Kita bakal sambut tahun baru dengan kenaikan harga barang. 2014 untuk kita lebih bersabar. |
Setiap tahun apabila Krismas menjelang, perayaan sambutan tahun baru tidak dapat dielakkan. Malaysia bersama masyarakat dunia tidak terkecuali mengumumkan cuti umum pada 1 Januari setiap tahun bagi meraikan detik baru dalam kehidupan insani.
Malam tahun baru yang diraikan selepas senja 31 Disember dicatat sebagai hari terakhir dalam kalendar Gregorian. Banyak negara Barat menyambut tahun baru dengan majlis pesta atau berkumpul bersama ahli keluarga dan sahabat. Amalan yang memabukkan dilakukan dengan alasan menamatkan kegetiran pada tahun ‘lama’. Amalan berkenaan tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia yang berlandaskan Islam dan budaya ketimuran.
Negara di kepulauan Pasifik lebih awal menyambut tahun baru kerana edaran bulan dan matahari lebih cepat. Justeru, amalan setempat di Kiribati dan Samoa yang sesetengahnya masih mengamalkan ateis melakukan pelbagai aksi aneh bagi meraikan tahun baru yang dianggap meriah. Hal ini berbeza dengan penduduk Honolulu, Hawaii yang lambat meraikan pesta tahun baru kerana faktor geografi. Banyak acara baca puisi dan mantera dilafazkan bagi meraihkan peralihan tahun. Peranan seniman, penyair dan pawang amat berkesan dalam usaha memeriahkan tahun baru di kepulauan Pasifik.
Kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) yang mempelopori gaya hidup bebas meraikan tahun baru sejak lebih 100 tahun lalu. Gaya hidup AS yang santai mempengaruhi generasi muda negara lain. Orang ramai membanjiri Times Square untuk menanti detik 12 malam yang turut disiarkan di kaca televisyen. Sejak abad lalu sambutan tahun baru dimulakan dengan tradisi penurunan bola raksasa di Times Square. Pemuzik jalanan, pelukis, penyair dan pelawak membawa aksi tersendiri.
Kebanyakan kota besar di Australia pula meraikan malam tahun baru dengan cahaya bunga api. Di Perth, Australia Barat, bunga api diluncurkan dari tongkang di sepanjang Sungai Swan. Di Brisbane, orang ramai berkumpul di sekitar Sungai Brisbane untuk menyaksikan pertunjukan bunga api.
Ramai seniman memberi analogi bola sepak dan tahun baru adalah pesta yang menakjubkan di Brazil. Malam tahun baru yang disebut Vespera de Ano Novo adalah perayaan meriah, selain lima kali memenangi bola sepak Piala Dunia. Nama Pele, Ronaldo dan Romario bersemarak dalam puisi dan karya jalanan. Wartawan meramalkan sambutan tahun baru kali ini lebih meriah kerana Brazil bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014. Pesta di sepanjang pantai Copacabana di Rio de Janeiro akan diserikan dengan nyanyian lagu puisi bagi meraikan sambutan 2014.
Kota besar lain seperti London tidak terkecuali menyerikan sambutan dengan tembakan bunga api di London Eye, seperti juga tembakan meriam dari Istana Edinburgh, Scotland. Bagi peminat muzik yang pernah mengalunkan ‘Auld Lang Syne’ yang sering digunakan sebagai lagu penutup tahun bagi pesta yang dinamakan ‘Hogmanay’, mereka wajar berterima kasih kepada penyair Robert Burns yang melahirkan puisi indah untuk lagu berkenaan. Lirik puitis menggambarkan kesayuan berpisah dengan tahun lama kerana tahun baru belum tentu menjanjikan kenangan yang lebih manis.
Masyarakat Denmark pula berpuisi dan berpidato ketika meraikan tahun baru. Malam tahun baru yang disebut ‘nytarsaften’ adalah detik kemuncak yang menggambarkan warisan tradisi dan cita-cita masa depan.
Bagaimanapun keanehan berlaku di Ecuador yang memiliki tradisi unik dalam merayakan malam tahun baru. Tokoh yang tidak disukai seperti ahli politik yang dibenci dijadikan model orang-orangan daripada jerami, pakaian usang dan topeng kertas. Model berkenaan dibakar selepas tengah malam sebagai tanda menolak bala. Sekali lagi puisi dan mantera memeriahkan majlis dengan tarian sewang yang bercanggah dengan nilai normal antarabangsa.
Bagi kebanyakan negara Arab dan Afrika, sambutan tahun baru sering dilagukan dengan nyanyian tradisi, mantera dan syair klasik. Unsur kabilah, suku dan resam tempatan menjadi pengiring semangat menjelang tahun baru.
Bagaimanapun kita di Malaysia yang mengamalkan sikap sederhana, wajar 2014 diraikan dengan kewarasan. Tidak salah baca puisi atau nyanyian artis terkenal tetapi jangan abaikan resam tempatan. Nilai Islam perlu diamalkan agar 2014 membawa rahmat kepada kita semua. - Berita Harian, 24 Disember 2013
2 comments:
tahun baru untuk derita. semua barang naik harga
Kita harus ada agama dan budaya. Pesta tahun baru harus tak menyalahi resam timur
Post a Comment