Pages

Friday, August 17, 2012

Lajim cipta sejarah kali kedua?

Perkembangan politik di Sabah mungkin mengembalikan peristiwa dekad 70-an dan 80-an apabila trend meninggalkan parti menjadi budaya.

Dua ahli Parlimen Barisan Nasional  (BN), Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing, bertindak keluar parti dan memihak kepada pakatan pembangkang.

  Lajim menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah, manakala Bumburing menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah atau Sabah Reform Front.   Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Maijol Mahap pula mengumumkan keluar UPKO di kediamannya di Kampung Goshen, Kota Marudu  untuk bersama Lajim.

  Perkembangan yang berlaku seolah-olah mengulangi nasib Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membabitkan kejadian keluar parti dan menubuhkan parti baru.

  Tiada siapa pernah menduga USNO boleh tumbang hasil pembelotan ahlinya sendiri. Sejarah membuktikan USNO yang ditubuhkan sahabat karib bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Datu Mustapha Datu Harun, akhirnya tumbang  pada 1976 apabila bekas setiausaha agungnya, Datuk Harris Mohd Salleh keluar parti dan menubuhkan Berjaya.

USNO tumbang kerana segelintir pemimpin dikaitkan dengan rasuah dan balak. Kekuatan Berjaya kerana ramai ahli USNO yang belot dan melompat parti.

USNO terus lemah walaupun menyertai pilihan raya negeri pada 1981, 1985 dan 1990, tapi gagal mendapat sokongan pengundi muda.

  Berjaya hanya lemah apabila Tan Sri Pairin Kitingan keluar parti dan menubuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1984 dan mentadbir Sabah sejak 1985 hingga 1994. Isu balak dan penyelewengan juga dikaitkan dengan Berjaya.

  Pada 1990, USNO bergabung dengan Berjaya untuk membawa UMNO melebarkan sayap ke Sabah.  Mustapha menjadi pengerusi pertama UMNO Sabah selepas USNO dibubarkan pada 1991.
 Lajim juga mempunyai sejarah tersendiri di Sabah. Beliau pernah menyertai PBS dan menjawat  Setiausaha Politik di Jabatan Ketua Menteri pada 1985 hingga 1986, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri dari 17 Mei 1986 hingga 10 Januari 1994, selain Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah antara Februari hingga  Mac 1994.

 Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dianggap berjasa kepada UMNO kerana meninggalkan PBS pada 1994, sekali gus membantu perubahan tampuk pimpinan negeri.
 Kita tidak pasti sejauh mana tindakan ahli BN meninggalkan parti boleh menjejaskan peluang pada Pilihan Raya Umum ke-13, apatah lagi  Lajim sekadar pemain politik yang kurang berfungsi sekarang.  Bagaimanapun dalam gerakan siasah, perkembangan semasa boleh memberikan kesan yang besar.

Apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak perlu dikaji. Pada pilihan raya lalu, BN menang 30 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dan 24 daripada 25 di Sabah berbanding 85 yang dimenangi di Semenanjung dan satu di Labuan. Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu, BN kalah beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Cina.

 Jika trend itu diambil kira, mungkin tujuh kerusi Parlimen bakal bermasalah di Sarawak. Pelbagai isu tempatan pula dikaitkan sebagai punca pergolakan politik di Sabah.  Isu pendatang dan penggiliran jawatan Ketua Menteri yang diamalkan zaman Tun Dr Mahathir Mohamad tapi dimansuhkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi bualan setempat.

  Hari ini jumlah pendatang yang didakwa mendapat kerakyatan Malaysia dipolitikkan.      Walaupun kerajaan menubuhkan Suruhan-jaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah, ia masih awal untuk melihat hasilnya. RCI yang diketuai bekas Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kong, diberi tempoh enam bulan dari tarikh tauliah pelantikan untuk menyiasat punca kebanjiran pendatang di Sabah.

Ada yang mendakwa keturunan Filipina dan Indonesia mengatasi jumlah penduduk tempatan.
Lajim, Bumburing dan ramai tokoh tempatan bersuara mengenai isu pendatang. Kita tidak pasti siapa yang terbabit dalam isu kebanjiran pendatang, seperti juga masih misteri apakah pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang selaras peruntukan undang-undang.
 Yang pasti Sabah akan terus mewarnai pentas politik dengan perkembangan yang lebih menarik. Mampukah Lajim mencipta sejarah untuk kali kedua?  - Berita Harian, 17 Ogos 2012 

No comments: