SEORANG penulis di sebuah negara mengeluh: “Aku sukar menjenguk dunia kerana jaringan internet disekat.”
Dia sudah lima kali mendaftar internet, termasuk menggunakan nama sendiri, ibu, mentua dan rakan, namun akhirnya disekat kerana dikaitkan dengan penentangan terhadap pemerintah.
Pada awalnya, jaringan internet berjalan lancar. Apabila beberapa tulisannya dianggap terlalu nyaring, kelancaran internet tersekat-sekat dan akhirnya tidak aktif.
Latar belakang keluarganya amat drastik. Orang tuanya pernah dianggap sebagai penentang terhadap kerajaan dan dikaitkan dengan rusuhan rakyat 50 tahun lampau. Ada beberapa ahli keluarganya sehingga kini berada di luar negara kerana dikaitkan sebagai komunis.
Ketika era Perang Dingin yang membabitkan persaingan antara blok Pakatan Atlantik Utara (NATO) dan Pakatan Warsaw (blok komunis Eropah Timur pimpinan Soviet Union), banyak negara di Asia Tenggara menggunakan isu komunis untuk menakutkan rakyat sendiri.
Ada juga pemimpin politik yang sedang berkuasa menggunakan isu komunis untuk menyerang lawan siasahnya atau komunisme dijadikan bahan kempen bagi menarik sokongan massa. Mereka juga menahan saingan politik tanpa sebarang perbicaraan kerana alasan menjadi ejen komunis.
Isu komunis juga menyebabkan keluarga penulis itu disisih daripada arus perdana politik di negaranya. Bagi mereka yang tidak pernah mentelaah Das Kapital karya Karl Marx, sistem komunis amat menggerunkan, walaupun disedari sistem kapitalis dan demokrasi tidak sunyi daripada penyelewengan dan kemungkaran. Sistem ekonomi dan siasah ciptaan manusia tidak sunyi daripada kelemahan.
Penulis itu berasa ‘aman’ apabila berada di Malaysia kerana dapat melayari internet secara bebas dan mengemaskini blognya yang sering tergendala di negara sendiri.
Dia memuji Malaysia yang bebas dan aman untuk merayakan kebebasan media walaupun istilah kebebasan itu sendiri sering dipertikaikan. Dia meletakkan Malaysia antara negara terbaik di dunia kerana membenarkan internet berkembang tanpa sekatan.
Sehingga kini dua juta blogger menghiasi media baru di Malaysia. Angka itu bertambah pesat dengan kemudahan jalur lebar yang membolehkan seseorang blogger mengemaskini blog pada pelbagai tempat dan masa. Kemudahan jalur lebar juga menjadi perayaan sejagat yang membolehkan maklumat diakses hanya menerusi hujung jari.
Pelbagai bahan dipaparkan di media baru – dari hal peribadi sehinggalah isu politik yang ada kalanya memeningkan kepala. Jika media cetak yang permit penerbitan dikuasai Kementerian Dalam Negeri dikatakan tidak bebas, media baru dianggap bebas kerana bersuara tanpa batasan.
Justeru, tidak menghairankan apabila ada blogger yang boleh mengaitkan seseorang sebagai pembunuh dan angkuh mencatat: ‘Kita kirimkan pembunuh ke neraka!’
Kebebasan begini tentunya menjejaskan keperibadian orang lain. Apakah tindakan di luar kewarasan ini dianggap sebagai hak asasi untuk bersuara dan menuduh pihak lain.
Sejak isu penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 2 September 1998, isu kebebasan sudah menjadi polemik yang luar biasa. Media baru rakus menggantikan surat layang dengan ‘pendedahan’ luar biasa. Kebenaran dan ketepatan fakta semakin diketepikan. Laungan suara sudah menjadi mantera ajaib untuk menghalalkan cara.
Bagaimanapun, isu maklumat dan kebebasan tidak pernah sunyi diperkatakan. Malaysia, seperti juga China, Myanmar, Iran dan Pakistan, sering dipertikaikan takrif kebebasan bersuara dan menyalurkan maklumat.
Ada negara mengharamkan Facebook dan Google kerana dikatakan bertentangan dengan aspirasi nasional. Berbeza dengan Malaysia yang mempunyai tujuh juta pengguna Facebook yang bebas bersuara sepanjang masa dan di mana saja.
Bagi sesetengah pihak, negara ini tidak mesra media dan kebebasan bersuara sering tersekat. Kata mereka, isu politik dalaman sering menjadikan isu kebebasan sebagai tabu untuk diperkatakan. Kajian Freedom House yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengaitkan Kuala Lumpur sebagai antara negara kurang menyenangi kebebasan media.
Bagaimanapun, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim memberitahu sidang Parlimen minggu lalu, kerajaan tidak pernah menghalang kebebasan bersuara dan angka dua juta blogger membuktikan Malaysia tersenarai antara negara yang aktif meraikan kebebasan berpendapat.
Malaysia juga mempunyai 76 akhbar termasuk milik pembangkang, 151 saluran televisyen satelit, sembilan saluran televisyen tidak berbayar (milik kerajaan dan swasta) dan 53 saluran radio.
“Ini tidak termasuk IPTV (Internet Protocol Television) yang sedikit masa lagi akan menjadi lumrah dalam kalangan rakyat dengan adanya perkhidmatan jalur lebar,” katanya.
Ketika kerajaan bertegas isu kebebasan media, kalangan hak asasi manusia pula semakin nyaring bersuara kerana kebebasan sering menjadi polemik yang lunak diperkatakan. Di tengah mereka, suara teman yang semakin kerap ke Malaysia semakin nyaring. “Tidak mungkin aku boleh bebas bersuara seperti di Malaysia, berseminar, membentang kertas kerja dan bebas bersuara tanpa sekatan internet!” Berita Harian, 22 Jun 2010
No comments:
Post a Comment