Pages

Tuesday, October 29, 2013

Selamat tinggal Lloyd's List

USIA media terancam dengan kehadiran digital.
Jeff Jarvis  dalam  buku  What Would Google Do? menyatakan:  ‘Model akhbar yang lama sudah mati.  Tapi  berita tidak mati’.

Ia  menjadi cabaran media masa kini sama ada  akhbar,   televisyen mahupun laman web  kerana berita tidak mati. Yang mati hanya hayat sesebuah media itu sendiri apabila tidak lagi mendapat sokongan pembaca atau penonton.

Tamadun dunia menjadikan media sebagai aset penting dalam kehidupan. Peranan media dalam bentuk akhbar semakin dicabar oleh laman sosial dan portal berita yang dianggap lebih mesra pengguna.

Persaingan agensi penyiaran menjadikan pengguna lebih bijak memilih, sama ada media rasmi yang dianggap propembangunan atau warta sampingan yang menyediakan laporan alternatif.

Organisasi media sering dikaitkan dengan kuasa dan bagaimana kekuasaan digunakan bagi mempengaruhi massa. Peranan ini berkekalan kerana pengaruh media dianggap boleh menjatuh atau menaikkan seseorang atau kelompok tertentu.

 Bill Kovach dan Tom Rosenstiel menerusi  The Elements of Journalism: What Newspeople Should Know and The Public Should Expect menghujahkan perkara yang sama.  Manusia menyampaikan berita dan cerita sejak zaman batu, caranya mungkin berbeza tetapi asasnya sama — mengenai  pentingnya mempertahankan kredibiliti dan perlunya sesuatu berita disahkan,  menegakkan kebenaran dan antara yang paling penting, kesetiaan media adalah kepada rakyat.

Kehadiran media baru lebih memberi pilihan kepada pembaca.    Apple  memperkenalkan iPad pada April 2010 membolehkan maklumat mudah diakes di mana-mana saja.  Pasaran akhbar mula goncang. Bagi sesetengah orang, membaca berita di iPad terasa lebih mengghairahkan berbanding menyelak   halaman demi halaman akhbar. Internet terus jadi sumber utama penyaluran berita.

  Kesannya, operasi syarikat akhbar terpaksa dikaji, unit baru khusus untuk mempersembahkan berita dalam format multimedia dibentuk dan kelompok baru wartawan serta pengarang diambil bekerja.
 Itulah yang berlaku di New York Times pada 2008 yang memperkenalkan Page One -- media digital dan sekali gus menjadi ikutan syarikat akhbar lain di seluruh dunia.

 Akhbar tertua dunia, Lloyd's List yang diterbitkan sejak 279 tahun lalu sebagai catatan pemberitahuan yang ditampal  di dinding sebuah kafe di London, kini jadi tinggalan sejarah. Akhbar berkenaan  boleh dibaca menerusi dalam talian (online) mulai akhir tahun ini.  Kajian  mendapati hanya 25 orang  membaca naskhah bercetak akhbar itu.

 “Ini hanya sebahagian daripada perkembangan dan evolusi akhbar ini,” kata pengarang kanan  Llyod’s List, Richard Meade yang dipetik Perbadanan Penyiaran Britain.

Beliau berkata perkembangan terbaru ini hanya memberi sedikit perubahan sejak akhbar itu diterbitkan pada 1734, dalam bentuk notis yang ditampal di dinding kedai bagi memberi maklumat keluar masuk kapal di pelabuhan kepada pedagang.

“Kami tidak banyak berubah, tetapi sekarang pelanggan boleh mengakses akhbar ini dari mana-mana kedai kopi di seluruh dunia.

 Meade berkata, walaupun syarikatnya masih mempunyai nostalgia terhadap akhbar bercetak, pelanggan kini hanya perlu membayar sedikit wang untuk mengakses Llyod’s List  dan tidak perlu menunggu kiriman melalui pos.

