Pages

Tuesday, September 21, 2010

Melayu pasca 16 September

SEJAK penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, pola pemikiran Melayu tidak banyak berubah kerana warisan pimpinan penjajah dan jiwa feudal yang masih bertapak dalam beberapa institusi kemelayuan.
Pentadbiran negara yang diwarisi daripada tinggalan British menyebabkan Melayu seakan reda dengan apa yang berlaku termasuk kekal dalam sektor pertanian dan perikanan secara tradisional di luar bandar.

Hanya pada akhir dekad 60-an, pemikiran Melayu mula berubah selepas lahirnya dua gagasan pemikiran yang bernas, iaitu The Malay Dilemma (Dilema Melayu) karya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Revolusi Mental susunan Bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Senu Abdul Rahman.

Kedua-dua karya pasca 16 September secara langsung mengkritik bangsa Melayu yang masih mundur kerana cara berfikir mereka yang tidak berdaya saing. Kesilapan menafsir ajaran Islam juga dikaitkan dengan kegagalan Melayu membentuk daya saing pada peringkat global.

Dr Mahathir menerbitkan The Malay Dilemma pada 1970 selepas beliau kalah dalam Pilihan Raya Umum 1969. Beliau meninjau kelemahan bangsa Melayu menjadi punca tragedi 13 Mei meletus. Kegagalan Melayu dalam pelbagai sektor bukan kerana mereka malas, tetapi kurang ruang untuk membina kemampuan dalam pelbagai bidang. Ketika pihak lain mendapat pelbagai peluang dan ruang memajukan ekonomi, bangsa Melayu masih terhimpit dengan kemampuan terbatas, kemiskinan dan salah tanggapan terhadap Islam. Jurang ekonomi yang meluas menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati antara kaum yang akhirnya menimbulkan insiden berdarah pada 1969.

Kesilapan pimpinan Melayu sendiri juga menjadi punca kaum asal di negara ini kekal berada di luar bandar, sedangkan pihak lain menangguk pelbagai projek pembangunan yang disediakan oleh kerajaan.
Secara langsung, Dr Mahathir merayu mana-mana pemimpin Melayu supaya lebih menghargai sumbangan bangsa sendiri dan menyediakan peluang secukupnya supaya Bumiputera mampu berdikari dan berdaya saing.

 Malangnya pemikiran beliau tidak disenangi Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra yang menyebabkan The Malay Dilemma diharamkan dan Dr Mahathir diusir daripada UMNO. Karya beliau hanya dibenarkan pengedarannya pada 1981 sebaik saja Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri keempat.

Sementara itu, pada awal 1968, Pergerakan Pemuda UMNO menubuhkan Jawatankuasa Revolusi Mental. Revolusi Mental merupakan suatu usaha gerakan perubahan kepada sikap, perangai dan pemikiran bangsa Melayu agar menjadi kelompok yang berdaya saing, terpuji dan mampu berdiri sendiri.
Berlandaskan kepada kajian, penelitian dan kesedaran yang mendalam terhadap belenggu yang dialami oleh kaum Melayu, Jawatankuasa Revolusi Mental menerbitkan buku Revolusi Mental. Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein menyifatkan buku ini sebagai satu batu tanda yang penting dalam daya pemikiran cerdik pandai kita bagi menggalakkan pembangunan masyarakat Melayu.

Hari ini selepas 16 September 1963 berlalu dengan pelbagai perkembangan drastik membabitkan bangsa Melayu, pemikiran The Malay Dilemma dan Revolusi Mental masih perlu dihayati. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenal selepas 13 Mei 1969 memerlukan kesaksamaan pemerintah untuk menyediakan ruang kepada Melayu berkembang dalam sektor ekonomi moden tanpa menjejaskan usaha pihak lain memajukan perindustrian negara.

Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah kesinambungan pelaksanaan dasar ke arah transformasi perubahan yang lebih dinamik.

 Bagaimanapun pola pemikiran Melayu banyak berubah seiring perubahan sosiopolitik global sejak dekad 60-an. Jika Perang Dingin yang membabitkan saingan dua kuasa besar yang didominasi oleh Nato (Pakatan Atlantik Utara) pimpinan Amerika Syarikat dan Pakatan Warsaw (kelompok Negara komunis) pimpinan Soviet Union, Melayu juga mengalami perubahan pemikiran dalam pelbagai ideologi dan kecenderungan berpolitik. Falsafah Lenin dan ideologi kebebasan sering disalah mengertikan.

Pada 1978 ketika kejatuhan dinasti Shah Iran kepada Ayatollah Khomeini, ada juga segelintir Melayu yang taksub kepada pemikiran Syiah yang bertentangan dengan tradisi keislaman di Malaysia. Pergeseran sesama Melayu sering tidak terkawal dan perseteruan politik sering dikaitkan dengan agama yang akhirnya merugikan bangsa Melayu sendiri.

 Persaingan terbuka UMNO dan PAS untuk merebut pengaruh di kawasan dominan Melayu berjaya membentuk citra politik yang membandingkan isme Islamik dan sekular. Ketika satu pihak megah melaungkan pembentukan negara Islam, pihak yang satu lagi pula bersuara mengenai perpaduan kaum dan kontrak sosial yang tercatat dalam semangat Perlembagaan Persekutuan.

Polemik Islam dan sekular sering membabitkan kehadiran intelektual Melayu membahaskan isu bangsa dalam perspektif yang pelbagai. Ada juga yang merasakan tradisi keislaman kian tergugat kerana dasar negara yang dianggap prosekular.

Pada hari ini pemikiran Melayu pasca 16 September sudah melangkau lebih jauh. Ia bukan sekadar cita-cita politik untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2008, tetapi juga sejauh mana Melayu mampu berfikir berdasarkan tradisi pemikiran, bukan kerana semangat kepartian semata-mata. Beberapa tindakan lompat parti bukan kerana kesedaran politik, tetapi kerana nawaitu lain.

Jika Goethe pernah berpesan agar sejarah perlu ditulis semula dari semasa ke semasa kerana perubahan suasana dan pola berfikir, wajar juga bangsa Melayu menulis semula corak pemikiran terkini yang membabitkan isu bangsa dan ekonomi Bumiputera. Perubahan sikap ada masanya menjadi keterlanjuran sejarah yang akhirnya menikam diri sendiri! - Berita Harian, 28 September 2010

Monday, September 20, 2010

Tiga raya gamit perantau Kelantan

ADA tiga raya menyebabkan ramai perantau Kelantan kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang, iaitu Aidilfitri, Aidiladha dan pilihan raya umum. Pada Aidilfitri 2009, hampir 200,000 anak Kelantan kembali ke Tanah Serendah Sekebun Bunga untuk bertemu dengan keluarga dan persekitaran Pantai Timur yang lebih nyaman menghadap Laut China Selatan.

Mereka sebahagian besarnya mencari rezeki di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Mereka tentunya pulang untuk mengimbau tanah Darulnaim yang kaya dengan keunikan seni, khazanah budaya dan tradisi pondok yang lama bertapak. Tentunya juga mereka dapat membandingkan kehidupan di perantauan dengan suasana yang masih tradisional di Kelantan.

Di sesetengah tempat di Kelantan, perayaan Aidiladha lebih meriah berbanding Aidilfitri. Selain majlis korban dan aqiqah, Aidiladha yang lebih dikenali Hari Raya Haji disambut dengan selawat dan salam di samping majlis kenduri yang meriah.

Di beberapa tempat pula, musim perayaan turut dihiasi majlis ceramah politik kerana dianggap detik terbaik untuk mengalukan perantau pada musim perayaan.

Bagi kebanyakan anak Kelantan yang terkenal dengan kemesraan di kalangan rakan senegeri, semangat kekitaan akan lebih menebal jika sama-sama dapat bertutur dan beramah mesra dengan loghat tersendiri.

Ada dongeng yang mendakwa semangat kekitaan menebal kerana penduduk Kelantan tidak mempunyai darah Indonesia seperti negeri lain di Malaysia. Hampir tidak ada keturunan Jawa, Bugis, Acheh, Minang dan Banjar yang menjadi darah daging di Kelantan.

Mereka banyak mempunyai darah campuran Siam, Pakistan, Kemboja dan Arab menyebabkan tingkah laku dan keperibadian sedikit berbeza dengan penduduk negeri lain. Sebanyak 95 peratus daripada 1,313,014 penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Justeru, tidak hairanlah segelintir penduduk Kelantan boleh mendakwa mereka lebih Melayu daripada penduduk negeri lain kerana kaum India dan Cina hanya lima peratus. Keadaan ini juga mendorong dua parti politik Melayu yang dominan - UMNO dan PAS - bersaing hebat sejak 1955 untuk merebut pengaruh dan menguasai massa. Berjaya mentadbir Kelantan dikaitkan sebagai kejayaan merebut hati pengundi Melayu.

PAS sudah menguasai Kelantan selama 20 tahun sejak 1990. Perkembangan mutakhir juga memihak kepada PAS. Cara hidup beberapa tokoh UMNO negeri masih menjadi bualan hangat kerana kehidupan yang berbeza dengan kebanyakan rakyat di Pantai Timur.

PAS pula dikaitkan dengan imej ulama walaupun tidak semesti ahli dan pemimpinnya alim serta menghayati cara hidup Islam. Imej ketayap, janggut dan jubah sering dijadikan model Islam walaupun takrif keimanan tiada kaitan dengan peribadi luaran seseorang.

Walaupun pimpinan PAS Kelantan kerap dihamburkan dengan pelbagai isu termasuk nepotisme dan korup, namun ia tidak pernah didakwa di mahkamah. Ada pihak yang berasakan isu politik Kelantan banyak digembur oleh media massa, sedangkan hakikat di Kota Bharu tidak ada pergolakan besar. Penduduk Kelantan juga pernah memilih PAS mentadbir Kelantan selama 18 tahun dan kecundang pada pilihan raya khas 1978, selepas MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) diisytiharkan pada 1977 ekoran rusuhan terhadap kumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda.

Kelantan yang mempunyai keluasan 14,922 kilometer persegi dianggap negeri termiskin di Semenanjung. Kadar kemiskinan kekal 20 peratus sejak lapan tahun lalu.

Pertumbuhan penduduk pula menurun 0.9 peratus iaitu amat kecil berbanding Selangor yang mencatat 6.1 peratus. Bagaimanapun imej agama meletakkan Negeri Serambi Makkah dipandang tinggi.

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820 oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908), Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.

Antara pondok yang mendapat sambutan `dan mempunyai murid yang ramai selepas 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada 1954, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban. Sekolah Pondok Terusan di Pasir Tumbuh Kota Bharu melahirkan Tok Guru Kenali -- ilmuwan Islam yang terkenal di dunia Melayu.

Tradisi pondok juga berjaya melahirkan kader PAS yang sehingga kini amat sukar dirempuh oleh jentera UMNO. Lokasi pondok yang bertebaran di Kelantan memudahkan gerakan massa mempengaruhi pemikiran rakyat. Justeru, tidak menghairankan apabila setiap kali menjelang pilihan raya umum, banyak bas disewa khas untuk membawa pulang perantau ke kampung halaman masing-masing. Mereka juga merayakan demokrasi di Kelantan walaupun mencari rezeki di tempat lain.

Tanpa sedar ada segelintir yang merasakan Kelantan tempat sesuai untuk mencari ketenangan dan membuat keputusan di peti undi, tetapi terus kekal mencari rezeki di tempat lain.

Mereka mungkin mewah di tempat lain, namun membuat keputusan pulang ke Kelantan menjelang Aidilfitri, Aidiladha dan Pilihan Raya Umum. Tentunya Kelantan mempunyai tarikan luar biasa yang menyebabkan loghat Kelantan semakin berleluasa di beberapa negeri lain. Kelantan juga akan terus kekal dengan opera politik yang kaya dengan drama dan intrignya. Tentunya Kelantan akan terus mencatat sejarah dengan keunikan siasah yang luar biasa! - Berita Harian, 21 September 2010