DUNIA sentiasa setia dengan orang muda. Hanya orang muda yang kuat mendesak, kreatif dan kaya fantasi. Bob Geldof berjaya menggerakkan mata dunia mengenai isu kelaparan dan penindasan global ketika usia 20-an. Dia berjaya menghimpunkan bintang rock, pop dan blues seluruh dunia untuk menganjurkan konsert membantu penghuni Afrika yang mati kelaparan pada 13 Julai 1985.
Ketika usaha murninya mendapat sokongan personaliti ternama dunia termasuk lagenda tinju, Muhammad Ali, ada kalangan politik yang mempertikaikan. Bekas Presiden Amerika Syarikat, George Bush mempertikaikan konsert amal sebagai publisiti murahan.
Secara sinis Geldof menempelak tokoh politik sebagai tidak memahami hasrat generasi muda. It's really very simple. When people are hungry they die. So spare me your politics and tell me what you need and how you're going to get it to these people.
Ungkapan itu sering menjadi inspirasi generasi muda terutama peminat rock yang mendominasi pentas seni dunia pada dekad 80-an. Ketika penulis di England pada 1984 dan bergabung dengan anak seni jalanan di sekitar kota London, suara anak muda yang menentang ‘pemikiran lama’ begitu berleluasa walaupun perang dingin antara blok komunis dan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sudah reda bertelingkah.
Ketika itu muncul isu percanggahan hasrat antara pimpinan politik dengan orang muda. Generasi muda yang dikenali sebagai golongan ‘x’ dan ‘y’ dikatakan cepat memberontak, kaya cita-cita tetapi teguh perjuangan. Sementara yang tua pula dianggap pengekor masa, selesa dengan suasana yang ada serta tidak membantah sistem merugikan.
Polemik antara dua generasi sudah menjadi jurang yang menakjubkan. Ketika era perang dingin yang membabitkan ribuan tentera Amerika Syarikat tersungkur di bumi Vietnam, John Lenon dan Bob Dylan turun ke jalan raya dan membantah secara terbuka.
Pengikut mereka juga memenuhi pekarangan jalan sepanjang Rumah Putih sambil menjerit “Peace Not War!” Budaya hippie bermula di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara lain termasuk di Pulau Pinang pada 1969. Mereka merayakan Pesta Woodstock sebagai sumber protes terhadap peraturan yang ada.
Perkataan ‘hippie’ berasal daripada ‘hip’ atau ‘hipster’. Budaya ini diperjuangkan oleh kebanyakan remaja Barat sebagai citra pemberontakan politik, sosial dan spiritual yang melanda. Mereka tidak percaya kepada orang politik kerana menggunakan kuasa untuk
kepentingan peribadi. Bagi mereka, bumi Vietnam adalah lubuk penguasaan untuk kepentingan politik Amerika Syarikat, walaupun puluhan ribu rakyatnya menjadi korban di Indochina.
Kebanyakan generasi muda yang terikut dengan budaya ini menentang pemikiran konservatif ibu bapa mereka, dengan melakukan hubungan seks bebas, mengambil dadah (terutama ganja dan halu sinogen LSD atau acid) dengan alasan ia mengembangkan pemikiran spiritual, menyimpan rambut panjang, berpakaian aneh, hidup secara nomad dan berkumpul dengan ‘hippie’ lain dalam pesta menentang budaya dan pemikiran masyarakat umum. Mereka melaungkan ‘be-in’ atau ‘love-in’, sambil mendengar irama rock and roll dan hisap ganja.
Generasi muda sentiasa mengejutkan pemikiran umum. Mereka bukan sekadar bersuara, menyanyi dan melaungkan puisi protes di jalanan, bahkan bertindak menerusi peti undi.
Di negara kita pula, suara generasi muda agak radikal pada dekad 70-an. Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali dan Hishamudin Rais lahir ketika era gerakan pelajar pada 1974. Suara mereka nyaring hingga kini walaupun bukan orang muda lagi.
Pada Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008, suara anak muda bertebaran di blog dan pelbagai media baru, tetapi sering tercicir daripada pandangan penguasa. Suara dan jerit mereka yang terabai akhirnya diterjemahkan menerusi peti undi.
Keadaan sama juga berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 16 Mei lalu apabila pengundi muda dan Cina memihak kepada calon pembangkang.
Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, berpendapat keajaiban yang berlaku di Sibu lebih banyak dipengaruhi kebangkitan pengundi muda yang bersikap liberal.
Katanya, walaupun jumlah mereka turun mengundi amat rendah, sudah mampu mengubah keputusan. Calon DAP, Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Robert Lau Hui Yew (18,447) dan calon Bebas, Narawi Haron (232).
Beliau membayangkan pilihan raya Kecil Hulu Selangor pada 25 April lalu bakal mencatat keputusan lain andainya peratusan pengundi muda meningkat. Dr Abu Hassan yakin pengundi muda berusia antara 21 hingga 40 tahun memang diyakini mampu dan boleh mengubah sesuatu keputusan. - Berita Harian, 20 Mei 2010
No comments:
Post a Comment