Pages

Sunday, September 09, 2012

Hasihin dedah nasib sebenar OKU

Hasihin Sanawi hanya insan biasa yang tidak pernah disebut namanya sebelum ini.  Dia bukan  Datuk  Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong Pamg yang pantas menjadi idola negara kerana memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.

 Kecekalan, semangat dan harapan  Hasihin jarang dilaporkan media kerana dia hanya  pemanah  orang kelainan upaya (OKU) yang menyertai saingan recurve individu lelaki W1/W2 di Sukan Paralimpik London 2012.

 Hasihin menang pingat perak selepas kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin, dalam pusingan penentuan selepas  terikat kedudukan 5-5, perlawanan lima set peringkat akhir  di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London.

 Sebahagian anggota masyarakat sinis dengan pencapaian atlit OKU kerana status fizikal mereka yang dicurigai.

 Bagaimanapun  Hasihin membuktikan kekurangan fizikal ekoran terbabit dalam kemalangan ketika bekerja di sektor pembinaan tidak mencacatkan cita-citanya. Dia meraih pingat perak dan Malaysia mula menyebut namanya, walaupun tiada siapa yang tahu latar belakang kehidupan dan pencapaiannya sebelum ini.

 Memenangi pingat, apatah lagi pada status Olimpik untuk golongan OKU suatu pencapaian luar biasa. Jutaan manusia memerhati perkembangan jaguh paralimpik kita, tetapi malang  nasibnya di Malaysia hanya sekadar ucapan tahniah.

 Hasihin  disahkan tidak akan menerima sebarang pencen sepanjang hayat daripada  kerajaan. Jika Chong Wei menerima RM3,000 sebulan dan Pandelela (RM2,000 sebulan)  di samping pelbagai ganjaran kewangan lain, dia sekadar mengintai dari  jauh. Hasihin hanya boleh berbangga menatap pingat perak yang seakan-akan tidak memberikan apa-apa makna bagi mengubah nasib masa depannya.

 Kerajaan hanya bermurah hati memberi ganjaran RM200,000 tanpa jaminan memberi peluang pekerjaan  demi masa depan  Hasihin.

 Pada hari ini nilai RM200,000 terlalu kecil.  Apakah demikian nasib seseorang OKU  yang berjasa untuk negara tetapi sumbangan terlalu kerdil untuk dinilai?

 Apa yang berlaku kepada Hasihin  hampir sama dialami  2.8 juta  OKU lain. Mereka hanya  warga kecil yang jarang diperhatikan dalam apa bidang sekali pun. Malah, sebahagian besar mereka tersenarai dalam statistik kemiskinan walaupun negara sudah 55 tahun merdeka. Sebanyak  90 peratus OKU  mempunyai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Nasib mereka tidak berubah walaupun kerajaan sentiasa berbangga pencapaian ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

 Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek  mudah dimengertikan: kurang minat menghargai pencapaian atlit OKU. 

 Walaupun Kementerian Belia dan Sukan mempunyai alasan tersendiri, masyarakat berhak mempersoalkan  bentuk layanan terhadap atlit normal dan OKU. Tidak mungkin Hasihin  boleh dianggap setanding  Chong Wei, Pandelela  atau Datuk Nicol David, tetapi apa salahnya jika kerajaan juga melihat Hasihin sebagai rakyat yang berbangga mengibarkan Jalur Gemilang di Kota London. Apa pun pertimbangan yang disebut oleh seorang menteri, masyarakat masih meyakini keadaan tidak wajar sengaja ditimbulkan.

  Hasihin sekadar dijanjikan  menerima ganjaran lain, selain imbuhan yang diterima menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Kita yakin keadaan sama akan berlaku kepada atlit  paralimpik lain pada masa akan datang walaupun mereka meraih emas. Jika keadaan ini berterusan, tindakan holistik, kemanusiaan dan profesional perlu dilakukan.

    Hasihin mungkin lima tahun lagi tidak aktif kerana faktor  usia dan kesihatan. Kita tidak pasti apakah ada pihak yang bakal mengenang dan membantunya menghabiskan sisa hidup pada masa depan.

Ketika pelbagai pihak mendesak kerajaan  mewujudkan skim bayaran pencen untuk atlit paralimpik,  Ahmad Shabery sekadar berjanji: “Saya akan melakukan perbincangan pada peringkat Kabinet bagi mengenal pasti bentuk imbuhan lain yang lebih sesuai bagi kebajikan atlit paralimpik.”

 Ahmad Shabery berkata, jika dibandingkan  negara lain seperti Singapura dan Australia, Malaysia memberi elaun dan kemudahan yang lebih baik kepada atlit paralimpik.

 Kita tidak pasti sejauh mana nasib atlit OKU di negara lain terutama Australia tetapi yang kita pasti, kerajaan mereka menyediakan dana kebajikan OKU walaupun tidak menyertai mana-mana kejohanan bertaraf dunia. Kebajikan, jaminan masa depan dan skim insurans disediakan  kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi pelbagai masalah kehidupan. Tidak adil membandingkan ganjaran di Malaysia dengan negara lain kerana peluang prasarana juga berbeza.

 Apa yang berlaku sekarang membuktikan Hasihin berjaya menyelongkar isu sebenar nasib OKU di Malaysia. Penghargaan, simpati dan peluang sekadar ungkapan. Tindakan lebih manusiawi perlu dilakukan selaras slogan Janji Ditepati yang berulang kali disebut  menjelang sambutan kemerdekaan ke-55.  - Berita Harian, 8 September 2012

No comments: