Pages

Tuesday, April 24, 2012

Mampukah BN rampas Kelantan?

PAS   mentadbir Kelantan selama 22 tahun sejak 1990. Bukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berusaha menawan semula Negeri Cik Siti Kembang, namun pelbagai usaha dilakukan sebelum ini gagal.
BN sebelum ini gagal menawan minda rakyat Kelantan walaupun pelbagai projek pembangunan dilakukan untuk memajukan negeri yang lebih 90 peratus penduduk berbangsa Melayu dan Islam.

Kelebihan PAS pula adalah menggunakan unsur psikologi, tradisi Islam dan sistem pondok  yang  bertebaran sejak abad 19.

UMNO Kelantan pula tidak ketandusan pemimpin berwibawa. Sejak era Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail, UMNO dan BN menampilkan Tan Sri Hussein Ahmad, Tan Sri Mohammad Yakub,  Tan Sri Annuar Musa  dan terkini Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun kegagalan memahami minda dan kehendak rakyat menyebabkan PAS  kekal bertapak.
Sebagai sebuah negeri yang berada di Pantai Timur dan jauh dari kepulauan Indonesia, Kelantan boleh dianggap negeri yang kurang asimilasi keindonesiaan berbanding negeri lain. Tidak banyak keturunan Jawa, Bugis, Aceh, Minangkabau, Banjar dan Rawa. Jika ada pun sekadar membabitkan penghijrahan kecil sejak dekad 60-an yang gagal mengubah suai corak pemikiran dan budaya tempatan.

Keunikan ini memberi kelainan kepada penduduk Kelantan. Kelainan ini juga menyebabkan ramai yang kurang memahami pemikiran mereka, menyebabkan sukarnya BN pusat memahami  apa yang diingini oleh pengundi Kelantan itu sendiri.

Dalam beberapa siri pilihan raya umum dan kecil sebelum ini, isu pembangunan dipergunakan secara meluas seolah-olah hanya BN yang memperjuangkan nasib rakyat.
Lebih parah apabila Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang ke Kota Bharu menjelang Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, menaikkan sepanduk ‘18 tahun padan doh!’ yang seolah-olah memperlekehkan undi rakyat Kelantan selama ini.

Tindakan keterlaluan itu menyebabkan pengundi atas pagar menyuarakan bantahan menerusi peti undi yang mengekalkan kerajaan PAS sehingga kini.

Bagi  politikus yang cerdas, pemikiran dan naluri pengundi perlu diambil kira. Penduduk Kelantan tidak mengamalkan sikap kenegerian. Mereka boleh bersatu menerima  sesuatu isu yang dianggap rasional dan menolak pendapat lain yang dirasakan tidak wajar. Dalam konteks politik, sebahagian mereka bukan ahli UMNO kekal, tidak juga cekal bersama PAS. Mereka boleh menyokong PAS dalam sesuatu pilihan raya dan mengundi UMNO pada tempoh yang lain.

Mereka lebih memihak kepada logik semasa ketika proses pembuangan undi. Mereka tidak terikat kepada dogma dan ideologi semata-mata tetapi lebih kepada kehendak semasa.

Hakikat ini boleh dilihat punca PAS berkuasa sejak 1990 kerana tidak banyak pemimpin UMNO yang berusaha menawan hati rakyat. Ada juga tokoh yang hidup mewah menyebabkan penyokong berpaling tadah.

Kekurangan lampau disedari pucuk pimpinan BN Kelantan sekarang  untuk mendekati rakyat pelbagai peringkat. Gelombang Merah diadakan di beberapa jajahan yang membabitkan ribuan rakyat. Kempen penerangan juga diadakan bagi membantu BN berkuasa semula.  Timbalan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yakin gerakan kempen penerangan dapat membantu memberi penjelasan kepada rakyat  mengenai pelbagai isu berbangkit.

"Kita akan bergerak sebagai satu keluarga besar seperti  diputuskan pada mesyuarat BN Kelantan yang dipengerusikan   Mustapa,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan peti undi Melawi, Bachok, baru-baru ini.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata antara isu yang akan diberi tumpuan termasuk kegagalan kerajaan Kelantan pimpinan PAS membekalkan air bersih kepada rakyat, ketidakadilan projek Ladang Rakyat dan penggadaian tanah rizab Melayu.

Ramai pemerhati melihat perkembangan di Kelantan  sekarang adalah seimbang. UMNO dan PAS mendapat tempat di hati rakyat. Pihak yang dapat memanfaatkan peluang bakal meraih kejayaan.
Dari segi sejarah, rakyat Kelantan pernah memberi peluang  kepada UMNO dan PAS menerajui kerajaan negeri. Mereka mentadbir untuk beberapa penggal sebelum dihukum oleh pengundi sendiri.  

Dalam pilihan raya  27 Julai 1955,   Perikatan (Gabungan UMNO, MCA dan MIC)  diberi mandat penuh, tetapi dalam pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959, PAS pula diberi mandat  menerajui kerajaan  apabila menang besar dengan memperoleh 28  daripada 30 kerusi  dipertandingkan.
  Pada pilihan raya 1978 pula BN berjaya mendapat mandat kali kedua menerajui kerajaan negeri dengan PAS hanya mampu bertahan di  Sering dan Manek Urai.

 Isu rasuah dan balak membabitkan individu PAS tertentu menyebabkan BN menguasai Kelantan.
 Bagaimanapun, pada pilihan raya 21 Oktober 1990, sekali lagi pengundi  mengambil sikap mengubah kepemimpinan kerajaan negeri daripada BN kepada Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang terdiri daripada PAS dan Semangat 46.

Kini kedua-dua pihak menumpukan fokus untuk menerajui Kelantan. Tentunya   yang menang adalah proses demokrasi itu sendiri kerana rakyat Kelantan bukan pengundi  fanatik. Mereka pilih parti yang terbaik, bukan sekadar propaganda murahan! - Berita Harian,  24 April 2012

No comments: