Pages

Tuesday, November 26, 2013

Apabila tidak berkarya lagi

Penulis silih berganti kerana karya sastera tidak pernah mati. Yang mati adalah semangat untuk terus menghasilkan sajak, cerpen, naskhah teater dan novel.

  Bagi sesetengah penulis, perubahan zaman mengubah perwatakan mereka. Jika dulu aktif menulis dan menghidupkan acara seni, sekarang tanggungjawab kekeluargaan lebih diutamakan. Ada yang mati tanpa karya mutakhir, ada juga yang  tidak mati tapi tidak berkarya lagi.

  Mereka terpaksa melihat satu demi satu penulis baru yang muncul dengan pelbagai rencam. Mereka terpaksa akur era seni dirinya sudah lama berlalu kerana karya tidak pernah menanti seseorang untuk tempoh yang lama.

  Perubahan masa bagai daun berguguran, seperti juga bait yang menghidupkan karya seni. Masa datang dengan pengalaman  yang akhirnya menggerakkan seseorang untuk berkarya dan pada masa yang lain, akan mengundur dan menyendiri tanpa karya.

  Seperti kata Chairil Anwar (26 Julai 1922–28 April 1949), masa muda kaya pancaroba, justeru usia muda membawa seseorang mencipta nama yang hebat dalam kehidupan.

  Seperti Chairil yang mati muda ketika usia 26 tahun, dia sudah membariskan karya berbobot yang sehingga kini masih menjadi kajian sarjana.
Digelar sebagai ‘Si Binatang Jalang’ yang diangkat daripada karyanya ‘Aku’, Chairil menulis 96 karya, termasuk 70 puisi. Bersama Asrul Sani dan Rivai Apin, dia dinobatkan oleh HB Jassin sebagai pelopor Angkatan 45, sekali gus pejuang puisi moden Indonesia.

  Ulama dan sasterawan tersohor Hamka (Prof Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang pernah berpengalaman mendekati Chairil sekadar menyatakan kekaguman terhadap penulis berkenaan.

  Dalam bukunya ‘Kenangan-kenangan hidup -  autobiografi sejak lahir 1908 sampai 1950’, Hamka mencatatkan Chairil manusia aneh, hebat dan tiada siapa yang mampu tinggal serumah dengannya pada waktu yang panjang.

  Kekaguman dan kekuatan seseorang mungkin kerana usia mudanya. Usia tuanya akan mematangkan karya atau tidak menghasilkan karya lagi.

Ada polemik yang mengatakan Chairil mungkin tidak menulis pada usia 50 tahun kerana cita rasa sudah berubah, keperluan kehidupan harus  mengikut zaman dan mungkin puisi hanya sebahagian daripada tinggalan lampau kehidupannya.

  Banyak penulis Malaysia yang melahirkan karya malar segar pada usia muda tidak mampu mengulangi ketika era tuanya.

  Baha Zain tidak lagi mampu melahirkan kumpulan  puisi sehebat  ‘Perempuan dan Bayang-Bayang’ atau ‘Dari Kertas Catatan Tengah Malam’ yang menjadi perhatian panel sastera sejak dekad 1970-an. Keadaan sama juga dialami A Latiff Mohidin yang dianggap melahir puisi alam menerusi ‘Sungai Mekong’ dan Kembara Malam’, tapi kini puisinya semakin menyepi.

  Kita mempunyai ramai karyawan besar sejak dekad 1950-an. Usman Awang jika masih ada mungkin gagal melahirkan ‘Uda dan Dara’ atau ‘Pak Utih’ ketika situasi semasa yang tidak mengizinkan. Pak Sako mungkin tidak lagi  mampu melahirkan karya sinikal ‘Anak Mat Lela Gila’  atau A Samad Said secara jujur harus mengakui betapa ‘Daerah Zeni’ dan ‘Hujan Pagi’ tidak sehandal ‘Salina’ yang dianggap karya malar segar Malaysia.

  Banyak penulis yang datang dan pergi. Pada dekad 1980-an, karya Moechtar Awang menjadi sebutan kerana dua kali memenangi Anugerah Puisi Putra. Kumpulan puisi ‘Pasrah’ dan ‘Qaf’ melonjakkan namanya sebagai sasterawan pelapis yang penting.

  Kehadiran Awang Abdullah, Marsli NO, Ujid Darmawan, Swanlerd Propoul, Nawawee Muhammad, Gunawan Mahmud dan Daeng Ramli Akil memberi gambaran mereka di antara karyawan penting yang bakal memeriahkan situasi sastera mutakhir.

  Malangnya sehingga kini hanya Marsli yang masih bertenaga dan yang lainnya semakin terpinggir atau meminggirkan diri.

Dalam kalangan generasi 1990-an, hanya nama Rahimidin Zahari, SM Zakir dan beberapa rakan mereka yang masih menjadi tumpuan massa. Yang lainnya kian terpencil atau memencilkan diri.

  Sehingga kini tiada kajian yang boleh memuktamadkan punca seseorang penulis boleh meninggalkan bidang yang mereka perjuangkan ketika usia mudanya.

  Paling pasti karya sastera tidak banyak mendatangkan rezeki berbanding genre lain. Penyair A Ghafar Ibrahim (AGI) ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA kampus Puncak Perdana, Shah Alam mengeluh: ‘Nasib pelukis mengatasi penyair. Karya mereka bernilai ribuan ringgit. Harga sebuah puisi terlalu rendah!’ Beliau merujuk kepada Razak Abdullah yang kebetulan berada di bilik kuliahnya. Razak pelukis berjaya dan nilai lukisannya ribuan ringgit! - Berita Harian, 26 November 2013
 

3 comments:

Moral Jamue said...

MENULIS KE ATAU NULIS KE, SASTERA MASIH MACAM TU. TAK ADO PERKEMBANGAN. BODEK MEMBODEK MASIH BANYAK

Romainor SM said...

Bercakaplah terus terang. politik sastera begitu hebat. Macam-macam kerenah orang sastera, pengurus dan pentadbirnya

Pram Prof said...

Kita dah banyak kali ada peraduan. lahirkan penulis kononnya. tapi kita tak kemanamana. sasterawan kita gagal raih Nobel Prize. alah saper. dbp atau pusat pengajian tinggi kerana gagal lahir manusia kreatif