Pages

Tuesday, October 01, 2013

Chin Peng sekadar tinggalan sejarah keganasan

CHIN PENG ...komunis yang mati tanpa negara.
Berakhirnya Perang Dingin menjelang 1990 menjadi penamat kegiatan komunis di seluruh dunia. Soviet Union berpecah kepada beberapa negara kecil yang sehingga kini mengalami pelbagai masalah ekonomi dan sosial. Kecuali Russia yang masih dianggap kuasa besar kerana menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, negara lain hanya sekadar kesan sejarah era Perang Dingin.

  Banyak parti komunis berkubur dan komunisme bukan lagi menjadi penghalang kepada kegiatan ekonomi bebas dan sistem demokrasi berparlimen.

  Parti Komunis Malaya (PKM) hanya catatan sejarah yang semakin dilupakan kecuali disebut semula berikutan kematian Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua  pada  16 September lalu di Bangkok.

  Sejak beberapa tahun lalu, isu kesihatan Chin Peng kerap disiarkan media baru dan kematian pada Hari Malaysia dianggap oleh sesetengah pihak sebagai detik bersejarah untuk rakyat.

  Tanggapan demikian kurang tepat kerana sejarah kekejaman lelaki berusia 90 tahun itu terlalu banyak. Dosanya tidak mungkin diampun walaupun filem The New Village mempunyai kecenderungan mengangkat darjat wira era Darurat di Malaysia.

 Tidak timbul di mana dan ke mana mahu dibawa abu mayat orang yang pernah memberikan catatan berdarah dalam sejarah Malaysia. Chin Peng bukan rakyat Malaysia, tidak pernah memohon kerakyatan dan tidak meminta maaf berikutan keganasan PKM sejak dekad 1940-an.

  Walaupun kemerdekaan negara dicapai pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, PKM masih enggan meletakkan senjata dan terus membunuh, mencederakan dan mencacatkan ribuan rakyat  dan anggota keselamatan walaupun penjajah British sudah lama meninggalkan negara kita.

  Fakta sejarah ini perlu dikaji ketika ada pihak yang meminta tindakan berlembut terhadap seseorang yang sudah meninggal dunia. Mustahil rakyat   boleh mengampunkan tindakan ganas PKM diketuai Chin Peng yang berjuang semata-mata untuk menubuhkan kerajaan komunis di Malaysia. Rakyat arif dia menolak demokrasi dan anti-Islam.

  Lebih menghairankan ada media baru yang mula mempelopori gerakan mengiktiraf Chin Peng sebagai wira negara. Ada yang mencadangkan diberikan gelaran ‘Tun’ kononnya menghargai jasa pejuang kemerdekaan.

  PKM hanya bersetuju menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989 dengan kerajaan Malaysia selepas menyedari kekuatannya semakin lemah dan ideologi komunisme merosot. Dunia ketika itu melihat komunis semakin lebur apabila banyak negara di Eropah Timur berlaku pemberontakan dan pertukaran rejim.

  Sistem komunis dan sosialis mula dipersoalkan. Yugoslavia berpecah kepada beberapa negara. Albania, Jerman Timur dan  Poland mula menerima sistem ekonomi bebas.

  Di Asia pula, pengaruh komunis di Vietnam, Kemboja dan Laos merosot. Walaupun sosialis kekal berkuasa, mereka menerima sistem pasaran bebas untuk menyesuaikan diri dengan suasana perdagangan dunia. Korea Utara dan China yang sehingga kini masih ditadbir komunis tapi mula mengamalkan ekonomi terbuka. Hanya dari segi ideologi yang memaksa dua negara berkenaan bertegas bagi memastikan perimbangan ketenteraan di Semenanjung Korea dan isu kewujudan dua China berikutan kehadiran Taiwan sebagai kuasa ekonomi Asia Timur.

  Perkembangan ini menjadikan PKM tidak lagi relevan untuk terus mengangkat senjata. Mereka menandatangani perjanjian damai kerana tidak lagi mampu berjuang. Rakyat sedar kelemahan sistem komunis dan slogan yang kononnya berjuang membela golongan tertindas sekadar ungkapan kosong. PKM ditolak oleh rakyat Malaysia dan hanya golongan tua berjuang di hutan.

  Kesedaran Islam yang memuncak pada dekad 1970-an memberi kesan terhadap gerakan komunis. Penubuhan Angkatan Belia Islam (ABIM) dan gerakan siswa Islam di pusat pengajian tinggi berjaya menjadikan komunisme tidak relevan lagi.

  Perubahan politik di Iran apabila Mohammad Reza Shah Pahlavi (1919-80) ditumbangkan oleh gerakan rakyat menjadikan PKM tidak disebut lagi. Imej Ayatollah Khomeini yang dikaitkan sebagai Islamik menjadi ikon,  menghakis pengaruh komunis di beberapa negara.

  Dekad 1980-an dan 1990-an memberi kesan terhadap perimbangan kuasa dunia. Runtuhnya Tembok Berlin bermakna komunisme di penghujung jalan. Golongan yang masih bermimpi mengenai Chin Peng harus terima hakikat komunisme hanya tinggalan sejarah. Rakyat Malaysia melihat masa depan lebih gemilang, bukan bernostalgia kepada perjuangan yang tersasar. - Berita Harian, 1 Oktober 2013    

No comments: