pengambilan kawasan Mesir oleh British pada 1914. British melantik Husayn Kamil sebagai Sultan Mesir.
Akibat gerakan nasionalis yang hebat, British mengisytiharkan kemerdekaan Mesir pada 22 Februari 1922. Kerajaan baru ditubuhkan dan bersifat raja berperlembagaan.
Pada 1948, Mesir mengetuai beberapa negara Arab menyerang Israel tetapi kalah. Golongan nasionalis yang tidak puas hati menggulingkan institusi beraja pada 1952 menerusi Revolusi Mesir dan mengisytiharkan Republik Arab Mesir pada 1953.
Gamal Abdel Nasser menjadi Presiden Republik pada 1954 dan mengisytiharkan kemerdekaan penuh daripada British. Tindakan Abdel Nasser memilik negara Terusan Suez pada 1956 membangkitkan kemarahan British dan Perancis, mengakibatkan konflik tentera, iaitu Krisis Suez. Dalam Perang Enam Hari 1967, wilayah Mesir, iaitu Semenanjung Sinai dan Gaza ditakluk oleh Israel.
Ketegangan sempadan di antara Mesir dan Israel menjadi sebahagian daripada agenda penyelesaian krisis Asia Barat. Abdel Nasser meninggal dunia pada 1970 dan digantikan oleh Anwar Sadat.
Pada 1973, Mesir dan Syria melancarkan Perang Yom Kippur bagi mendapat balik wilayah Semenanjung Sinai dan Bukit Golan. Campur tangan AS dan Kesatuan Soviet berjaya memulakan gencatan senjata.
Pada 1977, Sadat menandatangani perjanjian damai dengan Israel untuk mendapatkan balik Semenanjung Sinai. Tindakannya mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Arab di dalam dan luar Mesir. Pada 1981 Sadat dibunuh dan digantikan timbalannya Mubarak sehingga ditumbangkan pada 2011.
Mubarak dan el-Sissi mempunyai hubungan rapat dengan tentera darat --- cabang terbesar dalam Angkatan Tentera Mesir. Kekuatannya dianggarkan 468,000 orang, selain 480,000 anggota simpanan. Pada 1991, tentera Mesir yang diasuh AS terbabit dalam Desert Storm (Operasi Ribut Padang Pasir) untuk membebaskan Kuwait daripada pendudukan Iraq. Kita yakin pengaruh AS dan Zionis masih aktif bagi memastikan Mesir terus lumpuh demi keselamatan negara haram Israel.
Amat malang negara Arab di sekeliling Mesir masih mendiamkan diri. Liga Arab tidak melakukan apa-apa. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) belum bersuara ketika darah semakin deras mengalir. Morsi mungkin tiada peluang berkuasa lagi, tapi kekejaman dan kezaliman menjadi saksi sejarah yang tidak bisu. - Berita Harian, 22 Ogos 2013
1 comment:
siapa bunuh rakyat Mesir?
Post a Comment