Pages

Sunday, September 14, 2014

DARI SASTERAWAN NEGARA KE HADIAH NOBEL: MALAYSIA WAJAR BERUSAHA BERJIWA BESAR


Sehingga kini Malaysia mempunyai sedozen Sasterawan Negara. Bermula dengan  Kamaludin Muhammad atau Keris Mas  pada 1981, deretan sasterawan yang dianggap terbaik meraih anugerah berkenaan, iaitu   Datuk   Shahnon Ahmad (1982), Datuk  Usman Awang (1983), Datuk  A Samad Said (1985),  Arena Wati  (1987),  Dr Muhammad Haji Salleh (1991),  Datuk Noordin Hassan (1993), Datuk Abdullah Hussain  (1996),  S Othman Kelantan (2003), Datuk  Dr Anwar Ridhwan  (2009), Datuk Dr  Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala  (2011) dan Datuk Baha Zain pada 2013.
Pengiktirafan terhadap mereka mungkin  membuktikan secara luarannya  Malaysia menghargai pandangan dan karya sasterawan sebagai cermin bangsa. Penerima menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong  -- sekali gus membuktikan pihak tertinggi negara   yang bebas daripada campur tangan politik menghargai karya dan seniman Malaysia.
Walaupun ada beberapa sasterawan yang menerima anugerah berkenaan dipertikaikan kelayakan mereka, tulisan ini tidak bercadang membahas dan mempolemikkan kelayakan mereka. Terbuka kepada khalayak seni dan peminat sastera menentukan sama ada seseorang tokoh berkenaan layak bergelar Sasterawan Negara. Paling penting, perlu ada suatu analisis yang menyeluruh untuk menilai  kewajaran seseorang menerima gelaran berkenaan.
Keadaan sama juga berlaku kepada polemik mengenai ketiadaan penulis wanita yang terpilih menerima anugerah berkenaan. Pada saya, jantina bukan isu utama kerana kepengarangan seseorang yang menentukan  mereka layak atau tidak menerima anugerah berkenaan.  Karya yang baik akan mewakili zamannya dan tiada kaitan dengan isu jantina. Panel yang menilai sentiasa bebas memilih yang terbaik kerana sebutir permata yang jatuh ke laut tetap akan menjadi pulau seni yang dihargai  oleh bangsanya sendiri.
Bagaimanapun mutakhir ini ada kecenderungan untuk menyarankan  Sasterawan Negara daripada kalangan bukan Melayu. Ia sepatutnya bukan isu jika mereka mampu menulis karya berbahasa Melayu dengan baik dan mampu menjadikan sastera sebagai pengucapan seni untuk bangsa Malaysia. Seperti juga isu penulis wanita, Sasterawan Negara sepatutnya bebas daripada isu bangsa, politik dan jantina. Jika bukan Melayu layak, mereka wajah diberi anugerah. Jangan berlaku seperti beberapa anugerah dan hadiah  sebelum ini apabila ada penulis bukan Melayu  yang tidak layak diberikan hadiah  semata-mata untuk menunjukkan toleransi kaum di Malaysia. Kita harus ingat sastera sepatutnya bukan menjadi alat kepada politik dan isu kaum. Sastera harus dimartabatkan ke tempat yang lebih tinggi dan terhindar daripada sandiwara yang tidak sepatutnya.
Pada hemat saya anugerah sepatutnya diiringi dengan maruah dan harga diri. Sasterawan Negara wajar dihargai dan diletakkan di tempat yang tinggi. Karya dan pemikiran mereka wajar dihargai. Suara mereka diambil kira dalam perancangan dasar negara dan bukan sekadar alat untuk kepentingan lain. Sudah sampai masanya Sasterawan Negara dipilih menyertai panel dasar pembangunan negara, pakar  pelaksana sistem kewangan dan kualiti pendidikan negara. Malangnya sehingga kini kita tidak pernah mendengar tokoh sastera dipilih memberi idea dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan tahun depan. Malahan urusan bajet negara pun tidak pernah mengundang para seniman memberi pendapat, melainkan kerajaan terutama menteri kewangan yang sengaja memilih tokoh korporat, pakar kewangan dan sektor perbankan menyumbangkan idea,  justeru berlakulah sistem yang mengabaikan kepentingan manusiawi kerana mereka lebih terarah kepada unsur materialistik yang bermatlamatkan keuntungan semata-mata.
