PERLUKAH sembah derhaka semata-mata kerana hasrat peribadi tercabar? Perlukah Melayu mempertikaikan dasar yang bertujuan menjaga dan memelihara kedudukan ekonomi Bumiputera di buminya sendiri? Perlukah pihak lain mempertikaikan institusi beraja, kedaulatan undang-undang dan kontrak sosial yang dipersetujui menjelang 1957?
Hari ini, selepas 53 tahun merdeka, apakah Melayu boleh berbangga dengan pencapaian ekonomi mereka? Tidakkah mereka gusar menatap statistik pemilikan ekuiti mengikut kaum ketika ini, Melayu adalah paling rendah. Mereka juga kecundang di Pulau Pinang walaupun kerajaan bertukar tangan dan jawatan Ketua Menteri silih berganti yang membabitkan pimpinan kaum lain.
Melayu terus terpinggir di Pulau Mutiara. Pembinaan bangunan komersial mahupun kediaman, bukan jangkauan Melayu memilikinya. Harganya terlalu tinggi, dan dasar kerajaan negeri sejak 1957 sentiasa tidak memihak kepada Melayu. Akhirnya mereka terpinggir atau tercampak ke Tanah Besar. Kawasan pembangunan pesat di Pulau Mutiara bukan milik mereka lagi. Perkembangan terkini mendorong beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengadakan pertemuan baru-baru ini semata-mata membincangkan nasib bangsa. Mereka bersuara dan mendebatkan beberapa isu kerana merasakan Umno dan Pas masih terlalu ideal untuk berpolitik, bukannya mempertahankan hak sepatutnya. Terlalu banyak lompang yang perlu diperjuangkan untuk kepentingan bangsa. Keadaan ini juga mendorong berlangsungnya majlis Wacana 153 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 15 Mac 2010 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena). Mereka bersuara mengenai wujudnya golongan Melayu yang sanggup menentang undang-undang termasuk Perkara 153 iaitu hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Ketua II Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata mereka adalah golongan Melayu yang lupa daratan, mudah terpengaruh dengan idealisme Barat yang tidak realistik dan mempunyai kepentingan politik sempit.
“Walaupun sebahagian besar mereka menikmati hasil dan kebaikan daripada kewujudan Perkara 153 ini, tetapi apabila berjaya, mereka jadi ‘kacang lupakan kulit’. Mereka lupa tanggungjawab mempertahankan warisan itu kepada generasi akan datang,” katanya dalam kertas kerja: Sejarah dan Cabaran Terhadap Perkara 153.
Katanya, pemikiran dan gagasan pemimpin Melayu sama ada dalam parti politik, NGO dan perkhidmatan awam yang tidak bersatu juga menyukarkan usaha memelihara Perkara 153. Lebih malang, ada yang sanggup menggunakan Perkara 153 bagi mewujudkan propaganda yang tidak perlu dan mereka harus menghentikan perkara yang boleh menghancurkan hak bangsa sendiri.
“Lahirnya pelbagai media alternatif yang memberi kebebasan tanpa sempadan kepada sesiapa juga bersuara termasuk isu sensitif berkenaan keistimewaan Melayu tanpa memikirkan implikasinya juga menyukarkan usaha melindungi Perkara 153,” katanya.
Hari ini ledakan teknologi maklumat sudah menjadi tradisi baru yang amat menggerunkan. Pelbagai isu dipaparkan menerusi pelbagai medium dalam internet. Pelbagai berita, pendedahan, maklumat dan sebaran am terdedah hanya melalui paparan skrin komputer riba. Bagi mereka yang mahu merayakan kebebasan media kerana kononnya akhbar dan majalah tempatan terkongkong, inilah masanya untuk berpesta untuk kebebasan maklumat. Keadaan ini mendorong penyebaran dakyah yang mempertikaikan institusi beraja, merendahkan martabat mufti dan menafikan hak Melayu di tanahnya sendiri.
“Sepatutnya ruang media ini dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dalam mendidik generasi muda berfikir secara matang dan rasional. Semua pihak terbabit perlu bertanggungjawab dalam mengawal diri sendiri dan melengkapkan akal dengan ilmu dan fakta secukupnya sebelum melontar atau menulis pendapat di ruang siber,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gapena, Prof Tan Sri Dr Ismail Hussein menyelar mereka yang mempertikaikan peruntukan Perlembagaan terutama membabitkan hak istimewa Melayu, institusi Raja, agama Islam serta bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan golongan itu tidak layak menggelarkan diri mereka sebagai warga negara.
Katanya, semua perkara itu termaktub dalam asas Perlembagaan yang tidak sewajarnya dipersoalkan. Sebagai warga negara yang baik, sepatutnya mereka menghormati setiap perkara yang menjadi asas pembentukan negara dan keharmonian kaum di negara ini.
“Perlembagaan berada pada kedudukan tertinggi negara ini dan tindakan mempersoalkan apa yang termaktub tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang warga negara,” katanya.
Ahli sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, mengingatkan generasi muda membuang perasaan malu untuk mengakui serta mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia diwujudkan berasaskan fakta serta sejarah penubuhan negara sejak zaman kesultanan Melayu sehingga pembentukan Malaysia yang mengiktiraf Melayu sebagai penduduk asal di negara ini selain mewujudkan keharmonian kaum lain. - Berita Harian, 19 Mac 2010
No comments:
Post a Comment