MELAYU pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan saja berubah dari segi pemikiran dan struktur pekerjaan, juga sistem nilai dan penanggapan terhadap kehidupan tradisional.
DEB yang diperkenalkan selepas kejadian 13 Mei 1969 membawa sebilangan Melayu berhijrah ke kota besar untuk merebut peluang ekonomi, sekali gus mengubah cara hidup dan berfikir.
Walaupun ada sebahagian Melayu yang kekal di desa, tetapi sanak saudara mereka yang berhijrah turut membawa asimilasi kehidupan yang berbeza dan tanpa disedari turut merebak ke desa sehingga kini.
Pada era pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1982, istilah Melayu baru mula diguna pakai sebagai citra kehidupan seiring perubahan zaman. Melayu yang mendapat manfaat DEB bukan saja aktif sebagai pengusaha dan penggerak syarikat multinasional, juga ejen perubahan budaya dalam masyarakat.
Dari sinilah lahirnya kalangan cendekiawan, teknokrat, intelektual dan pemikir budaya yang turut bersaing di pentas global. Serpihan mereka juga melahirkan elitis Melayu yang terasing daripada kehidupan tradisional dan ada masanya mempertikaikan sistem nilai dan jati diri yang dimiliki oleh moyang mereka sendiri.
Golongan inilah yang akhirnya merendahkan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan mendewakan bahasa Inggeris sebagai pengantar utama subjek Matematik dan Sains di sekolah.
Kesan langsung daripada budaya elitis baru adalah perubahan tanggapan terhadap kehidupan tradisional Melayu. Tradisi muafakat semakin terpinggir dan kehidupan disandarkan kepada perkiraan untung dan rugi perniagaan. Majlis kenduri-kendara semakin meminggirkan kerjasama setempat di kawasan perumahan kerana jamuan di dewan berhawa dingin di hotel tidak memerlukan sistem penanggah dan sorak-sorai seperti dekad lampau. Majlis berbuka puasa pula lazimnya dibuat di premis mewah bertaraf lima bintang yang dihadiri oleh jemputan saja. Berbeza zaman lampau apabila majlis buka puasa di kampung terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang dalam masyarakat.
Kehidupan moden menjadikan sebahagian Melayu semakin akrab mendiami kota besar. Wajah desa hanya subur ketika lebaran. Tradisi balik kampung yang jarang kedengaran sebelum DEB, kini semakin banyak diperkatakan. Belum pun Ramadan menjelma, tiket pengangkutan awam ke pelbagai destinasi sudah habis dibeli. Kenangan zaman kanak-kanak dan remaja menjadikan warga kota teruja untuk melihat kembali zaman lampau yang semakin jauh.
Dari segi politik pula, golongan yang mendapat ihsan DEB menjadi penggerak utama dalam gerakan siasah Melayu. Mereka mendominasi UMNO yang menjadi tunjang Barisan nasional serta PAS dan Parti Keadilan Rakyat. Latar belakang pendidikan, pengalaman dan penguasaan siasah, menjadikan Melayu baru lebih vokal. Keperluan politik kepartian dan hubungan antara kaum menjadikan Melayu baru amat berbeza.
Perbezaan ini melahirkan percaturan politik yang berlainan. Perebutan jawatan dalam parti politik -- BN atau pembangkang -- melahirkan naungan tersendiri. Politik wang, kelompok dan pengaruh menjadi budaya baru dalam saingan politik Malaysia.
Akhirnya yang menjadi rugi ahli parti terbanyak kerana orang yang diamanahkan untuk memimpin akan mengkhianati hasrat peringkat bawahan.
Selepas empat dekad DEB diperkenal, ada Melayu yang masih merungut kononnya dasar yang digubal khas untuk Bumiputera maju dalam sektor ekonomi moden diselewengkan. Pro dan kontra lebih banyak daripada hasil yang diraih oleh usahawan Melayu sendiri. Pelan transformasi ekonomi yang diperkenal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjadi agenda nasional tidak terkecuali diperdebatkan. Apakah Melayu baru sekadar hebat berdebat dan mempertikai sesuatu dasar ketika pihak lain meraih hasil? - Berita Harian, 8 Ogos 211

No comments:
Post a Comment