Sebagai pentadbir utama negara, Najib memerlukan mandat yang selesa untuk mentadbir negara dan bukannya kemenangan mudah yang dialami oleh Barisan Nasional (BN) yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008.
Bagaimanapun suasana yang ada sekarang tidak memaksa Najib mengadakan pilihan raya umum. BN masih kekal memerintah walaupun ada pihak yang masih memainkan pelbagai isu poliitik, perkauman dan tuduhan peribadi untuk menggugat Najib dan BN. Najib dan jentera kerajaan berjalan lancar dan idea transformasi ekonomi dan pembangunan masih berjalan lancar. Kedudukan ringgit semakin stabil dan pasaran saham tidak tergugat. Aktiviti rakyat berjalan lancar dan tiada sebab untuk mereka diajak untuk memilih wakil rakyat baru ketika ini.
Pilihan raya kecil DUN Tenang, Galas atau sebelumnya Bagan Pinang dan Manek Urai membuktikan momentum pengundi Melayu kembali kepada BN. Kecuali di kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang menunjukkan lima peratus pengundi Melayu lari kepada calon PAS kerana isu terpencil, suasana selepas itu jauh berubah. Malah, ia amat berbeza dengan keadaan selepas 8 Mac 2008 kerana ada agenda 16 September untuk merampas Putrajaya.
Di DUN Tenang, peratus sokongan pengundi Melayu meningkat dua paratus berbanding pilihan raya umum 2008. Keadaan hampir sama berlaku di DUN Bagan Pinang dan Galas kerana pengundi tidak nampak pihak lain yang layak untuk menggantikan perjuangan BN dan UMNO untuk membela nasib Melayu.
Beberapa negeri yang ditadbir pembangkang, khususnya Perak (kini kembali ditadbir BN), Selangor dan Pulau Pinang, isu membabitkan Melayu begitu banyak diperkatakan. Masalah tanah yang diambil sesuka hati, pembangunan kampung baru, isu kontraktor Melayu dan ketuanan Melayu begitu banyak diperkatakan. Isu Setiausaha Kerajaan Negeri masih tidak berkesudahan.
Malahan, ada wakil yang dipiih oleh rakyat sanggup melafazkan sembah derhaka, mempertikai pihak istana dan mufti, hingga menyebabkan rakyat tertanya-tanya; apakah perjuangan mereka untuk menghakiskan hak Melayu di bumi Melayu? Apakah kerana kepentingan siasah, ada pihak yang sanggup mempertikaikan titah tuanku?
Sejarah membuktikan bangsa Melayu amat setia kepada raja dan adatnya. Mana-mana pihak yang cuba memainkan isu yang menimbulkan kemarahan istana akan dihukum menerusi peti undi. Tan Sri Mohamad Yaakob hilang kerusi Menteri Besar Kelantan kerana ada masalah dengan istana Kelantan. Pengundi menghukumnya menerusi peti undi kerana tidak mahu tokoh yang dianggap lantang dengan istana. Beberapa tokoh lain juga mengalami masalah yang hampir sama.
Menjelang 2008, terlalu banyak isu yang dikaitkan dengan pimpinan negara ketika itu menyebabkan BN mengalami kekalahan yang amat drastik. BN bukan saja gagal merampas Kelantan yang sudah 18 tahun ditadbir oleh PAS pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat, bahkan gagal mengekalkan kuasa di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. BN juga kalah teruk di Kuala Lumpur kerana didominasi oleh kaum Cina.
Kelemahan pemimpin BN sebelum ini menyebabkan kaum Melayu yang selama ini setia dengan UMNO bertindak menyokong pembangkang. Perubahan undi (swing) lima peratus menyebabkan BN menjadi mangsa apabila Melayu membuat pilihan menyokong PAS dan PKR. Sebanyak 30 peratus pengundi Cina dan 60 peratus pengundi India membuat perubahan undi pada Pilihan Raya Umum ke-12 menyebabkan BN menerima nasib yang luar biasa. Ia bukan saja hilang beberapa negeri, juga hilang penguasaan dua pertiga kerusi di Parlimen.
Angka menunjukkan pengundi Melayu di kawasan bandar, urban dan pinggir kota sentiasa kritis kepada BN. Hanya pengundi di kawasan FELDA dan pedalaman masih setia dengan UMNO kerana faktor kawasan, sukar mendapat kemudahan maklumat secara bebas dan pemikiran tradisional. Pengundi Cina sentiasa berani menentang arus dan kaum India pula bertindak kerana isu tertentu. Kemudahan teknologi maklumat dan media baru memberikan impak tersendiri. Sehingga kini 40 kerusi Parlimen membabitkan kawasan FELDA. Tentunya ia menjadi pola penentuan pengundi pada pilihan raya umum akan datang jika pembangkang masih memainkan isu perkauman yang menghiriskan pemikiran tradisional Melayu. Pemikiran dan kecenderungan generasi kedua dan ketiga FELDA pula masih menjadi rahsia umum.
Ramai analis politik melihat perubahan sikap pengundi India pada 2008 ada kaitan dengan isu ekonomi dan sosial mereka yang tidak banyak berubah sejak 53 tahun lalu. Kaum India di kawasan ladang masih daif dan kurang tumpuan diberikan oleh parti yang mewakili kaum mereka sendiri.
Gerakan HINDRAF (Hindu Rights Action Force) pada November 2007 secara langsung memberi kesan sokongan pengundia India kepada BN pada 2008. Hampir 30,000 kaum India berarak dan berkumpul di Kuala Lumpur kerana merasakan hak mereka diabaikan. Malangnya, pimpinan kerajaan ketika itu menganggap sepi tindakan tersebut menyebabkan isu kaum menjadi wadah penting dan BN menerima nasib buruk pada 8 Mac 2008.
Kini isu kaum kembali menjadi duri dalam daging. HINDRAF menyebarkan maklumat untuk mengadakan perarakan pada akhir Februari ini. Sebelum ini isu novel Interlok karya Sasterawan Negara menjadi polemik yang akhirnya mencetuskan perdebatan yang tersasar daripada teks sastera itu sendiri. Jika keadaan tidak dibendung, kita bimbang Malaysia terus malang dengan pelbagai kemelut perkauman yang sengaja dirangka untuk mencapai cita-cita politik. Tentunya Najib sedar rentak dan irama yang dipalu sekarang kerana ada pihak yang bukan saja meramalkan bila pilihan raya umum akan diadakan, juga mengharapkan sedikit tuah mendapat gelaran Yang Berhormat!
2 comments:
masalah perkauman tak akan berkahir selagi ada sekolah Cina dan Tamil, sepatutnya sekolah wawasan - satu sekolah untuk semua bangsa seperti wawasan Dr M direalisasikan!
Masalah perkauman hanya diatasi jika sudah berjaya membentuk bangsa Malaysia.
Sekarang kita dikenali sebagai bangsa Melayu, India, Cina, Iban dan lain-lain.
Tentunya mustahil kita wujudkan bangsa Malaysia. Isu perkauman semakin meluas selepas 8 Mac 2008.
Post a Comment