Pages

Wednesday, October 23, 2013

Maklumat peribadi lepasan sekolah terdedah

Jangan terperanjat jika tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada  orang yang tidak dikenali.
“Kami dari unit pengambilan pelajar. Anak encik mendapat tawaran belajar di xxx!” atau ada yang bertanya: “Anak encik  belajar di mana sekarang?”

Pertanyaan dan sapaan daripada individu yang kononnya mewakili institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bukan isu baru. Ramai ibu bapa yang anak mereka lepasan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerap menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali. Matlamatnya hanya satu, untuk menawarkan pengajian di sesebuah IPTS yang kononnya menjalankan kerjasama dengan beberapa universiti awam tempatan dan luar negara.

Ramai juga yang mempersoalkan mengenai maklumat peribadi mereka yang bocor. Pemanggil telefon boleh mengenal nama ayah dan ibu bekas pelajar SPM dan STPM. Posmen pula bagai rutin harian, membawa surat tawaran menghadiri temu duga di sesebuah IPTS yang kononnya relevan dengan keperluan semasa.

Ada ketika seseorang lepasan sekolah menerima tidak kurang lima surat tawaran belajar di IPTS setiap hari walaupun mereka tidak pernah membuat sebarang permohonan sebelum ini.
Persoalannya, di manakah mereka mendapat maklumat peribadi lepasan sekolah? Dari mana mereka ketahui alamat penuh, nombor MyKad dan nombor telefon kediaman seseorang pelajar serta mengetahui nama ayah dan ibu seseorang?

Kita hairan bagaimana maklumat peribadi seseorang boleh terdedah kepada pihak yang tidak dikenali.

Apakah ada sindiket menjual maklumat kepada pihak berkepentingan sebagai sumber pendapatan sampingan  mereka?

Gejala kacau ganggu lepasan SPM dan STPM sudah lama berlaku. Ramai yang mengeluh kerana bimbang maklumat peribadi seseorang boleh diperoleh pihak lain tanpa izin mereka.

Bayangkan jika maklumat peribadi  disalah gunakan untuk kegiatan lain termasuk membuat pinjaman peribadi daripada  institusi kewangan yang akhirnya memerangkap  dengan bebanan hutang.
Isu ini perlu ditangani segera kerana boleh membawa kesan buruk kepada lepasan sekolah yang mula mengenal kehidupan. Mereka wajar diberi pilihan untuk melanjutkan pengajian tanpa dipujuk rayu mana-mana pihak.

Setiap tahun hampir 80,000 memohon melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Sama ada IPTA atau IPTS, bakal pelajar wajar membuat pilihan sesuai dengan kelulusan dan kemahiran yang mahu diceburi.

Malangnya tindakan pendedahan maklumat peribadi seseorang boleh mempengaruhi seseorang remaja membuat keputusan melanjutkan pengajian mereka.

Ada juga IPTS yang membuat tawaran pengajian yang tidak munasabah dan tidak setimpal dengan kemampuan pusat pengajian berkenaan.

Ada pelajar yang kononnya menerima tawaran belajar sains angkasa lepas, tapi apabila meninjau premis pengajian yang diedarkan ke alamat kediaman, ia hanya sebuah rumah kedai dua tingkat dan mempunyai beberapa pintu saja. Mampukah IPTS berkenaan menyediakan bidang pengajian yang memerlukan kepakaran dan kemudahan asas luar biasa?

Penipuan berkenaan boleh menjejaskan harapan dan keyakinan masyarakat kepada IPTS tempatan walaupun kononnya mereka menjalin kerjasama dengan universiti terkemuka dunia.

Kita juga hairan bagaimana dewan tertentu di sesebuah universiti tempatan dibenarkan untuk menjalankan temu duga kemasukan IPTS. Apakah ada individu yang berkepentingan memainkan peranan bagi meraih keuntungan jangka pendek?

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu menyiasat punca pendedahan maklumat peribadi seseorang pelajar. Mungkinkah ada  guru di sesebuah sekolah berperanan mendedahkan maklumat pelajar mereka kepada pihak luar?

Kejadian ini perlu disiasat kerana mustahil alamat, nombor telefon dan MyKad pelajar terdedah kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Kementerian Pendidikan juga wajar memantau aktiviti IPTS kerana bukan semuanya mengikut landasan yang betul. Kita masih ingat kes penjualan ijazah di sebuah pusat pengajian swasta tahun lalu hingga mencabar maruah sektor pendidikan di negara ini.

Kita bimbang aktiviti tidak berlandaskan kepentingan akademik berlanjutan sehingga menjejaskan imej IPTS keseluruhan. - Berita Harian, 22 Oktober 2013 

6 comments:

Mohd Taib Nordin said...

Sebagai bapa, saya mahu anak Berjaya. tapi saya marah apabila banyak sangat kempen masuk IPT. biarkan pelajar tentukan hala tuju di samping bimbingan ayah dan ibu. IPTS jangan rendahkan mARUAH anda

Sri Diani said...

takk patut ganggu pelajar. ipts dah melampau. anak saya juga alami masalah yang sama

Rhaman Shaari said...

Tidak logic rumah kedai sediakan kursus sains angkasa. anak saya juga terima tawaran berkenaan. mujurnya kami tak kena tipu. Malaysia ada roket ke untuk dikaji?

Pak Pakir Ali said...

Lawak amat. university swasta nak untung je. nak kaut modal yang sikitt tapu untong yang banyak. macham-macham berlaku sekarang.

Siti Hajar said...

Dulu taK ADA UNIVERSITI SWASTA. bila tak cemerlang spm kena masuk sekolah swasta. akhirnya saya dapat masu U juga. hari ni anak saya masuk university swasta. makan duit banyak. mereka cari untung aje

Pak Kadok said...

Satu topik yg menarik. Tahniah. Dan tahniah juga kerana blog ini semakin meriah kerana semakin ramai pengunjung yang meninggalkan komen.

Mungkin anda boleh kekalkan topik menarik sebegini dilain catatan. Begitu juga tentang sastera dan budaya yang memang bidang anda.

Bab politik yang berat sebelah tu rentikanlah.