Pages

Thursday, July 14, 2011

Mana pilihan raya bebas?

DEMOKRASI bukan sekadar pilihan raya. Demokrasi membabitkan proses pemilihan yang adil dan bebas. Rakyat dibenarkan menerusi saluran undang-undang untuk membuang undi secara adil dan bebas. Proses pilihan raya pula dikendalikan oleh badan bebas yang menghormati hak rakyat. Pengendali pilihan raya yang memihak boleh mencemarkan proses demokrasi itu sendiri.

Penulis pernah melihat sendiri bagaimana proses pilihan raya dilakukan bekas diktator Iraq, Saddam Hussein  untuk mengaburi mata rakyat.  Ketika itu Iraq  berperang dengan Iran kerana  masalah sempadan dan isu  Syiah.

Semata-mata kerana mahukan senjata dari Amerika Syarikat, Britain dan NATO (Pakatan Atlantik Utara) bagi memerangi  Iran yang ditadbir Ayatollah Khomeini, Saddam terpaksa berlakon sebagai jaguh demokrasi di rantau Arab. Wartawan Malaysia termasuk dua wakil rakyat turut dijemput melihat proses pilihan raya yang dikatakan adil dan bebas itu.

Bagaimanapun pengalaman melihat proses pengundian di Baghdad, Basra hingga ke  daerah pinggir Shatt al-Arab amat mengejutkan; Pengundi berbaris mendaftar dan mendapatkan kertas undi, tentera yang dilengkapi senjata M16 memungut  kertas  undi dan membuang undi di bilik kecil dan memasukkannya ke peti besi!

Pengundi hanya sekadar mendaftarkan nama   pada buku catatan kehadiran dan proses pengundian dilakukan oleh tentera Saddam sendiri.

Keputusannya mudah dijangka. Parti Baath pimpinan Saddam menang lebih 95 peratus dan menerusi media keesokan harinya, beliau mengucapkan syabas kepada rakyat kerana menyokong pimpinan yang sedang berdepan serangan dari Iran.

Saddam yang suatu ketika disebut jaguh demokrasi di Asia Barat terkenal sebagai  pemimpin sosialis yang mentadbir menerusi kekuatan senjata dan salah guna perundangan. Dia sewenang-wenangnya menyerang Kuwait dengan  alasan tidak demokratik, semata-mata untuk mengawal telaga minyak terbesar di Asia Barat.
Demokrasi diperalatkan untuk menguasai kepentingan siasah dan ekonomi.
Negara Barat yang sering melaungkan jaguh demokrasi dan pilihan  raya bebas juga tidak terkecuali terpalit dengan ‘dosa’ penipuan menjelang pilihan raya.

Skandal yang menumbangkan Presiden  Richard M Nixon  turut menggugat status Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa demokrasi dunia. Watergate adalah skandal politik yang paling terkenal dalam sejarah AS  dan Deep Throat adalah  sumber misteri  paling terkenal dalam sejarah kewartawanan.
Peristiwa  Jun 1972 akhirnya  memaksa  Nixon  keluar dari Rumah Putih dan menghadapi pendakwaan salah guna proses demokrasi.  Dia yang awalnya dianggap tokoh popular dan jujur akhirnya terbukti menyalahgunakan proses demokrasi. Sejarah menghukumnya kerana dosa politik mengintip  perbualan pihak lawan menjelang pilihan raya.

Rakyat AS  wajar berterima kasih kepada media massa  kerana mendedah  salah guna  kuasa seorang presiden dan mencampakkannya  ke dalam senarai tokoh yang tidak demokratik.
Dua wartawan   Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein memainkan peranan penting dalam memusatkan perhatian kepada skandal itu, dibantu  informasi penting daripada sumber rahsia  yang disebut Deep Throat.

Woodward dan Bernstein menulis pelbagai berita eksklusif ketika skandal itu semakin berkembang. Buku   All The President's Men difilemkan  yang dijayakan  Dustin Hoffman dan Robert Redford.
Lebih 30 tahun selepas  skandal Watergate terungkap,   bekas Ketua Biro Siasatan Persekutuan ( FBI), Mark Felt akhirnya mengakui dia adalah Deep Throat  yang mendedahkan  peranan pemimpin AS yang merosakkan proses demokrasi itu sendiri.

Di Mesir pula,   demokrasi  sering menjadi alat untuk membohongi rakyat. Hosni Mubarak yang kononnya mendapat undian besar daripada rakyat, akhirnya disingkir   oleh rakyat sendiri.  Selepas Tunisia, Mesir mencatat sejarah kebangkitan rakyat.

Hari ini  isu demokrasi terlalu lunak diperkatakan.  Apakah demokrasi menghalalkan sentimen dan kemarahan massa? Demokrasikah sesebuah negara jika rakyat masih mempunyai minda dunia ketiga?   Apakah demokrasi sekadar mainan segelintir ahli politik untuk mencapai hajat dan tujuan?

Persoalan yang semakin sukar dijawab apabila kita melihat masalah siasah kerana jumlah kerusi, isu kaum dan sentimen peribadi. Kita belum bebas menilai demokrasi dengan akal yang jernih! - Berita Harian, 14 Julai 2011

No comments: