Pages

Saturday, May 01, 2010

Isu moral, agama boleh jejaskan kuasa politik

MORAL, agama dan kehidupan sering menjadi tumpuan. Ada masanya isu moral dan agama sukar dibezakan tetapi menjadi bahan menarik yang mampu melariskan media. Ia juga boleh menjadi 'dosa besar' jika yang terbabit adalah orang politik atau personaliti ternama.
Ketika perang dingin memuncak pada dekad 1970-an, dunia bukan saja tergamam melihat pertarungan antara blok Nato (Pakatan Atlantik Utara) dengan blok Warsaw (Sekutu komunis pro-Soviet Union di Eropah Timur), malah juga kecekapan dan pendedahan wartawan terhadap skandal politik membabitkan Rumah Putih. Watergate adalah skandal politik paling terkenal dalam sejarah Amerika Syarikat dan Deep Throat adalah sumber misteri paling popular dalam sejarah kewartawanan. Pada awalnya hanya membabitkan kes yang dianggap kecil; mencuri maklumat strategi politik pihak lawan pada Jun 1972, tetapi berakhir dengan tumbangnya Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon.

Skandal itu juga mengungkapkan pelbagai kegiatan pengintipan, sabotaj, salah guna kuasa dan rasuah. Nixon menganggap segala yang berlaku hanya isu moral dan tidak membabitkan agama kerana penipuan, rasuah dan sabotaj adalah sebahagian daripada ciri keperluan berpolitik zaman moden.
Bagaimanapun, bagi sebahagian besar rakyat Amerika Syarikat, isu pengintipan politik pihak lawan bukan saja jenayah moral, bahkan ‘berdosa’ kerana Tuhan tidak menghalalkan tindakan bertentangan prinsip amalan demokrasi.
Dua wartawan akhbar Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein memainkan peranan penting dalam memusatkan perhatian kepada skandal itu, dibantu maklumat penting daripada sumber misteri. Lima lelaki ditahan pada 17 Jun 1972 ketika sedang memasang alat pengintipan di pejabat Demokrat. Mereka mengaku melakukan tindakan hasil arahan Nixon yang berusaha memenangi semula kerusi presiden.
Hasil siasatan turut mengaitkan bekas ketua hakim negara, John Mitchell serta penasihat Rumah Putih, John Ehrlichman dan HR Haldeman. Skandal Watergate banyak memberi pengalaman kepada sejarah kehidupan moden. Woodward dan Bernstein menulis pelbagai berita eksklusif ketika skandal itu semakin berkembang. Buku mereka menjadi inti filem All The President’s Men yang dibintangi Dustin Hoffman dan Robert Redford.

Lebih 30 tahun selepas skandal Watergate terungkap, bekas Naib Ketua Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Mark Felt akhirnya mengakui dia adalah Deep Throat. Hari ini isu moral dan kehidupan terus berlegar. Ia bukan saja membabitkan personaliti dunia seperti Tiger Woods, John Terry dan Britney Spears, bahkan dikaitkan juga dengan sesiapa saja.
Dunia akan sentiasa memerhatikan kesudahan hubungan antara Tiger Woods dan isterinya selepas skandal seks dengan puluhan wanita terdedah. Dunia juga tetap menunggu ledakan gol John Terry ketika Bola Sepak Piala Dunia berlangsung Jun ini selepas imejnya tercemar angkara cinta wanita murahan.
Terry disingkir daripada jawatan kapten pasukan England gara-gara salah laku seksnya. Apakah Britney Spears terus unggul di carta nyanyian dunia ekoran pelbagai skandal seks, dadah dan kehidupan yang liar? Kehidupan adalah drama dan seloka yang tersendiri. Masa lalu seseorang juga menjadi isu besar walaupun ada yang terpaksa mengaku pernah minum arak dan bertaubat sambil mengharapkan orang lain menghormati keinsafannya.
Kesalahan masa lalu apatah lagi membabitkan moral dan agama sering sukar dimaafkan. Jika Woods terpaksa menangis sambil berlutut di depan isterinya, apatah lagi ahli politik yang bukan saja perlu bersih, malah mesti kelihatan bersih. Apa yang berlaku dalam beberapa isu politik tempatan amat mencabar kesetiaan massa.
Jika di pentas ceramah boleh menyebut soal prinsip, keadilan dan kemanusiaan, rakyat akan menilai kualiti yang ada pada diri penceramah atau wadah siasah yang diwakilinya. Ledakan teknologi maklumat semakin memihak kepada massa dan mereka boleh menentukan hala tuju sokongan pada masa akan datang.
Ahli politik yang masih tidur dengan kejayaan masa silam bakal ketinggalan kerana kehidupan berjalan terus, seiring perkembangan zaman yang kian mencabar. Sesiapa saja tentunya tidak akan selamat daripada perhatian massa. Tentunya isu moral, agama dan kehidupan menjadi sebahagian daripada keperluan rukun politik zaman moden yang tidak boleh dipencilkan. - Berita Harian, 1 Mei 2010

No comments: