Penceramah perlu ingatkan jemaah supaya dekatkan diri dengan keesaan Allah pada bulan mulia
SEJAK 2009, tazkirah mengisi malam Ramadan pada hampir semua masjid di Lembah Klang. Lazimnya tazkirah dilakukan selepas empat rakaat solat tarawih.
Jika solat sunat tarawih lapan rakaat, bererti tazkirah berada di tengah ibadat yang amat dituntut sepanjang sebulan malam Ramadan.
Langkah beberapa jabatan agama Islam negeri menggalakkan tazkirah di masjid dan surau adalah murni iaitu untuk mendekatkan jemaah dengan keesaan Allah pada bulan mulia. Amalan berpuasa siang hari dihiasi dengan pengisian ilmu di masjid pada sebelah malam. Tentunya umat Islam mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah.
Tazkirah berasal daripada bahasa Arab bermaksud peringatan. Ustaz yang berceramah dan memberikan pesanan di masjid adalah pakar peringatan yang tentunya untuk kebaikan umat Islam. Ahli jemaah masjid adalah pendengar yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia, taraf ekonomi, pendidikan, kerjaya dan latar belakang sosial.
Tentunya ustaz yang berkelayakan, berilmu dan berwibawa diperlukan untuk menyampaikan tazkirah kerana pada malam bulan mulia, ratusan jemaah mengisi masjid untuk bersolat, berzikir dan bertadarus. Ada juga kanak-kanak dan remaja yang turut memenuhi saf masjid.
Ustaz yang tidak berkelayakan atau bersentimen politik bukan pakar tazkirah yang baik. Memang diakui agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Tidak salah jika orang agama juga menjadi ahli politik kepartian. Yang tidak kena apabila isu politik kepartian dibabitkan di mimbar masjid.
Beberapa masjid di Lembah Klang dilaporkan tidak terkecuali dipalitkan isu tazkirah kepartian pada Ramadan 2009. Ustaz mempunyai semangat yang luar biasa kerana Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 mencatat keputusan yang juga luar biasa.
Ada ustaz yang mendakwa kerajaan negeri sekarang lebih Islamik berbanding sebelumnya kerana pimpinannya tidak korup dan sentiasa utamakan kepentingan ummah.
Penceramah juga mengambil kesempatan membuat pengumuman kononnya ada negeri bakal cuti mingguan pada Jumaat sesuai dengan kehendak Islam.
Sama ada betul atau tidak, penceramah dengan lantang menghuraikan perlunya cuti mingguan pada Jumaat untuk mendapat berkat. Tentunya Kelantan dan Kedah dikaitkan sudah mendapat berkat kerana menghormati Jumaat sebagai hari mulia dan beribadat.
Ada juga ustaz yang bertazkirah dengan nada nyaring tanpa tolak ansur, menyerang musuh politik dan mengaitkan dengan kemenangan ummah.
Bagaimanapun, penceramah mengakhiri tazkirah dengan merayu kutipan derma untuk sekolah agama rakyat di kampungnya. Dia juga tanpa segan silu mengiklankan jualan susu kambing yang didakwanya diadun secara Islam!
Isu tazkirah, politik dan masjid sudah lama bertebaran di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hanya sekarang unsur berkenaan menjadi isu apabila tidak sedikit ustaz yang sanggup menggunakan mimbar untuk kepentingan lain. Ustaz yang meyakini perjuangan kepartian tidak salah. Tetapi menggunakan bulan mulia untuk menghamburkan pihak lain memang tidak kena. Sesuatu yang tidak kena boleh menjejaskan ibadat Ramadan. Jabatan Agama Islam, jawatan kuasa masjid, badan siasah dan persatuan penduduk setempat sepatutnya duduk semeja supaya isu tazkirah tidak sampai menjejaskan suasana ibadat. Alangkah baiknya jika semua pihak bersatu hati dan mendengar tazkirah secara berlapang dada pada malam Ramadan.
Ada juga jemaah yang merungut kerana ceramah tazkirah terlalu panjang. Sepanjang awal Ramadan ini, tazkirah mencecah masa 40 minit. Ia tentunya terlalu lama menyebabkan jemaah bersembang dengan rakan ketika ustaz nyaring memegang pembesar suara. Perlukah tazkirah berjela-jela sehingga solat tarawih berakhir hampir jam 11 malam?
Prof Dr Hamka dalam bukunya Tasauf Moden menggariskan tazkirah sebagai medan menyampaikan ilmu, menghiburkan dan dapat dinikmati semua pihak.
Nawaitu tazkirah semata-mata untuk memperkukuhkan keimanan dan menjalin perasaan kebersamaan. Apakah ustaz kita memahami pengertian berkenaan? - Berita Harian, 17 Ogos
No comments:
Post a Comment