Di negara kita pula ada media yang dulunya jadi tumpuan pelabur tapi diedarkan secara percuma kepada orang ramai. Akhbar berkenaan hidup kerana iklan, bukan  edarannya.

Moral cerita yang boleh garapkan di sini adalah berita tidak mati. Yang terjejas adalah pasaran dalam bentuk konvensional. Era digital menjadikan seseorang pelanggan memadai melayari internet yang lebih mempunyai pilihan.

Pembaca tiada masa lagi untuk membuka helaian akhbar kerana keterbatasan ruang dan waktu.
Laman sembang dan khidmat pesanan ringkas (SMS) hampir menjadi media walaupun tidak lengkap sepenuhnya.

Apa yang lebih menarik generasi Starbucks lebih meyakini media baru yang dianggap cepat dan bermaklumat. Tanggapan ini tentunya cabaran kepada media tradisional   yang sebelum ini dianggap wadah arus perdana. - Berita Harian, 29 Oktober 2013

Monday, October 28, 2013

Penduduk rayu bersihkan Kota Bharu

Seorang penduduk yang tinggal berdekatan Sekolah Kebangsaan Islah, Kota Bharu, mengadu mengenai tahap kebersihan yang mendukacitakan di kawasan itu.

  Penduduk yang mengirimkan e-mel ke ruangan Forum BH,  berkata kawasan kejiranan Kampung Paya Bemban kotor  kerana  Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan masalah pemungutan sampah.

  “Dulu ada tong sampah besar diletakkan di sebelah Sekolah  Kebangsaan Islah, tetapi kini tiada lagi. Penduduk terpaksa membuang sampah di tepi jalan, menyebabkan kawasan persekitaran kotor dan berbau busuk. Walaupun ada papan tanda yang melarang pembuangan sampah, penduduk tiada pilihan,” kata penduduk yang menamakan diri sebagai Husaini Paya Bemban.

  Pengirim berkenaan mengakhiri e-mel dengan ayat “Berubahlah Demi Islam”  - ungkapan sinis kepada kerajaan Kelantan yang kononnya melaksanakan sistem pentadbiran Islam, tapi masih gagal menunaikan janji yang ditabur sejak 23 tahun lalu.

  Kebersihan, kejujuran dan amanah sebahagian daripada prinsip Islam yang dipraktikkan sejak era Rasulullah SAW. Islam mengutamakan suasana bersih. Malangnya pentadbiran PAS tidak banyak mengutamakan kebersihan di Kelantan. Pelancong ke Kota Bharu sering mengeluh kerana keadaan yang kotor, masjid berbau, Pasar  Siti Khadijah tidak terurus  dan papan tanda sudah lusuh serta perlu diganti.

  Dalam konteks semasa, kekotoran di Kelantan tidak banyak beza dengan negeri lain. Menjadi kelaziman bagi sesetengah  penduduk bersikap pengotor walaupun ada yang mengutamakan kebersihan. Yang menjadi isu sekarang ialah PAS yang mendakwa Islamik sepatutnya menjadi model kepada kebersihan. Kelantan yang ditadbir lebih dua dekad sepatutnya menjadi contoh kepada negeri lain yang kononnya diperintah golongan sekular.

  PAS Kelantan wajar melancarkan kempen kesedaran menjaga kebersihan agar selaras dengan amalan Islam. Kebetulan pula tarikh 22 Oktober lalu genap 23 tahun pentadbiran PAS di negeri berkenaan.

  Kita akui kota Rom tidak terbina dalam masa sehari, apatah lagi  Kelantan yang berkeluasan 14,922 kilometer persegi sentiasa menjadi medan penting perjuangan politik Melayu, bukan saja di Pantai Timur, bahkan Malaysia. Minda penduduk perlu diperkasakan, pemimpin pula perlu fokus untuk  menerima idea pembaharuan selaras dengan situasi semasa.

  Dengan penduduk berjumlah  1,313,014 orang  dan 95 peratusnya berbangsa Melayu, tentunya Kelantan menjadi tumpuan, khususnya dalam konteks survival  Islam.

  Sejak beberapa tahun lalu gimik politik mengenai Lebuh Raya Rakyat yang kononnya boleh dibina dengan kos hanya RM14 juta menjadi perhatian ramai. Mustahil lebuh raya sejauh 70 kilometer boleh dibina dengan harga yang murah  kerana membabitkan kawasan yang luas dan penempatan penduduk. Bayangkan jumlah pampasan pengambilan tanah penduduk yang terpaksa dibayar.
Tentunya kos RM14 juta tidak logik, mungkin RM14 billion atau lebih.

  Bagaimanapun dalam konteks politik, isu yang tidak logik boleh diwaraskan kerana kepentingan utama bagi penggerak siasah adalah mendapat sokongan dan bukannya menyuarakan kebenaran.

  Sehingga kini pembinaan stadium yang kononnya boleh menempatkan masjid yang boleh menampung ribuan jemaah  di Bukit Merbau, masih lagi menjadi persoalan umum. Bagi penduduk Kelantan, lebih baik menonton perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV yang sudah uzur berbanding kompleks sukan yang belum tentu wujud.

  Sebagai negeri yang  menghadap Laut China Selatan, Kelantan mempunyai pakej pelancongan yang lengkap jika prasarana diutamakan. Pantai Seri Tujuh di Tumpat, Pantai Irama dan Pantai Tok Bali mempunyai pasir yang putih dan landai sesuai untuk acara kekeluargaan. Pembinaan pusat peranginan yang dilengkapi kemudahan aktiviti pantai perlu disegerakan jika kerajaan negeri berhasrat membangunkan sektor pelancongan.

  Tanah Tinggi Lojing yang sebelum ini sekadar dikenali kerana isu pembalakan haram boleh dimajukan sebagai pusat pelancongan pergunungan. Jika Pahang berbangga dengan Cameron Highlands, Genting Highlands dan Bukit  Fraser, kawasan pergunungan di selatan Kelantan boleh dimajukan bagi meningkatkan ekonomi,  sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

  Dalam hal ini Kelantan perlu bantuan kerajaan Pusat bagi mempromosi negeri berkenaan ke peringkat dunia. Pelaburan asing dan pengusaha pelancongan perlu diundang untuk menilai dan mengkaji keperluan membangunkan Kelantan ke tahap yang lebih baik.

  Tidak salah untuk seketika meredakan kepentingan politik demi pembangunan Negeri Cik Siti Wan Kembang agar setaraf negeri lain. Paling penting rungutan penduduk mengenai kekotoran  perlu diutamakan.  PAS sepatutnya mengerti mesej yang disampaikan oleh penduduknya sendiri.

Wednesday, October 23, 2013

Maklumat peribadi lepasan sekolah terdedah

Jangan terperanjat jika tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada  orang yang tidak dikenali.
“Kami dari unit pengambilan pelajar. Anak encik mendapat tawaran belajar di xxx!” atau ada yang bertanya: “Anak encik  belajar di mana sekarang?”

Pertanyaan dan sapaan daripada individu yang kononnya mewakili institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bukan isu baru. Ramai ibu bapa yang anak mereka lepasan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerap menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali. Matlamatnya hanya satu, untuk menawarkan pengajian di sesebuah IPTS yang kononnya menjalankan kerjasama dengan beberapa universiti awam tempatan dan luar negara.

Ramai juga yang mempersoalkan mengenai maklumat peribadi mereka yang bocor. Pemanggil telefon boleh mengenal nama ayah dan ibu bekas pelajar SPM dan STPM. Posmen pula bagai rutin harian, membawa surat tawaran menghadiri temu duga di sesebuah IPTS yang kononnya relevan dengan keperluan semasa.

Ada ketika seseorang lepasan sekolah menerima tidak kurang lima surat tawaran belajar di IPTS setiap hari walaupun mereka tidak pernah membuat sebarang permohonan sebelum ini.
Persoalannya, di manakah mereka mendapat maklumat peribadi lepasan sekolah? Dari mana mereka ketahui alamat penuh, nombor MyKad dan nombor telefon kediaman seseorang pelajar serta mengetahui nama ayah dan ibu seseorang?

Kita hairan bagaimana maklumat peribadi seseorang boleh terdedah kepada pihak yang tidak dikenali.

Apakah ada sindiket menjual maklumat kepada pihak berkepentingan sebagai sumber pendapatan sampingan  mereka?

Gejala kacau ganggu lepasan SPM dan STPM sudah lama berlaku. Ramai yang mengeluh kerana bimbang maklumat peribadi seseorang boleh diperoleh pihak lain tanpa izin mereka.

Bayangkan jika maklumat peribadi  disalah gunakan untuk kegiatan lain termasuk membuat pinjaman peribadi daripada  institusi kewangan yang akhirnya memerangkap  dengan bebanan hutang.
Isu ini perlu ditangani segera kerana boleh membawa kesan buruk kepada lepasan sekolah yang mula mengenal kehidupan. Mereka wajar diberi pilihan untuk melanjutkan pengajian tanpa dipujuk rayu mana-mana pihak.

Setiap tahun hampir 80,000 memohon melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Sama ada IPTA atau IPTS, bakal pelajar wajar membuat pilihan sesuai dengan kelulusan dan kemahiran yang mahu diceburi.

Malangnya tindakan pendedahan maklumat peribadi seseorang boleh mempengaruhi seseorang remaja membuat keputusan melanjutkan pengajian mereka.

Ada juga IPTS yang membuat tawaran pengajian yang tidak munasabah dan tidak setimpal dengan kemampuan pusat pengajian berkenaan.

Ada pelajar yang kononnya menerima tawaran belajar sains angkasa lepas, tapi apabila meninjau premis pengajian yang diedarkan ke alamat kediaman, ia hanya sebuah rumah kedai dua tingkat dan mempunyai beberapa pintu saja. Mampukah IPTS berkenaan menyediakan bidang pengajian yang memerlukan kepakaran dan kemudahan asas luar biasa?

Penipuan berkenaan boleh menjejaskan harapan dan keyakinan masyarakat kepada IPTS tempatan walaupun kononnya mereka menjalin kerjasama dengan universiti terkemuka dunia.

Kita juga hairan bagaimana dewan tertentu di sesebuah universiti tempatan dibenarkan untuk menjalankan temu duga kemasukan IPTS. Apakah ada individu yang berkepentingan memainkan peranan bagi meraih keuntungan jangka pendek?

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu menyiasat punca pendedahan maklumat peribadi seseorang pelajar. Mungkinkah ada  guru di sesebuah sekolah berperanan mendedahkan maklumat pelajar mereka kepada pihak luar?

Kejadian ini perlu disiasat kerana mustahil alamat, nombor telefon dan MyKad pelajar terdedah kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Kementerian Pendidikan juga wajar memantau aktiviti IPTS kerana bukan semuanya mengikut landasan yang betul. Kita masih ingat kes penjualan ijazah di sebuah pusat pengajian swasta tahun lalu hingga mencabar maruah sektor pendidikan di negara ini.

Kita bimbang aktiviti tidak berlandaskan kepentingan akademik berlanjutan sehingga menjejaskan imej IPTS keseluruhan. - Berita Harian, 22 Oktober 2013 

Monday, October 21, 2013

UMNO masih berwajah lama

Gabungan tokoh berpengalaman, wanita  dan muka baru sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO menjadi cabaran untuk memperkuatkan jentera parti bagi menghadapi situasi  politik untuk tempoh 2013 hingga 2016.

  Paling ketara jawatan pada peringkat Pusat, negeri dan agensi kerajaan  memberi kelebihan kepada seseorang tokoh  untuk  mengungguli  pemilihan Majlis Tertinggi.

 Pemilihan Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan  undi terbanyak memang diduga kerana beliau sudah membuktikan kemampuannya dalam Kabinet dan parti. Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sudah menunjukkan kewibawaan untuk merampas semula negeri berkenaan yang ditadbir PAS sejak 1990. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Barisan Nasional (BN) berjaya menambah enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tentunya berkait rapat dengan kewibawaan beliau mendampingi rakyat Kelantan.

  Begitu juga dengan pemilihan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai Ahli Majlis Tertinggi. Perwakilan melihat perlunya ada tokoh agama dalam parti bagi memastikan UMNO kekal relevan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu di luar bandar.

  Tokoh lain yang terpilih termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Idris Haron, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kerana latar belakang mereka yang disenangi perwakilan. 

  Pemilihan Datuk Abdul Rahman Dahlan,  Datuk Hasan Malek,  Datuk Seri Shahidan Kassim,  Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Jamaludin Mohd Jarjis,  Datuk Razali Ibrahim,  Datuk Seri Mahdzir Khalid,  Tan Sri Annuar Musa,  Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin,  Dr Mohd Puad Zarkashi,  Datuk Tajuddin Abdul Rahman,  Datuk Seri Azalina Othman Said,  Datuk Abd Latiff Ahmad  dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah,  membuktikan UMNO memerlukan individu yang boleh bekerja dalam satu pasukan.

  Paling penting mereka boleh berperanan membantu Presiden dan Timbalan Presiden untuk menjayakan program transformasi, sekali gus membantu  UMNO mendepani cabaran menjelang 2020.

  Selain itu, kehadiran  Datuk Ab Aziz Kaprawi,  Datuk Bung Moktar Radin,  Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Sohaimi Shahadan menunjukkan keragaman dalam UMNO. Parti memerlukan gabungan insan yang matang, vokal dan boleh bekerja keras bagi menjayakan aspirasi rakyat.

Paling penting cabaran yang bakal dihadapi UMNO tidak mudah ketika prestasi BN dalam dua pilihan raya lalu tidak memberangsangkan.

  Sokongan daripada 191 bahagian di seluruh negara bukan bermakna rakyat yang bukan menjadi ahli parti menyokong mereka. Di sinilah letaknya cabaran sebenar untuk Ahli Majlis Tertinggi membuktikan bahawa mereka menjadi harapan rakyat pelbagai kaum yang masih mengharapkan pembelaan UMNO.

  Keadaan ini membuktikan akar umbi UMNO mementingkan tokoh yang boleh bekerjasama dengan pucuk pimpinan parti dan kerajaan bagi menentukan hala tuju negara pada masa akan datang.

  Kehadiran semula Annuar dalam Majlis Tertinggi membuktikan ahli mahukan tokoh veteran yang lantang  berganding dengan muka baru.  Begitu juga kemasukan tokoh muda seperti Reezal Merican menggambarkan proses peralihan berjalan lancar.

  Kehadiran tokoh wanita seperti Azalina dan  Rosnah  membuktikan UMNO sentiasa mengutamakan perjuangan kewanitaan ke peringkat nasional. Gabungan dua  serangkai dijangka menyuarakan hasrat wanita yang masih memerlukan pembelaan pada peringkat parti dan kerajaan.

  Kepelbagaian pengalaman  yang dimiliki Ahli Majlis Tertinggi  membuktikan UMNO kekal relevan dalam memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama. Paling penting pengalaman  mereka boleh digunakan untuk mendekati rakyat, terutama penduduk luar bandar yang masih memerlukan tumpuan pembangunan.

  Bagaimanapun, tersingkirnya penyandang  Datuk Saifuddin Abdullah tidak memeranjatkan. Perkembangan yang berlaku pada  peringkat bahagian dan tidak memegang jawatan penting dalam kerajaan menyukarkan beliau  mendapat perhatian perwakilan. Apa pun  barisan Majlis Tertinggi yang dipilih diharap  mampu menggerakkan jentera BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

  Pemilihan kali ini  memberi peluang kepada ahli   membuat keputusan  berikutan pindaan perlembagaan parti pada 2009 ke arah menjadikan UMNO  lebih telus, demokratik dan membasmi gejala politik wang.  Sejak ditubuhkan 11 Mei 1946, UMNO membuktikan pertubuhan berkenaan sebagai pejuang demokrasi tulen. Amalan mengutamakan kepentingan akar umbi menjadikan parti berkenaan lebih unik dan mantap.

   Kira-kira 146,000  ahli akar umbi diberi hak menentukan pimpinan peringkat bahagian dan saf tertinggi kepemimpinan parti itu berbanding sebelum ini yang hanya 2,500 perwakilan menentukan nasib pemimpin Majlis Tertinggi ketika  perhimpunan agung parti di ibu negara.

 Di sinilah letaknya keunikan dan kelebihan UMNO yang sentiasa mendahului kepentingan ahli kerana membenarkan mereka membuat keputusan menentukan pucuk pimpinan.

  Kita yakin cara pemilihan ahli Majlis Tertinggi dan Naib Presiden  yang dijalankan serentak di seluruh negara kelmarin  mencapai sasaran untuk mendahului suara rakyat mengikut prinsip demokrasi. 

  Walaupun sistem pemilihan tidak mencapai kesempurnaan seratus peratus, namun UMNO sudah membuktikan parti berkenaan bersedia berubah bagi memastikan ia kekal relevan dengan situasi semasa.

  Ahli sudah memilih tokoh terbaik untuk memimpin UMNO, kini terpulang kepada mereka menentukan hala tuju perjuangan. Kemenangan jawatan dalam parti bukan menggambarkan kekuatan di peti undi pada PRU-14. Inilah cabaran sebenar yang perlu diperhatikan sekarang. - Berita Harian, 2013

Sunday, October 13, 2013

Selamat bertugas Mas Ermieyati Samsudin

Pemilihan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Puteri UMNO  bagi penggal 2013 hingga 2016 tepat pada waktunya ketika sayap berkenaan memerlukan pimpinan dinamik bagi menguatkan jentera parti.


Mas Ermieyati yang juga  Ahli Parlimen Masjid Tanah,  Ketua Puteri Melaka serta Pengarah Jawatankuasa Unit Khas Pilihan Raya Puteri mendapat sokongan besar menewaskan  Jamilah Hanim Othman.

Keputusan yang dibuat oleh 191 bahagian  di seluruh negara semalam membuktikan proses peremajaan dalam Puteri UMNO berjalan lancar dan mereka memilih individu terbaik bagi membantu menjayakan transformasi politik dalam parti.

Mas Ermieyati yang berpengalaman dalam bidang perundangan dan pentadbiran  mampu mengisi kekosongan  ditinggalkan  Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang terpaksa    melepaskan jawatan  atas faktor melepasi had umur.

Beliau aktif menggunakan media baru untuk menyalurkan kegiatan politiknya, sekali gus dilihat oleh generasi muda sebagai rakan sosial yang berwibawa.

  Zahida Zarik Khan  terpilih menjawat naib ketua selepas menewaskan dua pesaingnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datin  Norsabrina Mohd Noor dan Ketua Puteri Tawau,  Nazliah Ali.

Zahida yang juga  Ketua Puteri Pandan dan Pengerusi Biro Kesihatan Puteri menjadi gandingan kepada Mas Ermieyati bagi memacu kecemerlangan Puteri UMNO khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mereka terkenal dengan kegiatan kemasyarakatan serta turun padang bagi mendekati akar umbi parti.  Gabungan kedua-dua tokoh muda berkenaan dianggap pasangan mantap yang  mampu membawa perubahan dalam Puteri UMNO yang sebelum ini pernah didakwa sebagai  penyeri dalam parti semata-mata.

Mereka terkenal vokal dalam isu nasional terutama membabitkan kepentingan wanita. Ramai pemerhati meyakini suara Puteri UMNO akan lebih kedengaran selepas ini bagi membantu kekuatan bangsa dan agama dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Kepemimpinan Mas Ermieyati  juga boleh menjadi penggerak kepada 20 Exco yang terpilih dengan  pelbagai latar belakang kerjaya.

Ramai yang meyakini mereka bakal menjadi  penggerak wanita muda untuk mengembalikan semula kecemerlangan UMNO bagi menghadapi cabaran menjelang 2020.

Pemilihan mereka membuktikan sayap UMNO semakin mantap apabila tokoh muda berpendidikan dan berpengalaman dalam pelbagai sektor dipilih menggerakkan Puteri UMNO bagi tempoh tiga tahun.  

Sejak  ditubuhkan  pada 3 Ogos 2001 ketika era kepemimpinan Tun  Dr Mahathir Mohamad, Puteri UMNO dianggap sayap khas untuk generasi muda wanita yang berperanan mendapat sokongan pengundi baru.

 Dalam beberapa pilihan raya umum dan kecil, Puteri UMNO bukan sekadar dianggap penyeri aktiviti politik, malah berperanan meraih undi di kawasan penempatan Melayu.
 Ketua Puteri UMNO yang pertama ialah Datuk Seri Azali  na Othman Said, diikuti  Datuk Noraini Ahmad (2004).

Kita yakin  barisan kepemimpinan baru Puteri dianggap gabungan mantap untuk menguatkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mereka juga sudah membuktikan sudah bersedia mengisi kepemimpinan Wanita suatu hari nanti sesuai dengan proses peralihan kuasa mengikut prinsip  demokrasi yang menjadi amalan UMNO sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Peralihan kuasa yang berjalan lancar dalam Puteri UMNO membuktikan parti berkenaan tidak pupus dengan kepemimpinan baru. Walaupun penyandang ketua dan naib ketua sebelum ini terpaksa melepaskan jawatan kerana faktor usia, kehadiran muka baru menjawat jawatan penting itu membuktikan UMNO sentiasa bersedia menyediakan tokoh masa depan, terutama dalam kalangan wanita.

Jika pembangkang selama ini mendabik dada kerana mempunyai tokoh wanita yang dikenali ramai, Puteri UMNO membuktikan mereka juga masih mampu berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa depan.

Hanya masa dan keadaan yang akan menentukan masa depan Puteri UMNO sebagai sayap penting
parti selepas Wanita dan Pemuda.

Kita yakin Mas Ermieyati sedang memikirkan langkah terbaik kerana politik tidak pernah statik dan Puteri UMNO memerlukan proses penambahbaikan untuk kekal relevan. - Berita Harian, 14 Oktober 2013 

Tuesday, October 01, 2013

Chin Peng sekadar tinggalan sejarah keganasan

CHIN PENG ...komunis yang mati tanpa negara.
Berakhirnya Perang Dingin menjelang 1990 menjadi penamat kegiatan komunis di seluruh dunia. Soviet Union berpecah kepada beberapa negara kecil yang sehingga kini mengalami pelbagai masalah ekonomi dan sosial. Kecuali Russia yang masih dianggap kuasa besar kerana menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, negara lain hanya sekadar kesan sejarah era Perang Dingin.

  Banyak parti komunis berkubur dan komunisme bukan lagi menjadi penghalang kepada kegiatan ekonomi bebas dan sistem demokrasi berparlimen.

  Parti Komunis Malaya (PKM) hanya catatan sejarah yang semakin dilupakan kecuali disebut semula berikutan kematian Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua  pada  16 September lalu di Bangkok.

  Sejak beberapa tahun lalu, isu kesihatan Chin Peng kerap disiarkan media baru dan kematian pada Hari Malaysia dianggap oleh sesetengah pihak sebagai detik bersejarah untuk rakyat.

  Tanggapan demikian kurang tepat kerana sejarah kekejaman lelaki berusia 90 tahun itu terlalu banyak. Dosanya tidak mungkin diampun walaupun filem The New Village mempunyai kecenderungan mengangkat darjat wira era Darurat di Malaysia.

 Tidak timbul di mana dan ke mana mahu dibawa abu mayat orang yang pernah memberikan catatan berdarah dalam sejarah Malaysia. Chin Peng bukan rakyat Malaysia, tidak pernah memohon kerakyatan dan tidak meminta maaf berikutan keganasan PKM sejak dekad 1940-an.

  Walaupun kemerdekaan negara dicapai pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, PKM masih enggan meletakkan senjata dan terus membunuh, mencederakan dan mencacatkan ribuan rakyat  dan anggota keselamatan walaupun penjajah British sudah lama meninggalkan negara kita.

  Fakta sejarah ini perlu dikaji ketika ada pihak yang meminta tindakan berlembut terhadap seseorang yang sudah meninggal dunia. Mustahil rakyat   boleh mengampunkan tindakan ganas PKM diketuai Chin Peng yang berjuang semata-mata untuk menubuhkan kerajaan komunis di Malaysia. Rakyat arif dia menolak demokrasi dan anti-Islam.

  Lebih menghairankan ada media baru yang mula mempelopori gerakan mengiktiraf Chin Peng sebagai wira negara. Ada yang mencadangkan diberikan gelaran ‘Tun’ kononnya menghargai jasa pejuang kemerdekaan.

  PKM hanya bersetuju menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989 dengan kerajaan Malaysia selepas menyedari kekuatannya semakin lemah dan ideologi komunisme merosot. Dunia ketika itu melihat komunis semakin lebur apabila banyak negara di Eropah Timur berlaku pemberontakan dan pertukaran rejim.

  Sistem komunis dan sosialis mula dipersoalkan. Yugoslavia berpecah kepada beberapa negara. Albania, Jerman Timur dan  Poland mula menerima sistem ekonomi bebas.

  Di Asia pula, pengaruh komunis di Vietnam, Kemboja dan Laos merosot. Walaupun sosialis kekal berkuasa, mereka menerima sistem pasaran bebas untuk menyesuaikan diri dengan suasana perdagangan dunia. Korea Utara dan China yang sehingga kini masih ditadbir komunis tapi mula mengamalkan ekonomi terbuka. Hanya dari segi ideologi yang memaksa dua negara berkenaan bertegas bagi memastikan perimbangan ketenteraan di Semenanjung Korea dan isu kewujudan dua China berikutan kehadiran Taiwan sebagai kuasa ekonomi Asia Timur.

  Perkembangan ini menjadikan PKM tidak lagi relevan untuk terus mengangkat senjata. Mereka menandatangani perjanjian damai kerana tidak lagi mampu berjuang. Rakyat sedar kelemahan sistem komunis dan slogan yang kononnya berjuang membela golongan tertindas sekadar ungkapan kosong. PKM ditolak oleh rakyat Malaysia dan hanya golongan tua berjuang di hutan.

  Kesedaran Islam yang memuncak pada dekad 1970-an memberi kesan terhadap gerakan komunis. Penubuhan Angkatan Belia Islam (ABIM) dan gerakan siswa Islam di pusat pengajian tinggi berjaya menjadikan komunisme tidak relevan lagi.

  Perubahan politik di Iran apabila Mohammad Reza Shah Pahlavi (1919-80) ditumbangkan oleh gerakan rakyat menjadikan PKM tidak disebut lagi. Imej Ayatollah Khomeini yang dikaitkan sebagai Islamik menjadi ikon,  menghakis pengaruh komunis di beberapa negara.

  Dekad 1980-an dan 1990-an memberi kesan terhadap perimbangan kuasa dunia. Runtuhnya Tembok Berlin bermakna komunisme di penghujung jalan. Golongan yang masih bermimpi mengenai Chin Peng harus terima hakikat komunisme hanya tinggalan sejarah. Rakyat Malaysia melihat masa depan lebih gemilang, bukan bernostalgia kepada perjuangan yang tersasar. - Berita Harian, 1 Oktober 2013