Pages

Saturday, January 31, 2015

Penyair dan seniman jalanan: Malangnya Malaysia kurang menghargai karya anda!

Kita semakin kehilangan suara penyair di khalayak ramai. Budaya kepenyairan semakin luntur berbanding era Asas 50 dan tradisi baca puisi yang dilakukan seniman terdahulu terutama Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Khalid Salleh, A Ghafar Ibrahim dan Pyanhabib. Walaupun ada acara bulanan anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA), tradisi kepenyairan seperti dilakukan oleh seniman terdahulu amat berbeza.

 Jika kota besar lain hampir di seluruh dunia disemarakkan dengan tradisi baca puisi jalanan, Malaysia terutama Kuala Lumpur semakin tenggelam dengan kesibukan dan kesesakan. Era baca puisi di Pasar Budaya sudah berlalu seperti juga kendurnya Kopratasa bersama Sani Sudin, Siso dan Usop. Tiada lagi kelibat  Pyanhabib, Khalid Salleh, Imuda, Ruslan Mamat, Kamarool Yusuf dan Ladin Nuawi membaca puisi di bawah tiang lampu.

Sutung Umar RS, Dinsman dan Jaafar HS tidak lagi aktif berpuisi. Tiada lagi Grup Teater Elit membaca puisi di hotel kerana masa tidak lagi memihak kepada penyair.  Nawawee Mohamad tidak lagi menggerakkan Perkumpulan Penyajak Mutakhir seperti dekad 1980-an yang menggerakkan pertemuan seni di laman Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa. Masa sudah mengalahkan kegiatan mereka. Usia menjadi alasan untuk tidak aktif lagi. Paling  fatal, kegiatan kesenian terutama acara baca puisi secara santai dianggap tidak perlu, tabu dan perlu disisihkan.

Penguasa terutama Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengehadkan majlis seni. Seniman jalanan perlu lesen untuk menjayakan majlis, sedangkan majlis kesenian bukan membabitkan kepentingan niaga, ekonomi dan politik. Seni tetap seni yang sepatutnya merakyat. Penguasa enggan menerima hakikat ini justeru acara baca puisi hanya di majlis rasmi yang tentunya juga bercorak kerasmian juga hasilnya. 

Pengalaman di kota besar lain amat kontras dengan apa yang berlaku di Malaysia. Jalan Braga di pusat kota Bandung, Indonesia sentiasa menjadi tumpuan seniman dan penyair. Laluan  yang  dihubungkan dengan Jalan Asia Afrika, yang menjadi lokasi Persidangan Negara Berkecuali (NAM) pada 1955 dipenuhi bangunan lama kesan penjajahan Belanda. Ada pusat beli-belah ternama, namun yang menarik adalah karya lukisan di kaki lima bangunan. Sepanjang 250 meter, lukisan disandarkan pada bangunan tinggalan kolonial untuk tatapan pelancong. Pelukis bebas menjaja hasil karya dan pelancong bebas menawarkan harga yang sepatutnya. Ada juga seniman jalanan menyelinap antara lampu isyarat dan simpang siur kehidupan. Nyanyian, petikan gitar dan tiupan harmonika menggambarkan suara dalaman insan seni yang bebas berinteraksi dengan alam dan pengunjung. Paling penting, puisi menggamit hati pelancong untuk menikmati budaya Sunda. Di Bali pula, alunan seruling dan gendang purba menghiasi sepanjang perjalanan ke Ubud dan Kitamani. Rentak Barong dan Kecak di Tanah Lot sering menggugah jiwa pengunjung. Gemersik biola di Pantai Kuta dan gemalai tarian Bali mengingatkan kita betapa mereka menghargai seniman tempatan.

Di Thailand pula, seniman jalanan bukan sekadar pemuzik dan pelukis, juga pertunjukan gajah dan sihir di pinggir kota Phuket dan Yala. Alunan gemalai Rambong sering mengingatkan kita kepada tradisi Negara Gajah Putih yang masih setia dengan karya rakyat. Puisi dan mantera mengalunkan zaman lampau yang semakin tertinggal di perjalanan.
Berbeza Malaysia, negara lain amat menghargai karya seni dan seniman jalanan mempunyai ruang untuk menyerlahkan bakat mereka. Malaysia mungkin mencapai taraf negara maju pada 2020, tetapi belum tentu kita mencapai kemajuan dari segi mengiktiraf hasil seni ke tahap global. Kita terlalu banyak bercakap soal transformasi ekonomi dan kemelut siasah. Tapi kita sering lupa untuk menyediakan ruang untuk seniman berkarya, berinteraksi dengan penikmat dan menjadikan hasil seni dan budaya sebagai khazanah negara.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak mencatat nama Malaysia dalam senarai negara yang menghargai karya seni. Berbanding jiran terdekat seperti Indonesia dan Thailand, kita terlalu mundur untuk menghargai seniman sebagai harta negara. Kita jangan bandingkan dengan Boston di Amerika Syarikat dan Copenghagen, Denmark yang membiarkan seniman bebas berkarya 24 jam di jalan utama. Kita masih kalah dengan apa yang ada di Filipina dan Vietnam yang membenarkan seniman jalanan berkarya secara santai. Kita mungkin berbangga dengan beberapa pelakon dan penyanyi yang bukan pun bertaraf Asia, tetapi kita sering meminggirkan pelukis, pemuzik tradisional, penggiat teater dan penyair jalanan.

Lebih malang, banyak seniman kita terpinggir daripada perangkaan proses pembangunan ekonomi kerana Malaysia lebih melihat kepada percaturan di bursa saham, projek pembangunan dan pelan transformasi yang tidak berkesudahan. Kita banyak bangunan pencakar langit tapi kita tidak mempunyai ruang untuk seniman kecil berkarya dan mempamer bakat mereka.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar pernah menjanjikan Dataran Merdeka sebagai ruang untuk seniman jalanan mempamerkan bakat. Namun selepas 25 tahun berlalu, Dataran Merdeka dan Kuala Lumpur kekal sebagai kota batu yang longlai jiwa penghuninya.
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pernah menegur birokrat yang ‘kurang visi, kurang rasa dan kurang reti’ namun siapakah yang bakal mendengar keluhan seniman kerana pembangunan negara banyak dikaitkan dengan tokoh korporat dan pelaksana siasah yang tentunya mempunyai pengaruh meluas dalam kalangan masyarakat. Pada dekad 60-an dan 70-an, seniman mempunyai Rumah Anak Alam yang menjadi medan untuk melahirkan karya dan berinteraksi. Rumah Anak Alam juga membentuk kesepakatan jiwa dalam kalangan seniman. Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Dr Siti Zainon Ismail, A Ghafar Ibrahim, Dr Ibrahim Ghafar, Khalid Salleh, Pyanhabib, Abdul Aziz HM dan Ladin Nuawi menempuh pengalaman kreatif di Rumah Anak Alam. Mior Hashim Manap dan Grup Teater Kreatif juga menjadikan bangunan lama di Jalan Merbok berhampiran Jalan Parlimen untuk latihan teater. Semuanya menjadi sejarah kerana Padang Merbok sudah terlalu sesak dengan pembangunan.  Namun apalah upaya seniman apabila mereka diusir dan disergah oleh penguat kuasa  kerana ‘menjejaskan kawasan tumpuan ramai’. Seniman terlalu kecil dan terpinggir di negara ini. Mereka tidak mempunyai upaya untuk melawan kerenah pentadbir yang menganggap kegiatan seni sebagai tidak bermanfaat. Ada kalangan sarjana yang menafsirkan Anak Alam sebagai gerakan terancang walaupun mereka mengakui  kebanyakan seniman di Malaysia hidup secara mandiri, berjuang tanpa sokongan yang secukupnya daripada birokrat seni atau badan korporat.  Kita masih ingat laman Padang Merbok di antara medan pertemuan penulis bakat baru  pada 1987 yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk formal yang dikenali Perhimpunan Penulis Muda Malaysia. Saya  turut terbabit dalam gerakan berkenaan yang akhirnya mendapat restu daripada Tan Sri Ismail Hussein sebagai Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA).  Dua Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Datuk Usman Awang serta  beberapa rakan di Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP)  terutama Datuk Johan Jaaffar yang   turut berada di belakang kami untuk  memeriahkan majlis di Padang Merbok.

 Tanpa sokongan rakan di Rumah Anak Alam ketika itu terutama Abdulaziz HM, Khalid, Marzuki dan Ladin Nuawi, mustahil Perhimpunan  Penulis Muda Malaysia tercapai dan mungkin 1987 tidak mencatat sejarah besar dalam konteks kesusasteraan di Malaysia.
 Hari ini Anak Alam sudah menjadi tinggalan sejarah. Sisa lampau  masih tersemat di pedalaman jiwa seniman Malaysia. Tokoh besar seperti  Usman, Siti Zainon, A Ghafar Ibrahim, Dr Ibrahim Ghafar, Khalid,  Abdulaziz HM dan  Pyanhabib sudah meninggalkan kesan yang luar biasa dalam pelbagai genre.  Johan, Dinsman, Sutung Umar RS dan  Ladin  juga turut dewasa bersama Anak Alam dan kini membawa haluan masing-masing.

 Apakah Malaysia  tiada  falsafah seni? Apakah kemajuan hanya meletakkan karya  sebagai hiburan dan menafikan fungsi  seni  sebagai pengucapan   dalam masyarakat? Kita hairan apabila seni lebih dilihat sebagai sorak-sorai,  sedangkan jati diri dan sistem nilai dikesampingkan untuk  ekonomi dan siasah.
Ada pihak yang  berbangga penyanyi K-Pop, Psy membuat persembahan di Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina, tapi bagaimana nasib seniman kita? Hari ini kerap kedengaran artis veteran terlantar perlukan bantuan. Seniman Agung, P Ramlee hanya gah berkarya tapi zuriat sendiri hidup menderita. Seniman jalanan pula tidak keruan mencari nasib di Kuala Lumpur. Mereka bergelumang  untuk hidup, mencari rezeki dan mengemis ihsan pihak berkuasa.  DBKL pula  mengenakan permit ke atas semua penghibur jalanan (buskers) dengan  alasan mengawal tingkah laku mereka.  Kuala Lumpur hari ini tidak sama 30 tahun lalu. Kota yang serba gah dan hebat memaksa seniman jalanan dituduh mengotorkan keindahan kota raya.  Dulu ramai yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota seni.  Pemuzik dan pelukis jalanan memeriahkan  Jalan Bukit Bintang dengan karya ‘segera’ yang jujur menceritakan gelora anak muda di negara sedang membangun. Hari ini aktiviti kesenian hampir dianggap tabu. Seniman jalanan  bukan saja dipaksa memiliki permit persembahan, bahkan dikenakan bayaran tinggi jika mahu ‘berniaga’ di Pasar Budaya.

Mungkin Kuala Lumpur tidak sama dengan Frankfurt, Bali dan Hawaii dari segi keseniannya. Tapi apa salah membenarkan anak muda berkarya, menghibur dan berceloteh bersama pelancong sebagai medan seni  interaktif. Karya   tradisional seperti dikir barat, makyung, bangsawan, kuda kepang, bagih, main puteri, tari inai, ghazal, dondang sayang, boria dan selampit semakin jauh daripada kita. Anak-anak hampir tidak mengenali lagi rentak tukang karut dan sang juara, apatah lagi mantera tok dalang yang melagakan patung Rama dan Sita di pinggir sawah.    
Kita semakin maju dan mengikut propaganda siasah,  bakal setaraf  Korea Selatan dan Jepun pada 2020. Tapi kedua-dua negara menjadikan seni sebagai asas untuk kemajuan. Tradisi berbudaya dan menghargai bahasa ibunda amat tinggi di Seoul dan Tokyo. Mereka tidak pernah menilai  hanya  bahasa Inggeris sebagai pengucapan utama subjek Sains dan Matematik. Pelajar mereka diajar mengenali kesenian tradisi sebagai asas menjadi manusia kelas pertama.
Malangnya kita mengenali Psy kerana rentak lagu yang pantas  dan terkinja-kinja  tanpa memahami budaya anutannya. seperti juga kita meminati  judo dan  ninja kerana filem, bukan semangat dan falsafah kehidupan di negara matahari terbit itu.
Penggerak pembangunan perlu sedar kemajuan tanpa budaya hanya melahirkan insan tanpa jiwa. Kita tidak mahu menjadi Singapura yang maju pelabuhan dan sektor perkhidmatan, tapi tiada akar umbi. Kita juga tidak mahu menjadi Taiwan yang terasing di tengah lautan tanpa mempedulikan budaya Tiongkok yang  agung sebelum 1400.

Masanya sudah tiba untuk kita memiliki sebuah kampung seni di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Di situlah nanti kalangan seniman berkarya dengan santai dan bebas memenuhi pasaran mereka secara terbuka. Bukan semua pelancong datang untuk mendongak melihat puncak KLCC apatah lagi  ke Langkawi hanya sekadar melihat ombak dan pasir pantai. Mereka mahu menilai dan menikmati akar umbi kita yang dikatakan santun, penyayang dan berbudi bahasa. Selama ini mereka keliru kerana gagal mengenali kita dengan jelas. Kita pula gagal memberi penjelasan mengenai sejarah Melayu. Kerajaan wajar menyediakan kampung seni yang bakal menyerlahkan jati diri Malaysia dan akar umbi   sejak berzaman. Kampung seni bakal menjadi wahana menilai kewujudan kerajaan Melayu di Asia Tenggara dan kesannya terhadap peradaban, budaya, kesenian dan siasah rantau ini.     

 Banyak juga acara sastera secara formal anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan DBKL juga tidak ada lagi. Pengucapan Puisi Kuala Lumpur yang mengundang penyair ternama dunia sudah dua dekad berlalu. Ia mampu bertahan beberapa tahun dan kini hanya menjadi sisa kenangan. Begitu juga Baca Puisi DBKL yang dianjurkan di Jalan Raja Laut hanya bertahan seketika. Majlis yang digerakkan oleh penyair Abdulaziz HM kini hampir dilupakan masyarakat kota raya.
  DBP juga yang suatu ketika memperkenalkan penataran sastera  bertujuan pendedahan sasterawan muda ke Indonesia hanya berjalan beberapa tahun. Program berkenaan berjaya memberi pendedahan kepada beberapa penulis muda berkenalan dengan tokoh kesenian di Jakarta tapi malangnya berakhir tanpa tindakan susulan.

  Ketika  Usman Awang menjawat Penasihat Sastera Maybank (1991-2001), beliau menggerakkan program baca puisi bulanan dengan mengundang ramai penyair terkenal tempatan dan luar negara termasuk WS Rendra. Program berkenaan mendapat sambutan ramai kerana pembabitan badan korporat dalam bidang kesenian  dianggap sesuatu yang mustahil di negara ini. Majlis ini juga berlalu tanpa upaya meneruskan aktiviti seni.  Persoalan yang timbul ialah apakah acara seni memerlukan pembabitan tokoh politik sebagai penggerak? Dewan Sastera Januari 2015