Banyak Sasterawan Negara yang tidak diperkatakan secara terbuka oleh orang awam.  Kecuali Datuk A Samad Said yang sesekali disebut kerana perjuangan bahasa dan gerakan demokrasi, masyarakat hampir tidak mempedulikan karya besar beliau walaupun Hujan Pagi dianggap realis magis tempatan terbaik, mahupun novel Salina yang dikaitkan kejujuran naratif Kampung Kambing ketika musim perang.
    Samad diperkatakan kerana membaca sajak pada majlis pembangkang. Beliau dipertikai kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Negara-Ku yang dianggap anti-Melayu dan anti-Islam.  Karya beliau semakin tidak dihargai, malah masyarakat tidak memperkatakan sajak beliau dicatat pada kertas tisu dan pernah  dipamerkan di Menara Berkembar Petronas.
    Masyarakat awam  hanya memperkatakan novel Shit (1999) karya Datuk Shahnon Ahmad kerana kelantangan beliau menegur aliran berpolitik yang dianggap kotor, jijik dan biadab. Pemikiran Shahnon jarang diperdebatkan secara terbuka dan ilmiah.      Ada pihak yang tidak pernah membaca Interlok (1971) karya Datuk Abdullah Hussein mempolitikkan karya berkenaan semata-mata kepentingan kaum. Pihak majoriti mengalah kepada pihak yang hanya menang empat kerusi Parlimen semata-mata kepentingan siasah. Nilai, semangat, falsafah dan jati diri dalam karya Sasterawan Negara dilacurkan kerana politik. Teks sastera di sekolah ditarik balik.  Sastera diperalatkan dan status Sasterawan Negara tidak memberi makna lagi.
    Datuk Usman Awang pernah merungut dan menjadi polemik di Dewan Sastera dua dekad lalu apabila mengeluh Anugerah Sasterawan Negara sekadar gelaran kosong. Karya beliau yang memaparkan perjuangan marhaen di tanah air sendiri tidak diperkatakan, kecuali sesekali dibaca pemimpin pada Perhimpunan Agung UMNO apabila isu kemelayuan ditimbulkan.
    Gelaran tanpa makna menjadikan karya Sasterawan Negara tidak dihargai. Agensi pelancongan dan kementerian terbabit tidak pernah memaparkan sajak atau sketsa sasterawan di khalayak.  Pelancong dan pedagang asing yang datang ke Malaysia tidak pernah diceritakan mengenai karyawan, melainkan dibawa melawat bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur, berlayar di tasik Putrajaya atau melancong ke Langkawi yang tidak pernah wujud budaya kesenian.
   Stesen penyiaran begitu segan memaparkan karya seni kita. Acara baca puisi dan teater sekadar melepaskan batok di tangga. Karya besar tidak mendapat  tempat di Istana Budaya. Novel Ombak Rindu yang kualitinya amat rendah diperkatakan kerana filem adaptasi pecah panggung.  Kita bagai tiada masa mengkaji Sajak Sejarah Melayu karya Muhammad Haji Salleh atau merenung kegagalan korporat Melayu seperti dicatatkan Keris Mas (Kamaludin Muhammad) dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.   Akhirnya  budaya sorak-sorai menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Jika yang tua bernostalgia dengan era lalu yang sudah tiada, generasi muda pula terperangkap dengan media baru. Menjadi rakan kepada individu tidak dikenali menerusi Facebook dan Twitter, lalu berkecenderungan  untuk mempertikaikan kesucian Islam, menghina Rasul dan membuat jenaka terhadap lagu Negaraku. Kita semakin menjarakkan diri dengan tradisi intelektual. Sistem nilai yang kita pegang kurang memesrai semangat dan akaliah nusantara.
    Jika Indonesia gagal menerima Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) sebagai sasterawan besar menerusi Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah, kita gagal memanfaatkan karya S Othman Kelantan dan Anwar Ridhwan sebagai karya genius rakyat Malaysia.    Jika Jakarta tidak dapat menerima Pramoedya Anantatoer sebagai pengkaji bangsa Indonesia ulung kerana aliran politik, kita juga gagal menafsir makna dan isyarat dalam karya. Pemilihan Sasterawan Negara seolah-olah sebagai adat semata-mata, lalu timbul pelbagai polemik mengenai kelayakan seseorang yang dinobatkan. Tingkah laku yang tidak layak sebagai sasterawan apatah lagi Muslim kerap dipertikaikan.
    Harap hal ini tidak berulang lagi pada masa akan datang kerana bangsa yang besar sentiasa mengutamakan karya berbobot. Perancis, Russia, Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan China sentiasa mengkaji karya seni sebagai ilham pemodenan negara. Di mana mereka sekarang ketika kita masih bergelut soal politik yang tidak berkesudahan, atau terperangkap dalam isu remeh sejak bertahun-tahun.
Paling malang karya besar kita  kurang dipromosikan ke peringkat antarabangsa. Walaupun ada usaha penterjemahan, kita masih jauh di belakang berbanding Indonesia, Thailand  dan Filipina.  Lebih malang  kita kurang promosi karyawan tempatan untuk Hadiah Nobel. Jika Indonesia pernah menubuhkan sebuah panitia khas untuk mempromosikan Pramoedya Anantatoer selama beberapa tahun, kita agak sepi dan amat longlai.
Birokrat seni kita  sepatutnya bertindak lebih aktif untuk melobi dan meletakkan sasterawan Malaysia ke peta dunia. Badan penulis bertaraf nasional seperti Gapena dan kerabatnya Pena perlu lakukan sesuatu supaya Hadiah Nobel menjadi milik karyawan Malaysia. Kementerian Luar dan kerajaan Malaysia perlu lebih aktif.
Jika selama ini persatuan penulis kerap bercakap mengenai dunia Melayu hingga ke Afrika Selatan dan Indochina, wajar pula mereka memperjuangkan supaya sasterawan Malaysia menerima anugerah tertinggi dunia pula. Penulis dan badan sastera  tidak sepatutnya  sekadar menggamit nostalgia tanpa memandang lebih jauh. Memperkasakan bangsa dengan karya yang baik dan meraih Hadiah Nobel, sepatutnya menjadi idaman karyawan di Malaysia. Kerajaan dan sarjana sastera juga perlu berperanan secara aktif dan telus melalui konsep 1Malaysia. Kejayaan meraih Hadiah Nobel secara langsung meletakkan nama Malaysia di persada persuratan global. Kita akui Sasterawan Negara adalah penghormatan tertinggi terhadap karyawan besar tempatan. Namun kehebatan di gelanggang sendiri bukan kayu pengukur yang sebenarnya.
Dari segi mutu, karya Samad dan Shahnon dianggap wajar dicalonkan untuk Hadiah Nobel. Ranjau Sepanjang Jalan, Sutan Baginda, Hujan Pagi, Daerah Zeni dan Salina bukan sekadar penceritaan yang ada plot dan watak, malahan mengangkat kehidupan bangsa Malaysia dengan pelbagai kerenah sosiobudaya tempatan. Karya sedemikian lazimnya dapat mencuit perhatian panel Hadiah Nobel, jika usaha tegas dan berwibawa dilakukan. Sajak karya Muhammad seperti Pulang Si Tanggang amat puitis dan intelektual.  Sejak penyair Perancis, Sully Prudhomme meraih Hadiah Nobel kali pertama pada 1901, karya yang berjiwa besar dan jujur mengangkat permasalahan bangsanya sering jadi tumpuan panel.
Hal ini bertepatan dengan wasiat Alfred Nobel yang mahu merakamkan anugerah kepada karyawan 'luar biasa atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat'. Sehingga kini hanya empat sasterawan Asia menerima Hadiah Nobel. Tiada seorang pun karyawan Asia Tenggara yang tersenarai. Selepas Rabindranath Tagore (India) menerima anugerah pada 1913, karyawan lain ialah Shmuel Yosef Agnon (Israel, 1966), Yasunari Kawabata (Jepun, 1968), Oe Kenzabur (Jepun, 1994) dan Guo Zingjian (Rusia-China, 2000). Kita berharap nama Shahnon, Samad, Muhammad dan Anwar turut tersenarai nanti kerana Hadiah Nobel untuk karyawan yang masih hidup. Harapan ini tidak akan sesia jika usaha tegas untuk promosi Sasterawan Negara ke peringkat global dipertingkatkan.
Semoga catatan ringkas ini mendapat reaksi pelbagai pihak. Tidak sepatutnya Sasterawan Negara berada di kandang kampungnya sendiri, seperti juga tidak wajar  lobi melobi untuk menerima anugerah sedangkan karya sastera masih jauh daripada masyarakatnya sendiri. Paling penting promosikan karya kita dan bawanya   ke peringkat yang lebih jauh. Jadikan Sasterawan Negara sebagai aset bangsa dan kita wajar bersedia untuk menerima Hadiah Nobel -- sebagai gambaran tradisi persuratan dan kesusasteraan Malaysia.  - Dewan Sastera, September 2014



No comments: